Wednesday, October 29, 2008

Peristiwa di KDSP

Catatan peristiwa di KDSP

(untuk episod yang telah lepas tapi tiada kesempatan untuk ditulis, bukan apa ramai jugak geng-geng PSS ini nak tumpang glamour muka masuk web boleh keluar kat seluruh dunia... tu yang *depa seronok tu, apa nak buat... nak kabulkan hajat member)

........................***...........................

15hb Okt 2008, Rabu - Ramai anggota yang telah mendapat perkenan Markas Tentera Laut / MTL untuk kuasa kenaikan pangkat kepada Pemangku Bintara Kanan, Pemangku Bintara Muda dan juga Laskar Kanan mengadap Pegawai Memerintah (C.O.) untuk pakai pangkat. Sebelum tu dah ngadap Pegawai Laksana (X.O.) dulu untuk dimajukan ke meja CO.

Nak pakai pangkat ni bukan senang, banyak peringkat juga kena tempuh baru boleh merasa ngadap pakai pangkat. Dan tak habis kat situ kena ngadap masuk mess lagi dan macam-macam jugaklah... tu tak kira kenduri lagi... banyak guna masa dan wang ringgit jugak. Dah tu pangkat dalam pangkuan selama 6 bulan dulu baru boleh disahkan pangkat sebenar. Kira macam tempoh edah jugaklah ni.

Tapi kalau regular TLDM / Navy lagi teruk... biasalah, mana boleh sama regular ngan PSS - walau pun sama tapi tak serupa, betol tak?

Yang geng group 5 orang kat sebelah ini adalah antara yang teramai menerima kenaikan pangkat iaitu dari cawangan Teknisyen Merin Kuasa Gerak atau TMK. Tengoklah COB dia sapa? 5 orang anak buah dapat kenaikan pangkat selaki gus! Ini adalah hari terakhir untuk berpakaian ini sebelum ditukar kepada senior rate style. Sempat lagi bergambar dalam mess selepas ngadap CO.

Walau bagaimanapun Alhamdulillah dan Tahniah! pada member-member dapat pakai pangkat jugak walau pun lama diaorang tunggu. Lepas ni kendurilah, apalagi....

.............................***...............................

18hb Okt 2008, Sabtu - Jamuan Hari Raya KDSP. Dianjurkan oleh PSSTLDM dengan tajaan dari CO dan semua anggota PSSTLDM di KDSP. Ingatkan kurang mendapat sambutan tetapi Alhamdullillah meriah dan suasana raya begitu terasa dengan lemaknya lemang dan ketupat serta lontong.

Dan yang paling best adalah nasi beriani Coxn Daud (ex TLDM dan ex PSSTLDM) memang sempoi habislah. Sapa nak order boleh contact saya, nanti saya bagi phone no. dia... memang tak nyesal punya. Try dulu baru tahu. Ditambah pulak dengan satey yang begitu menyelerakan. Satey ni tak sure pulak mana mai... tapi memang best-lah.

Habis makan siap bergambar beramai-ramai lagi ngan CO dan member-member yang ada. CO tanya jugak "gambar dulu masa posing kat Hotel Tanjung Bungah mana pi? tak nampak pun" depa kata ni semua angkara virus pada card memorylah... macam-macam, satu gambar pun takdak, posing bagai nak rak tapi... hampeh! rasanya ni semua gara-gara penyayi Filipina yang seksi tu kot? hehehehe...

..........................***.............................

20hb Okt 2008, Isnin - Sesi suai kenallah pulak... malam tu hari training semua Pemangku Bintara Muda atau P.O. (Petty Officer) saja yang dipanggil keluar untuk dikenalkan dan mengenalkan diri pada semua dan sejak malam tu tiada lagi panggilan "Leading" akan dipanggil kepada mereka ni. Arahan oleh PMC Senior Rate Mess PWI (GI) Shukri.

Nasib baik geng-geng Pemangku Bintara Kanan yang baru tu tak dipanggil keluar kalau tidak kecoh jugak Chief Man atau P/BK Azman malam tu... biasalah orang lama... katanyalah... lagi satu dia ni kalau sebut Chief Man Kancil semua orang tau kenape yek? lagi satu incharge galley mesti tak rugi ambik dia - dia selalu untung punya.

Ha, itulah antara peristiwa-peristiwa yang terlepas tapi tak sempat nak diceritakan kat sini. So skarang dah tulis lega rasanya... ok kawan-kawan...


*Nota:
depa = cakap utara bermaksud diaorang / mereka

Thursday, October 23, 2008

FPDA atasi ancaman lanun dan pengganas

SEBUAH kapal pengangkut yang dipercayai membawa barangan elektronik terlarang dikesan melalui perairan Laut China Selatan, kira-kira 44 kilometer dari Kuantan, Pahang.

Melalui imbasan yang dibuat oleh radar daripada kapal-kapal angkatan tentera Malaysia, Singapura, United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand, barangan elektronik dalam kapal berkenaan dikhuatiri bertujuan dijadikan komponen penting dalam pembuatan senjata pemusnah besar-besaran (Weapons of Mass Destruction-WMD) seperti bom atom, kimia dan radiologi.

[Keterangan gambar: PARA pemerintah tertinggi angkatan tentera dan pegawai kementerian pertahanan negara-negara FPDA bergambar simbolik setiakawan kelima-lima negara berkenaan.]

Jika komponen itu berjaya dibekalkan kepada pengganas atau lanun yang berpusat di Asia Tenggara, sudah pasti keselamatan dan kedaulatan negara-negara sekitar termasuk Malaysia terancam.

