Wednesday, September 23, 2009

Pemilihan Perajurit Muda di Sabah & Sarawak

Peluang terbuka kepada anda di Sabah dan Sarawak untuk menyertai Tentera Laut DiRaja Malaysia (mana tau lepas ni boleh join sebagai krew kapal selam pulak ke...)

"Join Navy, See the World"

Sempena musim perayaan ni kalau nak datang sesi pemilihan diingatkan jangan makan ketupat & lemang banyak-banyak takut tak pass pulak ujian fizikal dan BMI. Bukan lama lagi... minggu depan je ni...

Sila hadir di pusat pemilihan yang tercatat seperti di Jadual Pemilihan. Waktu pendaftaran dibuka mulai jam 0830 pagi hingga 0900 pagi, permohonan tidak akan diterima selepas waktu pendaftaran. Pemohon dikehendaki berpakaian sukan, baju 'T' berkolar, seluar panjang sukan, berkasut sukan dan berstokin.

Semua calon dikehendaki membawa bersama sekeping gambar terbaru berukuran passport (gambar tidak akan dikembalikan) dan sampul surat bersetem RM1 berukuran 16cm x 23cm beralamat sendiri.

JADUAL PEMILIHAN
28 Sep 09 Isnin - Kota Kinabalu, Sek. Keb. Bahang Penampang (Wanita)
29 Sep 09 Selasa - Kota Kinabalu, Sek. Keb. Bahang Penampang (Lelaki)
1 Okt 09 Khamis - Tawau, Sek. Men. Teknik Tawau (Lelaki/Wanita)
3 Okt 09 Sabtu - Sandakan, Sek. Men. Keb. Agama Sandakan (Lelaki/Wanita)
5 Okt 09 Isnin - Miri, Dewan Suarah Miri (Lelaki/Wanita)
7 Okt 09 Rabu - Sibu, Dewan Suarah Sibu (Lelaki/Wanita)
9 Okt 09 Jumaat - Kuching, Sek. Keb. Merpati Jepang (Wanita)
10 Okt 09 Sabtu - Kuching, Sek. Keb. Merpati Jepang (Lelaki)


Syarat Permohonan

Warganegara Malaysia
-Calon mestilah warganegara Malaysia berumur di antara 18 hingga 23 tahun pada tarikh angkat sumpah 6 Jan 2010.

Kesihatan
-Sihat tubuh badan serta tidak cacat anggota.
-Penglihatan hendaklah terang dan jelas tanpa cermin mata atau kanta sesentuh dan tidak kabur warna.

Tinggi (Minimum)
Lelaki -1.60 meter
Wanita -1.47 meter

Berat (Minimum)
Lelaki - 49 kg
Wanita - 40 kg

Body Mass Index (BMI)
Lelaki - 19 - 27.9
Wanita - 18 - 23

(Cara pengiraan BMI= Berat dibahagi tinggi dibahagi tinggi
contoh: 48 kg dibahagi 1.57 mtr dibahagi 1.57 mtr = 19.47)

Ukuran dada (Lelaki sahaja)
Biasa -76 cm
Tarik Nafas - 81 cm

KELAYAKAN AKADEMIK

a. Skim Perantis Program Diploma Teknologi Marin (DTM)
Memiliki SPM/SPMV/SKM dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu, Matematik dan 3 mata pelajaran lain. (Lelaki sahaja)

b. Peringkat Rendah
Memiliki SPM/SPMV/SKM dengan mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu di Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang mempunyai kepujian di dalam mata pelajaran Matematik dan 3 mata pelajaran yang lain.


Sijil dan Dokumen
-Calon dikehendaki membawa bersama sijil dan dokumen yang ASAL. Kad Pengenalan (MY Kad), Sijil Kerakyatan Malaysia (jika ada), Sijil Kelahiran Pemohon, Penyata/Sijil PMR/SPM/SPMV/SKM, Sijil Berhenti Sekolah, Sijil Penglibatan Sukan/Persatuan dan Sijil Akademik lain


Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Markas Tentera Laut
Cawangan Pengurusan Perkhidmatan Sumber Manusia - Bantuan
Kementerian Pertahanan
Jalan Padang Tembak
50634 KUALA LUMPUR
(Untuk Perhatian: Sel Pengambilan LLP)
Tel: 03-20713177 dan 03-20712214

Tuesday, September 15, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

dengan ingatan tulus ikhlas

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Maaf Zahir & Batin
dari saya sekeluarga untuk semua pengunjung weblog ini
khususnya anggota-anggota KD Sri Pinang
semua anggota PSSTLDM dan PALAPES

"Sedia Berkorban"

( CyberCoxswain )

Friday, September 11, 2009

Berkorban demi negara

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bergambar bersama kelasi kapal selam pertama negara, Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KDTAR) di Pangkalan TLDM Pulau Indah. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kelasi kapal selam KD TAR hilang nikmat hidup di darat harap dapat sambut lebaran bersama keluarga

SEPANJANG 54 hari belayar, dua anak kapal yang mengemudi kapal selam pertama negara, Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KD TAR) hanya tidur empat jam sehari.

