Friday, August 29, 2008

Raptai Penuh Merdeka Pulau Pinang

Kemarin, Khamis 28hb Ogos 2008 adalah hari raptai penuh sambutan Perayaan Kemerdekaan ke 51 tahun Malaysia peringkat Negeri Pulau Pinang. Kali ini seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, diadakan di Queensbay Pulau Pinang.

Boleh nampak Jambatan Pulau Pinang yang bersebelahan dan Pulau Jerejak di hadapan. Juga berhampiran dengan kompleks membeli-belah terkini di Pulau Pinang iaitu Queensbay Mall (ada Jaya Jusco di situ).

Ramai juga kontinjen yang mengambil bahagian kali ini lebih 100 kontinjen kesemuanya. Dan seperti biasa kontinjen keselamatan beruniform ini akan diletakkan pada sesi akhir perbarisan. Kali ini Kontinjen Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) diletakkan pada kedudukan nombor 92 dengan kekuatan anggota seramai lebih dari 60 orang.

Anggota-anggota yang terlibat terdiri daripada staf Unit Senggaraan Sg. Nyior, KD Sri Pinang staf regular dan PSSTLDM serta PALAPES Laut dari Universiti Sains Malaysia.

Kontinjen TLDM berada di tengah-tengah antara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti selalunya, sebab kontinjen TLDM ni special banyak. Dengan hanya berkawad kaki, tidak membawa senjata dan berpakaian 2 Alfa / Putih pada hari sebenar nanti (masa raptai kemarin pakaian 2 Bravo / Biru), pakai kasut potong lagi, memang terserlah keayuan dan kehenseman geng-geng navy ni... jangan jelousss... Very enjoyable!

Kali ini ada kejutan untuk rakyat di Pulau Pinang kerana ada lintas hormat udara oleh pesawat-pesawat boeng dan airbus untuk anda... sempoilah tu mana ada kat tempat lain di Malaysia ni buat macam tu... pesawat besau tu... besst.

Nak tahu kenapa?... Ini kerana tempat perbarisan tu dengan Lapangan Terbang Bayan Lepas pun berada berdekatan jadi apabila kapal terbang berlepas bolehlah anda lihat di sana atas kepala sendiri, macam syncronised pulak dengan perbarisan kali ini... Very very enjoyable!!

Untuk lebih jelas lagi.... Datanglah sendiri ke Queensbay Pulau Pinang untuk acara Sambutan Perayaan Hari Kemerdekaan ke 51 Tahun Malaysia peringkat negeri pada jam 7.00 pagi, hari Ahad 31hb Ogos 2008 ini untuk memeriahkan dan meraikannya bersama-sama. Kami anggota-anggota TLDM akan Menunggu anda di sana. MERDEKA!

Monday, August 25, 2008

TLDM sedia gempur kapal tangki

Paskal yakin tawan semula Bunga Melati Dua daripada tangan lanun

KUCHING: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersedia menggerakkan anggotanya termasuk menghantar Pasukan Khas Laut (Paskal) ke pesisir pantai Somalia bagi merampas kembali kapal tangki MISC Bhd (MISC), MT Bunga Melati Dua yang ditawan lanun, Selasa lalu.

Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata pihaknya yakin dengan kelengkapan dan kemahiran Paskal kapal tangki serta 39 krewnya mampu dirampas semula.

“Bukan mahu berbangga, namun dengan keupayaan komando Paskal, kita yakin mampu menyelamatkan krew dan kapal itu, namun semua bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada mahu kami terbabit.

“Saya juga memberi jaminan jika perkara sebegini berlaku di perairan Malaysia, TLDM sebagai nadi utama pertahanan maritim akan bertindak dengan sewajarnya bagi melindungi kedaulatan negara,” katanya selepas melawat Pejabat Wakil TLDM Sarawak di sini, semalam.

Turut hadir Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Syed Osman dan Pegawai Wakil Tentera Laut Sarawak, Komander Roslan Othman

Dalam kejadian berkenaan, MT Bunga Melati Dua, milik MISC yang dalam pelayaran menuju Rotterdam dari Dumai, Sumatera bersama 39 krew termasuk 29 rakyat Malaysia ditawan lanun di Teluk Aden jam 10.09 malam waktu tempatan.

Kumpulan lanun yang sama turut merampas dua kapal dari Jerman dan masing-masing satu dari Jepun dan Iran dengan MISC ketika ini dikatakan berunding bersama kumpulan lanun berkenaan bagi tujuan pembayaran wang tebusan.

Difahamkan, pihak berkuasa Jepun, Jerman dan Iran akan turut menghantar komando mereka jika rundingan antara pemilik kapal dengan lanun gagal berikutan ugutan membunuh anak kapal yang dikemukakan sebelum ini.

