TLDM tingkat keupayaan hadapi cabaran keselamatan maritim
CARTAGENA (Sepanyol): Kapal selam kedua Malaysia jenis Scorpene dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di sini, semalam, mencatatkan satu lagi sejarah bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam meningkatkan keupayaannya bagi menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin bertambah.
Dalam cuaca yang cerah, ‘Tun Razak’ secara rasmi dipertontonkan kepada dunia oleh Tuanku Nur Zahirah dalam satu upacara di limbungan Navantia di bandar raya pelabuhan ini, kira-kira 450 kilometer dari ibu negara Sepanyol, Madrid.
Tuanku Nur Zahirah, yang kelihatan anggun memakai jaket biru gelap dan berseluar panjang putih, diiringi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera.
Sebagai meneruskan tradisi maritim, Raja Permaisuri Agong memecahkan botol di kemudi kapal, iaitu struktur mirip menara yang ada pada permukaan kapal selam itu, menandakan upacara pelancaran rasmi dan penamaan kapal berkenaan.
“Beta dengan ini menamakan kapal selam ini ‘Tun Razak’ dan melancarkannya. Semoga Allah merahmati dan melindungi semua yang belayar bersamanya,” titah Tuanku Nur Zahirah, disusuli bacaan doa selamat.
Nama itu dipilih sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein, negarawan yang dikenang kerana sumbangan besarnya kepada kemerdekaan, pemodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.
Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol, Navantia.
Turut hadir pada majlis hari itu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abu Seman Yusop; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar; Duta Malaysia ke Sepanyol Datuk Naimun Ashakli Mohammad; Panglima Tentera Laut Sepanyol, Admiral General Manuel Rebollo Garcia dan Pengerusi Navantia, Juan Pedro Gomez Jaen.
Tetamu kenamaan kemudian meninjau Scorpene, kapal selam konvensional dengan panjang keseluruhan lebih 67 meter dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. Kapal yang bergerak dengan tenaga diesel itu akan dikendalikan 31 anak kapal.
Kapal selam pertama Malaysia, yang dinamakan ‘Tunku Abdul Rahman’, sempena Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilancarkan di limbungan DCNS di Cherbourg, Perancis, Oktober tahun lalu. Ia dijangka ditauliahkan pada Januari 2009, menggunakan nama ‘KD Tunku Abdul Rahman’, belayar pulang pada Mei dan dijangka tiba penghujung Julai 2009.
Kapal selam yang dilancarkan semalam akan dikenali sebagai ‘KD Tun Razak’ sebaik saja ditauliahkan pada Oktober 2009. Ia dijangka memulakan pelayaran ke Malaysia pada Januari 2010 dan tiba di Malaysia dua bulan kemudian.
Dalam satu kenyataan, TLDM berkata, kapal selam pertama Scorpene sudah menamatkan ujian sistem peperangan dan ujian validasi pelaksanaan di Perancis. - Bernama
CyberCoxswain: Tahun depan kita akan terima kapal ini dan lagi satu tahun barulah KD Tun Razak ini akan memasuki perairan Malaysia.
No comments:
Post a Comment