Friday, October 10, 2008

Anggota TLDM lincah bersilat

DALAM perkhidmatan ketenteraan di mana-mana negara, taekwondo, karate dan judo merupakan antara jenis seni mempertahankan diri yang biasa diamalkan.

Pengadaptasian jenis-jenis ilmu mempertahankan diri sebegini antaranya dikaitkan dengan kemudahan, praktikal dan kepopularannya seantero dunia.

Namun adakah taekwando, karate mahupun judo terlalu hebat sehingga jauh mengatasi seni pertahanan diri lain seperti silat, kung fu atau silambam?

Secara umum, kesemua jenis seni mempertahankan diri yang disebut di atas mempunyai keupayaan yang agak serupa, tetapi dibezakan dengan usaha mengangkat martabat mereka.

Menyedari hakikat itu, seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Zainol Abidin Jusoh yang berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah mengambil inisiatif menubuhkan Pasukan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia TLDM pada hujung Julai lalu.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Memerintah Pasukan Bantuan Gugusan Semarang Peninjau (PBGSP) TLDM berpendapat, ilmu silat perlu lebih banyak dipraktikkan dalam perkhidmatan tentera agar ‘tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.’

‘‘Lagipun, ilmu silat adalah warisan masyarakat Melayu, seterusnya lambang yang harus dikongsi dan dibanggakan oleh seluruh masyarakat Malaysia, sama seperti wushu dan silambam,” katanya ketika ditemui selepas melakukan persembahan di Stesen Lima TLDM, Pulau Layang-Layang, Sabah baru-baru ini.

Pada persembahan itu, Zainol disertai oleh Laskar Kelas (LK) 1 Abdul Rahman Mohd. Yusof, LK 1 Mohd. Farid Mohd. Nizam, LK 1 Ahmad Tarmizi Zainol, LK 1 Haizol Ahmad, LK 1 Saiful Abd. Khoni dan LK 1 Wan Mohd. Azri Wan Ali. Sementara itu, guru silat pasukan pula ialah Cikgu Awang Zaini.

[Keterangan Gambar: AKSI tempur tanpa senjata yang dipamerkan oleh anggota tentera Malaysia sempena lawatan media ke pulau-pulau sekitar perairan Sabah, baru-baru ini]

Pada persembahan sulung pasukan itu yang dilakukan sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama media, pasukan tersebut telah mempamerkan persembahan bertenaga.

Ia dimulakan dengan Silat Sambut Selamat Datang atau Bunga Sembah yang dilakukan secara solo oleh Zainol. Lenggok badannya penuh seni, lembut, namun tetap berupaya menggerunkan musuh.
Katanya, walaupun disiplin itu lebih merupakan paparan seni silat, namun ia boleh dipraktikkan untuk menewaskan musuh.

Pada segmen kedua persembahan, dua anggota telah menunjukkan kepakaran bertempur tanpa senjata yang berlangsung selama kira-kira lima minit.

Ia diikuti oleh sepasang anggota lagi yang menunjukkan kecekapan bertarung menggunakan rotan panjang.

Segmen terakhir persembahan pula memperlihatkan dua pendekar TLDM menggunakan keris sebagai senjata untuk menyerang dan menumpaskan musuh masing-masing.

Kecekapan mereka agak sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata kerana kesemuanya berlaku dengan terlalu pantas, apatah lagi jika seseorang itu tidak pernah mempelajari silat.

Namun yang paling penting untuk diketahui di sini ialah semasa persembahan pada malam 11 Ogos lalu, pasukan itu baru 14 hari ditubuhkan dan menjalani latihan bersama.

Salah seorang ahli, Mohd. Farid berkata, ini kerana latihan intensif yang dijalankan di samping minat yang mendalam dalam mempelajari ilmu itu.

‘‘Pada sesetengah hari, kami akan berlatih pada sebelah pagi, diikuti sesi tengah hari, petang dan juga malam,” jelasnya penuh semangat dalam loghat Kedah.

Beliau menambah, kecekapan dan keindahan persembahan mereka adalah membanggakan kerana tidak sampai sebulan tertubuh, pelbagai undangan persembahan telah diterima pertubuhan itu.

Sementara itu, Zainol menambah, seni silat adalah seni pertahanan diri yang unik kerana semasa berhadapan dengan musuh, ciri-ciri menghormati antara satu sama lain jelas terlihat melalui lenggok badan yang beradab dan lembut.

Mungkinkah penubuhan pasukan ini di Pulau dan Terumbu Layang-Layang di Laut China Selatan mempunyai maksud tersendiri?

Dalam menghadapi negara-negara lain yang turut menuntut kawasan itu seperti China, Vietnam dan Filipina, analogi seni silat sesuai digunakan iaitu beradab dan lembut namun sentiasa bersedia bertindak balas apabila dicabar.


CyberCoxswain: Navy memang sentiasa bersiap sedia untuk segala kemungkinan. Latihan dan ilmu persilatan adalah salah satu kemahiran yang ada dalam perkhidmatan. Jadi ingat... "sarang tebuan jangan dijolok" nyesal tak sudah.

No comments: