Friday, July 17, 2009

KENDURI KENAIKAN PANGKAT - TAHNIAH

15hb Julai 2009, KD Sri Pinang - Kenduri sempena kenaikan pangkat pegawai-pegawai, pegawai waren dan pemangku bintara muda diadakan di dewan senaman. Tahniah dan syabas di atas kenaikan pangkat tersebut.

Antara pegawai yang dinaikan pangkat ke Leftenan Komander ialah Lt. Kdr. Lui, Lt. Kdr. Zulkifli dan Lt. Kdr. Jee Jeet Yuan. Manakala kenaikan pangkat ke Leftenan pula ialah Lt. Tang, Lt. So dan sorang lagi... (maaf puan tak ingat sorang lagi ni... sapa dia? malam tu dia tak ada).


Untuk Pegawai Waren 1 pula ialah PW1 PPP (GI) Abd. Rahim dan P/BM KNA Majmin Zainudin. Tapi kalau tak salah saya kuasa kenaikan pangkat mereka ni berkuatkuasa pada Ogos nanti (tolong betulkan kalau salah).

CO sempat berucap malam tu dengan ucapan tahniah kepada mereka yang mendapat kenaikan pangkat dan juga berkenaan dengan perpindahan ke bangunan sementara disebabkan pangkalan ini yang bakal dirobohkan tak lama lagi. Sebelum tu PA sistem ada masalah pulak... hai nasib baik ada PKK Aishah dan PO Rosham kalau tidak tak dengarlah suara CO malam tu.


Malam tu makan nasi tomato, ayam masak merah, daging kurma, dalca, acar timun nenas, buah tembikai merah, kuih seri muka bakar dan air sirap dengan kopi panas.... fuh sempoi habis! Ramai yang hadir demi meraikan kawan-kawan naik pangkat... bukan senang!

Itulah untungnya kalau ada ramai kawan-kawan kita naik pangkat... boleh tumpang makan sekali pun jadiklah! Apa-apa pun terima kasih banyak Tuan, Puan, Encik dan PO atas kenduri yang memang best! Terima kasih daun keladi...

Wednesday, July 15, 2009

KEM TAHUNAN PSSTLDM 2009 - Lari Berhalang


12 hb Jun 2009 merupakan hari kelima untuk acara Lari Berhalang. Dan pada sebelah malamnya pula adalah acara Malam Mesra yang merupakan acara penutup sebelum semua anggota bertolak balik ke unit masing-masing keesokannya.

Hari ini tengok dulu apa yang telah diorang kena di sana... untuk acara malam mesra yang penuh dengan kontroversi akan susul kemudian.

Note: Mana artikel yang member nak hantar about this event pun tak tau dok kat mana... so kepada sesiapa yang menghadiri dan ada artikel/rencana/pengalaman yg ditulis dan nak dikongsi bersama, hantarlah kepada saya di alamat email tertera untuk di-publish di sini. TK.

Tuesday, July 14, 2009

Memusnah periuk api kepakaran KD Duyong

KEPAKARAN dan kemahiran tinggi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah teruji ketika mengiringi kapal dagang Malaysia di perairan Teluk Aden, dekat Somalia yang sering menjadi ancaman lanun.

Kepantasan pasukan TLDM menyelamatkan kapal dagang China dan kapal tangki India dari dirampas lanun di lautan tersebut pada 17 Disember 2008 dan 1 Januari tahun ini bukan sahaja menggentarkan musuh, malah membuka mata banyak pihak tentang keupayaan dan kehebatan pasukan keselamatan tanah air itu.

Bercakap mengenai kepakaran, salah satu unit yang memang terkenal dengan kecekapan terutama di bawah air adalah KD Duyong TLDM yang kini di bawah pimpinan Pegawai Memerintah, Kapten Rusli Ahmad.

[Keterangan Gambar: DIBANTU oleh rakan setugas untuk membuka pakaian selam khas setelah melakukan tugas-tugas kejuruteraan maritim.]

Unit yang berpangkalan di Lumut itu bernaung di bawah pemerintahan Markas Armada dan merupakan Pusat Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM.

Tanggungjawab utama unit tersebut ialah melaksanakan semua aktiviti berkaitan dengan penyelaman, Explosive Ordnance Disposal (EOD), kejuruteraan bawah air dan pemusnahan periuk api.

Tanggungjawab tersebut dilakukan semata-mata bagi memastikan tahap keselamatan dan pertahanan perairan negara dalam keadaan memuaskan.

''Kepercayaan tinggi negara terhadap KD Duyong jelas terbukti kerana KD Duyong merupakan unit ulung dipertanggungjawabkan menangani apa sahaja keperluan tugas pemusnahan bahan letupan di dalam air," kata Rusli ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

KD Duyong yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Selam TLDM kini berkembang dengan pesat sejak kewujudannya pada awal tahun 70-an dulu.

Bermula dari sebuah unit kecil dengan peralatan asas di Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura, berubah menjadi pasukan yang mantap dengan dilengkapi pelbagai peralatan canggih serta kompleks pentadbiran yang tersergam indah.

Perubahan itu nyata membawa banyak manfaat hingga membolehkan KD Duyong mempunyai keupayaan menjalankan kerja-kerja kimpalan atau kejuruteraan di bawah permukaan air.

Menurut Rusli, tugas tersebut amat penting khususnya bagi menjalankan kerja-kerja memperbaiki kapal yang memerlukan kimpalan bagi mengelak kebocoran ketika melaksanakan tugas di lautan luas.

Katanya, tanpa kehadiran anggota pasukan penyelam yang diwajibkan memiliki kemahiran kimpalan dalam air, pengoperasian kapal-kapal perang negara mungkin terjejas jika tidak dibaiki secepat mungkin.

''Aksi penyelam melaksanakan kerja-kerja kimpalan sering menarik minat pelawat yang seakan-akan tidak percaya melihat api juga boleh menyala di dalam air dengan terang sekali.

''Kombinasi teknologi dan skil penyelam menyebabkan ia dapat direalisasikan," katanya.

Selain membuat kimpalan kapal-kapal, pasukan berkenaan juga mampu memperbaiki struktur dalam air seperti jambatan yang rosak dan tugasan yang memerlukan kerja-kerja pemotongan atau kimpalan di dalam air.

Semua kerja berkenaan dilakukan semata-mata bagi memastikan pengoperasian pasukan TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya berjalan lancar walau berdepan dengan apa saja halangan.

Pada masa sama, kepakaran berkenaan juga boleh diaplikasi untuk memperbaiki kemudahan awam seperti paip-paip bawah air sekiranya berlaku kerosakan atau disabotaj pihak musuh.

''Kepakaran menjalankan kerja-kerja kimpalan serta pemotongan bawah air memerlukan latihan intensif selama kira-kira tiga tahun dan ketabahan serta kesungguhan bagi menguasainya.

''Ini kerana walaupun seseorang anggota itu mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik tetapi secara semula jadi belum tentu lagi mereka mampu bertahan dalam tempoh lama di dalam air," katanya.

Berdasarkan pengalaman KD Duyong, semua anggotanya boleh bertahan di dalam air untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, sementara dalam tempoh tiada had sekiranya tahap kedalaman air tidak melebihi sembilan meter.

Bagi tahap kedalaman melebihi 12 meter, anggota yang bertugas boleh bertahan sehingga 135 minit dan waktu itu akan berkurangan jika kedalamannya bertambah.

Rusli menjelaskan, kewujudan KD Duyong cukup relevan sekali. Tambahan pula, tidak lama lagi Malaysia akan menyambut ketibaan kapal selam pertama.

Penyelam TLDM turut memainkan peranan utama dalam menyokong pengoperasian aset strategik negara sebagai elemen penting dalam aspek Penyelamat Kapal Selam (Submarine Rescue).

Katanya, pembabitan penyelam dalam tugas baru ini nyata sekali akan membawa mereka ke tahap yang lebih bahaya dan mencabar.

''Apa pun, sebagai perwira negara, walau apa jua cabaran yang perlu ditempuh, kita perlu bersedia melaksanakan tanggungjawab dan misi diamanahkan itu dengan penuh semangat juang, sejajar dengan moto TLDM iaitu 'Sedia Berkorban'," katanya.