Lebih buruk, ancaman tersebut turut boleh menular ke negara-negara di rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia.

‘‘Kapal pengangkut tersebut sedang bergerak pada kelajuan kira-kira 19 knot. HMS Kent (UK) diminta menghantar pesawat (helikopter) bagi melakukan serbuan.

‘‘Kapal-kapal lain beserta aset tempur masing-masing diarahkan untuk memberi perlindungan dan bersedia melakukan tindakan balas menghadapi sebarang kemungkinan,” tegas seorang pegawai kapal frigat Australia HMAS melalui rangkaian radio wayarles.

Sejurus kemudian, sebuah helikopter Super Lynx dari kapal frigat HMS Kent tersebut bergerak pantas ke arah kapal pengangkut tersebut melakukan rondaan di udara.

Beberapa saat kemudian, sebilangan anggota pasukan khas armada UK berkenaan dilihat turut melakukan serbuan menggunakan teknik fast roping dari helikopter itu.

Ia kemudian disusuli dengan dua buah bot dari HMS Kent dan HMNZS Te Kaha (New Zealand) beserta anggota pasukan khas masing-masing menghampiri kapal pengangkut barangan elektronik itu bagi melakukan serbuan melalui laut pula.

Bagi memantapkan serbuan, helikopter tempur S-70-B Seahawk milik HMAS Anzac turut menghampiri kapal yang diserbu itu dari jarak kira-kira 460 meter dalam masa kurang daripada 30 saat dan bersedia menyerang sekiranya kapal berkenaan bertindak balas.

Turut muncul, beberapa jet pejuang Hawk Mk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pesawat F-111 Aadvark Tentera udara Diraja Australia.

Senario serbuan, penggeledahan dan rampasan kapal serta peralatan elektronik di perairan itu disifatkan sebagai berjaya apabila koordinasi kesemua kapal serta pesawat tempur lima negara itu berjalan dengan lancar.

Ia turut disertai oleh kapal frigat KD Lekir dan KD Sri Indera Sakti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), RSS Intrepid Republik Singapura dan kapal pengangkut minyak Australia, HMAS Sirius.

Lebih membanggakan, Malaysia yang menjadi tuan rumah Eksesais Bersama Lima Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) kali ini dari 8 Oktober lalu sehingga Jumaat depan diakui berjaya menganjurkannya dengan berkesan setakat ini.

Sebagai rekod, buat pertama kalinya penganjuran eksesais di Malaysia kali ini dihoskan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mana sebelum ini ia dikelolakan oleh TLDM dan TUDM.

Pengarah eksesais tersebut, Brigedier Jeneral Abu Musa A. Rahman berkata, tahap persefahaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Singapura, UK, New Zealand dan Australia dilihat semakin baik dan berupaya menjamin keselamatan serta kedaulatan negara-negara itu.

Beliau yang juga Panglima Tujuh Briged memberitahu, eksesais kali ini menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan kerana walaupun fasa operasi latihan di laut itu hanya dirancang dan dimulakan hari ini, kesemuanya berjalan lancar.

‘‘Ini menunjukkan eksesais bersama FPDA yang dimulakan sejak tahun 1971 masih relevan dan membawa banyak manfaat terutama dari segi keselamatan di lautan.

‘‘Persefahaman sebegini mampu mengelakkan negara-negara FPDA daripada sebarang ancaman bukan konvensional seperti serangan lanun di perairan Somalia baru-baru ini dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di atas kapal frigat Australia, HMAS ANZAC, Khamis lalu.

Hadir sama, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohamed Noor (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Shahron Ibrahim (TUDM) dan Panglima Tentera Udara Singapura, Mejar Jeneral Ng Chee Kern.

Menurut Chee Kern, doktrin pertahanan yang diamalkan oleh kelima-lima negara adalah sangat efektif serta membuahkan hasil memberangsangkan.

‘‘Ini menunjukkan tahap setiakawan kelima-lima negara Komanwel ini sangat baik seterusnya menjamin keselamatan di masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah HMAS ANZAC, Kapten Stuart Mayer mengakui Malaysia telah menjalankan tugas yang baik dalam mengelolakan eksesais kali ini.

‘‘Seperti yang anda saksikan, senario operasi serbuan, penggeledahan serta rampasan ke atas kapal tadi dijalankan dengan berkesan dan saya berharap kerjasama ini dapat dimantapkan dari semasa ke semasa,” jelas.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Wednesday, October 22, 2008

Anggota TLDM bangga kendalikan Scorpene

ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terpilih untuk menjadi antara anggota kapal selam pertama negara merasakan ia merupakan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia dan perlu menghadapi segala cabaran dengan tabah dan bersemangat.

Kebanyakan mereka yang telah lebih tiga tahun menjalani latihan di Brest, Perancis merasakan tanggungjawab sebagai krew kapal selam merupakan satu cabaran yang perlu dipikul dengan penuh rasa bangga walaupun ia amat getir.

[Keterangan Gambar: PENGALAMAN menyambut hari raya dalam kapal selam dan berada di negara orang merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh semua bakal krew kapal selam Malaysia.]

Seperti diketahui TLDM kini sedang melatih 142 anggota kapal selam di Perancis untuk penyediaan mengendalikan dua kapal selam Scorpene yang dibeli oleh Malaysia bagi memperkukuhkan armada TLDM di masa depan dan melindungi perairan negara.

Ketika ditemui di upacara pelancaran kapal selam Scorpene kedua negara yang dikenali sebagai KD Tun Razak di Cartagena, Sepanyol, baru-baru ini, beberapa bakal krew kapal selam itu melahirkan rasa bangga atas pencapaian negara dan cabaran mereka untuk menjadi pengendali kapal selam.

Pegawai Waran 1 Submarin, Saad Rabani, 41, menyifatkan kedatangannya ke negara luar untuk menjalani latihan sebagai krew kapal selam Scorpene 2 dan meninggalkan keluarganya sementara waktu sebagai satu pengorbanan demi tugas untuk negara.

Berasal dari Alor Gajah, Melaka, Saad yang berkemahiran dalam bidang elektrik berkata, beliau telah empat tahun menjalani latihan di Perancis dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara orang.

“Mereka ada menghubungi saya bertanya bila saya akan pulang, tetapi ini adalah sebahagian daripada tugas untuk berbakti kepada negara,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

“Saya rasa keadaannya sama juga kepada mereka yang bertugas dalam bidang ketenteraan, sama ada tentera darat, laut ataupun udara,” kata Saad, yang merupakan antara anggota TLDM yang menjalani latihan di Perancis.

Juruteknik elektrik, yang telah berkhidmat dengan TLDM sejak 20 tahun lepas itu, berkata, kapal selam Scorpene yang dibeli Malaysia merupakan kapal automatik berkuasa tinggi berbanding dengan kapal yang mereka gunakan semasa latihan sekarang.

“Terdapat banyak peralatan automatik di dalam kapal Scorpene, segala-galanya bergerak dengan hanya menekan butang. Ia sebuah kapal selam kompak yang memerlukan seseorang mempunyai kekuatan mental kerana seseorang itu perlu mengendalikan beberapa tugas,” katanya.

Saad juga bercerita tentang keadaan sempit di dalam kapal selam di mana katilnya tidak ubah seperti keranda.

“Tetapi saya berasa bangga kerana terpilih, di sebalik usia saya, sebagai kalangan anggota pelopor Pasukan Kapal Selam TLDM,” katanya.

Bintara Kanan Wahid Mohamad Sejili dari Sarawak yang turut bersetuju dengan Saad berkata, beliau kini bersedia menjadi krew kapal selam.

“Terdapat beberapa cabaran kerana ini merupakan kapal selam pertama Malaysia dan bertugas di dalam kapal selam itu adalah berbeza dengan kapal biasa,” katanya.

Sementara itu, Bintara Kanan TMEP, Jeffery Lenjau Jaing menyifatkan keakraban dan semangat berpasukan amat penting untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dalam keadaan yang terhad di dalam kapal selam.

“Ia amat mencabar untuk menjadi seorang krew kapal selam tetapi saya bersedia menghadapinya,” kata laskar laut dari Miri, Sarawak ini.


Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Bestkan dalam submarine / kapal selam ni... tak sabar menunggu nak rasai pengalaman menaikinya

Tuesday, October 21, 2008

Misi penyelamat Ops Fajar selamat kembali

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Seramai 21 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dengan misi menyelamat rakyat negara ini yang ditawan lanun di Perairan Teluk Aden, September lalu selamat kembali ke tanah air hari ini.

[Keterangan Gambar: SELAMAT PULANG... SEBAHAGIAN daripada pegawai dan anggota Ops Fajar, yang terlibat dalam misi membebaskan krew serta kapal Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5, mengaminkan doa pada majlis meraikan kepulangan pasukan itu di Jeti Operasi Pangkalan TLDM di Lumut, Perak, semalam.]

Kesemua mereka tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut kira-kira pukul 9 pagi dan kemudiannya dibawa menaiki pesawat Nuri ke pangkalan Udara TUDM di sini.

Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Seri Bashir Abu Bakar serta ahli keluarga mereka.

Mejar Mahidzar Idris, ketua untuk operasi menyelamat itu ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana misi selesai dan selamat ke tanah air.

Jelasnya, di awal permulaan misi tersebut, beliau sentiasa memikirkan tempoh misi itu akan berakhir demi keselamatan anak kapal serta ketika itu perayaan Aidilfitri hampir tiba.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, bila melihat anak-anak buah bekerja dengan dedikasi dan bersungguh-sungguh, perasaan ingin pulang cepat tidak timbul sebaliknya mahu menyelesaikan misi tersebut dengan selamat,’’ katanya kepada pemberita di majlis meraikan kepulangan pasukan Ops Fajar dari Teluk Aden di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Pada 30 September lalu, seramai 21 pegawai dan anggota Ops Fajar belayar menggunakan kapal KD Lekiu dan KD Sri Inderapura dengan misi membantu membebaskan krew serta kapal Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 di Perairan Teluk Aden.

Seorang jurutera pesawat yang turut menyertai misi menyelamat itu, Zamzurina Mohd. Noor, 31, berkata, Ops Fajar memberi banyak pengalaman dan cabaran kepada dirinya dan rakan-rakan.

Beliau antara anggota wanita yang terpilih menyertai misi itu menambah, perasaan takut dan cemas memang ada kerana situasi di sana bukan sahaja mengancam nyawa tebusan tetapi nyawa mereka yang menyertai operasi tersebut.

“Alhamdulillah, kami berjaya mengatasinya dan pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya yang telah 14 tahun berkhidmat dalam TUDM.

Kapten Ahmad Azrul Dzulkarnain turut melahirkan rasa bangga dan gembira dengan penglibatannya dalam misi kali ini.

Jelasnya, misi menyelamat ke perairan tersebut merupakan misi pertama dilakukan TUDM dan ia ternyata dapat memupuk sikap tanggungjawab dalam dirinya serta rakan-rakan lain.

“Saya merasakan misi menyelamat ini dapat mewujudkan semangat setia kawan, berdisiplin serta bertanggungjawab,” tambahnya.

Seorang lagi jurutera pesawat Noraidah Ngadi, 36, memberitahu ancaman yang dihadapi dapat meningkatkan lagi kecekapan anggota TLDM ketika berhadapan dengan situasi getir untuk menyelamatkan nyawa rakyat negara ini yang dijadikan tebusan lanun.

SUMBER: Utusan Online

CyberCoxswain: Syabas dan Tahniah kepada anggota-anggota kita yang telah kembali ke tanahair. Jasamu dikenang.

Wednesday, October 15, 2008

Scorpene pengawal perairan negara

“BETA dengan ini menamakan kapal selam ini ‘Tun Razak’ dan melancarkannya. Semoga Allah merahmati dan melindungi semua yang belayar bersamanya,” titah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Pelabuhan Cartagena, Sepanyol, baru-baru ini.

[Keterangan Gambar: Tuanku Nur Zahirah diberi penerangan mengenai kapal selam Tun Razak selepas upacara pelancarannya di Limbungan Navantia, Cartagena, Sepanyol, baru-baru ini.]

Pelancaran kapal selam kedua itu menandakan Malaysia kini secara rasmi memiliki dua kapal selam jenis Scorpene, selepas kapal selam pertama yang dinamakan Tunku Abdul Rahman dilancarkan di Perancis, tahun lepas.

Sebut sahaja kapal selam, semua orang akan terbayangkan kehebatan kapal berbentuk seperti ikan paus dengan bentuk lonjong yang sudah tentu banyak digunakan oleh angkatan tentera laut, selain untuk penyelidikan saintifik dan rekreasi.

Bagi yang digunakan untuk angkatan tentera, sudah tentu kapal selam sangat digeruni kerana kemampuannya untuk menghampiri kapal musuh tanpa dapat dikesan dan kemudiannya melakukan serangan mengejut.

Disebabkan kehebatan teknologinya, tidak semua negara mampu memiliki kapal tersebut kecuali negara-negara maju yang menciptanya sendiri atau negara sedang membangun yang membelinya untuk tujuan perlindungan perairan masing-masing.

Bagi Malaysia, pembelian kapal selam merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan angkatan tentera negara di samping untuk tujuan melindungi perairan negara daripada sebarang ancaman.

Ia juga mempunyai motif ekonomi seperti membantu kapal-kapal dagang, melindungi paip-paip gas dan minyak serta talian komunikasi bawah laut.

TLDM amat memerlukan kapal selam sendiri kerana perairan Laut China Selatan merupakan laluan kapal kedua paling sibuk di dunia dan jika berlaku konflik, laluan Selat Melaka turut terjejas.

Kedua-dua kapal selam jenis Scorpene berteknologi Perancis yang dimiliki Malaysia dibina oleh DCN Shipyard International (DCNS) dari Perancis dengan kerjasama rakan perniagaannya, Navantia dari Sepanyol.

Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar, pemilikan dua kapal selam itu oleh Malaysia bukan bertujuan menandingi keupayaan tentera laut mana-mana negara di rantau ini.

“Ia adalah satu keperluan keupayaan yang perlu dimiliki mana-mana tentera laut,” katanya ketika ditemui di Cartagena, Sepanyol, limbungan tempat pembinaan kapal selam kedua negara disiapkan pada majlis pelancaran kapal selam Scorpene kedua negara.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong itu turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Panglima Tentera Laut Sepanyol, Almirante General Manuel Rebollo Gargia.

Sememangnya, Malaysia hanya merupakan negara ketiga yang memiliki kapal selam di rantau ini selepas Singapura dan Indonesia.

Singapura telah memiliki empat kapal selam dari kelas Challenger dan Tentera Laut Singapura telah memiliki ketumbukan empat kapal selam iaitu RSS Challenger, RSS Centurion, RSS Conqueror dan RSS Chieftain.

Manakala, Tentera Laut Indonesia (TNI-Laut) juga mempunyai dua aset kapal selam kelas T-209 yang masing-masing dinamakan Cakra dan Nanggala. Indonesia juga dijadualkan menerima empat kapal selam dari Korea Selatan tahun ini.

Menurut kajian, negara-negara di rantau Asia Pasifik dijangka membeli sejumlah 841 buah kapal menjelang 2016 dan 83 buah kapal selam telah ditempah oleh China, Korea Selatan, Jepun, Malaysia, Singapura, India, Pakistan, Indonesia dan Taiwan.

Bagi Malaysia, pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai RM3.4 bilion itu sememangnya menjadi kebanggaan rakyat negara ini kerana ia merupakan dua kapal selam yang pertama dimiliki TLDM.

Pemilikan kapal-kapal selam oleh Singapura, Indonesia dan Malaysia sudah tentu membuka peluang untuk kerjasama ketiga-tiga sama-sama mengawal perairan Selat Melaka daripada ancaman lanun dan pendatang haram.

Kelebihan Scorpene

Apakah kelebihan Scorpene sehinggakan Malaysia berminat untuk memiliki kapal selam berteknologi Perancis yang turut digunakan oleh negara Chile dan terkini, India yang turut menempah enam buah kapal selam tersebut?

Kapal selam moden ini dilengkapi dengan senjata terkini, kemampuan menyelam lebih lama, kelajuan tinggi, menyelam lebih dalam, bunyi yang senyap dan pengurusan sistem peperangan terkini.

Jika anda membuat sedikit kajian di Internet mengenai Scorpene, tentu akan mendapati terdapat beberapa laman web yang menyatakan mengenai kehebatan kapal selam berteknologi Perancis itu.

Kehebatan utama yang diutarakan mengenai kapal selam menggunakan diesel dan elektrik sebagai sumber tenaga itu ialah kemampuannya beroperasi dengan sangat senyap.

Dengan kemampuannya itu, sudah tentu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak agak digeruni kerana kemampuan mengesan kapal musuh dan seterusnya mengelak daripada dikesan merupakan ciri paling penting untuk sesebuah kenderaan perang sama ada di darat, udara dan laut.

“Kehadiran kapal selam sememangnya sukar dikesan oleh mana-mana kapal dan ini juga memberi peluang kapal selam kita beroperasi tanpa dikesan oleh mana-mana bakal musuh negara,” kata Abdul Aziz.

Beliau berkata, kehadiran kapal selam mampu menjadi force multiplier asset kepada TLDM kerana ia boleh melaksanakan beberapa tugasan seperti pengawasan, pemantauan, perisikan dan untuk tugasan lain di bawah air.

“Ia juga boleh digunakan untuk misi mematahkan serangan musuh kerana ia boleh melancarkan bukan sahaja torpedo dan peluru berpandu tetapi juga boleh melancarkan anggota pasukan khas laut,” tambahnya.

Kapal selam jenis tempur konvensional itu mempunyai kemampuan membawa peluru torpedo, peluru berpandu dan pemusnah periuk api serta mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman sehingga 300 meter.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu antikapal permukaan dan torpedo antikapal selam.

Tiub torpedo Scorpene boleh menggunakan peluru torpedo dari F17, BlackShark dan Mk48 serta peluru berpandu Exocet.

Sebenarnya, kapal selam Scorpene mempunyai tiga jenis iaitu Basic, Basic-AIP dan Compact, yang mana Chile dan Malaysia telah memilih model Basic yang boleh dipertingkatkan di masa depan.

Perbezaan ketara antara model Basic dengan Basic-AIP ialah sistem AIP (air-independent propulsion) sehingga membolehkan Scorpene digelar sebagai antara kapal selam paling senyap di dunia.

Walaupun model kapal selam Malaysia kini tidak dilengkapi dengan sistem Mesma AIP yang digeruni oleh kapal-kapal selam lain tetapi sistem itu boleh dipasang bila-bila masa selepas ini walaupun kapal itu telah siap dibina.

Jika Scorpene dilengkapi dengan sistem AIP, ia dikatakan sangat sukar dikesan dan kesenyapannya dikatakan mampu menandingi kapal selam nuklear Amerika Syarikat yang paling senyap.

Bagaimanapun, secanggih mana teknologi kapal selam itu, faktor utama yang menentukan kejayaannya sudah tentu ‘tangan-tangan’ yang mengendalikannya.

Bagi TLDM, kapal selam dengan kemampuan membawa 31 anggota dalam satu-satu masa itu seharusnya mempunyai anggota terlatih dan seramai 142 anggota TLDM kini menjalani latihan di Brest, Perancis, bagi menyiapkan mereka sebagai pengendali Scorpene.

Bagi bakal krew kapal selam KD Tun Razak, Saad Rabani yang merupakan juruteknik elektrik, Scorpene merupakan kapal automatik berkuasa tinggi berbanding dengan kapal yang mereka gunakan semasa latihan sekarang (Agosta).

“Terdapat banyak peralatan automatik di dalam Scorpene yang mengurangkan penggunaan krew.

“Ia sebuah kapal selam kompak yang memerlukan seseorang mempunyai kekuatan mental kerana seseorang itu perlu mengendalikan beberapa tugas,” katanya.

Walau apa sahaja cabaran yang dihadapi anggota tentera untuk mengendalikan kapal selam, sudah tentu ia menjadi satu kebanggaan kepada negara ini yang tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk melindungi kedaulatan negara.

Malaysia yang sentiasa mengutamakan meja perundingan dalam menghadapi sebarang krisis atau konflik sememangnya akan lebih dihormati selepas ini apabila juga bersedia melindungi diri sendiri jika diancam secara kekerasan.


Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Tunggu kedatangannya pada awal tahun depan untuk menyaksikan sendiri kehebatan dan bagaimana para anggota TLDM mengendalikan kapal selam ini.

Tuesday, October 14, 2008

Kapal-kapal Selam Perang

KAPAL selam sememangnya lebih banyak digunakan untuk tujuan peperangan berbanding penyelidikan saintifik, pelancongan dan rekreasi.

[Keterangan Gambar: Kapal selam kelas Seawolf KAPAL selam penyerang kelas Seawolf (SSN) menjadi pengganti kepada kapal selam kelas Los Angeles yang mampu bergerak lebih pantas, lebih besar dan membawa lebih banyak peluru torpedo (lapan). Ia direka untuk menandingi kapal selam balistik-peluru berpandu Rusia. Boleh menyelam sehingga 610 meter dan membawa krew 14 pegawai dan 126 anggota.]

Kapal selam peperangan mula digunakan dengan meluas pada Perang Dunia Pertama yang digunakan untuk menyerang kapal, kapal selam dan kemudahan ketenteraan musuh.

Kapal selam moden berbentuk cerut dan direka mengikut bentuk badan ikan paus bagi mengurangkan geseran antara air dan badan kapal.

Dengan menggunakan kuasa yang dibekalkan oleh reaktor nuklear kapal selam moden mampu kekal di bawah air hampir sepenuh masa dan timbul hanya apabila diperlukan.

Menara pada atas kapal selam mengandungi periskop dan layar elektronik (electronics mast), yang termasuk radio, radar, peperangan elektronik (electronic warfare) dan sistem lain.

Kapal selam ketenteraan biasanya mempunyai anak kapal melebihi seratus orang, bagaimanapun teknologi terkini membolehkan ia dikendalikan oleh anggota yang lebih sedikit.

Kapal selam kebiasaannya mengekalkan mod senyap untuk mengelakkannya dari dikesan.

Ciri-ciri utama kekal sukar dikesan, terselindung oleh lautan seluas berbatu-batu. Walaupun dengan sistem pengesanan moden, kapal selam masih mampu bergerak hampir tidak kelihatan.

Kapal selam ketenteraan biasanya terbahagi kepada dua jenis: kapal selam pengangkut peluru berpandu balistik dan kapal selam penyerang.

Selain kapal selam jenis ini, terdapat banyak jenis kapal selam katek (bahasa Inggeris: midget submarine) yang jauh lebih kecil, digunakan untuk sabotaj, mengintip dan pengangkutan rahsia.

Kapal selam peluru berpandu balistik membawa peluru berpandu senjata nuklear bertujuan untuk menyerang sasaran strategik seperti bandar atau silo peluru berpandu yang terletak di mana-mana kawasan di dunia.

Kesemuanya berkuasa nuklear, untuk mengekalkan ciri-ciri paling senyap dan paling tahan menyelam.

Kapal selam yang direka untuk menyerang kapal dagang atau kapal perang lain dikenali sebagai kapal selam penyerang atau ‘pembunuh pemburu’ (hunter-killer).

Kapal selam penyerang biasanya membawa torpedo untuk menyerang kapal tentera laut, dan kadang kala peluru berpandu kruise untuk menyerang sasaran daratan atau perkapalan.

Kapal selam penyerang menggunakan pelbagai sistem tujahan dan kebanyakannya menggunakan gabungan diesel-elektrik.

Monday, October 13, 2008

Kedaulatan Pulau Layang-layang

KUNJUNGAN media baru-baru ke sini bagi menyertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak melawat Pulau Layang-layang seperti dijangka mengundang rasa kurang puas hati negara-negara yang menuntut hak ke atas kepulauan itu.

Kementerian luar China dan Taiwan berpendapat lawatan delegasi menteri dan pegawai-pegawai kanan ATM itu tidak sepatutnya berlaku. Seperti China, Taiwan juga menuntut keseluruhan kepulauan di sini yang disifatkannya sebahagian hak mutlak negara itu.

Jurucakap kedua-dua negara memberitahu Malaysia sepatutnya menghormati perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2002 antara negara-negara yang terbabit dalam isu tuntutan bertindih itu. Kenyataan yang disiarkan oleh hampir semua media utama negara itu bagaimana pun pantas dijawab Timbalan Perdana Menteri.

"Tidak timbul soal provokasi kerana Pulau Layang-layang terletak dalam perairan negara walau pun tuntutan mengenainya masih diperbincangkan antara negara-negara termasuk China dan Taiwan," ujar beliau.

Menurut Najib, kehadiran rakyat Malaysia di kawasan strategik negara termasuk wilayah kepulauan itu tidak dianggap remeh kerana ia sebahagian daripada ZEE negara.

"Berdasarkan pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan terhadap Batu Putih, beberapa bulan lalu, kita tidak boleh memandang remeh perkara ini.

"Aset fizikal seperti penempatan TLDM ini bakal menyokong tuntutan pemilikan negara terhadap kawasan itu jika ia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Bagaimanapun, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang berhubung isu tersebut kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan menerusi rundingan demi keamanan serantau.

"Jika sesuatu tuntutan dirujuk kepada ICJ, satu daripada faktor utama pertimbangan ialah penguasaan sesuatu pulau membabitkan pemilikan atau penempatan rakyat kita untuk menyokong tuntutan itu," tegasnya.

Isu Spratly pernah menyaksikan konflik bersenjata antara China dan Vietnam pada Januari 1974 di Gugusan Paracels. Secara terbuka negara kuasa Asia Timur itu menuntut keseluruhan kepulauan di Laut China Selatan ini sebagai perairan yang berada di bawah penguasaannya.

Konflik bersenjata beberapa kali berlaku antara kedua-dua negara sekitar tahun 1980-an yang mencetuskan ketegangan.

Yang pasti, konflik China - Vietnam membuka mata negara-negara lain yang bersempadan di sini untuk membuat tuntutan sama dengan membina penempatan.

Pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 20 September 1979 menyaksikan Kabinet mengarahkan supaya kajian segera dilakukan untuk mendirikan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang di perairan ini.

Sebuah tugu kemudian dibina di sini pada 21 Jun 1980 menandakan hak kedaulatan Malaysia. Ia disusuli dengan penempatkan anggota Paskal TLDM di sini pada Mei 1983 dalam keadaan yang cukup mencabar.

Survivaliti tim Paskal ketika itu jelas menunjukkan kesanggupan mereka menggadaikan keberanian demi mengawasi kedaulatan negara. Dari segi geografi, kawasan perairan ini mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi, khususnya mineral.

Daripada sebuah terumbu, ia melalui beberapa fasa pembesaran sejajar dengan keperluan operasi di sini sehingga terbentuknya kawasan daratan lalu dikenali sebagai Pulau Layang-layang meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer persegi.

Ia hasil penambakan 70,000 meter padu pasir dan konkrit bagi pembinaan blok kediaman, hangar bilik janakuasa, kincir angin, menara pemerhati serta landasan kapal terbang sepanjang 1,367 meter yang hanya cukup-cukup menerima pendaratan pesawat bersaiz C-130.

Seperkara yang menarik, setiap penghuni stesen ini juga perlu mematuhi disiplin penggunaan air yang ketat kerana bekalan kira-kira 57 tan air bersih sehari itu diperolehi daripada sistem memproses air suling.

Selain pulau ini, TLDM turut menduduki Terumbu Ubi (Stesen Uniform), Terumbu Mantanani (Stesen Mike), Terumbu Siput (Stesen Sierra) dan Terumbu Peninjau (Stesen Papa) yang menempatkan terup Paskal. Kesemua stesen ini dikenali sebagai Stesen Luar Pantai di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 2 (Marwila 2).

Melihat persekitaran pulau ini sudah cukup menjelaskan mengapa ia penting sebagai 'aset' yang perlu dipertahankan. Bukan bertujuan mewujudkan provokasi, sebaliknya penempatan TLDM di sini adalah bagi mengawasi kedaulatan perairan negara.

SUMBER: Kosmo! Online

Friday, October 10, 2008

Anggota TLDM lincah bersilat

DALAM perkhidmatan ketenteraan di mana-mana negara, taekwondo, karate dan judo merupakan antara jenis seni mempertahankan diri yang biasa diamalkan.

Pengadaptasian jenis-jenis ilmu mempertahankan diri sebegini antaranya dikaitkan dengan kemudahan, praktikal dan kepopularannya seantero dunia.

Namun adakah taekwando, karate mahupun judo terlalu hebat sehingga jauh mengatasi seni pertahanan diri lain seperti silat, kung fu atau silambam?

Secara umum, kesemua jenis seni mempertahankan diri yang disebut di atas mempunyai keupayaan yang agak serupa, tetapi dibezakan dengan usaha mengangkat martabat mereka.

Menyedari hakikat itu, seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Zainol Abidin Jusoh yang berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah mengambil inisiatif menubuhkan Pasukan Seni Silat Gayung Fatani Malaysia TLDM pada hujung Julai lalu.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Memerintah Pasukan Bantuan Gugusan Semarang Peninjau (PBGSP) TLDM berpendapat, ilmu silat perlu lebih banyak dipraktikkan dalam perkhidmatan tentera agar ‘tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.’

‘‘Lagipun, ilmu silat adalah warisan masyarakat Melayu, seterusnya lambang yang harus dikongsi dan dibanggakan oleh seluruh masyarakat Malaysia, sama seperti wushu dan silambam,” katanya ketika ditemui selepas melakukan persembahan di Stesen Lima TLDM, Pulau Layang-Layang, Sabah baru-baru ini.

Pada persembahan itu, Zainol disertai oleh Laskar Kelas (LK) 1 Abdul Rahman Mohd. Yusof, LK 1 Mohd. Farid Mohd. Nizam, LK 1 Ahmad Tarmizi Zainol, LK 1 Haizol Ahmad, LK 1 Saiful Abd. Khoni dan LK 1 Wan Mohd. Azri Wan Ali. Sementara itu, guru silat pasukan pula ialah Cikgu Awang Zaini.

[Keterangan Gambar: AKSI tempur tanpa senjata yang dipamerkan oleh anggota tentera Malaysia sempena lawatan media ke pulau-pulau sekitar perairan Sabah, baru-baru ini]

Pada persembahan sulung pasukan itu yang dilakukan sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama media, pasukan tersebut telah mempamerkan persembahan bertenaga.

Ia dimulakan dengan Silat Sambut Selamat Datang atau Bunga Sembah yang dilakukan secara solo oleh Zainol. Lenggok badannya penuh seni, lembut, namun tetap berupaya menggerunkan musuh.
Katanya, walaupun disiplin itu lebih merupakan paparan seni silat, namun ia boleh dipraktikkan untuk menewaskan musuh.

Pada segmen kedua persembahan, dua anggota telah menunjukkan kepakaran bertempur tanpa senjata yang berlangsung selama kira-kira lima minit.

Ia diikuti oleh sepasang anggota lagi yang menunjukkan kecekapan bertarung menggunakan rotan panjang.

Segmen terakhir persembahan pula memperlihatkan dua pendekar TLDM menggunakan keris sebagai senjata untuk menyerang dan menumpaskan musuh masing-masing.

Kecekapan mereka agak sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata kerana kesemuanya berlaku dengan terlalu pantas, apatah lagi jika seseorang itu tidak pernah mempelajari silat.

Namun yang paling penting untuk diketahui di sini ialah semasa persembahan pada malam 11 Ogos lalu, pasukan itu baru 14 hari ditubuhkan dan menjalani latihan bersama.

Salah seorang ahli, Mohd. Farid berkata, ini kerana latihan intensif yang dijalankan di samping minat yang mendalam dalam mempelajari ilmu itu.

‘‘Pada sesetengah hari, kami akan berlatih pada sebelah pagi, diikuti sesi tengah hari, petang dan juga malam,” jelasnya penuh semangat dalam loghat Kedah.

Beliau menambah, kecekapan dan keindahan persembahan mereka adalah membanggakan kerana tidak sampai sebulan tertubuh, pelbagai undangan persembahan telah diterima pertubuhan itu.

Sementara itu, Zainol menambah, seni silat adalah seni pertahanan diri yang unik kerana semasa berhadapan dengan musuh, ciri-ciri menghormati antara satu sama lain jelas terlihat melalui lenggok badan yang beradab dan lembut.

