Saturday, January 30, 2010

Perbarisan Pegawai Memerintah

Perbarisan Pegawai Memerintah atau lebih dikenali dengan CO Division atau singkatan CO Div memang perkara lumrah dilakukan oleh setiap unit dalam TLDM mahupun PSSTLDM.

Pegawai Perbarisan Lt Kdr Jee Jeet Yuan sedang melapor.

Pada 23hb Januari 2010, Sabtu jam 0700H telah dengan jayanya semua anggota KD Sri Pinang melakukan perbarisan ini di Padang Kawad (sementara) KDSP.

Tahun ini ramailah pulak anggota yang hadir (memang sepatutnya begini pun) hingga penuh padang kawad yang kecil molek tu dan terpaksa dilakukan secara 'statik' sahaja yang mana anggotanya terdiri daripada staf tetap, anggota PSS dan Palapes. Mungkin tengah excited sebab tahun baru.

Tengok, ramai tak?... semangat tengah berkobar-kobar ni... (tapi sebelum mendengar khabar yang 'potong, potong dan potong' tu lah)

Dan tidak seperti selalunya, tahun ini Dato' CO berucap panjang mengenai "setiakawan dalam pasukan" dan kelebihan KDSP dengan projek pembangunan infrastruktur baru yang telah diluluskan sebelum keadaan 'potong, potong dan potong' yang melanda sekarang - budget tak ade beb!... makan tak suply dan sampai nak kena sewa dan bayar sendiri duit dobi... ish ish ish...

Apa pun... PERBARISAN SELESAI, KEBENARAN MENJALANKAN TUGAS DATO'

Pakaian No. 1 bagi anggota LLP dari Laskar Kanan ke bawah. Menarik!

Antara orang kuat perbarisan hari tersebut, PW1 PPP (GI) Rahim.
Juga dengan pakaian No. 1 bagi Bintara Muda ke atas (kira senior rate lah tu)

Friday, January 29, 2010

Peranan wanita dalam TLDM

BIASANYA pasukan keselamatan sesebuah negara akan didominasi oleh kaum lelaki. Namun fungsi anggota wanita tidak dinafikan kerana mereka sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi sesuatu perkhidmatan ketenteraan dan itulah yang berlaku dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam TLDM sendiri, peranan anggota wanita dianggap sama penting dengan anggota lelaki dan turut memegang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan.

ABDUL Aziz Jaafar serta pemimpin-pemimpin tertinggi TLDM ketika menyertai Kem wanita 2010 di lumut.

Pada masa ini, terdapat tujuh pegawai wanita berpangkat Komander di TLDM dan kebanyakan mereka menduduki jawatan-jawatan tertinggi di pusat latihan dan pentadbiran.

Antaranya ialah Pegawai Laksamana Pusat Kepimpinan TLDM dan Pengarah Pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, terdapat empat pegawai wanita bertugas di kapal iaitu masing-masing dua orang di kapal KD Pahang dan KD Perak.

Ketika ini terdapat 1,104 anggota wanita di TLDM dengan sebanyak 90 peratus daripadanya bertugas di pangkalan-pangkalan TLDM seluruh negara.

Melihat pada trend pertambahan anggota wanita dalam perkhidmatan tersebut, TLDM telah menubuhkan Sel Wanita pada 1 Mei 2009 bagi menguruskan kerjaya serta kebajikan anggota wanita.

Walaupun Sel Wanita dalam TLDM masih baru berbanding formasi lain dalam ATM, Sel Wanita TLDM begitu aktif dan sudah mencapai banyak kejayaan dengan membuat pelbagai pembaharuan dalam tempoh singkat.

Menurut Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Ehwal Wanita TLDM, Komander Noraida Zulkifli yang mengetuai Sel Wanita TLDM, antara kejayaan yang telah dicapai ialah meningkatkan kuota pengambilan anggota wanita dari empat peratus kepada lapan peratus mulai tahun ini.

"Kita sudah cuba mendapatkan kelulusan pihak atasan supaya peratus kuota pengambilan anggota wanita dalam TLDM ditingkatkan sejak tahun lalu lagi dan Alhamdulillah, pada tahun ini ia sudah dinaikkan sekali ganda," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, kata Noraida, Sel Wanita TLDM juga berjaya mendapatkan kelulusan pemimpin tertinggi supaya uniform mengandung, tudung serta kasut kawad anggota wanita diubahsuai.