Beliau menjelaskan, operasi sesebuah kapal selam merupakan sesuatu yang kompleks dan berisiko tinggi.

Katanya, sebarang kecuaian bukan sahaja boleh memusnahkan kapal selam malah menyebabkan seluruh anak kapal terkorban atau terperangkap di dalamnya.

''Sebab itulah anggota-anggota TLDM yang terlibat dengan pengendalian kapal selam itu telah dihantar menjalani latihan bertahun-tahun untuk benar-benar mahir.

''Bagi KD Duyong pula, kita sentiasa bersedia memberi khidmat sokongan dalam kerja-kerja senggaraan dan tugas menyelamat bila diperlukan," katanya.

Dalam pada itu, Rusli berkata, KD Duyong juga mampu bersaing melaksanakan latihan bersama penyelam tentera laut asing serta menawarkan latihan kepada pelatih luar negara yang direalisasikan melalui Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP) setiap tahun.

Selaras dengan keperluan meningkatkan perkhidmatan berkualiti dan kekal relevan, KD Duyong telah menyahut saranan pucuk pimpinan tertinggi TLDM bagi mendapatkan persijilan ISO 9000:2001.

Ia berjaya direalisasikan pada tahun 2004 yang menjadikan KD Duyong sebagai unit kelima dalam TLDM memperoleh pengiktirafan cemerlang tersebut.

Kini unit ini dalam proses peningkatan skop dan berubah ke persijilan ISO 9000:2008.

Saban tahun beberapa pasukan dari KD Duyong akan mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi peringkat TLDM, ATM mahupun nasional.

Penyertaan terakhir unit ini adalah dalam Pertandingan Kemahiran Industri, Inovasi dan Kreativiti Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Sumber Manusia.

''Namun kita tidak boleh leka dan berpuas hati. Amalan kualiti perlu terus ditingkatkan dalam semua aspek pengurusan harian.

''Perubahan ke arah proses kerja yang lebih baik perlu terus dilaksanakan," ujar Rusli.

Usaha keras dan konsisten untuk berubah ke arah yang lebih baik dan berkualiti itu adalah sejajar dengan kata-kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bahawa: ''...semua perkara boleh diubah kecuali al-Quran."

Kata Rusli, ia secara tidak langsung menggalakkan warga TLDM berfikiran terbuka, menerima idea baru, menerima pakai pendekatan baru yang sesuai dan tidak kekal mengikut amalan sebelumnya yang tidak lagi relevan.

Ekoran itu, KD Duyong kini sedang membuat kajian dan mengenal pasti kewajaran meningkatkan lagi amalan di tempat kerja dengan menerapkan empat peraturan serta amalan baik disarankan oleh OHSA (Occupational Health and Safety) yang akan menjurus ke arah persijilan OHSAS 18001.

Telah menjadi hakikat bahawa KD Duyong menjadi lokasi lawatan utama bagi pelawat apabila melawat Pangkalan TLDM Lumut.

KD Duyong selalu menerima lawatan rombongan diraja, Panglima-panglima tentera tempatan dan negara asing, institusi pengajian tinggi, sekolah dan badan-badan beruniform.

Pada 22 Mei lepas, unit ini turut menerima lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta rombongan Kementerian Pertahanan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Itulah... banyak lagi kelebihan dan kepakaran dalam navy ni yang orang ramai tak tahu... nak tahu lebih lanjut?... bacalah Utusan Malaysia (promolah pulak)... hebah-hebahkanlah...

Monday, July 13, 2009

KEM TAHUNAN PSSTLDM 2009 - KAYAK

Aktiviti kedua adalah berkayak pada 11 Jun 2009 (kalau mengikut aturcara asal).

Berikut antara gambar-gambar semasa aktiviti ini dijalankan yang diterima dari kawan-kawan kita yang menyertainya.


Gambar Pilihan: Orang tengah sibuk-sibuk berkayak / bagi sokongan kat pasukan, skod kita ni sempat lagi membuta di tempat strategik lagi tu... skod sapalah tu?... woi bangunlah!

Friday, July 10, 2009

KEM TAHUNAN PSSTLDM 2009

Berlangsung pada 7- 14 JUN 2009 bertempat di Kem Bakau Resort, Kertih, Terengganu Darul Naim.

10 Jun 2009 - Berakit

Gambar Pilihan: We are the One! (tapi dapat nombor berapa ntah... hehehe... sandal loreng tu yang tak tahan!)


Antara aksi-aksi menarik ketika aktiviti ini dijalankan.
Nak cerita lebih pun... saya tak pergi di atas sebab yang tak dapat dielakkan, so gambar lebih menceritakan suasana dan keadaan di sana.

Thursday, July 9, 2009

Kapal layar 'tersangkut'

PARIS - Sebuah kapal layar tersangkut di kawasan sebuah pulau berbatu dekat Saint-Quay-Portrieux, barat laut Perancis semalam.

[Keterangan Gambar: Kapal layar milik Manning tersangkut di kawasan pulau berbatu dekat Saint-Quay-Portrieux, barat laut Perancis semalam. ]

Kejadian itu berlaku selepas pemiliknya, Arthur Manning membuat perkiraan yang silap dengan belayar di kawasan itu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila air laut surut menyebabkan Manning dan beberapa krew meninggalkan kapal tersebut.

Anggota-anggota penyelamat terpaksa menunggu air laut pasang sebelum melakukan kerja-kerja 'menyelamatkan' kapal itu. - Agensi

Sumber: Kosmo Online

CyberCoxswain: Satu pengajaran yang boleh di ambil iktibar oleh semua pelaut / kelasi lebih-lebih lagi kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan ilmu kelautan agar insiden yang nampak macam melucukan ini dari berlaku kepada kita sendiri... di laut macam-macam boleh jadi... tapi gambar tu memang menarik!

Wednesday, July 8, 2009

TLDM BANTU KAPAL PERANG INDONESIA

LUMUT, 17 Jun - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengambil tindakan pantas bagi menawarkan bantuan kepada kapal perang TNI-AL, KRI TELUK MANADO yang mengalami masalah mekanikal di Perairan Pulau Perak semasa kapal perang TNI-AL itu dalam pelayaran menuju ke Pangkalan Angkatan Laut (LANAL) di Belawan.

TLDM menghantar kapalnya, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL serta Helikopter SUPER LYNX dari Skuadron 501 yang berpangkalan di sini untuk memantau serta sedia memberikan bantuan kepada kapal tersebut setelah mendapat maklumat dari pasukan ATM yang bertugas di Pulau Perak dan ianya disahkan oleh Penasihat Pertahanan di Jakarta yang memaklumkan KRI TELUK MANADO menghadapi masalah enjin di perairan Pulau Perak yang terletak 60 batu nautika dari Pulau Langkawi.

Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengahari apabila asap tebal kelihatan dari kapal tersebut dan ketika dihubungi oleh Helikopter SUPER LYNX, kapal TNI-AL memaklumkan bahawa mereka hanya mengalami masalah mekanikal dan masih dalam keadaan terkawal serta tidak memerlukan bantuan. Walau bagaimanapun, kapal tersebut telah meminta kebenaran untuk bersauh 2 batu nautika barat Pulau Perak sehingga menunggu kapal bantuan TNI-AL.

Pulau Perak adalah merupakan salah satu pulau strategik di Selat Melaka yang terletak di dalam perairan Malaysia. Dilaporkan dua buah kapal TNI-AL dari Belawan, KRI KAPITAN PATIMURA dan KRI PITON sedang menuju ke Perairan Pulau Perak untuk mengiringi KRI TELUK MANADO balik ke Belawan lewat petang ini.

Sumber: Official TLDM Webpage

CyberCoxswain: Siapa kata TLDM bermusuh dengan Angkatan TNI Indonesia? Peristiwa ini menunjukkan sikap kita yang sebenar dalam hubungan di nusantara ini. Kepada media-media Indonesia... hebah-hebahkanlah cerita sebegini yang memupuk semangat muhibbah antara dua negara serumpun bukan melaga-lagakan supaya bercakaran yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak seperti Harimau Malaya bergaduh dengan Garuda... Singa yang mendapat hasilnya....