Friday, April 24, 2009

Paskal kini dikenali KD Panglima Hitam

Pengiktirafan tertinggi untuk pasukan yang banyak berjasa menjaga kedaulatan perairan negara

PANGLIMA Hitam adalah gelaran dianugerahkan kepada pahlawan atau pendekar Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan ilmu batin yang tinggi, handal dalam strategi dan muslihat pertempuran serta bermain senjata, digeruni lawan, kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Sultan dan kerajaan.

[Keterangan Gambar: DEMONSTRASI operasi lengkap peralatan dan pakaian selam Paskal. ]

Mengambil ‘roh’ itu, nama Panglima Hitam diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Kapal Diraja (KD) Panglima Hitam.

Pemilihan nama diilham dan diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, bertepatan dengan ciri dimiliki Paskal, iaitu pasukan elit berkemahiran tinggi dalam medan pertempuran maritim dan menjadi aset kepada TLDM dan negara.

Majlis bersejarah penamaan dan pentauliahan Paskal sebagai KD Panglima Hitam disempurnakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 15 April lalu.

Beliau menyampaikan watikah tauliah berkenaan kepada Pegawai Memerintah KD Panglima Hitam, Kapten Abd Malek Mohd Daud.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Wira Mohammed Nordin dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Dengan pentauliahan itu, Markas Paskal kini dikenali dengan nama KD Panglima Hitam.

Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah menunjukkan setiap Sultan mempunyai pengawal peribadi yang sangat handal dalam pertempuran yang digelar dengan nama itu.

Antara yang terkenal ialah Panglima Hitam (Taiping) atau namanya Daeng Kuning yang menjadi pendekar terbilang pada abad ke-18, Panglima Hitam (Kuala Selangor), Panglima Hitam (Jugra), Panglima Hitam (Muar, Johor) dan Panglima Hitam (Segamat, Johor).

Dalam sejarah Selangor, setiap Sultan yang memerintah mempunyai seorang panglima handal dan sangat setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri baginda, istana dan kerajaan.

Sejarah penubuhan Paskal pula bermula di Pangkalan TLDM Woodland, Singapura yang dikenali sebagai Rejimen Keselamatan. Kumpulan pertama rejimen ini dihantar menjalani latihan di Surabaya, Indonesia pada 1977.

Sekembalinya mereka, anggota ini dikenali sebagai Komando TLDM. Mereka seterusnya dihantar menjalani kursus di Pusat Latihan Peperangan Khas Sungai Udang, Royal Marine Commando United Kingdom dan Basic Underwater Demolition (BUD) SEAL di Amerika Syarikat.

Pada 1981, Markas Paskal berpindah ke Pangkalan TLDM Lumut dan tahun berikutnya perjawatan Paskal diluluskan.

Paskal secara rasminya ditubuhkan pada 1 Oktober 1982, selaras tuntutan kerajaan memperluaskan kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) kepada 200 batu nautika, sekali gus menzahirkan usaha memperkukuhkan tuntutan ke atas kawasan perairan kepulauan Spratly yang menjadi isu tuntutan bertindih.

Pada 1991, kerajaan Malaysia memberi mandat kepada Paskal sebagai Pasukan Penggempur Lawan Keganasan Maritim sejajar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) N0 18.

Majlis pentauliahan dan penamaan Paskal sebagai KD Panglima Hitam juga amat bermakna kerana TLDM akan meraikan sambutan Jubli Intan atau ulang tahun ke-75 penubuhannya, Isnin ini.

Rombongan media dari ibu negara dibawa khas bagi menyaksikan sendiri acara penamaan dan pentauliahan itu melalui Program Sehari Bersama Media di pangkalan berkenaan.

Majlis itu membabitkan perbarisan terdiri daripada empat platun yang mewakili keupayaan serta bidang tugas Paskal, diketuai Komander Ahmad Nazri Abu Hassan.

Platun itu adalah Platun Alfa iaitu platun Tim Antikeganasan Maritim Paskal yang bertanggungjawab dalam operasi menyelamat di kapal dagang dan pelantar minyak milik negara. Mereka dilengkapi sistem perlindungan individu bagi pertempuran jarak dekat.

