Tuesday, September 30, 2008

MT BUNGA MELATI 2 - BEBAS

Alhamdulillah sempena dengan sambutan Aidilfitri ini kita mendengar satu lagi berita gembira iaitu kapal MT Bunga Melati 2 milik MISC telah dibebaskan awal pagi tadi selepas lebih sebulan dalam tawanan lanun di perairan Somalia.

Kelmarin kita mendapat berita kapal MT Bunga Melati 5 telah dibebaskan dan hari ini MT Bunga Melati 2 pula. Syukur... semuanya selamat kecuali seorang anak kapal dari Filipina yang terbunuh kerana peluru yang tersasar.

Dengar khabar USD 2 juta telah dibayar oleh MISC kepada lanun untuk pembebasan kedua ini, yang pertama tak taulah pulak berapa yang telah dihabiskan untuk memuaskan nafsu lanun-lanun keparat tu.

Lanun telah berjaya mendapat habuan haram tetapi keselamatan di laut terutamanya di Teluk Aden tetap dan masih belum selamat. Dengan kerajaan Somalia yang tidak begitu "berkuasa" mengawal perairan mereka kegiatan lanun ini akan berleluasa dan bermaharajalela kelak.

Itulah harga yang patut dibayar oleh sebuah negara yang bergolak, keselamatan rakyat tidak terjamin apatah lagi keselamatan pedagang-pedagang yang melalui perairan mereka yang begitu strategik untuk merampas dan melakukan kegiatan samseng laut yang berprofail tinggi.

Tahniah kepada KD Sri Inderapura, KD Lekiu dan KD Pahang dalam operasi mereka. Dengan kehadiran kapal-kapal perang milik TLDM ini menggusarkan pihak lanun untuk pergi lebih jauh.

Alangkah bagusnya kalau lanun-lanun ini dihapuskan sama sekali dibumi ini.

Monday, September 29, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


Salam Lebaran dari saya CyberCoxswain untuk semua pengunjung-pengunjung laman weblog ini. Juga kepada semua anggota-anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja (PSSTLDM) dan PALAPES.

Tidak terkecuali juga kepada perkhidmatan Tentera Darat Malaysia yang meliputi anggota Wataniah, Perkhidmatan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan juga PSSTUDM semoga sama-sama kita mengawasi keselamatan negara sambil menyambut Hari Raya.

Marilah kita meraikan Lebaran kali ini dengan penuh keinsafan dan doa kesyukuran diatas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga kepada kita rakyat Malaysia.

Kepada anggota yang berada diluar negara, bekerjalah dengan penuh tanggungjawab demi negara tercinta. Bagi anggota yang berada di Teluk Aden, bakti anda sentiasa dikenang. Walaupun satu kapal Melati telah bebas, ada lagi satu yang masih berada ditangan lanun di perairan Somalia.

Kepada yang bertugas semasa Hari Raya ini, laksanakan tugas anda dengan cemerlang demi kepentingan negara kerana keselamatan negara tidak boleh dipertaruhkan walau apa pun sambutan perayaan yang diraikan. Lepas ini boleh balik bercuti di kampung masing-masing macam biasa.

"SEDIA BERKORBAN"

Friday, September 26, 2008

TLDM berjaya uji Misil Otomat

IPOH 24 Sept. - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuktikan teknologinya kini berada pada tahap kukuh apabila berjaya menjalankan penembakan Misil Otomat menggunakan sistem Teleguidance 2 di perairan Selat Melaka di Lumut, semalam.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, TLDM berkata, misil itu telah dilancarkan dari platform KD Laksamana Hang Nadim dengan dibantu oleh pesawat Super Lynx MK 100.

Ia berjaya mengenai sasaran permukaan berukuran 40 meter pada jarak kira-kira 60 kilometer (km) dari kapal penembak.

Turut membantu dalam operasi penembakan itu ialah Depot Peluru dan Letupan TLDM Lumut, KD Laksamana Tun Abdul Jalil, KD Jerai, KD Ledang, KTD Sotong dan pasukan penyelam dari KD Duyong.

Penembakan disaksikan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Badaruddin.

Kejayaan tembakan itu membuktikan keupayaan fungsi Misil Otomat pada jarak melebihi ufuk sekali gus menunjukkan peningkatan keupayaan perang TLDM kini berada pada tahap yang baik.

Ujian penembakan yang dijalankan merupakan sebahagian daripada latihan bagi warga TLDM dalam pengendalian misil merangkumi aspek perancangan latihan, penyediaan dan ujian teknikal misil, melaksanakan proses penembakan hingga proses menganalisis data apabila selesai penembakan.

Misil Otomat buatan Itali yang dibekalkan oleh Syarikat Matra Bea Dynamic & Alenia telah berada dalam inventori TLDM sejak 1996.

Misil jenis penembak dari permukaan ke sasaran permukaan berukuran 4.469 meter panjang dengan berat 780 kilogram itu boleh meluncur pada kelajuan 300 meter sesaat dan beroperasi dalam apa juga keadaan cuaca.

Keberkesanan jarak efektif misil untuk memusnahkan sasaran menjangkau 180 km dari platform tembakan.


