Monday, November 30, 2009

Strategi baru atasi ancaman lanun

Ahmad Zahid meninjau persiapan di Kaunter Airbus menjelang Pameran Antarabangsa Lima '09 di Dewan MIEC di Langkawi, semalam.

Negara jiran diminta berkongsi kekuatan maritim kawal keselamatan perairan

LANGKAWI: Semangat kejiranan antara negara perlu diberikan fokus utama dalam mengadakan kerjasama memantau dan mengawal perairan berbanding kecenderungan memperlihatkan tuntutan bagi sesebuah kawasan untuk negara masing-masing dalam usaha membanteras kegiatan perlanunan daripada terus berleluasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama seperti itu dilihat lebih penting bagi memastikan aktiviti di sepanjang perairan selamat dan tidak terdedah kepada ancaman seumpama itu, sekali gus memberi keyakinan pengguna laluan itu mengenai tahap keselamatannya.

"Kerjasama antara negara dilihat lebih penting daripada soal mengenai pertindihan tuntutan antara negara, ini kerana jika tiada kawalan maka mereka (lanun) ini akan berasakan bahawa tiada siapa yang boleh menguatkuasakan undang-undang di kawasan itu," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di sini, semalam.

Persidangan antarabangsa itu membabitkan penyertaan 150 peserta daripada 24 negara terdiri daripada pegawai berkedudukan tinggi dalam tentera laut negara masing-masing.

ANTARA pesawat yang mengambil bahagian dalam pertunjukan udara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Hadir sama, Penglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Pengerusi Eksekutif HW Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

Mengenai Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Lima 2009 itu semalam, Ahmad Zahid berharap peserta dan pembentang kertas kerjanya dapat mencari penyelesaian mengenai isu membabitkan perairan yang mempunyai masalah ancaman lanun.

Ahmad Zahid berkata, tiga tempat yang perlu diberikan tumpuan untuk aktiviti mengawal dan menyelia perairan ialah kawasan Teluk Aden, Selat Melaka dan Laut China Selatan.

"Saya melakukan provokasi tadi (dalam persidangan berkenaan) terhadap beberapa isu terutama mengenai keadaan di Teluk Aden dan Selat Melaka, tetapi satu perkara yang harus dilihat ialah aktiviti perlanunan bukan konvensional iaitu menggunakan peralatan canggih di Laut China Selatan kerana mereka (lanun) sudah bertukar arah sekarang ini.

PETUGAS sibuk menyiapkan gerai pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Padang Matsirat, semalam.

"Ada lima negara yang berjiran menuntut kawasan yang sama (kepulauan Spratly di Laut China Selatan) dan lanun berasakan tidak ada negara yang boleh menguatkuasakan rondaan dan perundangan di kawasan itu kerana permasalahan tuntutan bertindih ini.

"Oleh sebab itu, saya lontarkan cabaran kepada mereka (peserta persidangan) apakah cara yang harus digunakan supaya kawasan itu boleh dimanfaatkan, dijaga, dan keberhasilan kelautan digunakan bersama serta tidak dijadikan tempat untuk bertelingkah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, meskipun hanya dua kes kegiatan kecurian berlaku di Laut China Selatan setakat tahun ini, namun Ahmad Zahid menegaskan usaha untuk memantau perkara itu akan diberi perhatian menerusi kerjasama antara agensi berkaitan.

Menjawab soalan berhubung usaha negara untuk membanteras kegiatan perlanunan, Ahmad Zahid berkata, dua perkara diberi tumpuan utama ialah mengadakan latihan bersama dengan negara jiran serta menaiktaraf dan melakukan penambahan aset untuk tentera laut.

SUMBER : Berita Harian Online

CyberCoxswain : Sebenarnya bukan strategi baru lagi... idea ini dah lama diutarakan dan perlu diperkemas bidang kuasa / latihan bersama / pertukaran maklumat risikan berkenaan keselamatan perairan dari ancaman lanun dengan semua Navy negara berjiran masing-masing supaya tidak ada lagi lanun-lanun membolosi perairan untuk melakukan pekerjaan mungkar ini demi keselamatan semua pihak.

Masa untuk bersatu dan bersefahaman untuk membanteras kegiatan lanun tanpa kompromi!

Friday, November 20, 2009

Bunga Mas 5 TLDM-MISC harumkan Malaysia

Abdul Aziz Jaafar (kanan) sambil diperhatikan S. Rajalingam (dua dari kanan) bersama para pegawai MISC pada majlis Pemakaian Pangkat para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kerjasama strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan MISC Bhd. dalam operasi kapal bantuan pelbagai guna, Bunga Mas 5 mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh komuniti maritim dunia.

Buktinya, tiga negara kuasa besar tentera iaitu Jerman, Jepun dan Korea Selatan kini mengkaji kaedah perkongsian pintar di antara TLDM dan MISC dalam mengoperasikan Bunga Mas 5, seterusnya berjaya menjaga keselamatan laluan kapal dagang di perairan Somalia.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menjelaskan perkongsian strategik bagi mengawal keselamatan laluan dagang di perairan Teluk Aden, Somalia itu jelas menunjukkan keistimewaan dan pengorbanan kedua-dua pihak.

''Selain Jepun, semasa saya di Korea awal bulan ini, Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Lautnya juga kagum dengan keupayaan Malaysia mengoperasikan kapal bantuan, sementara Jerman menghantar surat menyatakan minat sama," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara Pemakaian Pangkat para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari MISC di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Perkhidmatan Pengurusan Armada MISC, Kapten S. Rajalingam.

Dalam perkongsian itu, MISC menyerahkan sebuah kapalnya dengan sewa RM1 setahun yang kemudiannya akan menjadi milik kerajaan Malaysia.

Abdul Aziz menambah, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) akan mengiktiraf keupayaan TLDM dengan Anugerah Keberanian Luar Biasa pada Isnin ini atas kejayaannya mengawal keselamatan kapal dagang Malaysia serta negara lain di laluan Teluk Aden.

Jelasnya, anugerah itu tentunya membanggakan TLDM dan negara kerana pengiktirafan sebegitu tidak mudah untuk diperolehi.

Sementara itu, Rajalingam memberitahu, tiada negara di dunia selain Malaysia yang berjaya menjalin kerjasama seperti MISC dan TLDM dalam mengoperasikan kapal sebegitu.

''Semasa saya di London bagi Persidangan Kapal Tangki Antarabangsa minggu lepas, Pengarah Angkatan Tentera Laut Eropah telah meminta kesemua 140 peserta delegasi memberikan tepukan kepada MISC dan ia amat membanggakan,'' katanya.

Katanya, kerjasama operasi Bunga Mas 5 yang bermula Julai lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC tahun lepas memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.

''Selain Teluk Aden, Bunga Mas 5 juga akan melebarkan operasi kawalan keselamatan ke atas kapal-kapal berkepentingan negara di Lautan Hindi tidak lama lagi,'' jelasnya.

Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.

Seramai 21 krew tetap MISC yang diserap serta dilatih sebagai PSSTLDM bertugas pada satu-satu masa sambil dibantu 38 anggota TLDM dan ATM daripada pelbagai kepakaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

CyberCoxswain: Salah satu sumbangan Pasukan PSSTLDM kepada negara tercinta yang patut dibanggakan semua rakyat Malaysia. PSSTLDM berkhidmat untuk negara dengan moto yang sama "SEDIA BERKORBAN". Hidup PSSTLDM!

Wednesday, November 18, 2009

Lanun pindah ke Lautan Hindi

Kawalan keselamatan ketat di Teluk Aden punca ubah lokasi operasi

NEW YORK: Tindakan masyarakat antarabangsa memperhebat langkah menangani rampasan kapal di perairan Somalia memaksa lanun beralih ke Lautan Hindi hampir dengan kepulauan Seychelles, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dalam satu laporan yang diedarkan, semalam.

Beliau berkata, kehadiran kapal tentera laut beberapa negara bagi memperketat kawalan menjadi faktor penting dalam menstabilkan keadaan di perairan Somalia.

Dalam laporan kepada Majlis Keselamatan PBB, beliau berkata, penempatan kapal tentera laut dan pesawat tentera selain usaha yang ditingkatkan oleh pemilik kapal sendiri mengurangkan kes rampasan oleh lanun termasuk rompakan bersenjata terutama di Teluk Aden.

Pada 2008, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) melaporkan 307 insiden lanun dan rompakan bersenjata di seluruh dunia, 136 daripadanya di Afrika Timur.

Antara Januari hingga 30 September tahun ini, 300 insiden dilaporkan termasuk 160 di kawasan Afrika Timur. Sehingga 27 Oktober lalu, lapan kapal dan 178 pelaut ditahan, kata laporan terbabit.

Ketika lanun tidak mengubah cara operasi mereka antara pertengahan Mac dan akhir Oktober, laporan itu berkata aktiviti terbabit sudah beralih dari Teluk Aden ke sebelah barat Lautan Hindi dan baru-baru ini semakin menjadi-jadi dekat kepulauan Seychelles, menunjukkan lokasi kejayaan terbesar lanun.

"Ada juga maklumat yang didapati bahawa kapal lebih kecil seperti kapal nelayan dan kapal percutian menjadi sasaran tetapi belum ada data mencukupi mengenai analisis lengkap," kata Ban.

Leftenan Nate Christensen dari Armada ke-5 tentera laut Amerika Syarikat berpusat di Bahrain berkata, 25 kapal dari 14 negara meronda di Teluk Aden dan Lautan Hindi, minggu lalu.

Ban berkata, Bahamas, Liberia, pulau Marshall dan Panama menjadi negara paling awal menandatangani perisytiharan New York yang menggariskan mengenai amalan pengurusan terbaik antarabangsa untuk melindungi kapal dari lanun pada 29 Mei lalu.

Sejak itu lima lagi negara menandatanganinya iaitu Cyprus, Jepun, Singapura, Britain dan Amerika Syarikat. – AP

SUMBER: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Mereka dah semakin dekat dengan Malaysia tak jauh lagi dah Laut Hindi dengan Selat Melaka... hati-hati dan berwaspada. Mungkin mereka akan berhenti seketika sempena LIMA Langkawi 2 minggu lagi... sebab banyak kapal-kapal Navy akan berada di sekitar situ sebelum sampai ke perairan kita.

Monday, November 16, 2009

Excocet MM38 buktikan keupayaan armada TLDM

DEMONSTRASI tembakan misil TLDM berjaya memusnahkan sasaran.

Misil ditembak dari jarak 20 kilometer kena sasaran

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuktikan keupayaan armadanya apabila penembakan misil jenis Exocet MM38 dilancar KD Gempita, tepat mengenai sasaran dalam ujian di perairan utara Selat Melaka, berdekatan Perak, kelmarin.

Misil ditembak dari kapal Kelas Penyerang Laju (FAC-M) buatan Sweden di bawah pemerintahan Leftenan Komander Md Zaman Hassan itu, memusnahkan sasaran terapung iaitu tongkang berukuran 40 meter yang memuatkan enam kontena bersaiz 12 meter di lokasi ujian jam 10.30 pagi.
Impak letupan misil seberat 735 kilogram (kg) serta 5.21 meter panjang dan berdiameter 35 sentimeter (sm) yang mempunyai bahan peledak seberat 165 kg itu menyebabkan empat kontena musnah dan tercampak ke laut.

Menurut kenyataan TLDM semalam, tembakan itu adalah aktiviti kemuncak Eksesais Latihan Pengoperasian Laut (OSTEX) iaitu latihan di laut bagi beberapa kapal TLDM.

"Jarak maksimum bagi misil ini melebihi 40 kilometer (km). Bagaimanapun, penembakan kali ini dibuat pada jarak melebihi 20 km bagi mengurangkan risiko keselamatan pada bot nelayan di perairan berkenaan.
"Walaupun TLDM terpaksa mengoperasikan kapal dan misil yang telah menjangkau hayat melebihi 30 tahun, kejayaan penembakan ini memperkukuh dan membuktikan bahawa Armada TLDM yang terbabit dalam perancangan dan pelaksanaan penembakan, sentiasa dalam keadaan siaga dan terlatih," kata kenyataan itu.

Exocet MM38 diperoleh TLDM pada 1978 adalah jenis peluru berpandu permukaan ke permukaan yang mampu memusnahkan pelbagai jenis sasaran permukaan termasuk kapal bersaiz besar.

Misil itu digeruni apabila kapal Argentina yang menggunakan sistem persenjataan ini berjaya menenggelamkan dua kapal Tentera Laut British dalam Peperangan Falklands pada 1982.

Kini TLDM memiliki beberapa jenis misil termasuk MM40 di kapal frigat TLDM dan terkini SM39 yang dilengkapi di kedua-dua kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak yang boleh dilancarkan dari bawah laut ke permukaan.
Kenyataan TLDM turut menyebut, pasukan itu buat pertama kali menggabungkan tiga aktiviti serentak iaitu dua siri latihan OSTEX berserta aktiviti penembakan dilakukan dalam tempoh latihan yang menjimatkan 60 peratus kos operasi.

"Kejayaan ini juga dapat melatih warga TLDM dalam pengendalian misil merangkumi aspek perancangan latihan, penyediaan dan penyelenggaraan, melaksanakan penembakan sehingga ke proses menganalisis data apabila selesai penembakan," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

CyberCoxswain: Bravo! Bravo!! Bravo!!!

Friday, November 13, 2009

KD Tun Razak mantapkan pertahanan negara


Delegasi Malaysia dan tetamu kehormat bergambar di atas KD Tun Razak selepas ditauliahkan

Kapal selam kedua dijangka tiba Mei, ditempatkan di pangkalan TLDM di Sepanggar, Sabah

PENERIMAAN kapal selam kedua negara, Kapal Diraja (KD) Tun Razak di Cartagena, Sepanyol pada 4 November lalu serta pentauliahannya sehari kemudian, melengkapkan proses pembelian dua aset dengan nilai kontrak perolehan Euro 1.084 bilion (RM6 bilion) itu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene dilengkapi teknologi terkini dunia yang dibina berdasarkan reka bentuk Kapal Selam Penyerang Nuklear (SSN) Tentera Laut Perancis itu pastinya dinantikan negara khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam memantapkan lagi benteng pertahanan negara bersama kapal selam pertama, KD Tunku Abdul Rahman yang tiba di negara ini pada 3 September lalu.

Pentauliahan KD Tun Razak disempurnakan dengan penuh istiadat tentera laut oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan Tentera Laut Sepanyol, Cartagena.

Majlis itu menandakan bermulalah `kerjaya’ aset canggih itu secara rasmi dalam perkhidmatan TLDM yang kini berusia 75 tahun.

KD Tun Razak di Cartagena, Sepanyol

Majlis bersejarah berkenaan disaksikan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Datuk Naimun Ashakli Mohammad; Admiral Strategic Oceanic Force of French Navy, Laksamana Jean Francois Baud; Pengerusi Navantia, Aurelio Martinez Esteves dan Naib Pengerusi DCNS, Bernard Planchais.

Sehari sebelum majlis itu, Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Datuk Nadzri Siron yang mengetuai Tim Penerimaan Kapal Selam, menerima aset itu pada satu majlis menandatangani sijil penerimaan dan penyerahannya yang diadakan di dalam kapal selam itu sendiri.

Bagaimanapun, KD Tun Razak hanya dijangka tiba di negara ini Mei tahun depan. Sekembalinya ke negara ini, kapal selam itu akan turut berpangkalan di Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, Sabah dan akan menjalani ujian ketahanan serta keupayaan di perairan tropika.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, nama Tun Razak dipilih sejajar sumbangan besar diberikan Perdana Menteri kedua itu yang juga digelar ‘Bapa Pemodenan’ Malaysia, selain keputusan meletakkan kapal selam itu dalam Kelas Perdana Menteri.
“Pentauliahan KD Tun Razak membolehkan peningkatan keupayaan TLDM melakukan pencegahan konvensional dan ini mampu menjadikan pasukan ini sebagai satu kuasa maritim serantau berwibawa sejajar wawasan kita menjadikannya sebagai tentera laut bertaraf dunia,” katanya.

Kata Abdul Aziz, kapal selam itu bersama KD Tunku Abdul Rahman serta kapal lain akan meningkatkan kemampuan TLDM bertindak secara berkesan terhadap sebarang usaha menggugat kedaulatan perairan negara serta kepentingan lain Malaysia secara keseluruhan.

“Sebagai aset strategik, pentauliahan ini akan memacu TLDM ke era teknologi tinggi serta menjadi pemangkin kepada hasrat TLDM untuk menjadi angkatan laut yang seimbang dan berwibawa,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pentauliahan KD Tun Razak turut membuka laluan kepada TLDM untuk memainkan peranan positif kepada keselamatan rantau ini, termasuk melalui kerjasama dengan pasukan keselamatan negara lain.

Katanya, pemilikan kapal selam turut menandakan perubahan ketara penggunaan teknologi pertahanan negara yang lebih canggih serta peningkatan industri pertahanan negara.

Abdul Aziz merakamkan ucapan tahniah kepada kru kapal selam berkenaan kerana melepasi pelbagai ujian hingga melayakkan mereka diberi kepercayaan memikul amanah dan tanggungjawab besar mengendalikan aset penting itu.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan projek perolehan kapal selam, program latihan kru dan penubuhan pasukan kapal selam TLDM.

INFO KD TUN RAZAK:
•Kapal selam diesel-elektrik

•Berfungsi dan berperanan untuk melaksanakan pelbagai tugas dan misi seperti pengawasan perairan, pengumpulan data perisikan, menyekat jalur perhubungan laut, melancar serangan torpedo dan misil serta memasang dan mengaktifkan periuk api.

•Juga akan digunakan untuk latihan dalaman dan latihan bersama tentera laut asing bertujuan mempertingkatkan lagi keupayaan bawah air dan keupayaan permukaan TLDM.

SUMBER: Berita Harian Online

CyberCoxswain : Welcome a board!