Friday, July 29, 2011

Peluru berpandu di kapal peronda TLDM

KD Kedah akan dilengkapi dengan lapan peluru berpandu anti kapal permukaan tahun depan
.
KUALA LUMPUR 26 Julai - 'Taring' Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka bertambah tajam mulai tahun depan, kerana dipercayai semua enam kapal ronda generasi baru (NGPV) dari jenis KD Kedah, akan dipasang dengan peluru berpandu anti kapal permukaan.

Sumber Pertahanan memberitahu Utusan Malaysia, bajet untuk pembelian peluru berpandu itu akan dimasukkan dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi Kementerian Pertahanan, yang akan dibentang kepada Kabinet Oktober ini.

Difahamkan, dua jenis berpandu anti kapal sedang dipertimbangkan untuk dipasang iaitu jenis Exocet 40 Blok II, yang mampu memusnahkan kapal musuh sehingga jarak 70 kilometer (km) dan Naval Strike Missile (NSM), yang mempunyai jarak membunuh sejauh 180 km.

Namun, dipercayai TLDM telah memilih peluru berpandu NSM untuk dipasang pada kapal tersebut dan jika diluluskan oleh kerajaan, setiap satu kapal KD Kedah akan dilengkapi dengan lapan peluru berpandu anti kapal dari jenis itu, kerana saiznya lebih kecil berbanding Exocet.

"Kita memilih untuk memasang semua kapal ini dengan peluru berpandu anti kapal permukaan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan peluru berpandu pertahanan udara. Jika kita memilih untuk memasang kedua-dua jenis persenjataan ini, kosnya terlalu tinggi.

"Sebelum ini semua kapal dari jenis KD Kedah walaupun canggih tetapi hanya dilengkapi dengan meriam utama dan sekunder sahaja kerana konsep pembinaannya adalah 'fitted for but not with'. Jadi, kita fikir sudah sampai masanya kapal ini dilengkapkan dengan peluru berpandu.

"Keputusan untuk memasang peluru berpandu ini selaras dengan kehendak TLDM. Memandangkan semua kapal ini dipertanggungjawab untuk meronda perairan negara maka, menjadi keperluan untuk aset ini dibekal dengan peluru berpandu," katanya.

Kapal ronda dari kelas KD Kedah adalah lambang kepada usaha berdikari industri pertahanan Malaysia, yang dibina berasaskan kapal Meko A-100, hasil kerjasama antara syarikat pertahanan tempatan, Boustead Naval Shipyard dengan syarikat Jerman.

Kapal moden tersebut dibina dengan mengaplikasikan konsep modular, menyebabkan ia boleh ditingkat upaya pada bila-bila masa tanpa perlu mengambil masa yang lama.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: InsyaAllah, mudah-mudahan menjadi kenyataan demi memperkuatkan lagi armada kita.