CyberCoxswain: Yup! mengenai sasaran... tahap kesiapsiagaan TLDM memang tidak boleh dipertikaikan. Always on tip top conditions macam anggota-anggotanya juga.

Tapi orang awam memang tidak boleh nampak semua latihan-latihan navy di laut sebab terlalu bahaya, dan dengan sebab itulah ramai orang awam tidak mengetahui navy ini dengan jelas.

Syabas dan Bravo Zulu! untuk TLDM.

Thursday, September 25, 2008

Anak Kapal TLDM Sambut Raya

Pertandingan 'menitis air mata' atas kapal TLDM

KUANTAN 24 Sept. - Setiap kali menjelang 1 Syawal, satu pertandingan 'menitis air mata' diadakan di kalangan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di perairan negara pada Hari Raya Aidilfitri.

Meskipun pertandingan itu hanya untuk 'suka-suka' namun menurut anak-anak kapal TLDM, ia sebagai dorongan kepada setiap anggota supaya lebih tabah menghadapi suasana beraya di laut tanpa insan tersayang.

Menurut mereka, pertandingan itu sebenarnya sebagai medium untuk menyakat anggota baru yang kebiasaannya menjadi orang pertama menitiskan air mata di atas kapal.

Bintara Muda Md. Shah Ashari, 37, berkata, pertandingan 'menitis air mata' merupakan aktiviti yang diamalkan anggota TLDM sejak sekian lama dan ia amat dinanti-nanti oleh anak-anak kapal yang terpaksa bertugas pada Hari Raya Aidilfitri pertama.

"Pertandingan ini menetapkan mana- mana anggota yang didapati terlebih dahulu menitiskan air mata ketika di atas kapal dianggap sebagai tewas, namun tiada denda atau hadiah disediakan kerana ia sekadar suka-suka.

"Ia mungkin aktiviti remeh tetapi pertandingan ini secara tidak langsung membantu kami menahan diri daripada perasaan sebak dan pilu ekoran berjauhan dengan keluarga semasa ketibaan 1 Syawal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md. Shah yang sudah berkhidmat selama 18 tahun memberitahu, dia hanya berpeluang menyambut Aidilfitri yang pertama bersama keluarga sebanyak tiga kali sepanjang menjadi anggota TLDM.

Namun, katanya, menyambut hari raya di laut menjadi lumrah kepada diri dan keluarganya sejak sekian lama.

"Saya bersyukur kerana isteri dan dua anak perempuan berusia tiga dan satu tahun memahami bahawa suami dan ayah mereka tiada di rumah kerana berjuang untuk negara," katanya.

Sementara itu, Bintara Muda Fairuz Abd. Wahab, 32, berkata, walaupun terpaksa berhari raya di atas kapal pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, namun perkara itu sudah menjadi kebiasaan kepadanya selama bertugas sebagai anggota TLDM.

Jelasnya, walaupun sedih berjauhan dengan keluarga pada hari raya, namun kehadiran rakan-rakan sekerja mengubati kesedihan tersebut.

"Selain pertandingan 'menitis air mata', kami juga akan mengadakan beberapa aktiviti lain seperti menganyam ketupat bagi mengubati rindu kepada keluarga.

"Bagaimanapun, tumpuan kami kepada aspek keselamatan dan kedaulatan negara tidak pernah terabai kerana itu tujuan kami berada di laut ketika Hari Raya Aidilfitri," ujarnya.

Pegawai Waran 2, Mohd. Arif Hama, 34, pula memberitahu, beliau yang diarah bertugas pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini tetap komited menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga.

Menurutnya, walaupun menyedari akan merindui isteri dan anak-anak pada Hari Raya Aidilfitri kelak, namun demi tugas segalanya ditempuhi dengan cekal.

"Perasaan rindu itu sedikit terubat apabila anak-anak kapal yang lain mengeluarkan juadah hari raya yang dibawa oleh mereka selain mengenakan pakaian baju Melayu buat seketika bagi merasai suasana hari raya di atas kapal," katanya.


CyberCoxswain: Itulah bukan senang nak jadi navy ni... banyak yang perlu berkorban, orang lain sibuk dengan raya kita sibuk di laut lepas menjaga sempadan negara, tapi siapa yang tahu.... "Sedia Berkorban"

Tuesday, September 23, 2008

MENTERI PERTAHANAN BARU

Kementerian Pertahanan, Perbarisan Perpisahan Menteri Pertahanan YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak Timbalan Perdana Menteri telah diadakan pada Jumaat 19 Sep 2008.

Beliau yang diiringi oleh Timbalan Menteri Pertahanan, KSU KEMENTAH, Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-Panglima Perkhidmatan. Pegawai-pegawai tentera, pegawai awam, anggota tentera serta anggota awam turut hadir mengiringi YAB TPM.

YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Razak memeriksa Kawalan Hormat oleh Tentera Darat buat kali terakhir beliau di Kementerian Pertahanan. Beliau akan merangkap Menteri Kewangan 1 dan Menteri Pertahanan akan diambil alih oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

SUMBER: Angkatan Tentera Malaysia

CyberCoxswain: Selamat bertukar portfolio kepada YAB Dato Seri Najib dan Selamat Datang diucapkan kepada YAB Menteri Pertahanan yang baru. Semoga Perkhidmatan Tentera mendapat lebih perhatian dan manfaat daripada pertukaran ini (contohnya seperti dari segi kebajikan tentera dan pesara, gaji, elaun-elaun dan sebagainya... hehehe).

Monday, September 22, 2008

Kursus Asas Perajurit Muda / PLAS 2008

Kursus ini dahulunya dikenali sebagai Kursus Asas Rekrut. Semenjak perkataan rekrut diubah kepada Perajurit Muda, maka kini ia dikenali sebagai Kursus Asas Perajurit Muda pula.

Kali kedua untuk kursus yang sama bakal berlangsung pada 27 Oktober depan juga di tempat yang sama iaitu di KD Sri Pinang sebelum base ini dirobohkan untuk pembangunan base baru dan proses pemindahan bakal berlaku selepas sahaja habis kursus ini.

Kursus ini dibuat untuk intake 2008 yang baru menyertai PSSTLDM dan telah berlangsung pada 15hb hingga 19hb September 2008 yang lalu.

Unit yang menghantar pelatih adalah dari KD Sri Manjung dan PSTL Kuantan seramai 42 orang semuanya, tetapi yang hadir berkursus adalah seramai 38 orang sahaja, yang lain bakal menyertainya pada sesi kedua kursus bulan depan.

Pelatih-pelatih diajar asas dalam TLDM seperti Ilmu Kelautan, Akta, Pangkat, Pentadbiran dan juga Damage Control Fire Fighting (DCFF). Ini supaya pelatih-pelatih kursus lebih mengenali tentang TLDM seperti organisasi, pentadbiran dan mengenali pangkat dalam perkhidmatan ini.

Dalam DCFF pelatih diajar mengenai Api, Alat Pemadam Api Kecil (APAK) dan Alat Pemadam Api Utama (APAU) serta praktikal melawan dan memadam kebakaran. Ilmu ini boleh digunakan bukan sahaja dalam navy malah boleh diaplikasi di tempat kerja dan rumah sendiri jika berlaku kebakaran. Beruntung pelatih-pelatih yang mengikuti kursus ini... dapat main air lagi... tapi sayang masa 2 minit yang ditetapkan - TERBABAS sampai lebih 3 minit.

Apa pun selamat berjaya dan jumpa lagi untuk kursus akan datang.

Thursday, September 18, 2008

Eksesais Angsa pamer keserasian TLDM, TUDM

SEBAIK helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat di atas kapal KD Sri Inderapura kepunyaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hati penulis dan rakan-rakan terasa lega.

Bukan apa, ia adalah kali pertama penulis dan rakan media menaiki helikopter buatan Amerika Syarikat (AS) itu, apatah lagi ia perlu mendarat di atas sebuah kapal perang yang sedang membelah Laut China Selatan.

Misinya, melihat sendiri pergerakan Eksesais Angsa Siri 3/2008 yang sedang dilaksanakan bermula 4 hingga 22 Ogos lalu antara TUDM dan TLDM.

Turun saja dari pesawat tersebut, kumpulan media yang dibawa khas itu disambut mesra oleh anak kapal KD Sri Inderapura yang diperoleh daripada Tentera Laut AS pada tahun 1995 itu. Lawatan sehari bersama pihak media itu diketuai Panglima Operasi TUDM yang juga Pengarah Eksesais Angsa Siri 3/2008, Leftenan Jeneral Datuk Rodzali Daud, manakala TLDM diwakili Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Turut hadir ialah Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman. Pihak media diberi penerangan oleh Pegawai Pelaksana KD Sri Inderapura, Komander Anuar Alias mengenai Eksesais Angsa yang pada siri kali ini menggunakan konsep latihan lapangan (FTX).

Ia adalah kesinambungan dari eksesais siri kedua tahun lalu yang menggunakan konsep latihan arahan (CPX).

Latihan pada hari itu merangkumi aspek pertahanan ruang udara, serangan udara ke atas kapal-kapal, latihan anti-keganasan dan juga Combat SAR (mencari dan menyelamat dalam situasi tempur).

Selain dari itu, aspek kawalan dan pemerintahan (command and control) semua unit-unit juga dinilai oleh pihak penilai.

Eksesais itu meliputi kawasan dari Pangkalan Udara Kuantan dan Markas Wilayah 2 TLDM, Tanjung Gelang yang melibatkan perairan Laut China Selatan dan ruang udara sekitar 120 batu persegi.

Sebanyak 12 kapal TLDM terlibat dalam eksesais kali ini iaitu KD Sri Inderapura, KD Lekir, KD Lekiu, KD Tan Pusmah, KD Gempita, KD Ganyang, KD Ledang, KD Jerai, KD Hang Nadim, BTD Sotong dan dua bot CB 90 serta helikopter jenis Super Lynx dan Fennec.

