KUALA LUMPUR 20 Okt. – Seramai 21 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dengan misi menyelamat rakyat negara ini yang ditawan lanun di Perairan Teluk Aden, September lalu selamat kembali ke tanah air hari ini.
[Keterangan Gambar: SELAMAT PULANG... SEBAHAGIAN daripada pegawai dan anggota Ops Fajar, yang terlibat dalam misi membebaskan krew serta kapal Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5, mengaminkan doa pada majlis meraikan kepulangan pasukan itu di Jeti Operasi Pangkalan TLDM di Lumut, Perak, semalam.]
Kesemua mereka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut kira-kira pukul 9 pagi dan kemudiannya dibawa menaiki pesawat Nuri ke pangkalan Udara TUDM di sini.
Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Bashir Abu Bakar serta ahli keluarga mereka.
Mejar Mahidzar Idris, ketua untuk operasi menyelamat itu ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana misi selesai dan selamat ke tanah air.
Jelasnya, di awal permulaan misi tersebut, beliau sentiasa memikirkan tempoh misi itu akan berakhir demi keselamatan anak kapal serta ketika itu perayaan Aidilfitri hampir tiba.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah, bila melihat anak-anak buah bekerja dengan dedikasi dan bersungguh-sungguh, perasaan ingin pulang cepat tidak timbul sebaliknya mahu menyelesaikan misi tersebut dengan selamat,’’ katanya kepada pemberita di majlis meraikan kepulangan pasukan Ops Fajar dari Teluk Aden di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
Pada 30 September lalu, seramai 21 pegawai dan anggota Ops Fajar belayar menggunakan kapal KD Lekiu dan KD Sri Inderapura dengan misi membantu membebaskan krew serta kapal Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 di Perairan Teluk Aden.
Seorang jurutera pesawat yang turut menyertai misi menyelamat itu, Zamzurina Mohd. Noor, 31, berkata, Ops Fajar memberi banyak pengalaman dan cabaran kepada dirinya dan rakan-rakan.
Beliau antara anggota wanita yang terpilih menyertai misi itu menambah, perasaan takut dan cemas memang ada kerana situasi di sana bukan sahaja mengancam nyawa tebusan tetapi nyawa mereka yang menyertai operasi tersebut.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengatasinya dan pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya yang telah 14 tahun berkhidmat dalam TUDM.
Kapten Ahmad Azrul Dzulkarnain turut melahirkan rasa bangga dan gembira dengan penglibatannya dalam misi kali ini.
Jelasnya, misi menyelamat ke perairan tersebut merupakan misi pertama dilakukan TUDM dan ia ternyata dapat memupuk sikap tanggungjawab dalam dirinya serta rakan-rakan lain.
“Saya merasakan misi menyelamat ini dapat mewujudkan semangat setia kawan, berdisiplin serta bertanggungjawab,” tambahnya.
Seorang lagi jurutera pesawat Noraidah Ngadi, 36, memberitahu ancaman yang dihadapi dapat meningkatkan lagi kecekapan anggota TLDM ketika berhadapan dengan situasi getir untuk menyelamatkan nyawa rakyat negara ini yang dijadikan tebusan lanun.
SUMBER: Utusan Online
CyberCoxswain: Syabas dan Tahniah kepada anggota-anggota kita yang telah kembali ke tanahair. Jasamu dikenang.
No comments:
Post a Comment