Sementara itu, kapal selam kedua Malaysia KD Tun Razak dijangka akan dilancar dan dinamakan dengan rasminya pada 8 Oktober ini oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di pelabuhan Cartegana, Sepanyol, sebelum ia dijangka tiba di perairan negara pada awal 2010.

Kamarulzaman berkata, pihaknya dijangka berangkat ke Sepanyol selepas Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyaksikan majlis berkenaan.

“Selepas KD Tunku Abdul Rahman yang sudah memasuki peringkat akhir pembinaanya di Perancis, pembinaan KD Tun Razak di Sepanyol dimulakan Oktober ini selepas pelancaran rasminya dilakukan Tuanku Nur Zahirah.

“Pembinaanya dijangka mengambil masa kira-kira setahun lebih sebelum kapal selam berkenaan akan dibawa pulang pada awal 2010 bagi ditempatkan di Sabah bersama KD Tuanku Abdul Rahman yang dijangka tiba hujung tahun depan,” katanya.


CyberCoxswain: Sokong! jangan dibiarkan kemungkaran berleluasa lebih-lebih lagi kegiatan lanun di perairan seluruh dunia. Tak perlu nak berunding dengan "LANUN!"... mereka tu siapa?

Friday, August 22, 2008

Makan Malam Tahunan KD Sri Pinang

KD Sri Pinang (KDSP) 2008 Annual Dinner / Majlis Makan Malam Tahunan atau lebih tepat lagi kalau dikatakan PSSTLDM Annual Dinner 2008.

Sebab ianya dirancang, dilaksanakan dan seterusnya dijayakan oleh anggota PSSTLDM sahaja dari Pegawai hinggalah ke Junior Rate di KDSP (tidak langsung termasuk / melibatkan anggota regular di base).

Dijayakan pada malam 16 Ogos 2008 bersamaan tarikh Perajurit Muda PSSTLDM Tamat Latihan (POP) di Lumut. Majlis ini berlangsung di Tanjung Bungah Beach Hotel (dulu Paradise Sandy Bay Hotel) bersebelahan Naza Hotel di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Dah lama tak singgah hotel ni... lain benar deco-nya sekarang, bertambah cantik dan grand. Kalau sesiapa datang Penang boleh singgah menginap di sini, memang berbaloi (promo-lah pulak...) Selain itu ada live show and girls dari Filipina yang cun lagi seksi... itu yang bestnya!

Sebenarnya majlis RPC ini dirancang untuk meraikan Kepten Dato' Dr Mohd Razha Abdul Rashid, Pegawai Memerintah KDSP bersempena dengan kenaikan pangkat Kepten dan anugerah Dato' yang diterima beliau baru-baru ini. Disebabkan semua anak buah berasa terlalu berbangga dan berasa harus meraikannya kerana satu sejarah baru telah tercipta maka dianjurkan majlis makan malam untuk CO, baru puas rasanya walaupun terpaksa berkorban sedikit tidak menjadi masalah bagi anak buah. "Semoga Panjang Umur dan Murah Rezeki Dato' CO"... kenduri Kept dah, kenduri Dato' tak buat lagi... bila agaknya tu? hehehehe...

Disamping itu agenda kedua majlis ini ialah meraikan Pegawai Staf yang dengar khabar dipanggil melapor diri ke Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bulan depan. Terima kasih diucapkan diatas jasa-jasa dan kerjasama Tuan sepanjang bertugas di KDSP dan Selamat Berjaya di tempat baru nanti.

Acara pada malam itu bermula jam 2000 dengan semua anggota PSSTLDM mengambil tempat di kerusi dan meja masing-masing. 6 meja kesemuanya termasuk 1 meja VIP (orang yang diraikan). Pakaian malam tu adalah Pakaian Malam - Nite Rig / Mess Kit / Mess undress. CO datang dengan segak bergaya lengkap dengan selempang yang kami semua nak tengok.

Tempat yang dipilih cukup menarik, terletak betul-betul di tepi Pantai Tanjung Bungah berkonsepkan open air. Bersebelahan dengan lounge (tertutup) yang ada penyanyi yg best. Kalau nak pi toilet boleh tahan sat dan singgah dulu tengok show kat sebelah sure lupa niat nak ke toilet.

Ketibaan CO jam 2016 dan majlis pun bermula dengan ucapan aluan dari Pegawai Laksana (XO, orang nombor 2 selepas CO), Lt Kdr Mohd Amir yang datang bersama isteri. Pegawai Staf pun bawa isteri juga cuma CO saja yang tak bawa Dato' malam tu... (isteri CO pun Dato' juga).

Acara diteruskan dengan ucapan CO yang antaranya mengucapkan terima kasih kepada kami yang meraikannya. Selepas itu jamuan makan pun dihidangkan oleh petugas-petugas / pelayan hotel. Chinese Food Style, siap pakai chopstick lagi. Siapa yang tak pandai tu kenalah minta sudu garpu kat pelayan sebab tak pandai kepit (nanti rugi orang boleh makan dia tak leh makan). Ingatkan sorang dua je, rupanya ramai juga yang minta sudu, ish ish ish. Lain kali kena ubah konseplah, maklumlah ramai Melayu.

Makannan dihidang satu persatu, dish by dish. Ada 10 hidangan semuanya termasuk pencuci mulut dan pencungkil gigi dan juga air (oren). Sedap juga, walau pun ada bunyi-bunyi kat belakang. Ada yang kata "makan apa semua makanan berlendiaq jer (berlendirlah tu) "... hahhahaa... macam-macam... berlendir dek tepung jagung dalam resepi lah tu... dah nama pun chinese food... sekali sekala ubah selera apa salahnya, ye tak?.


Selesai makan acara diteruskan dengan sesi bergambar beramai-ramai sebelum majlis bersurai. Ada member kata terdengar bunyi orang panggil cyber coxswain malam tu... tapi siapa cyber coxswain itu yek? hehehehe...

P/S: Sapa ada gambar malam tu silalah hantar kat saya, cybercoxswain@yahoo.com bolehlah letak kat sini utk dikongsi dengan semua. TQ.

Thursday, August 21, 2008

Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda PSSTLDM

Lumut, Sabtu 16 Ogos 2008, Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSSTLDM) Pengambilan 2006/2007. Acara ini juga biasanya dipanggil POP atau Passing Out Parade oleh anggota tentera laut.

Majlis ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut (PTL), Yang Berbahagia Laksamana Datuk Abdul Aziz Bin Hj Jaafar, di Padang Kawad KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut, Lumut, Perak Darul Ridzuan.

Saya tertunggu juga berita ini keluar dari media masa tempatan tetapi tak keluar, tak tahu kenapa. Memang kurang atau hampir tiada publisiti untuk aktiviti-aktiviti navy ni. Sebab tulah orang tak tahu apa itu PSSTLDM, peranan, aktiviti dan sebagainya sebab semua tu tak keluar media. Mungkin tak penting kot (bagi diaoranglah...), tapi bagi kita / kami yang ada kaitan dan juga sebagai rakyat Malaysia kita harus berbangga dengan anak muda kita yang sanggup "Sedia Berkorban", tinggalkan tugas hakiki, tanpa gaji lagi untuk menyertai aktiviti sukarela ini demi agama, bangsa dan negara tercinta. BRAVO ZULU! untuk mereka ini...

Datang lapor diri dengan kulit yang putih gebu... tapi balik dengan kulit yang hitam legam dibakar panas mentari tapi masih bersemangat tinggi, tahniah! Balik rumah mak pun tak kenal... anak sapalah ni...

Kekuatan anggota yang menyertai perbarisan kali ini agak berkurangan dari tahun-tahun sebelumnya, cuma seramai 212 anggota sahaja iaitu:
1. KD Sri Pinang - 4 anggota
2. KD Sri Medini - 16 anggota
3. KD Sri Manjung - 13 anggota
4. KD Sri Klang - 63 anggota, semua Perajurit Muda (PrM)
5. PSTL Kuantan - 18 anggota, semua Laskar Muda (LM)
6. PSTL Chendering - 27 anggota, sorang saja PrM yang lain LM
7. PSTL Tawau - 39 anggota
8. PSTL Labuan - 8 anggota
9. PSTL Sandakan - 23 anggota
10. PSTL Kuching - 21 anggota

KD Sri Pinang menghantar anggota paling sedikit tahun ini (dalam sejarah... nak buat macam mana dah itu je yang ada) manakala KD Sri Klang paling ramai dengan 63 anggota yang kesemuanya adalah Perajurit Muda. Mungkin sebab itu jugalah dua hadiah terbaik dibawa pulang oleh mereka agaknya, tahniah!

Penerima Hadiah Perajurit Muda PSSTLDM Terbaik
1. Keseluruhan - 8006734 PrM Muhammad Amer Zakariya (KD Sri Klang)
2. Akademik - 8005896 PrM Noorshahhila Maseri (KD Sri Klang)
3. Kawad Kaki (Lelaki) - 8005961 PrM Meor Hamdan Meor Lokman (KD Sri Manjung)
4. Kawad Kaki (Wanita) - 8006020 PrM Nurita Ramdani Ali (PSTL Tawau)

Kehadiran Ibu Bapa dan keluarga pada hari itu juga agak berkurangan sangat. Mungkin mereka tingal jauh dari Lumut, maklumlah anggota datang dari seluruh Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak. Lagi pula KD Sri Manjung dan KD Sri Pinang yang berada berhampiran dengan Pangkalan TLDM Lumut hanya menghantar anggota yang agak kecil jumlahnya kali ini.

[Keterangan Gambar: Jurulatih Kawad PW1 PPP (GI) Shaharim dan penyokong setia PSSTLDM dari Ipoh LK PPP Shah Murad yang datang memberi sokongan. Bergambar kenangan dan sebagai bukti kehadiran]

Selain Ibu Bapa, POP kali ini juga mendapat sokongan padu dari anggota-anggota PSSTLDM yang ada. Mereka datang memberi semangat kepada pelapis yang bakal menerajui negara dengan aktiviti kesukarelawan yang murni ini. Ramai juga yang hadir dengan berpakaian istiadat (Pakaian Nombor 1) yang segak di barisan tetamu.

Acara bermula jam 0715 dengan ketibaan para jemputan dan keluarga. 0730 - Panji-panji. 0735 - Penanda masuk baris. 0740 - Ketumbukan masuk Medan. 0745 - Ketibaan Pegawai Kanan dan Isteri. 0750 - Ketibaan Panglima Armada dan Isteri. 0755 - Ketibaan Timbalan Panglima Tentera Laut dan Isteri. 0800 - Ketibaan Panglima Tentera Laut dan Isteri dan lagu 'Samudera Raya' dinyanyikan.

Seterusnya pemeriksaan perbarisan oleh PTL. Habis sahaja pemeriksaan, perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat jalan. Mantap juga mereka ini berkawad, tak sia-sia Jurulatih Kawad (GI) melatih mereka selama 2 minggu ni. Tak ada yang pancit pun. Acara kawad diteruskan dengan perbarisan mara mengadap. PTL menyampaikan ucapan tahniah dan seterusnya penyampaian hadiah. Sebelum perbarisan berjalan keluar Medan, doa selamat dibacakan.

Acara berakhir dengan jamuan ringan di Weapon Hut (Dewan Persenjataan) KD Pelandok. Alhamdulillah sedap... kita berjumpa lagi di POP tahun depan.

Wednesday, August 20, 2008

TLDM - Perairan negara sentiasa dikawal rapi

KEDAULATAN negara merupakan perkara paling penting dan ia perlu dipertahankan setiap masa tanpa mempunyai titik noktahnya.

Pastinya tanggungjawab itu dipikul oleh seluruh rakyat negara ini, namun yang paling berat adalah terletak di bahu anggota keselamatan.

Kedaulatan negara bermula dari perairan lagi iaitu pulau-pulau kecil sampailah ke daratan perlu dipertahan walaupun nyawa menjadi galang gantinya.

“Menjaga kedaulatan negara tidak mempunyai noktah,” itulah tegas Panglima Angkatan Tugas Bersama Dua, Brigedier Jeneral Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan kepada kumpulan media di Markas Taktikal Kem Sri Wangsa, Semporna, baru-baru ini sempena lawatan ke barisan hadapan Ops Pasir di perairan selatan negeri Sabah.

Kata-kata itu menyedarkan diri penulis bahawa kebanyakan kita tidak lagi mengambil berat tentang kedaulatan negara, tetapi lebih cenderung untuk ‘menghancurkannya.’

Justeru itu penulis yang menyertai kumpulan itu dapat merasai serba sedikit kesukaran yang harus ditempuhi oleh anggota tentera ketika dipanggil menjalankan tugas di dalam operasi di barisan hadapan seperti Ops Pasir yang diambil nama daripada singkatan Pandanan and Island Resort.

Penempatan terup Tentera Darat di sekitar perairan dan kepulauan di pantai timur Sabah setelah peristiwa penculikan pertama oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 23 April 2000 di Pulau Sipadan yang membabitkan 21 orang iaitu terdiri daripada 12 pelancong asing, lapan pekerja resort dan seorang anggota polis.

Ekoran itu Kabinet memutuskan agar terup-terup Tentera Darat digerakkan ke pulau-pulau dan resort di sekitar perairan negeri Sabah yang dikenali sebagai Ops Padan yang dilancarkan pada 29 April tahun yang sama dengan permulaannya menduduki lima buah pulau iaitu Pulau Sipadan, Pulau Lankayan, Pulau Gaya, Pulau Kelumpang dan Pulau Bohayen.

Pada 18 September tahun yang sama, satu lagi penculikan berlaku di Pulau Pandanan iaitu kira-kira 20 batu nautika dari Semporna dan kali ini membabitkan tiga orang awam. Bagi mengekang kegiatan tersebut Ops Pasir dilancarkan pada 20 September.

