Monday, October 13, 2008

Kedaulatan Pulau Layang-layang

KUNJUNGAN media baru-baru ke sini bagi menyertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak melawat Pulau Layang-layang seperti dijangka mengundang rasa kurang puas hati negara-negara yang menuntut hak ke atas kepulauan itu.

Kementerian luar China dan Taiwan berpendapat lawatan delegasi menteri dan pegawai-pegawai kanan ATM itu tidak sepatutnya berlaku. Seperti China, Taiwan juga menuntut keseluruhan kepulauan di sini yang disifatkannya sebahagian hak mutlak negara itu.

Jurucakap kedua-dua negara memberitahu Malaysia sepatutnya menghormati perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2002 antara negara-negara yang terbabit dalam isu tuntutan bertindih itu. Kenyataan yang disiarkan oleh hampir semua media utama negara itu bagaimana pun pantas dijawab Timbalan Perdana Menteri.

"Tidak timbul soal provokasi kerana Pulau Layang-layang terletak dalam perairan negara walau pun tuntutan mengenainya masih diperbincangkan antara negara-negara termasuk China dan Taiwan," ujar beliau.

Menurut Najib, kehadiran rakyat Malaysia di kawasan strategik negara termasuk wilayah kepulauan itu tidak dianggap remeh kerana ia sebahagian daripada ZEE negara.

"Berdasarkan pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan terhadap Batu Putih, beberapa bulan lalu, kita tidak boleh memandang remeh perkara ini.

"Aset fizikal seperti penempatan TLDM ini bakal menyokong tuntutan pemilikan negara terhadap kawasan itu jika ia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Bagaimanapun, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang berhubung isu tersebut kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan menerusi rundingan demi keamanan serantau.

"Jika sesuatu tuntutan dirujuk kepada ICJ, satu daripada faktor utama pertimbangan ialah penguasaan sesuatu pulau membabitkan pemilikan atau penempatan rakyat kita untuk menyokong tuntutan itu," tegasnya.

Isu Spratly pernah menyaksikan konflik bersenjata antara China dan Vietnam pada Januari 1974 di Gugusan Paracels. Secara terbuka negara kuasa Asia Timur itu menuntut keseluruhan kepulauan di Laut China Selatan ini sebagai perairan yang berada di bawah penguasaannya.

Konflik bersenjata beberapa kali berlaku antara kedua-dua negara sekitar tahun 1980-an yang mencetuskan ketegangan.

Yang pasti, konflik China - Vietnam membuka mata negara-negara lain yang bersempadan di sini untuk membuat tuntutan sama dengan membina penempatan.

Pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 20 September 1979 menyaksikan Kabinet mengarahkan supaya kajian segera dilakukan untuk mendirikan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang di perairan ini.

Sebuah tugu kemudian dibina di sini pada 21 Jun 1980 menandakan hak kedaulatan Malaysia. Ia disusuli dengan penempatkan anggota Paskal TLDM di sini pada Mei 1983 dalam keadaan yang cukup mencabar.

Survivaliti tim Paskal ketika itu jelas menunjukkan kesanggupan mereka menggadaikan keberanian demi mengawasi kedaulatan negara. Dari segi geografi, kawasan perairan ini mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi, khususnya mineral.

Daripada sebuah terumbu, ia melalui beberapa fasa pembesaran sejajar dengan keperluan operasi di sini sehingga terbentuknya kawasan daratan lalu dikenali sebagai Pulau Layang-layang meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer persegi.

Ia hasil penambakan 70,000 meter padu pasir dan konkrit bagi pembinaan blok kediaman, hangar bilik janakuasa, kincir angin, menara pemerhati serta landasan kapal terbang sepanjang 1,367 meter yang hanya cukup-cukup menerima pendaratan pesawat bersaiz C-130.

Seperkara yang menarik, setiap penghuni stesen ini juga perlu mematuhi disiplin penggunaan air yang ketat kerana bekalan kira-kira 57 tan air bersih sehari itu diperolehi daripada sistem memproses air suling.

Selain pulau ini, TLDM turut menduduki Terumbu Ubi (Stesen Uniform), Terumbu Mantanani (Stesen Mike), Terumbu Siput (Stesen Sierra) dan Terumbu Peninjau (Stesen Papa) yang menempatkan terup Paskal. Kesemua stesen ini dikenali sebagai Stesen Luar Pantai di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 2 (Marwila 2).

Melihat persekitaran pulau ini sudah cukup menjelaskan mengapa ia penting sebagai 'aset' yang perlu dipertahankan. Bukan bertujuan mewujudkan provokasi, sebaliknya penempatan TLDM di sini adalah bagi mengawasi kedaulatan perairan negara.

SUMBER: Kosmo! Online

1 comment:

Mej (B) Nor Ibrahim Bin Sulaiman said...

Assalamualaikum. Saya berhasrat untuk menulis sebuah buku yg mungkin menyentuh transformasi sebuah atol kepada sebuah pulau - Pulau Layang Layang. Minta kebenaran anda untuk menyalin artikel anda. Saya akan mencatatkan anda sebagai tuanpunya artikel. Saya boleh dihubungi di nibsny@yahoo.com & 019-4744849. Saya ada mencoretkan pulau ini - xnuripilot.blogspot.com. Terima kasih.