Wednesday, October 22, 2008

Anggota TLDM bangga kendalikan Scorpene

ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terpilih untuk menjadi antara anggota kapal selam pertama negara merasakan ia merupakan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia dan perlu menghadapi segala cabaran dengan tabah dan bersemangat.

Kebanyakan mereka yang telah lebih tiga tahun menjalani latihan di Brest, Perancis merasakan tanggungjawab sebagai krew kapal selam merupakan satu cabaran yang perlu dipikul dengan penuh rasa bangga walaupun ia amat getir.

[Keterangan Gambar: PENGALAMAN menyambut hari raya dalam kapal selam dan berada di negara orang merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh semua bakal krew kapal selam Malaysia.]

Seperti diketahui TLDM kini sedang melatih 142 anggota kapal selam di Perancis untuk penyediaan mengendalikan dua kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Malaysia bagi memperkukuhkan armada TLDM di masa depan dan melindungi perairan negara.

Ketika ditemui di upacara pelancaran kapal selam Scorpene kedua negara yang dikenali sebagai KD Tun Razak di Cartagena, Sepanyol, baru-baru ini, beberapa bakal krew kapal selam itu melahirkan rasa bangga atas pencapaian negara dan cabaran mereka untuk menjadi pengendali kapal selam.

Pegawai Waran 1 Submarin, Saad Rabani, 41, menyifatkan kedatangannya ke negara luar untuk menjalani latihan sebagai krew kapal selam Scorpene 2 dan meninggalkan keluarganya sementara waktu sebagai satu pengorbanan demi tugas untuk negara.

Berasal dari Alor Gajah, Melaka, Saad yang berkemahiran dalam bidang elektrik berkata, beliau telah empat tahun menjalani latihan di Perancis dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara orang.

“Mereka ada menghubungi saya bertanya bila saya akan pulang, tetapi ini adalah sebahagian daripada tugas untuk berbakti kepada negara,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

“Saya rasa keadaannya sama juga kepada mereka yang bertugas dalam bidang ketenteraan, sama ada tentera darat, laut ataupun udara,” kata Saad, yang merupakan antara anggota TLDM yang menjalani latihan di Perancis.

Juruteknik elektrik, yang telah berkhidmat dengan TLDM sejak 20 tahun lepas itu, berkata, kapal selam Scorpene yang dibeli Malaysia merupakan kapal automatik berkuasa tinggi berbanding dengan kapal yang mereka gunakan semasa latihan sekarang.

“Terdapat banyak peralatan automatik di dalam kapal Scorpene, segala-galanya bergerak dengan hanya menekan butang. Ia sebuah kapal selam kompak yang memerlukan seseorang mempunyai kekuatan mental kerana seseorang itu perlu mengendalikan beberapa tugas,” katanya.

Saad juga bercerita tentang keadaan sempit di dalam kapal selam di mana katilnya tidak ubah seperti keranda.

“Tetapi saya berasa bangga kerana terpilih, di sebalik usia saya, sebagai kalangan anggota pelopor Pasukan Kapal Selam TLDM,” katanya.

Bintara Kanan Wahid Mohamad Sejili dari Sarawak yang turut bersetuju dengan Saad berkata, beliau kini bersedia menjadi krew kapal selam.

“Terdapat beberapa cabaran kerana ini merupakan kapal selam pertama Malaysia dan bertugas di dalam kapal selam itu adalah berbeza dengan kapal biasa,” katanya.

Sementara itu, Bintara Kanan TMEP, Jeffery Lenjau Jaing menyifatkan keakraban dan semangat berpasukan amat penting untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dalam keadaan yang terhad di dalam kapal selam.

“Ia amat mencabar untuk menjadi seorang krew kapal selam tetapi saya bersedia menghadapinya,” kata laskar laut dari Miri, Sarawak ini.


Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Bestkan dalam submarine / kapal selam ni... tak sabar menunggu nak rasai pengalaman menaikinya

No comments: