IPOH 24 Sept. - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuktikan teknologinya kini berada pada tahap kukuh apabila berjaya menjalankan penembakan Misil Otomat menggunakan sistem Teleguidance 2 di perairan Selat Melaka di Lumut, semalam.
Dalam kenyataannya di sini hari ini, TLDM berkata, misil itu telah dilancarkan dari platform KD Laksamana Hang Nadim dengan dibantu oleh pesawat Super Lynx MK 100.
Ia berjaya mengenai sasaran permukaan berukuran 40 meter pada jarak kira-kira 60 kilometer (km) dari kapal penembak.
Turut membantu dalam operasi penembakan itu ialah Depot Peluru dan Letupan TLDM Lumut, KD Laksamana Tun Abdul Jalil, KD Jerai, KD Ledang, KTD Sotong dan pasukan penyelam dari KD Duyong.
Penembakan disaksikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin.
Kejayaan tembakan itu membuktikan keupayaan fungsi Misil Otomat pada jarak melebihi ufuk sekali gus menunjukkan peningkatan keupayaan perang TLDM kini berada pada tahap yang baik.
Ujian penembakan yang dijalankan merupakan sebahagian daripada latihan bagi warga TLDM dalam pengendalian misil merangkumi aspek perancangan latihan, penyediaan dan ujian teknikal misil, melaksanakan proses penembakan hingga proses menganalisis data apabila selesai penembakan.
Misil Otomat buatan Itali yang dibekalkan oleh Syarikat Matra Bea Dynamic & Alenia telah berada dalam inventori TLDM sejak 1996.
Misil jenis penembak dari permukaan ke sasaran permukaan berukuran 4.469 meter panjang dengan berat 780 kilogram itu boleh meluncur pada kelajuan 300 meter sesaat dan beroperasi dalam apa juga keadaan cuaca.
Keberkesanan jarak efektif misil untuk memusnahkan sasaran menjangkau 180 km dari platform tembakan.
SUMBER: Utusan Online
CyberCoxswain: Yup! mengenai sasaran... tahap kesiapsiagaan TLDM memang tidak boleh dipertikaikan. Always on tip top conditions macam anggota-anggotanya juga.
Tapi orang awam memang tidak boleh nampak semua latihan-latihan navy di laut sebab terlalu bahaya, dan dengan sebab itulah ramai orang awam tidak mengetahui navy ini dengan jelas.
Syabas dan Bravo Zulu! untuk TLDM.
No comments:
Post a Comment