[Keterangan gambar: ANGKATAN tentera Malaysia menggerakkan anggota Paskal dalam misi menyelamatkan tebusan yang diculik oleh kumpulan lanun. - Gambar Mohd. Shariful Hafizal ]

Sejak itu, kawalan di kawasan perairan negara terus diperketatkan dan bukan sahaja anggota tentera ditempatkan di pulau-pulau kecil yang terdapat di sekitar kawasan, bahkan operasi itu turut melibatkan anggota polis dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mengimbas kembali sebelum penulis menjejakkan kaki ke Terumbu Layang-layang, pada 10 Ogos lalu selepas menamatkan tugas di Ibu Pejabat Utusan Malaysia di Sungai Besi pada pukul 1 pagi, penulis terus pulang ke rumah dan menyiapkan pakaian serta keperluan lain untuk ke Sabah.

Misi penulis kali ini adalah untuk meninjau bagaimana cabaran Ops Pasir yang melibatkan anggota tentera dari ketiga-tiga angkatan, polis dan APMM.

Selepas ‘tidur-tidur ayam’ seketika, penulis bangun semula seawal pukul 5 pagi dan mempersiapkan diri untuk ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang.

Kira-kira 45 minit memandu, penulis tiba di pangkalan tentera berkenaan dan kelihatan telah ramai wartawan yang lebih awal tiba.Penerbangan ditetapkan pada pukul 7 pagi menggunakan pesawat C130 iaitu dari Subang dan singgah di Kota Kinabalu bagi mengambil tujuh lagi wartawan dari negeri Sabah dan kemudiannya terus ke Tawau.

Setiba di Tawau kami terus menaiki bas bagi meneruskan perjalanan ke Semporna yang mengambil masa kira-kira sejam. Sepanjang perjalanan itu penulis mengambil kesempatan melelapkan mata setelah tidak tidur dengan cukup pada sebelah malamnya.

Setiba di Tawau kami terus ke Markas Taktikal Kem Sri Wangsa di Semporna menggunakan bas dan di sana kami diberi taklimat tentang Ops Pasir sebelum ke tempat penginapan iaitu Dragon Inn yang merupakan sebuah calet terapung cukup indah di pantai Semporna.

Pada sebelah malam kami kembali ke kem yang sama untuk menikmati jamuan makan malam dan seperti yang dijangka kami dihidangkan dengan rusa panggang atau dikenali sebagai payau bagi penduduk Sabah memang cukup popular sebagai hidangan istimewa di Tawau.

Ketika asyik mengunyah daging payau yang agak liat, manakala telinga asyik mendengar muzik dipersembahkan oleh band anggota tentera, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku yang hampir memekakkan telinga penulis dan serentak itu juga semua lampu terpadam.

“Ah! ini satu gimik tenteralah ni,'' terdetik di dalam hati penulis. Memang benar ia merupakan satu drama serangan lanun ke atas kem tentera yang dilakonkan dengan penuh meyakinkan - dipenuhi letupan dan ledakan senjata mesingan.

“Wah esok tentu lagi hebat ketika melawat pulau-pulau dan kawasan operasi sebenar,” fikir penulis. Selepas selesai adegan serangan lanun itu, keadaan kembali terang dan penyanyi wanita yang sebelum ini tergamam dengan beberapa das letupan kuat, menyambung semula persembahannya.

Sejurus persembahan berakhir kami pulang ke tempat penginapan dan selepas menikmati teh tarik di gerai berhampiran lokasi itu, penulis tidur kira-kira pukul 1 pagi.

Selepas itu kira-kira pukul 5 pagi, penulis bangun semula dan mempersiapkan diri untuk bersarapan pagi pada pukul 5.30 pagi, yang ketika itu telah cerah kerana perbezaan waktu sejam di antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia.

Tepat 6.30 pagi, kumpulan kami bertolak ke lokasi operasi iaitu di Pulau Siamil dan Nabawan menggunakan bot tempur laju CB-90 milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

Selepas merentasi laut yang agak tenang selama kira-kira dua jam, kami tiba di Pulau Siamil dan di sana ketua operasi di situ memberi taklimat dengan nada yang begitu keras dan tegas menandakan latihan taktikal yang bakal dipersembahkan bukan perkara main-main.

Pergerakan petugas media dihadkan kerana banyak bahan letupan diletakkan di sekitar pulau itu dan ketika adegan tembak menembak, anggota terbabit menggunakan peluru hidup.

Objektif operasi itu adalah untuk menyelamat sekumpulan pelancong yang diculik di sebuah pusat peranginan di pulau berdekatan untuk disembunyikan di Pulau Siamil.