Aset TUDM pula terdiri dari pesawat pejuang F18, MIG 29, Hawk, pesawat pengangkut CN 235, C130 Hercules, helikopter Nuri dan pesawat Beechcraft B200 selain elemen dari Tentera Darat iaitu pasukan 10 Briged Para, Rejimen Gerak Khas (GGK) dan Artileri.

Selain itu, Pasukan Khas TLDM (Paskal) dan Pasukan Khas TUDM (Paskau) turut terlibat dalam siri latihan itu.

Eksesais Angsa sebenarnya adalah gabungan dua eksesais iaitu Keris Mas yang diadakan oleh TLDM dan Angkasa Raya yang dilaksanakan oleh TUDM bermula tahun 2006.

Rodzali ketika sidang media yang diadakan di atas KD Sri Inderapura selepas tamatnya eksesais pada hari itu berkata, selain menilai kesiapsiagaan kedua-dua pasukan, Eksesais Angsa juga diadakan bagi meningkatkan aspek keserasian cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam semua aspek pertahanan maritim itu.

Katanya, ia akan diteruskan pada masa akan datang bagi menilai keupayaan bersama dalam operasi maritim dan udara.

Beliau berkata, latihan bersama itu juga merupakan satu langkah penjimatan kos tanpa mengetepikan keupayaan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan aspek latihan angkatan. “Kalau dulu kita buat dua latihan berbeza tetapi sekarang kita sepadukan menjadi satu latihan yang besar dan lebih berkesan serta menjimatkan malah banyak pengajaran diperoleh,” katanya.

Rodzali berkata, pengurangan kos tersebut juga membolehkan peruntukan yang ada dijuruskan kepada bentuk latihan lain yang turut menjadi kepentingan kepada kesiapsiagaan angkatan.

“Ini juga satu langkah yang membolehkan kita mencari jalan untuk menambah nilai aspek kecekapan melalui latihan terutama antara perkhidmatan,” katanya.

Katanya, kelancaran eksesais itu setiap kali ia diadakan membuktikan kedua-dua angkatan itu amat serasi dan mampu bekerjasama untuk mempertahankan ruang udara dan maritim negara.

SUMBER: Utusan Online

CYBERCOXSWAIN: Tak ada masalah bagi TLDM untuk bekerjasama dengan mana-mana cabang perkhidmatan ATM samada TUDM mahupun TDM dan dengan eksesais diatas telah menunjukkan buktinya. Tujuan kerjasama adalah untuk melihat sejauh mana kesepakatan dalam ATM dan juga semata-mata untuk negara bagi melicinkan urusan perihal keselamatan.

Selain itu masalah hanya timbul apabila tiba untuk kawad kaki. Kawad kaki bagi TLDM ini special sikit dan berlainan dengan TUDM dan juga TDM. Selalunya apabila kontinjen 3 perkhidmatan bergabung untuk berkawad navy akan mengubah stailnya mengikut darat kerana kawad airforce adalah sama dengan army so terpaksalah navy mengalah... tapi no problem bagi navy... tetap macho dan boleh mengikut rentak geng-geng lain.

Wednesday, September 17, 2008

Selamat Hari ATM ke 75

Selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke 75 tahun yang disambut pada 16 September 2008 kemarin.

Semoga semua warga ATM dalam tiga cabang perkhidmatan; Darat (Tentera Darat Malaysia), Laut (Tentera Laut DiRaja Malaysia) dan Udara (Tentera Udara DiRaja Malaysia) sentiasa berada dalam keadaan sejahtera sentosa untuk berbakti dan mempertahankan negara.

Sambutan hari ATM ini juga bersamaan dengan tahun ke 75 Sambutan Jubli Intan TLDM yang jatuh pada 27 April 2008 yang lepas.

"SEDIA BERKORBAN"

Friday, September 12, 2008

TAHNIAH!

Ucapan Setinggi-tinggi Tahniah! kepada warga KD Sri Pinang (KDSP) kerana anggota PSSTLDM-nya telah mendapat perkenan untuk kenaikan pangkat berkuatkuasa 1 April 2008.

Pemangku Bintara Kanan (P/BK)
1. BM PPP Abd Halim Ahmad
2. BM PPP Arshad Senapi
3. BM KMR Azhar Kasin
4. BM KMR Azman Abdul Halim

Pemangku Bintara Muda (P/BM)
1. LK TMK Mohd Zuki Jayaha
2. LK TMK Mohd Fauzi Abd Wahab
3. LK TMK Mohd Zainudin Md. Rashid
4. LK PPP Shah Murad Idris
5. LK KMT Mohd Rosham Yaakob
6. LK TMK Zul Faqer Mohd
7. LK KMT Zamri Abu Bakar
8. LK TMK Zulkifli Lobong

Pemangku Laskar Kanan (P/LK)
1. LKI KMR Habidi Haron

Lama juga diaorang ni menunggu untuk mendapat kenaikan pangkat ini akhirnya dapat jugak. Kenaikan serentak berkuatkuasa pada tarikh yang sama pulak tu... hebat. Tentu sesak senior rate mess.

Tahniah sekali lagi dan jangan lupa.... kenduri pulak KDSP nanti.

Thursday, September 11, 2008

KURSUS LKII CTC & BM CTC PSSTLDM

Kursus dijalankan pada 4hb (lapor diri) hingga 9hb September 2008. Kursus LKII CTC diadakan serentak dengan Kursus BM CTC pada hari dan tarikh yang sama (di bulan puasa pulak tu).

[Keterangan Gambar: Pelatih-pelatih Kursus LKII CTC PSSTLDM bergambar kenangan dengan sebahagian Jurulatih yang ada]

Macam mana kursus boleh bermula pada hari Jumaat pun tak taulah... kalau mengikut jadual asal kursus bermula pada 1 hingga 5hb September, last minute ditukar tarikh. Puas jugaklah Ketua Jurulatih dan para jurulatih merombak semula jadual yang telah disusun.

Seperti biasa kursus-kursus bagi anggota PSSTLDM dijalankan di KD Sri Pinang kerana KDSP merupakan satu-satunya Pusat Latihan PSSTLDM di Malaysia ini dan ianya bertempat di Negeri Pulau Pinang (kalau tak tahu ianya di sebelah pulau). Tempat cantik lagi menarik memang sesuai untuk berkursus.

Walau pun pelatih-pelatih agak ramai kali ini kerana 2 kursus dijalankan serentak pada tarikh yang sama, penginapan dan makan minum untuk pelatih mencukupi dengan semuanya telah disusun dengan baik.

[Keterangan Gambar: Pelatih-pelatih Kursus BM CTC PSSTLDM]

Ada yang datang dari PSTL Chendering, PSTL Kuching (untung diaorang dari east ni... sambil kursus dapat jalan-jalan kat Penang, bukan senang nak dapat, ditaja keseluruhan... untung kan) , KD Sri Manjung, KD Sri Klang dan dari KDSP sendiri. Dekat 50 orang jugaklah semuanya.

Modul latihan untuk Kursus LKII CTC adalah basic saja... peringkat permulaan untuk mengenal dengan lebih dekat organisasi TLDM dan pengetahuan asas tentang Ilmu Kelautan, Pentadbiran, Akta Angkatan Tentera 1972 (undang-undang dalam angkatan tentera), Damage Control Fire Fighting (DCFF... melawan kebakaranlah tu) dan juga Kawad Kaki.

Untuk melawan kebakaran siap dengan praktikal sekali menggunakan hose dan pili bomba cuma api saja yang tak kelihatan. Kali ini pelatih Kursus BM CTC di tugaskan mengajar dan menugaskan (detail anggota) pelatih LKII CTC melawan api. Ini semua untuk melihat samada bakal-bakal PO ni boleh conduct dengan power comand diaorang atau tidak. Hasilnya tidak mendukacitakan.

Kawad kaki pula agak meletihkan kerana ada anggota kursus (LKII) yang langsung tidak tahu berkawad. Puas Jurulatih Kawad (GI) bertempik sampaikan hari terakhir nak balik pun kena buat latihan lagi. Tetapi ada perkembangan untuk aanggota-anggota tesebut.

Minggu depan ada Kursus Asas Perajurit Muda pulak 15 hingga 20hb.

Monday, September 8, 2008

LATIHAN PSSTLDM DI BULAN PUASA

Salam Ramadhan...

Bagi bulan puasa ni aktiviti PSSTLDM tetap diteruskan macam biasa, cuma hari dan jam latihan ditukar untuk memudahkan semua anggota yang terlibat. Di KD Sri Pinang (KDSP) jadual telah dinyatakan dalam white board di pejabat PSS belakang tempat duduk coxswain (juragan) iaitu pada 6, 13, 20 dan 27hb September 2008.

[Keterangan Gambar: Pelatih-pelatih kursus dan anggota PALAPES sedang mengikuti latihan kawad kaki dan kawad pedang tetapi menggunakan pedang kayu jer sebelum dapat pedang sebenar. Itulah kerja Jurulatih Kawad (GI) bulan-bulan puasa pun tetap kena bertempik jugak mengajar kawad.]

Bagi tarikh 6 dan 20hb, latihan bermula pada jam 1400 hingga 2000, iaitu 6 jam latihan. Manakala pada tarikh 13 dan 27hb pula latihan bermula pada jam 0900 hingga 1400, 5 jam latihan. Semua tarikh latihan ini jatuh pada setiap hari Sabtu. Hari Ahad semua anggota yang terlibat bolehlah pergi shopping atau buat persiapan untuk Hari Raya yang bakal tiba atau pun duduk rumah dengan keluarga.

Untuk tarikh 6 dan 20hb, Dato' CO (Kepten Dato' Dr. Mohd Razha Abd Rashid PSSTLDM) telah dengan bermurah hati menyediakan (sponsor) majlis berbuka puasa untuk semua anak buah yang ada di base termasuk pelatih-pelatih kursus dan anggota PALAPES yang membuat latihan kawad di KDSP. Majlis ini bolehlah dikatakan kenduri CO yang kedua sempena dimurahkan rezeki dengan anugerah dan pangkat yang diterima sebelum ini. Alhamdulillah moga-moga Dato' CO dimurahkan rezeki lagi selepas ini.

Pandai CO pilih hari untuk buat kenduri, pahala berlipat kali ganda tu bagi makan orang yang berbuka puasa... dua kali pulak tu, minggu depan sekali lagi (20hb)... sebab tu latihan pada 2 tarikh tu di lewatkan hingga ke petang.

Meriah juga majlis berbuka hari tu sebab ramai orang, dengan lebih 45 orang pelatih kursus LKII CTC, 11 orang pelatih kurusus BM CTC yang mengikuti kursus, lebih 40 orang anggota PALAPES dari USM, anggota PSSTLDM dan regular TLDM... dekat 150 orang jugaklah... penuh galley dengan diaorang ni. Lauk yang dihidangkan malam tu pun menyelerakan (di masak oleh Leading Rosham yang merampas kuasa dari PO Azman yang lambat sampai... habislah PO Man lepas ni...).

Selepas berbuka puasa dengan kurma, kuih dan air, semua anggota muslim termasuk CO bersembahyang jemaah maghrib dahulu di bilik kuliah beramai-ramai sebelum memulakan makanan berat. Alhamdulillah kenyang dan lazat. Training dapat, makan pun dapat... apa lagi mau... dibayar pulak tu.

PEMBETULAN: Terkini 13/09/08, Dato' CO hanya sponsor majlis berbuka puasa pada 6hb sahaja dan untuk 20hb ini anggota PSSTLDM sendiri yang akan menganjurkan majlis tersebut mengikut mess masing-masing di KDSP. Dato' CO turut hadir pada majlis tersebut. Kepada semua anggota PSSTLDM di KDSP Sila hadirkan diri tanpa gagal pada 201400 ini untuk bersama-sama memeriahkan majlis. Terima kasih.

Saturday, September 6, 2008

BLOG PSSTLDM - KD SRI PINANG

Alhamdulillah, syukur....

Blog ini telah berjaya menarik minat dan membantu mempromosikan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan juga KD Sri Pinang kepada ramai rakyat Malaysia dan juga luar negara (world wide).

Dengan pelawat seramai hampir 2,000 orang walaupun baru berusia 4 bulan lebih (pelawat baru dan berulang sehingga catatan ini dibuat), e-mail dari pelawat dan pelbagai pertanyaan umum serta undian yang disediakan mendapat sambutan, ianya cukup membanggakan dan menaikkan semangat saya untuk terus menulis di sini. Terima kasih.

Lagi pun masih banyak aktiviti navy - Royal Malaysian Navy atau TLDM dan PSSTLDM, kehidupan mereka, perjalanan hidup dan lain-lain lagi yang berlaku dalam mahupun luar negara tidak dihebahkan secara umum di media tempatan kalau ada pun sekadar satu ruangan yang kecil sahaja maka saya mengambil peluang ini dengan menjadi wartawan blog sukarela pula... boleh kot? bagi navy ni glamour sikit...

Aktiviti menulis blog ini hanyalah sekadar untuk menghebahkan maklumat umum, berita dan aktiviti setempat mengenai TLDM kepada orang ramai yang meminati dan tertanya-tanya tentang navy di negara kita. Disebabkan navy kurang mendapat publisiti di media tempatan maka ramai orang masih belum mengenali TLDM ini. Macam saya dulu-dulu jugak yang langsung tidak tahu tentang navy... rupa-rupanya macam-macam ada...

Kalau regular navy atau askar laut tetap yang bertugas di kapal, jangan haraplah nak berinternet, telefon dan berhubung macam kita di darat... memang tak dak chance punya. Lebih-lebih lagi geng-geng navy kita yang dihantar ke Teluk Aden sana nun... sama-samalah kita berdoa agar misi TLDM di sana berjaya... tapi rasanya kalau unit Paskal atau Pasukan Khas Laut (macam komando) terlibat memang tak ada masalah punya... dengan "well training" mereka InsyaAllah...

Nasib baik saya di darat dan sebagai anggota PSSTLDM, kami ada banyak ruang dan peluang untuk menulis dan menghebah serta mempromosikan satu sayap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini.

Kepada beliawan dan beliawanis yang bekerja dan tak bekerja serta banyak masa terluang tu lebih baik join navy TLDM atau PSSTLDM, daripada membuang masa dengan benda yang tak berfaedah lebih baik kita menyumbang bakti dalam belajar dan berlatih untuk mempertahankan negara. Disamping dapat mendekatkan diri dengan masyarakat dan menyumbang tenaga melalui aktiviti sukarela, kita dapat mengenali diri dan negara kita sendiri serta memberikan satu pengetahuan dan kehidupan baru yang lebih baik untuk dinikmati.

Melalui undian yang dibuat dalam weblog ini boleh dilihat (bacaan pada 6hb Sept 2008) kunjungan anggota PSSTLDM dan Orang Awam adalah sama banyak iaitu 38%, anggota TLDM 4%, Tentera Darat 1%, Wataniah 5%, Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) 1%, tiada kunjungan dari PSSTUDM, anggota Polis dan Polis Sukarela 1% dan Pesara Tentera 7%.

Seramai 70 orang yang mengambil bahagian dan tarikh tutup masih ada 54 hari lagi untuk mengundi kepada pelawat yang baru mengunjungi laman weblog CyberCoxswain ini. Undilah tuan dan puan.... macam pilihanrayalah pulak.

Dari situ saya boleh merumuskan bahawa bahasa yang digunakan mestilah Bahasa Melayu, tidak terlalu menggunakan Naval Term sangat supaya semua lapisan masyarakat faham, gaya bahasa yang santai, perlu lebih banyak info bergambar dan perlu lebih proaktif dalam menyampaikan berita-berita semasa... tapi lambat sikit takpa kot sebab saya pun sibuk gak dengan tugas hakiki lagi pun ini kan kerja sukarela jer...

Kalau sesiapa yang ada maklumat mengenainya yang berkaitan dan ingin berkongsi dengan pembaca semua, sudi-sudilah mengirimkan kepada saya di cybercoxswain@yahoo.com supaya dapat diterbitkan di sini. 'Sedia Berkorban'

Thursday, September 4, 2008

LANUN @ PIRATES

19hb dan 29 Ogos 2008 adalah sejarah hitam untuk MISC Berhad. Kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 telah ditawan lanun di perairan Teluk Aden berhampiran Somalia dan Yaman. Perairan ini juga berhampiran dengan Arab Saudi, sebuah negara kaya.

Somalia terkenal dengan kebuluran, kemunduran dan merupakan sebuah negara yang masih bergolak dan seperti tidak bertuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tiada pihak berkuasa yang betul-betul berkuasa dalam menjamin keselamatan rakyatnya, khususnya keselamatan di laut. Dari keadaan ini ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan dengan 'meLANUN'.

Dahulu Somalia mempunyai sebuah angkatan laut yang dibantu oleh Rusia dalam melatih tentera dan pemberian dana. Tetapi selepas 1991 semuanya berkubur. Yang tinggal hanyalah sebuah tanah afrika yang masih bertelagah hingga kini. Tidak dinafikan ada kemajuan di situ tetapi ianya tidak menyeluruh kerana tidak mempunyai sebuah kerajaan pusat yang cekap dalam mentadbir seluruh wilayahnya.

Yaman pula sebuah negara yang agak berada jika dibandingkan dengan Somalia. Mempunyai kelengkapan ketenteraan unit Darat, Laut dan Udara yang lengkap. Nama Teluk Aden juga diambil dari nama sebuah tempat di Yaman.

Memang kita tidak boleh mengharapkan Yaman sepenuhnya dalam kes ini kerana ianya berlaku di laut antarabangsa. Tapi itu semua tugas siapa?... dalam menjamin keselamatan lautan untuk perdagangan... dan di mana badan dunia?... yang hebat dalam menangkis serangan lanun / menceroboh negara yang berdaulat...

Malaysia boleh menghantar kapal TLDM untuk mengiringi kapal-kapal MISC semasa melalui perairan yang 'panas' diluar sana, tetapi itu semua tugas TLDM-kah? Bagaimana pula dengan perairan kita...

Pasukan Khas ATM telah dibentuk untuk menyelesaikan masalah ini dengan menghantar 2 biji kapal perang TLDM dan anggota Paskal pada Sabtu lalu atas arahan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Abdul Aziz Zainal ke sana dalam memantau perkembangannya disamping pihak MISC berunding dengan lanun untuk membebaskan kapal dan anak-anak kapal berkaitan.

Terkini

Hari ini (4hb September) Timbalan Perdana Menteri (juga Menteri Pertahanan), Datuk Seri Najib Razak menyatakan akan menghantar sebuah lagi kapal jenis OPV, KD Pahang dan bakal berlayar pada bila-bila masa bagi membantu KD Lekiu dan KD Inderapura dalam operasi ini. Kini kapal-kapal terbabit berada di perairan Maldives dan dijangka tiba di Teluk Aden dalam 3 hingga 4 hari lagi.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang baru merayakan sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-51 tahun dengan meriah patut bersyukur dengan kemakmuran, kestabilan dan keamanan dalam negara. Marilah kita berdoa agar mereka semua yang ditawan lanun selamat kembali ke tanahair dan lanun keparat dihapuskan. Amin.

Wednesday, September 3, 2008

TLDM hantar pasukan khas lindungi anak kapal MISC

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam menghantar pasukan khas ke Teluk Aden di Yaman dan Somalia bagi melindungi empat kapal MISC Bhd yang sedang berlayar di perairan teluk itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pasukan itu akan mengiringi kapal berkenaan bagi mengelak serangan lanun. “Keutamaan kita ialah menjaga keselamatan kelasi dan kapal kita,” katanya selepas melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Eastar keluaran Chery Automobile Sdn Bhd di sini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas perkembangan terkini kes rampasan dua kapal MISC di Teluk Aden dan kini masih ditahan lanun di perairan itu. MT Bunga Melati Lima bersama 41 anak kapal, termasuk 36 rakyat Malaysia dan lima lagi Filipina ditawan lanun pada Jumaat lalu di luar pantai Yaman.

Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati Dua yang membawa 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia ditawan lanun di luar pantai Somalia.

Najib berkata, MT Bunga Melati Dua kini berlabuh di bandar Garacad, Somalia, kira-kira 4.5 batu nautika dari pantai, manakala MT Bunga Melati Lima di bandar Eyl, Somalia, kira-kira enam batu nautika dari pantai. Beliau berkata, kedua-dua kapal berkenaan berada pada jarak 40 batu nautika antara satu sama lain.

“Setakat ini rundingan sedang berjalan dengan pihak perampas dan belum ada sebarang penyelesaian dicapai. Kita yakin komunikasi dengan kapal MT Bunga Melati Lima akan dapat dibuat lewat petang ini (semalam),” katanya.

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan terbabit dengan rundingan membayar wang tebusan, sebaliknya ia dilakukan MISC. “Kita akan mengikut peraturan dan lunas undang-undang antarabangsa,” katanya. Najib juga berkata, MISC wajar mempertimbangkan untuk mengubah laluan kapalnya berikutan Teluk Aden terlalu bahaya kerana dipenuhi lanun hinggakan kapal milik negara lain turut dirampas.

Sementara itu, MISC dalam satu kenyataannya menjelaskan syarikat itu menghentikan serta merta pelayaran semua kapalnya ke Teluk Aden sehingga langkah keselamatan tambahan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan semua kapal dan anak kapalnya.


CyberCoxswain: Lagi satu kapal tangki malaysia dirampas lanun, apa nak jadi dengan perairan Teluk Aden ni... dah tak selamat ke perairan tu dan tak kan tiada kawalan keselamatan langsung disitu? Mana perginya navy Somalia, Yaman dan lain-lain navy kat situ?

Ada sorang pembaca blog ini komen "dimana Datuk Seri Najib dan kenapa tidak dihantar paskal / komando laut kita ke sana?" Jawapannya... Malaysia boleh menghantar navy / Paskal kesana anytime tetapi itu diluar perairan kita dan kita pula bukan macam Amerika yang senang-senang ceroboh negara orang. Bertenang dan berfikir secara rasional. Langkah-langkah penyelesaian telah diambil oleh pihak yang berwajib. Diharap waris-waris bersabar menunggu berita dari kerajaan dan MISC, InsyaAllah mereka selamat.

Tuesday, September 2, 2008

MALAYSIA 51 TAHUN MERDEKA

Kita sebagai rakyat Malaysia meraikan dan merayakan Sambutan Perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia kali yang ke-51 tahun pada 31 Ogos 2008 kemarin. Seluruh negara mengadakan aktiviti perbarisan sempena dengannya.

[Kenterangan Gambar: Antara anggota PSSTLDM yang sempat bergambar kenangan di Queensbay sebelum berjalan lalu, boleh nampak Jambatan Pulau Pinang di belakang.]

Tidak terkecuali Negeri Pulau Pinang di mana tempat terletaknya KD Sri Pinang. Walaupun kerajaan negeri telah bertukar tangan sambutan ini tetap dijayakan dengan sebaiknya.

Sambutan orang ramai agak kurang meriah jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas. Pentas VVIP yang menempatkan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama Dr. Hj. Abdul Rahman Bin Hj. Abbas juga agak kecil. Mungkin kurang peruntukan atau ada sebab lain... hanya kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sahaja yang boleh menjawab.

Lebih 10,000 orang terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan di Queensbay. Berhadapan dengan Queensbay Mall Penang, semua kontinjen berjalan lalu dengan penuh semangat dan segak bergaya. Tidak terkecuali kontinjen dari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dengan kekuatan anggota seramai 60 orang meliputi staf regular TLDM, PSSTLDM dan PALAPES Laut dari USM.

[Keterangan gambar: Awal-awal lagi geng-geng navy dah sampai di Queensbay tapi tak berapa berani nak duduk-duduk atas batu kat tepi laut tu... takut seluar kotor. Putihlah katakan... Indahkan suasana pagi Merdeka di Queensbay?]

Pakaian pada hari itu adalah Putih / 2 Alfa (raptai tempohari adalah Biru / 2 Bravo), kasut potong dan tidak membawa senjata. Memang enjoy... free and easy... tapi berpeluh jugak.

Kali ini Kontinjen TLDM diketuai oleh LT Zolkefli Bahador PSSTLDM, seorang membawa 'playcard' Tentera Laut DiRaja Malaysia, seorang membawa bendera negeri, seorang bendera Malaysia, Jalur Gemilang dan seorang lagi bintara membawa navy ensign. Diikuti dibelakang oleh seramai 42 anggota yang terdiri daripada PALAPES dan anggota Lain-lain Pangkat (LLP).

Seperti yang telah diberitahu sebelum ini ada "lintas hormat udara" oleh pesawat boeng dan airbus; pada hari itu ada lebih kurang 3 biji yang melintas atas kepala. Memang sempoi!

Selain navy, ada kontinjen airforce, army, polis dan bomba disitu. Masing-masing berkenal-kenalan antara satu sama lain. Maklumlah nak jalan lambat lagi... sempat sembang-sembang dulu tepi laut. Apa pun jumpa lagi merdeka tahun depan.

Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!