Kadang-kadang masa tidur mereka yang terhad itu diganggu dengan bunyi siren sebagai isyarat kebakaran menandakan mereka harus bangun bagi mengikuti eksesais kebakaran, satu perkara wajib yang perlu mereka lakukan.

Eksesais itu dibuat dari masa ke semasa supaya anak kapal sentiasa bersedia menangani sebarang kemungkinan sekiranya kapal selam itu mengalami masalah kerosakan enjin atau mungkin meletup.

Ini menunjukkan walaupun keadaan di dalam kapal itu sama sekali tidak sama dengan kehidupan di darat, tiada antara mereka yang curi tulang, tetapi meneruskan perjuangan sehingga selesai program latihan selama bermula dari Toulon Perancis, empat tahun lalu.

Leftenan Komander Mohd Hairul Fahmy Yob, 31, berkata, masa tidur semua anak kapal memang terhad walaupun mereka bekerja bertukar giliran sebanyak tiga kali.

“Kami hanya tidur empat jam sehari tetapi sekiranya giliran bertugas malam dan keadaan laut agak tenang, pada masa ini kita boleh tidur sehingga tujuh ke lapan jam bergantung kepada keadaan kapal atau gelora laut bagi memastikan perjalanan ke destinasi seterusnya selamat.

“Mungkin ramai tertanya-tanya aktiviti kami sepanjang berada di dalam kapal ini, waktu terluang yang terhad itu kami isi dengan mengadakan pertandingan bermain video elektronik (PS2), karom, `scrabble’ dan kadang-kadang kami akan berkaraoke,” katanya.

Mohd Hairul Fahmy berkata, ada sebuah televisyen disediakan kepada anak kapal, tetapi hanya boleh digunakan untuk menonton VCD yang dibawa dari rumah untuk tontotan beramai-ramai.

“Siaran memang susah nak dapat, sebab kami berada di tengah laut, internet lagi susah nak akses. Tapi ini semua bukan penghalang kepada kami untuk menggagalkan misi kerajaan Malaysia. Inilah pengorbanan kami.

“Pengorbanan yang saya maksudkan kerana Kami hilang cara hidup seperti orang lain, malah yang paling memedihkan kerana sarat menanggung rindu terhadap isteri, anak dan keluarga di kampung halaman,” katanya yang mengakui merindui isterinya, Syamazlin Syarif, 31, dan tiga anaknya.

Difahamkan semua 32 anak kapal ini sudah empat tahun tidak berkesempatan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang dan mereka berharap tahun ini, sinar keceriaan menyambut raya di tanah air berpihak kepada mereka.

Sepanjang berpuasa, Mohd Hairul berkata, mereka tidak pernah berdepan masalah kerana mungkin keadaan di dalam kapal yang mempunyai pendingin hawa, mereka kurang terdedah kepada panas terik yang boleh menyebabkan tekak haus dan perut berkeroncong.

Mereka juga tidak menghadapi masalah dengan juadah berbuka dan bersahur kerana semuanya disediakan sebaik mungkin, cuma dari segi rindu kepada air tangan isteri atau ibu yang selalunya membuatkan air mata menitik mengenangkan kampung halaman.

Sepanjang pelayaran juga mereka tidak pernah bersolat Jemaah tetapi sebagai musafir tetap mereka mengerjakan salah satu daripada rukun Islam itu dengan mengerjakan solat jamak.

“Kami akan bergilir sembahyang, dan sekiranya berkesempatan pada bulan puasa ini, sembahyang Tarawih dikerjakan secara sendiri dengan ajaran dan panduan daripada pegawai agama yang dilantik untuk memberi petunjuk kepada kami sekiranya mempunyai masalah berkaitan keagamaan.

Pegawai bertugas akan menggunakan kompas dan memberitahu arah kiblat setiap kali masuk waktu sembahyang.

Walaupun sudah 13 tahun berkhidmat dengan TLDM, Mohd Hairul Fahmy masih berdepan dengan masalah mabuk laut pada peringkat awal bertugas di dalam KD TAR.

“Saya memang tidak boleh bekerja sekejap sebab pening dan rasa loya, tetapi sokongan dan bantuan rakan supaya kuatkan semangat membuatkan saya bangkit meneruskan kerja di bawah skop kerja sebagai jurutera mekanikal,” katanya.

Berbeza pula dengan seorang lagi anak kapal, Leftenan Nik Zaaba Nik Abdullah, 30, dia tidak pernah mengalami masalah mabuk laut mungkin sudah biasa dengan keadaan laut yang bergelora.

“Saya tidak berhadapan dengan masalah itu, mungkin semangat saya kuat, tetapi sebenarnya masalah mabuk laut ini terjadi sebab kita memang tidak sihat pada peringkat awal,” katanya yang berasal dari Johor.

Sementara itu, Bintara Kanan, Jerry Kogon yang berasal dari Kota Belud, Sabah menyifatkan pemilihan sebagai kru pertama KD TAR adalah kenangan dan penghormatan kepada dirinya.

Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa kapal milik TLDM seperti KD Sri Sarawak menyifatkan pengalaman berada dalam KD TAR sangat mencabar dan mengujinya walaupun ia bukan pengalaman pertamanya berkhidmat di dalam kapal.

"Banyak bezanya antara bertugas di kapal biasa milik TLDM dengan kapal selam terutama dari segi penugasan. Jika sebelum ini, saya bertugas sebagai juruteknik radio, tetapi apabila berada di KD TAR, saya melakukan kerja yang tidak pernah saya lakukan iaitu bahagian elektrik.

"Tugas ini benar-benar mencabar bagi saya yang tidak pernah mempunyai pengalaman sebelum ini. Dengan menyertai KD TAR, ia memberi peluang kepada saya untuk belajar sesuatu yang baru," katanya yang sudah berkhidmat hampir 14 tahun dalam TLDM.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Itulah kehidupan sebagai anggota kapal selam yang memerlukan banyak pengorbanan jiwa dan raga demi negara tercinta Malaysia. Bukan calang-calang orang boleh memikul tanggungjawab sedemikian.Syabas dan tahniah kepada semua kru KDTAR yang selamat tiba ke tanahair. Sedia Berkorban.

Thursday, September 3, 2009

Kapal selam pertama negara selamat tiba

TERKINI

PELABUHAN KLANG: Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman selamat tiba di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah jam 9.20 pagi ini.

Ketibaannya disambut Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu istiadat penuh bersejarah di Jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah.

Turut menyambut, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

KD Tunku Abdul Rahman merapat ke jeti jam 9.20 pagi dalam keadaan timbul.

Ia memulakan pelayaran dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu dan mengambil masa 54 hari dengan melalui pelabuhan Jeddah, Djibouti dan Cochin sebelum tiba di Pelabuhan Klang.

Pelayaran KD Tunku Abdul Rahman diketuai Pegawai Memerintah Komander Zulhelmy Ithnain, ia dikendalikan sepenuhnya oleh 32 pegawai dan anggota Tentara laut Diraja Malaysia (TLDM).


Perolehan Kapal Selam Jamin Kedaulatan Perairan Malaysia

PELABUHAN KLANG, 3 Sept (Bernama) -- Perolehan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah komitmen terbesar kerajaan bagi meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha menentukan kedaulatan perairan negara terjamin daripada sebarang ancaman, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

[Keterangan gambar: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) keluar dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman selepas selesai sesi lawatan di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah, hari ini. (Gambar bawah); Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (empat kanan) ketika bergambar diatas kapal selam KD Tunku Abdul Rahman turut diiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (lima kanan), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah (paling kiri), Datuk Seri Najib Razak (enam kanan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (tujuh kanan) - Foto Effendy Rashid (BH)]

"Perolehan tersebut membolehkan TLDM khususnya dan ATM amnya mewujudkan satu angkatan laut dan tentera yang lebih kredibel dan berwibawa di rantau ini," titah baginda pada upacara sambutan ketibaan kapal selam pertama negara 'KD Tunku Abdul Rahman' (KD TAR) di jeti KD Sultan Abdul Aziz di sini , Khamis.

Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan semangat serta kecekalan yang dipamerkan oleh krew KD TAR sehingga berjaya menamatkan latihan selama setahun.

Baginda bertitah ia juga membuktikan krew TLDM mampu bersaing dan setanding dengan angkatan laut yang bertaraf antarabangsa.

"Beta menyedari kapal selam memerlukan warga yang memiliki kemahiran tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya," titah baginda.

"Beta percaya saudara-saudara adalah insan terpilih dan bertuah kerana menjadi krew pertama kapal selam yang menjadi kebanggaan negara dan ia akan menyuntik semangat seluruh rakyat Malaysia untuk menempa kegemilangan dalam mengharumkan nama negara," titah baginda.

KD TAR diketuai oleh pegawai pemerintah Komander Zulhelmy Ithnain dan dikendalikan sepenuhnya oleh 32 pegawai dan anggota TLDM.

Seri Paduka juga bertitah agar aset yang berteknologi tinggi itu dapat dijaga dan digunakan sepenuhnya bagi memastikan kredibiliti TLDM sebagai sebuah angkatan laut yang mampu menjaga negara.

Pelayaran krew kapal selam merentasi 6,000 batu nautika serta persinggahan di tiga pelabuhan negara asing merupakan detik bersejarah bagi TLDM dan negara, titah baginda.

Baginda turut berkenan melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama sempena kapal selam pertama negara sebelum melawat galeri kapal selam itu.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

KD TAR memulakan pelayarannya dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lepas dan singgah di Jeddah, Djibouti dan Cochin sebelum tiba di Pelabuhan Klang.

KD TAR antara dua kapal selam jenis Scorpene yang ditempah kerajaan untuk memperkukuhkan TLDM.

Wednesday, September 2, 2009

Serah Terima Tugas PAT

Panglima ATM janji kekal prestasi terbaik

[Keterangan gambar: ABDUL AZIZ (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Azizan, sambil disaksikan Zahid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah (dua dari kanan) pada majlis serah tugas di Kuala Lumpur, semalam.]

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera yang baru, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, akan memastikan sistem pertahanan negara sentiasa berada pada tahap terbaik dan mampu menghadapi sebarang bentuk ancaman musuh.

Justeru, beliau berkata, usaha memajukan ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa walaupun menghadapi pelbagai kekangan, terutama dari segi peruntukan.

"ATM akan meneruskan pelan pembangunannya ke arah menjadi sebuah institusi ketenteraan serba moden, sekali gus menjadikannya kuasa pertahanan terulung dan disegani di rantau ini.

"Ini penting bagi memelihara kedaulatan negara kita, selain memastikan rakyat sentiasa rasa selamat sebab ada pasukan keselamatan yang kuat membabitkan ketumbukan udara, laut dan darat," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Terdahulu, Azizan menghadiri majlis serah tugas antara beliau dengan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut menggariskan misi baru Agenda Utama Adalah Untuk Merealisasikan Transformasi ATM (4D - MAF) sebagai panduan bagi pelaksanaan pelan pembangunan itu.

"Saya belum tahu lagi bagaimana hala tuju ATM selepas ini. Perbincangan masih berlangsung dengan pegawai kanan dari ketiga-tiga ketumbukan. Namun, saya menyeru setiap anggota berusaha mencapai segala matlamat 4D-MAF.

"Kita mahu kemajuan dicapai dari semua sudut. Itu sebabnya ia dinamakan sebagai kemajuan 'empat dimensi'," katanya yang mencipta sejarah sebagai pegawai TUDM pertama dilantik ke jawatan tinggi itu.

Ditanya mengenai pelantikannya itu, Azizan menyifatkannya sesuatu yang di luar jangkaan, lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatannya bersama TUDM dijadualkan berakhir pertengahan tahun depan.

"Ini amanah cukup berat, namun saya akan berusaha menjalankannya dengan penuh dedikasi. Malah, saya amat menghargai kepercayaan dan peluang diberikan kerajaan ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz mengakui sukar baginya meninggalkan pakaian seragamnya untuk meneruskan kehidupan sebagai orang awam kerana sudah sebati dengan cara hidup seorang tentera.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Sejarah baru tercipta.

KD Tunku Abdul Rahman tiba esok

Kapal selam pertama negara guna teknologi terkini

KUALA LUMPUR: Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman dijadualkan tiba dari Coachin, India di Pulau Indah, Pelabuhan Klang kira-kira jam 8 pagi esok.

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene yang dibina menggunakan teknologi Perancis dan Sepanyol itu akan disambut Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor, Sultan Sharuddin Idris Shah.

Ia akan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Aziz Jaafar.

Majlis pentauliahan kapal selam itu berlangsung pada 24 Januari lalu di Pangkalan Tentera Laut Perancis di Toulon dan dinamakan sempena Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pembinaan KD Tunku Abdul Rahman dilancarkan di Cherbourg, Perancis pada Oktober 2007 melalui pelbagai siri ujian, termasuk kemampuannya melaksanakan pelbagai misi sukar seperti serangan atau pengumpulan maklumat sebelum ditauliahkan.

Dilengkapi pelbagai teknologi persenjataan dan komunikasi terkini, KD Tunku Abdul Rahman bakal ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu yang dibangunkan sejak Februari 2007 membabitkan kos RM420 juta.

Kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak, sempena nama Perdana Menteri kedua dijadualkan tiba Oktober ini dan akan ditempatkan di pangkalan sama.

Malaysia adalah negara ketiga di Asia Tenggara memiliki kapal selam selepas Indonesia dan Singapura, sekali gus menjadikan TLDM antara ketumbukan tentera laut disegani di rantau ini.

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Ahlan Wasahlan!