Drama itu bermula tepat pukul 8.45 pagi apabila anggota kawalan pengganas berlegar-legar di pantai dan di Jeti Pulau Siamil bagi meninjau keadaan persekitaran sebelum dua buah laju milik kumpulan itu tiba membawa sekumpulan pelancong yang dikawal ketat oleh anggota lanun yang lengkap bersenjata.

Sejurus itu kelihatan tiga anggota tentera yang menggunakan bot penduduk tempatan dan berpakaian biasa memancing di kawasan berhampiran bagi membuat tinjauan.

Setelah maklumat disahkan anggota Paskal di dalam bot nelayan melepaskan tembakan ke arah anggota pengganas di atas jeti dan ketika anggota pengganas kelam kabut mencari tempat perlindungan, satu tim Paskal melakukan serang dari arah kanan pulau berkenaan bagi mengalih pandangan kumpulan pengganas.

Serentak itu juga dua tim Paskal dengan dua buah bot Zodiac mengambil kedudukan di tepi pantai sambil menunggu kehadiran Pasukan Atur Gerak Cepat Tentera Darat (QRF) menggunakan helikopter Nuri, setiba di lokasi anggota 10 Briged Para diturunkan menggunakan teknik ‘Fast Ropiong' dan serangan sebenar bermula.

Kerja-kerja amal

Pada pukul 9 pagi, anggota Paskal dan QRF telah berjaya menyelamat pelancong yang diculik dan terus diterbangkan meninggalkan Pulau Siamil bersama anggota QRF.

Ketika anggota Paskal mula meninggalkan pulau berkenaan, helikopter unit Polis Diraja Malaysia pula melakukan pemerhatian dan tiba-tiba telah mengesan empat orang pengganas yang terselamat cuba melarikan diri dengan dua buah bot laju.

Selepas maklumat disebarkan, bot tempur Paskal bersama-sama APMM terus mengejar bot laju berkenaan dan berjaya mengepung dan memberkas mereka.

Operasi taktikal itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri serta panglima ketiga-tiga angkatan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Selesai operasi itu, semua pihak terbabit dibawa ke Pulau Danawan dan di sana penulis dapat menyaksikan anggota tentera melakukan kerja-kerja amal seperti mengadakan pemeriksaan kesihatan dan gigi penduduk setempat.

Ketika jam menghampiri 12 tengah hari, penulis bersama yang lain menaiki bot untuk kembali ke Semporna, kali ini perjalanan memang mencabar selain laut yang semakin bergelora, hujan juga sesekali datang mencurah sehingga penulis nyaris-nyaris menghambur segala isi perut akibat mabuk laut.

Setiba di Semporna iaitu ketika menaiki bas untuk ke Tawau, dalam keadaan kepala yang pening dan perut yang masih memulas, penulis gagahi menulis artikel ini. Dari Tawau kumpulan kami dibawa ke Terumbu Layang-layang menaiki pesawat C-130.

Kawasan berkenaan memang menarik untuk disinggahi kerana kecantikan terumbu karangnya, tetapi bagi penulis jika seorang anggota tentera yang bertugas di situ ia sesuatu yang menduga ketahanan mental.

Pulau yang dibina secara penambakan dan tebus guna pasir itu terlalu kecil iaitu hanya panjang kira-kira dua kilometer. Tiada apa yang dapat dilakukan selain daripada berjalan di pulau itu, memancing dan berbual-bual.

Untuk tinggal dalam tempoh yang panjang di pulau itu, bukanlah satu pengalaman yang menarik.

Begitulah serba sedikit kesukaran yang menagih kesabaran dan ketabahan minda serta ketahanan fizikal yang penulis tempuhi dan tentulah situasinya lebih sukar serta mencabar ditempuhi oleh anggota tentera.

Namun demi kedaulatan ibu pertiwi jiwa dan raga dipertaruhkan.

CyberCoxswain: Itulah tugas-tugas anggota TLDM di perbatasan, bukan setakat di laut malah meliputi udara dan di darat juga. Walaupun negara kita mempunyai TUDM dan TDM. Cuma rakyat yang tak sedar atau sekadar tidak mengambil tahu. Kurang publisiti mungkin. Selain itu tugas-tugas amal bersama masyarakat setempat juga tidak dilupakan.

Wednesday, August 13, 2008

Stesen TLDM di Ambalat pengaruhi keputusan ICJ

TERUMBU LAYANG-LAYANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, kehadiran anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Ambalat yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia, penting bagi menyokong tuntutan pemilikan negara terhadap kawasan itu jika ia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan faktor kehadiran rakyat Malaysia di situ tidak dianggap remeh kerana ia bakal mempengaruhi pertimbangan hakim ICJ.

[Keterangan Gambar: PERJELAS SESUATU: Najib berbual dengan wakil media sambil diperhatikan Musa Aman (kanan) ketika melawat Stesen Lima TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah, semalam.]

Hakikat itu, tegasnya, adalah berdasarkan pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan terhadap Batu Puteh, beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang dengan Indonesia berhubung tuntutan berkenaan kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan menerusi rundingan demi keamanan serantau.

"Jika sesuatu tuntutan dirujuk kepada ICJ, satu daripada faktor utama pertimbangan ialah penguasaan sesuatu pulau membabitkan pemilikan atau penempatan rakyat kita untuk menyokong tuntutan itu," katanya pada sidang media selepas melawat Stesen Lima TLDM di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Kelmarin, Najib yang juga Menteri Pertahanan, meninjau operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) di Semporna yang dilaksanakan Angkatan Tugas Bersama (ATB) bagi meningkatkan kemampuan ATM, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Terumbu Layang-Layang adalah antara barisan hadapan TLDM dalam memelihara perairan negara.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan bercadang memanjangkan landasan kapal terbang dan terusan di terumbu itu, masing-masing sepanjang 1,367 meter dan 42 meter bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar selain membenarkan kapal peronda TLDM hampir lebih dekat.

Sementara itu, Najib berkata, kapal selam pertama Malaysia, KD Tun Razak akan dilancarkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Sepanyol pada 8 Oktober ini.


Terumbu Layang-layang merupakan satu tempat yang menarik untuk scuba diving dan rekreasi laut. Cantik, menarik ...

Tuesday, August 12, 2008

OGOS, BULAN KEMERDEKAAN

MERDEKA! MERDEKA!! MERDEKA!!!

Bulan ini adalah bulan yang patut disambut oleh semua warganegara Malaysia dengan meriah. Iaitu sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-51 tahun. Marilah kita beramai-ramai menaikkan dan mengibarkan Jalur Gemilang untuk menaikkan semangat cintakan negara.

Gantikan bendera-bendera yang lusuh dengan yang baru... tak mahal pun, semangat yang membara lebih mahal dari sehelai bendera yang menyatukan kita semua.

Tahun ini sambutan peringkat kebangsaan bakal dilakukan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Dan untuk negeri-negeri pula seperti biasa; di ibu negeri masing-masing. Bagi Negeri Pulau Pinang tahun ini dengar-dengar khabar bakal merayakannya di Queensbay. Satu tempat baru yang cantik di tepi laut bersebelahan dengan Jambatan Pulau Pinang. Dekat dengan Queensbay Mall / Jusco. Untuk kepastian tunggu hari sebenar nanti 31 Ogos barulah tahu dimana yang sebetulnya dan semestinya saya akan melaporkan untuk anda.... tungguuu...

Walaubagaimana pun satu kepastian adalah perbarisan untuk hari tu mestilah melibatkan anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan juga semestinya anggota Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSSTLDM) akan dipanggil / dikerah untuk menjayakannya seperti setiap tahun tanpa gagal. Walaupun kerajaan negeri bertukar tangan tetapi khidmat untuk mempertahankan negara dan negeri tiada kompromi. "Sedia Berkorban".

MERDEKA!

Friday, August 8, 2008

SEAEX THAMAL - tingkatkan kawalan perairan sempadan

KUANTAN 1 Ogos - Latihan bersama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin Malaysia dengan Thailand (Seaex Thamal) berjaya mencapai matlamat dalam meningkatkan kecekapan dan keupayaan pengawalan perairan di sempadan kedua-dua negara.

Panglima Wilayah Laut 1 TLDM, Laksamana Pertama Abdul Aziz Mohd. Dom berkata, antara aspek penting yang diberi penekanan dalam latihan bersama kali ini ialah komunikasi antara kedua-dua pihak.

Menurut beliau, latihan selama tiga hari yang bermula Selasa lalu itu juga bertujuan melahirkan persefahaman bersama terutama dalam bidang perhubungan ketenteraan (komunikasi), persenjataan, masalah pendatang tanpa izin, penyeludupan dan kes-kes berkaitan dadah. ''Latihan ini penting untuk kedua-dua pihak kerana ia membantu meningkatkan persefahaman dan kerjasama dalam menangani pelbagai masalah melibatkan sempadan perairan negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Seaex Thamal 46/2008 di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang dekat sini hari ini. Hadir sama, Panglima Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Madya Kumpanaat Poochareonyos dan Komander Polis Marin Malaysia, Senior Komisioner II, Isa Munir.

Seramai 215 pegawai dan anggota menyertai latihan kali ini dengan melibatkan tujuh buah kapal dari TLDM, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Thailand. Latihan bersama itu bermula dari Songkhla, Thailand dan berakhir di Kuantan sejauh 350 batu nautika.

Abdul Aziz berkata, latihan bersama yang diadakan sejak 1970-an itu adalah penting memandangkan kedua-dua negara sedang berhadapan dengan masalah global terutama isu-isu keganasan. ''Kita tidak dapat menolak kemungkinan berlaku ancaman keganasan yang datang dari perairan kedua-dua negara pada masa akan datang. ''Kita berharap melalui siri latihan yang diadakan dua kali setahun ini dapat meningkatkan kerjasama bagi membantu negara masing-masing menangani masalah di sempadan," katanya.

Beliau menambah, kedua-dua negara memperoleh pelbagai manfaat menerusi latihan bersama itu kerana ia membolehkan anggota yang mengambil bahagian saling mempelajari kaedah baru dan bertukar-tukar maklumat.

Wednesday, August 6, 2008

ELAUN NAVY MASUK

25hb Julai, Anggota Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSSTLDM) di KD Sri Pinang telah dibayar elaun latihan mingguan untuk bulan Jun lepas dan elaun ACT iaitu latihan lanjutan dikira seperti gaji harian berdasarkan gaji permulaan anggota TLDM tetap mengikut pangkat masing-masing. ACT tersebut adalah aktiviti Jalan Lasak di Trong, Perak pada bulan March lepas (lama tu baru dibayar yang aktiviti kat Pantai Merdeka pulak tak tau bila nak dapat…) Tapi kalau boleh dapat awal mesti best-kan macam dulu-dulu paling lewat 18hb dah boleh enjoy...

Elaun dibayar melalui bank askar istilah ini selalu digunapakai untuk Affin Bank. Cuma pi jolok kad keluar duit, tak macam dulu-dulu. Nak ambil elaun kena kawad dulu. Kawad Selaku Terima Gaji. Silap kawad tak dapat gaji... kesian kan? Semua dapat cash-lah waktu tu tapi sekarang dah pakai direct bank in. Kenangan kawad tu pun dah jadi sejarah.

Tapi, itulah… apalah yang diharapkan sangat dengan elaun. Semua tu ibarat satu pemberian yang diterima oleh anggota untuk membantu meringankan beban kewangan anggota yang menghadirkan diri untuk mengikuti latihan.

Berapa? Taklah banyak mana pun. Untuk pengetahuan semua, elaun latihan mingguan adalah dikira berdasarkan jam kehadiran (normally 4 jam). Setiap jam diperuntukkan oleh kerajaan untuk dibayar sebanyak RM5.80 untuk Pegawai dan RM4.00 untuk anggota Lain-lain Pangkat (LLP), Kadet dan Bakal Pegawai. Elaun yg diberi adalah sama untuk semua 3 perkhidmatan dalan Angkatan Tentera Malaysia, seperti Pasukan Simpana Sukarela Tentera Udara DiRaja Malaysia (PSSTUDM), Anggota Wataniah (Tentera Darat) dan termasuk JPA3 (RELA tak tau lah pulak berapa).

Jadi jika dikira seminggu ada 2 kali latihan mingguan iaitu hari Isnin dan Rabu, 8 kali sebulan dan setiap kehadiran adalah 4 jam ini bermakna 4 X 8 X 4 = RM128.00 sahaja. Walau bagaimanapun semua itu adalah berdasarkan kepada keaktifan anggota masing-masing. Yelah kan anggota sukarela… bila free barulah boleh join latihan.

POP - PERAJURIT MUDA

POP atau Passing Out Parade atau juga Perbarisan Tamat Latihan untuk Perajurit Muda (dulu dipanggil rekrut) PSSTLDM di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak Darul Ridzuan pada 16hb Ogos 2008. Sekarang mereka sedang menjalani latihan kawad dan ujian-ujian untuk melayakkan mereka bergelar Laskar Muda selepas ini.

Semua Perajurit Muda PSSTLDM di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dikehendaki melapor diri di sana pada Sabtu, 2hb lepas untuk POP ini. Latihan bermula pada 4hb hingga 15hb dan hari sebenar untuk perbarisan pada 16hb ini.

Dengar kata dari sumber2 yg boleh dipercayai, kali ini POP tak berapa ramai berbanding dengan pengambilan / intake yang lepas-lepas. Dalam seratus dua anggota sahaja....

Tapi tak apa saya mungkin akan kesana pada 16hb nanti untuk melaporkan kepada anda situasi dan keadaan sebenar POP tu nanti. Untuk ibu bapa anggota yang akan tamat latihan, datanglah beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada anak anda yg "Sedia Berkorban" demi negara tercinta dalam memberi sumbangan bakti melalui Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia / PSSTLDM ini.