Platun Bravo membentuk platun kedua yang terdiri Tim Perenang Tempur Oksigen dan Tim Operasi Udara Khas Paskal. Selain mahir dalam taktik penyusupan ke kawasan musuh secara senyap, mereka turut dilatih bagi melaksanakan dan mengumpul data perisikan bagi membantu Tim Gempur.

Platun Charlie pula terdiri Tim Bantuan Paskal yang berperanan memperkasa keupayaan operasi khas Paskal dari barisan belakang, manakala Platun Delta terdiri Tim Peperangan Konvensional yang mendominasi peperangan amfibia Paskal dengan kemahiran gerakan khas di daratan dan penembakan tepat.

Tim ini juga terbabit dalam pelbagai operasi di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk yang terkini berkhidmat di Lubnan.

Keupayaan dan aset Paskal dipertontonkan melalui demonstrasi yang menyingkap arus pembangunan dan transformasi Paskal dari awal penubuhan pasukan elit disegani itu meliputi era 80-an, 90-an sehingga sekarang.

Pada era awal Paskal, pelbagai peralatan dicipta sendiri bagi memenuhi keperluan tugas harian, latihan dan operasi, antaranya penyelam tempur Paskal hanya menggunakan alat selam terbuka `USD Single Set’ dan buluh untuk melaksanakan tugas dan operasi.

Selain itu, batang besi dikenali sebagai S.U.G (Sutarji Underwater Gun) hasil cetusan idea Laksamana Pertama (B) Dr Sutarji Kasmin selaku Pegawai Memerintah ketika itu, turut ditonjolkan. Beberapa inovasi tradisional lain yang dipraktikkan, termasuklah karung guni basah bagi mengurangkan bunyi.

Era 90-an menyaksikan Paskal memasuki ruang lebih yakin untuk muncul setanding dengan pasukan khas luar negara apabila pakaian dan peralatan menyelam diperkemaskan dengan pemakaian `dive liner suit’, yang disesuaikan dengan keadaan cuaca panas serta perolehan alat selam litar tertutup dalam inventori pasukan.

Sesuai dengan pengiktirafan diberikan kepada Paskal, pasukan itu turut menampilkan peralatan selam tempur di alaf baru iaitu peralatan selam litar separa tertutup sebagai persiapan pengoperasian kapal selam yang bakal tiba pada 25 Julai ini.

Selain kelengkapan kemahiran udara, pakaian dan peralatan tempur jarak dekat turut ditonjolkan dan paling mencuri tumpuan adalah pemakaian kelengkapan semasa pasukan itu yang menuju ke era askar masa depan.

Dari segi persenjataan, Paskal menjadi pasukan perintis senjata pistol Glock 17 yang kini diguna secara meluas dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada majlis sama, Abdul Aziz dianugerahkan Beret Kehormat Paskal iaitu orang pertama menerimanya sesudah unit itu ditauliahkan sebagai menghargai sumbangannya meliputi keseluruhan aspek operasi, latihan dan pembangunan Paskal.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, pentauliahan itu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah pengiktirafan tertinggi kepada Paskal yang sudah menabur banyak jasa dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

“Panglima Hitam seorang pendekar yang sangat handal dalam permainan senjata, bijak dalam strategi peperangan, memiliki ilmu kebatinan dan darjah taat setia yang tinggi, sesuai dengan ciri ditunjukkan anggota Paskal yang dilatih khas dengan ilmu peperangan yang tinggi dan menjadi benteng kepada kedaulatan perairan negara,” katanya.

Abdul Aziz berkata, KD Panglima Hitam juga akan dianugerahkan Panji-Panji Pasukan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-75 di Lumut, Isnin ini.

Sumber: Berita Harian Online
Artikel ditulis oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my

CyberCoxswain: Tahniah dan Syabas kepada anggota-anggota KD Panglima Hitam (KDPH). Perjuangan anda diiringi doa oleh seluruh anggota TLDM, PSSTLDM dan rakyat jelata. Bravo Zulu!

No comments: