Thursday, July 15, 2010

KD Tun Razak tiba di Teluk Sepanggar

2010/07/15

KOTA KINABALU: Kapal selam kedua negara KD Tun Razak selamat tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, dekat sini hari ini.

Ketibaan KD Tun Razak disambut Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan warga TLDM.

KD Tun Razak yang dikendalikan 32 anggota tentera laut yang telah mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Perancis pada 30 April lepas dan mengharungi 7,063 batu nautika sebelum sampai ke tanah air.

Kapal selam kedua itu dilengkapi sistem pelancar torpedo, misil dan periuk api serta mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Berucap pada majlis sambutan itu, Ahmadshah berkata kehadiran KD Tun Razak mampu meningkatkan keupayaan TLDM melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Bagi menjamin kedaulatan perairan negara yang luas, TLDM memerlukan lebih banyak aset yang efisien dan canggih, dan kapal selam adalah aset strategik tercanggih dikendalikan TLDM masa kini, katanya.

Selain KD Tun Razak, beliau berkata pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar turut menempatkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, sejak September tahun lalu. - BERNAMA

Sumber: Bernama

CyberCoxswain: KD Tunku Abd Rahman dah dapat kawan. Kalau kapal biasa dipanggil 'she', kategori kapal selam ni nak panggil apa yek? got an idea guys...

note; Teringat kes kemalangan lepas...

Tuesday, July 13, 2010

Ensign - Separuh Tiang

Ajal 5 Sekeluarga

KOTA KINABALU: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama empat ahli keluarganya yang dalam perjalanan untuk menyaksikan ketibaan kapal selam kedua negara, KD Tun Abdul Razak maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Simpang Ladang Reka Halus Jalan Sandakan-Telupid, Sandakan, petang kelmarin.

Lebih menyayat hati, seorang daripada mangsa, Nurdell Asniera Haniesah Haidir, 8, ditemui dalam keadaan ngeri dengan kepalanya terputus akibat tersepit di bawah lori tangki membawa minyak kelapa sawit itu.

Difahamkan, pemandu kereta itu, Mohd Ariffin Lakin, 24, yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, dan masih bujang dipercayai mahu membawa keluarganya menyaksikan kapal selam kedua negara yang dijangka tiba Khamis ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 6 petang itu, Proton Iswara dipandu Mohd Ariffin bertembung dengan lori tangki minyak sawit menyebabkan dia dan empat penumpang di dalamnya tersepit sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Keluarga Mohd Ariffin yang turut terbunuh ialah adiknya, Rusid Lakin, 33, ibunya, Sapura Abdullah, 52, adiknya, Hasnah, 15, dan anak saudaranya, Nurdell Asniera.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan V Shivanathan berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Mohd Ariffin yang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya bertembung lori tangki berkenaan dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu menyebabkan semua penumpang Proton Iswara tersepit di dalam kenderaan yang remuk teruk itu sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 49 tahun hanya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Beluran,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian menjadi punca kemalangan itu.

“Semua mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan,” katanya.

Shivanathan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.14 petang dan menghantar sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi.

Sumber: MyMetro - Harian Metro Online

CyberCoxswain: Innalillahiwainna ilaihirojiuun... semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Semua orang exited nak tengok kapal selam lebih-lebih lagi anggota TLDM/PSSTLDM sendiri (walau pun orang cakap "...hari-hari dah tengok kapal takkan nak tengok kapal lagi?.." tapi itulah... malang memang tak berbau.

Berhati-hatilah di jalan raya untuk keselamatan kita bersama.

Al-Fatihah.

Friday, July 2, 2010

Kapal selam KD Tun Razak tiba di perairan negara

KAPAL selam Scorpene kedua negara, KD Tun Razak tiba di perairan negara dari Sepanyol semalam.

KUALA LUMPUR - Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di perairan negara semalam dari limbungan pembinaannya di Madrid, Sepanyol.

Kapal selam jenis Scorpene yang dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 8 Oktober 2008 itu kini dalam perjalanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk sambutan rasminya hari ini.

Menurut kenyataan TLDM, sambutan rasmi pada sebelah petang akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

KD Tun Razak dinamakan bersempena Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu atas sumbangannya kepada kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.

KD Tun Razak yang dikendalikan 31 kru bergerak menggunakkan diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. - Bernama

SUMBER: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Selamat Datang... Welcome Aboard!

Thursday, July 1, 2010

Isu pembelian Scorpene tidak perlu ke SPRM

01/07/2010 1:41pm

BANGI 1 Julai - Isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya, malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira satu bilion euro pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Pembelian dibuat mengikut apa yang ditetapkan prosedur, semua langkah diikuti sebaik-baiknya," katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ekspedisi 1Malaysia ke Kota London di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Perlukah nak libatkan SPRM?... mungkin mereka ini perlukan lebih penjelasan agar "kerahsian" yang didakwa - terungkai.

SPRM perlu bekerja lebih masa untuk menyelesaikan semua masalah yang melibatkan negara dan kepentingan awam yang dilaporkan. Termasuk juga masalah matematik yang melibatkan komisen 20% dari 1 bilion?... (rasanya dalam bisnes 20% adalah komisen yang biasa digunapakai, tak taulah pulak kalau diaorang 'up' lebih)