Monday, September 26, 2011

Colombia: Kapal Selam Kayu

KAPAL selam buatan sendiri yang dtemui pada Jumaat lalu dipindahkan dari pelabuhan Buenaventura, Colombia pada Sabtu lalu.

Kapal selam buatan kayu ditemui

MAYORQUIN - Polis di barat daya Colombia merampas sebuah kapal selam buatan sendiri dekat pelabuhan Buenaventura, pada Jumaat lalu.

Kapal selam yang dirampas itu adalah milik kumpulan pemberontak komunis, Pasukan Bersenjata Revolusi Barisan Ke-29 (FARC).

Pihak berkuasa Colombia menyatakan bahawa kapal selam itu mungkin digunakan untuk membawa tujuh tan kokain secara haram ke pelabuhan-pelabuhan di Amerika Tengah.

Menurut seorang pegawai polis, Jeneral Luis Alberto Perez Alvarado, kapal selam itu kemungkinan salah sebuah yang terbesar pernah dirampas oleh pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu.

SEORANG anggota polis memeriksa sebuah kapal selam buatan sendiri dekat pelabuhan Buenaventura, Colombia pada Jumaat lalu.

Menurutnya, kapal selam itu masih belum membuat selaman yang pertama.

Kapal selam itu sepanjang 16 meter dan diperbuat daripada kayu dan gentian kaca.

Ia boleh membawa sehingga 10 tan dadah kokain dan lima orang anak kapal.

Sumber : Kosmo! Online

CyberCoxswain : Kemahiran yang disalahgunakan...

Monday, September 19, 2011

KD Pari hampir tenggelam

KAPAL KD Pari inilah yang kini dalam keadaan separuh tenggelam di Jeti Pulau Layang-layang, Sabah.

Kapal peronda TLDM hampir tenggelam di perairan Sabah

KUALA LUMPUR – Sebuah kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pari separa tenggelam apabila bilik jentera utamanya bocor dinaiki air setelah salah satu daripada shaft kapal tersebut tertanggal.

Kejadian itu berlaku pada pukul 2.53 petang Khamis lalu semasa kapal itu baru sahaja keluar dari Pulau Layang-Layang untuk melakukan rondaan di perairan Gugusan Semarang Peninjau di perairan Sabah.

Bagaimanapun, kesemua sembilan pegawai dan 27 anak kapal jenis Fast Attack Craft-Gun itu terselamat.

Pegawai Perhubungan Awam Markas TLDM, Leftenan Komander Masliza Maaris dalam kenyataan di sini semalam berkata, tindakan pantas serta kecekapan Pegawai Memerintah dan anak-anak kapal itu berjaya merapatkan kapal itu di Jeti Pulau Layang-layang.

“Setelah merapat, kapal itu berada dalam keadaan separa tenggelam akibat daripada kadar kemasukan air yang lebih deras berbanding dengan keupayaan mengeluarkan air dari kapal, walaupun dengan menggunakan beberapa buah pam mudah alih,” katanya.

Sumber : Kosmo! Online

CyberCoxswain : Malang tak berbau... teringat semasa kursus melawan kebanjiran di sekolah NBCD dulu.

Thursday, September 15, 2011

Berkorban demi keselamatan negara

ANAK kapal KD Terengganu turut meraikan Aidilfitri walaupun berada di atas kapal demi menjaga kedaulatan perairan negara. - Gambar RUSHDI SALLEH

MUNGKIN ramai yang tidak sanggup jika ditawarkan bekerja pada hari raya. Namun bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bekerja pada hari raya merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul mereka.

Walaupun sedih beraya di perbatasan, mereka bangga dapat berbakti kepada negara yang tercinta dan memahami tugas mengawal keselamatan perairan negara daripada ancaman musuh perlu diutamakan.

Sebagai anggota TLDM, mereka bersedia berkorban perasaan dan nyawa demi negara pada bila-bila masa sahaja apabila dikehendaki.

Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa, sudah tentu terdetik perasaan sayu di sanubari mereka apabila terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh daripada keluarga tersayang di kampung halaman.

Bagi Pegawai Pemerintah Kapal Diraja (KD) Terengganu, Komander Badarudin Taha, beliau amat berbangga kerana yakin dengan pengorbanan anggota TLDM membolehkan rakyat negara ini beraya dengan aman.

"Rakyat Malaysia boleh yakin dan beraya dengan gembira kerana ada orang yang menjaga sempadan negara daripada anasir-anasir luar.

"Mereka boleh tidur dengan lena dan tidak perlu berasa takut dengan keselamatan mereka. Dengan adanya TLDM, insya-Allah negara kita akan aman," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagi Leftenan Komander Mohd. Asrul Asnan, dia tetap berasa bangga walaupun terpaksa belayar di tengah laut pada Hari Raya Aidilfitri demi tugas menjaga keamanan negara.

"Anggota TLDM dikehendaki membiasakan diri dengan keadaan ini kerana keamanan negara adalah keutamaan kami.

"Kami sanggup melakukan pelayaran pada Hari Raya Aidilfitri kerana ini merupakan tanggungjawab kami sebagai warga TLDM," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tetap sedih jika mengenangkan isteri dan anak-anak di rumah.

"Siapa yang tidak sedih beraya jauh daripada keluarga namun demi negara yang tercinta saya kena tabahkan hati," katanya.

Bagi Laskar Kanan Zainal Abidin Majid yang sudah berkhidmat selama 13 tahun, menyambut hari raya di laut menjadi lumrah kepada diri dan keluarganya sejak sekian lama.

"Saya bersyukur kerana isteri dan dua anak saya memahami bahawa suami dan ayah mereka tiada di rumah kerana berjuang untuk negara," katanya.

Dia yang sudah tujuh kali beraya di atas kapal memberitahu, dia tidak kisah beraya jauh daripada keluarga asalkan rakyat negara ini dapat hidup dengan aman dan damai.

Sementara itu, Leftenan Komander Syameer Osdor berkata, walaupun terpaksa berhari raya di atas kapal, ia sudah menjadi kebiasaan kepadanya selama bertugas sebagai anggota TLDM.

Jelasnya, walaupun sedih berjauhan dengan keluarga pada hari raya, kehadiran rakan-rakan sekerja mengubati kesedihan tersebut.

"Untuk mengubati kesedihan itu kami akan mengadakan beberapa aktiviti seperti menganyam ketupat bagi mengubati rindu kepada keluarga.

"Bagaimanapun, tumpuan kami kepada aspek keselamatan dan kedaulatan negara tidak pernah terabai kerana itu tujuan kami berada di laut pada Hari Raya Aidilfitri," ujarnya.

Pegawai Waran 1, Abdul Khanis Yahya pula memberitahu, dia sudah tidak kisah apabila diarahkan untuk beraya di atas kapal.

"Namun saya tetap komited menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga," katanya.

Menurutnya, walaupun menyedari merindui isteri dan anak-anak pada Hari Raya Aidilfitri, demi tugas segalanya ditempuhi dengan cekal.

"Perasaan rindu itu sedikit terubat apabila anak-anak kapal yang lain mengeluarkan juadah hari raya yang dibawa oleh mereka selain mengenakan pakaian baju Melayu buat seketika bagi merasai suasana hari raya di atas kapal," ujarnya.


CyberCoxswain: Pengorbanan yang tidak sia-sia. Syabas dan Selamat Hari Raya kepada semua anggota TLDM dan PSSTLDM. Sedia Berkorban!

Tuesday, September 13, 2011

Dua kapal tangki berlanggar di perairan Tioman

KEADAAN kapal MT Cendanawati yang rosak akibat dilanggar sebuah kapal lain berhampiran Pulau Tioman kelmarin.

KUANTAN - Seramai 19 krew dan seorang kapten yang menaiki kapal tangki minyak, MT Cendanawati berdepan pengalaman cemas apabila dirempuh sebuah kapal tangki yang lebih besar kira-kira lapan batu nautika dari Pulau Tioman kelmarin.

Kejadian yang berlaku di antara pukul 3.30 hingga 3.45 pagi itu menyebabkan kapten kapal dari Indonesia itu cedera ringan di kepala dan tengkuk manakala anak kapal lain selamat.

Pengarah Operasi Wilayah Maritim Malaysia (APMM) Timur, Kepten Maritim Syd. Mohd. Fuzi Syd. Hasan (gambar kecil) berkata, ekoran perlanggaran itu, kapal MT Cendanawati yang dalam pelayaran dari Thailand ke Indonesia hampir karam kerana mengalami kebocoran enjin serta rosak di bahagian belakang.

"Kapal yang melanggarnya iaitu MT Cosmic 10 pula dipercayai terus berpatah balik ke Pulau Batam tanpa membantu anak kapal MT Cendanawati," ujarnya pada sidang akhbar di Pejabat APMM di Indera Mahkota di sini semalam.

Syd. Mohd. Fuzi memberitahu, siasatan awal mendapati, kapal MT Cendanawati menghubungi kapal MT Cosmic 10 melalui radio pada pukul 3.30 pagi untuk memberitahu mahu menukar haluan ke kiri dari arah utara bagi mengelak perlanggaran, tetapi tidak dijawab.

"Berikutan itu, kapal MT Cendanawati telah memberi isyarat lampu hijau kepada MT Cosmic 10. Namun, kapal yang dipercayai berasal dari Indonesia itu tidak menerima isyarat itu menyebabkan perlanggaran berlaku," katanya.

Ujarnya, anak kapal MT Cendanawati bagaimanapun telah diselamatkan oleh sebuah kapal dagang, Lady Anyvisia sebelum pihak APMM tiba di tempat kejadian.

"Siasatan berhubung kejadian diserahkan kepada Jabatan Laut manakala Jabatan Alam Sekitar juga sudah dimaklumkan untuk menyiasat kemungkinan berlaku pencemaran akibat perlanggaran dua kapal tangki itu," katanya.

Sementara itu, kapten kapal MT Cendanawati, Dadi Suyadi, 45, berkata, kejadian selama 15 minit itu menyebabkan semua anak kapal menjadi cemas apabila kapal mereka yang berukuran 88.6 meter panjang itu mula dimasuki air.

"Mujurlah sebuah kapal dagang menyedari perlanggaran itu dan membantu menyelamatkan kami," katanya.


CyberCoxswain: Kelalaian manusia yang boleh dielakkan. Sebab itu di setiap kapal navy ada petugas look-out bagi memastikan keadaan selamat untuk pelayaran.

Friday, September 9, 2011

Semangat satria anak kapal KD Pahang

DR. Abdul Latiff Ahmad (baju merah) bersama Mohammad Rosland Omar (kanan) mencedokkan lauk kepada anggota TLDM yang bersahur semasa belayar dari Labuan ke Pangkalan TLDM di Sepanggar, Sabah baru-baru ini.

LAZIMNYA bagi yang berpuasa, pada sebelah petang mereka akan ke bazar Ramadan bersama keluarga untuk memilih dan membeli juadah berbuka. Sementara pada hujung minggu pula, akan ke pusat beli-belah untuk membeli kelengkapan sambutan Aidilfitri.

Suasana itu amat indah. Lebih-lebih lagi apabila pusat beli-belah turut menghiburkan pengunjung dengan memasang alunan merdu lagu-lagu raya. Ia penuh kenangan manis dan nostalgia, walaupun lagu-lagu malar segar itu diulang berkali-kali, langsung tidak terbit perasaan jemu atau muak.

Sebaliknya, perasaan keterujaan menunggu kehadiran 1 Syawal semakin membuak-buak. Sedari atau tidak, tatkala kita semua bergembira, terdapat sekumpulan manusia mulia, lagi istimewa yang sanggup mengorbankan kesemuanya itu.

Malah mereka dengan penuh komited, jujur dan ikhlas sedia mempertaruhkan nyawa masing-masing demi menjaga keselamatan negara dan rakyatnya daripada sebarang ancaman musuh.

Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di atas kapal ronda generasi baru (NGPV) Kapal Diraja (KD) Pahang, tanggungjawab mereka amat besar yang melangkaui jarak samudera sehingga 200 batu nautika meliputi perairan Sabah dan Sarawak.

Mereka bukan sahaja menjaga keselamatan tetapi turut diamanahkan untuk melindungi aset negara, khususnya kawasan simpanan minyak dan gas yang nilainya mencecah trilion ringgit di perairan negara di Laut China Selatan.

Baru-baru ini, media diberikan peluang menaiki KD Pahang bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad untuk sama-sama berlayar dari Labuan ke Pangkalan TLDM di Sepanggar.

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Datuk Mohammad Rosland Omar dan Komander KD Pahang, R. Chandra Sehgaran, pihak media turut berkesempatan bersahur dengan warga kapal peronda itu.

Walaupun terpaksa bersengkang mata menjaga perairan negara, para hulubalang negara itu langsung tidak menunjukkan sebarang riak keletihan. Sebaliknya mereka begitu bersemangat lebih-lebih lagi apabila tetamu kenamaan sudi bersahur dengan mereka sambil bertanya khabar.

Chandra berkata, disiplin tinggi tetap ditunjukkan oleh anak-anak kapalnya menjalankan tugas walaupun mereka sedang menjalankan ibadah puasa.

"Saya amat bangga dengan komitmen mereka. Hubungan kami semua juga amat rapat seolah-olah berada dalam sebuah keluarga besar.

"Mereka yang beragama Islam dibenar dan digalakkan mengadakan solat tarawih, bersahur dan berbuka puasa secara berjemaah," katanya.

KD Pahang merupakan kapal perang sepanjang 91.1 meter, berkeluasan 12.85 meter dan dapat mencapai kelajuan maksimum 21 knot sera ketahanan beroperasi selama 21 hari tanpa henti.

Kapal itu juga menjalankan tugas dalam dua keadaan. Semasa aman ia mengawasi kawasan perairan negara, mencari dan menyelamat, latihan menghadapi konflik serta latihan bersama tentera laut negara luar.

Ketika keadaan konflik pula, kapal berkenaan meliputi tugas membuat peninjauan dan pengawasan, pertahanan pangkalan, bantuan terhadap operasi darat dan sebagai kapal pengiring.

KD Pahang juga merupakan kapal bestari yang meliputi keanggotaan minimum dan dilengkapkan dengan sistem berkomputer.

Dalam pada itu, selain memastikan fizikal anak kapal KD Pahang sentiasa mantap bagi menghadapi sebarang kemungkinan, mereka juga tidak melupakan kepentingan kekuatan rohani.

Menurut 'Imam' KD Pahang, Leftenan Komander Mohd. Syukri Hassim, 29, setiap kali belayar anak-anak kapal akan solat tarawih berjemaah di hangar kapal peronda itu, selain turut mengadakan majlis tahlil sekurang-kurangnya sebulan sekali semasa berlayar.

"Kami bertuah kerana mempunyai komander yang amat prihatin. Tuan Chandra selalu mengingatkan anak-anak kapal supaya memantapkan amalan agama masing-masing termasuk solat tarawih dan lima waktu berjemaah bagi yang beragama Islam.

"Malah kadang-kadang apabila ada bilal baru melaungkan azan yang mungkin pitchingnya lari sedikit, beliau akan merujuk saya kerana dikhuatiri berlaku kesilapan," katanya yang baru melangsungkan perkahwinan tetapi tidak dapat beraya bersama isteri kerana tuntutan tugas yang lebih besar.

Sementara itu, salah seorang daripada dua kuntum bunga di atas kapal itu, Leftenan Hazirah Samsuddin, 22, tidak menafikan perasaannya agak sedih apabila berjauhan daripada keluarga dan ia semakin ketara pada Ramadan dan Syawal.

"Tipulah jika tidak sedih tetapi apabila mengenangkan tanggungjawab besar terhadap negara yang dipikul, perasaan itu hilang dengan sendirinya.

"Sebaliknya saya amat berbangga kerana dapat menyumbang bakti dan jasa kepada negara, ia bukan perkara main-main kerana bukan semua rakyat negara ini berpeluang melakukannya," kata anak gadis dari Chemor, Perak itu dengan penuh semangat.


CyberCoxswain : Sedia Berkorban!