Katanya, uniform mengandung dan tudung sudah digunakan sekarang manakala kasut kawad yang sesuai serta berkualiti akan digunakan tidak lama lagi.

"Bahkan perjawatan wanita di atas kapal sudah diperluaskan walaupun terdapat kekangan daripada segi budaya dan agama.

"Sebagai contoh, tirai plastik bilik air dalam bilik di kapal KD Pahang sudah diubah suai menjadi pintu untuk kemudahan anggota wanita dan ini dapat mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Noraida berkata, anggota wanita TDLM mampu melakukan apa yang lelaki boleh lakukan tetapi ia harus berlandaskan agama serta budaya.

"Pada tahun ini, kita mahu lebih ramai anggota wanita ditempatkan di dalam kapal terutamanya dalam bidang komunikasi serta bekalan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih besar di barisan hadapan sama seperti anggota lelaki," ujar beliau.

Bagi memastikan anggota wanita tahu hala tuju TLDM serta peranan mereka, Sel Wanita TLDM turut mengadakan pelbagai kursus dan aktiviti termasuk Kem Wanita buat julung kalinya yang dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada 15 Januari lalu.

Kem tersebut yang berlangsung dari 15 Januari hingga 17 Januari lalu, menghimpunkan seramai 320 anggota serta pegawai wanita pelbagai pangkat daripada semua formasi TLDM dari seluruh negara.

Kem itu juga adalah yang pertama menghimpunkan pegawai serta anggota lain lain pangkat (LLP) dalam satu program dengan tujuan untuk merapatkan hubungan antara mereka.

"Seperti yang kita tahu, dalam perkhidmatan beruniform, terdapat jurang antara pegawai dan anggota kerana protokol yang perlu dipatuhi.

"Dengan adanya kem ini, mereka dapat menjalinkan hubungan serta mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat," kata Noraida.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti daripada ceramah gangguan seksual, undang-undang, pembangunan kerjaya serta senamrobik dan sukan dimuatkan pada program itu supaya anggota wanita mengetahui mereka turut memainkan peranan besar dalam TLDM.

"Kita tidak mahu kekangan agama dijadikan alasan dan kita mahu mereka tahu bahawa mereka turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti dalam TLDM,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Rasanya artikel ini patut lebih diberi publisiti (sebab itu saya copy kat sini) untuk menarik minat golongan wanita menyertai TLDM mahupun PSSTLDM supaya mereka tahu ada tempat untuk golongan ini dan kebajikan mereka sebenarnya dijaga, jasa mereka sangat diperlukan negara dan sumbang bakti mereka sangat-sangat dihargai pasukan.
Hidup wanita!

KD Seri Inderapura dilucut tauliah

MAJLIS Istiadat Pelucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) Seri Inderapura pada 21 Januari 2010 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak merupakan hari yang tidak boleh dilupakan oleh semua warga pasukan keselamatan itu.

Pada hari tersebut, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menitiskan air mata kerana amat terasa dengan 'kehilangan' kapal yang berfungsi sebagai kapal pemerintah dan logistik itu.

ABDUL Aziz Jaafar (tengah) bersama Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri) dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Datuk Mohd Som Ibrahim memberi tabik hormat kali terakhir kepada KD Sri Inderapura yang dilucutkan pertauliahan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lumut.

Masakan tidak, KD Seri Inderapura merupakan kapal kebanggaan TLDM kerana ia kapal terbesar pernah dimiliki pasukan tersebut dan telah banyak mengharumkan nama TLDM dan negara selama 14 tahun 11 bulan dan 21 hari tempoh perkhidmatannya.

Apatah lagi, mengenangkan saat-saat KD Seri Inderapura masih mempertahankan 'kemegahannya' ketika terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober 2009.

"Di sebalik insiden kebakaran terdapat satu peristiwa menarik perhatian kerana gada-gada tauliah serta gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM pada KD Sri Inderapura tidak terbakar dan boleh dilihat jelas melalui celahan kepulan asap dan api yang marak menjulang.

"Apa yang berlaku itu menggambarkan seolah-olah kapal itu mahu menunjukkan 'kebanggaannya' sebagai sebuah KD dan peristiwa ini amat pelik kerana gada-gada itu tidak terjatuh semasa kapal terbakar," kata Abdul Aziz selepas istiadat pelucutan tauliah KD Seri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, kapal tersebut diberikan penghormatan terakhir selepas mengakhiri perkhidmatannya dengan TLDM.

Majlis tersebut diadakan dengan penuh adat istiadat dengan kehadiran hampir semua bekas pegawai memerintah KD Seri Inderapura yang merasa bangga kerana pernah bertugas di kapal tersebut.

Menurut Abdul Aziz, 'kehilangan' KD Seri Inderapura sangat dirasai oleh semua warga TLDM kerana kapal itu adalah kebanggaan TLDM selama ini dan tanpanya, operasi armada laut negara terjejas.

Sejak ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, KD Seri Inderapura telah terlibat dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara dengan jarak perjalanan menjangkau 1,332,945.4 batu nautika.

Kapal tersebut pernah membawa kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam Ekspedisi Kembara Merdeka ke Cape Town, Afrika Selatan serta pelayaran bantuan logistik KLD Tunas Samudera mengelilingi dunia.

Kapal itu juga terlibat dalam menghantar bantuan kemanusiaan di Aceh dan Timor Leste. Paling diingati, kapal tersebut menyertai operasi menyelamat tebusan dan mengiringi kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) di Teluk Aden pada 2008.

Sebelum dibeli oleh kerajaan Malaysia pada harga RM48 juta, KD Seri Inderapura yang dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970 berkhidmat dengan Tentera Laut AS dan dikenali sebagai USS Spartanburg County, bermula 1 September 1971 hingga Disember 1994.

Dalam tempoh 26 tahun itu, banyak tugasan telah dilaksanakan oleh kapal tersebut termasuk misi kemanusiaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Operasi Doria Salute IV 1974 serta ekspedisi kemanusiaan tentera AS ke Lubnan dan Kuwait.

KD Seri Inderapura pernah terbakar semasa berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 16 Disember 2002 tetapi kembali beroperasi selepas dibaik pulih tetapi tragedi menyayat hati pada 8 Oktober lepas memusnahkan kapal tersebut.

Sebagai sebuah kapal yang disanjung ramai warga TLDM, ramai mencadangkan supaya bangkai kapal tersebut 'disemadikan' dan dijadikan tukun di lokasi kapal itu tersadai sekarang.

Namun, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana besi-besi keluli pada kapal itu boleh menjejaskan ekologi hidupan di laut dan jalan terbaik ialah dengan melupuskan bangkai kapal tersebut.

Bagaimanapun, beberapa barang pada KD Seri Inderapura seperti gada-gada tauliah, gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM yang terselamat dalam kebakaran itu akan disimpan sebagai bahan sejarah.

Walaupun KD Seri Inderapura kini hanya tinggal nama, segala jasa dan sumbangan KD Seri Inderapura akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sebagai sebuah kapal yang banyak mengharumkan pasukan tentera negara.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Sayonara. Jasamu dikenang.

Friday, January 22, 2010

Pegawai memerintah KD Inderapura didakwa

LUMUT - Bekas pegawai memerintah Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di sini Isnin ini berhubung kejadian kebakaran melibatkan kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 8 Oktober lalu.

KD Sri Inderapura yang musnah dalam kebakaran telah dilucutkan pertauliahan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (gambar kecil) berkata, pegawai tersebut akan menghadapi dua pertuduhan dan perlu bertanggungjawab terutama dalam menentukan aset hak milik negara selamat.

Ujarnya, TLDM boleh menerima hakikat kebakaran tersebut tetapi bukan 'kehilangan' kapal itu.

"Sebagai contoh, kemalangan jalan raya boleh berlaku tetapi kita tidak boleh terima apabila melibatkan kehilangan nyawa kerana ia menunjukkan banyak kelemahan.

"Begitu juga dengan kejadian ini kerana ia menunjukkan kurang latihan, sistem tidak beroperasi dengan baik atau anggota tidak menunjukkan semangat yang tinggi," katanya.

SUMBER: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Perkara yang ditunggu-tunggu dah tiba... jawab jangan tak jawab... banyak benda kena jelaskan. Problem is masalah.