Mungkinkah penubuhan pasukan ini di Pulau dan Terumbu Layang-Layang di Laut China Selatan mempunyai maksud tersendiri?

Dalam menghadapi negara-negara lain yang turut menuntut kawasan itu seperti China, Vietnam dan Filipina, analogi seni silat sesuai digunakan iaitu beradab dan lembut namun sentiasa bersedia bertindak balas apabila dicabar.


CyberCoxswain: Navy memang sentiasa bersiap sedia untuk segala kemungkinan. Latihan dan ilmu persilatan adalah salah satu kemahiran yang ada dalam perkhidmatan. Jadi ingat... "sarang tebuan jangan dijolok" nyesal tak sudah.

Thursday, October 9, 2008

KD Tun Razak dilancar

TLDM tingkat keupayaan hadapi cabaran keselamatan maritim

CARTAGENA (Sepanyol): Kapal selam kedua Malaysia jenis Scorpene dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di sini, semalam, mencatatkan satu lagi sejarah bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam meningkatkan keupayaannya bagi menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin bertambah.

Dalam cuaca yang cerah, ‘Tun Razak’ secara rasmi dipertontonkan kepada dunia oleh Tuanku Nur Zahirah dalam satu upacara di limbungan Navantia di bandar raya pelabuhan ini, kira-kira 450 kilometer dari ibu negara Sepanyol, Madrid.

Tuanku Nur Zahirah, yang kelihatan anggun memakai jaket biru gelap dan berseluar panjang putih, diiringi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera.

Sebagai meneruskan tradisi maritim, Raja Permaisuri Agong memecahkan botol di kemudi kapal, iaitu struktur mirip menara yang ada pada permukaan kapal selam itu, menandakan upacara pelancaran rasmi dan penamaan kapal berkenaan.

“Beta dengan ini menamakan kapal selam ini ‘Tun Razak’ dan melancarkannya. Semoga Allah merahmati dan melindungi semua yang belayar bersamanya,” titah Tuanku Nur Zahirah, disusuli bacaan doa selamat.

Nama itu dipilih sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein, negarawan yang dikenang kerana sumbangan besarnya kepada kemerdekaan, pemodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol, Navantia.

Turut hadir pada majlis hari itu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abu Seman Yusop; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar; Duta Malaysia ke Sepanyol Datuk Naimun Ashakli Mohammad; Panglima Tentera Laut Sepanyol, Admiral General Manuel Rebollo Garcia dan Pengerusi Navantia, Juan Pedro Gomez Jaen.

Tetamu kenamaan kemudian meninjau Scorpene, kapal selam konvensional dengan panjang keseluruhan lebih 67 meter dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. Kapal yang bergerak dengan tenaga diesel itu akan dikendalikan 31 anak kapal.

Kapal selam pertama Malaysia, yang dinamakan ‘Tunku Abdul Rahman’, sempena Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilancarkan di limbungan DCNS di Cherbourg, Perancis, Oktober tahun lalu. Ia dijangka ditauliahkan pada Januari 2009, menggunakan nama ‘KD Tunku Abdul Rahman’, belayar pulang pada Mei dan dijangka tiba penghujung Julai 2009.

Kapal selam yang dilancarkan semalam akan dikenali sebagai ‘KD Tun Razak’ sebaik saja ditauliahkan pada Oktober 2009. Ia dijangka memulakan pelayaran ke Malaysia pada Januari 2010 dan tiba di Malaysia dua bulan kemudian.

Dalam satu kenyataan, TLDM berkata, kapal selam pertama Scorpene sudah menamatkan ujian sistem peperangan dan ujian validasi pelaksanaan di Perancis. - Bernama

CyberCoxswain: Tahun depan kita akan terima kapal ini dan lagi satu tahun barulah KD Tun Razak ini akan memasuki perairan Malaysia.

Wednesday, October 8, 2008

Kapal Selam TLDM bakal dilancarkan esok

CARTAGENA (Sepanyol) 8 Okt. — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tiba di sini awal Rabu untuk melancar dan menamakan kapal selam kedua Malaysia jenis Scorpene.

[Keterangan Gambar: Kapal selam Scorpene kedua Malaysia sedang disiapkan untuk majlis pelancaran oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada hari ini. Kapal tersebut akan dinamakan KD Tun Razak, sempena Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.]

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abu Seman Yusop, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar.

Turut hadir ialah para pegawai dari Sepanyol dan wakil Navantia, syarikat pembuat kapal yang dipertanggungjawabkan membina Scorpene 2, milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan rakan kongsinya dari Sepanyol, Navantia.

Majlis melancar dan menamakan kapal selam itu akan berlangsung pada Rabu di limbungan Navantia di bandar raya pelabuhan ini, yang terletak 450km dari ibu negara Sepanyol, Madrid.

Kapal selam pertama Malaysia jenis Scorpene dilancarkan di Cherbourg, Perancis, pada Oktober 2007.

— BERNAMA

CyberCoxswain: Selamat Datang kepada ahli baru dalam TLDM. Dapatlah merasa naik submarine lepas ini.

Dengar-dengar nak letak kat Teluk Sepanggar sekali dengan sekolah latihan kapal selam yang bakal diwujudkan. Wah tentu meriah Kota Kinabalu lepas ini.

Monday, October 6, 2008

Pengambilan Perajurit Muda TLDM

Berita baik untuk anda yang masih mencari-cari kerjaya yang menarik untuk disertai. Kini peluang sudah dibuka, tinggal untuk menyahut cabaran sahaja.

Sila hadir di pusat pemilihan yang tercatat di Jadual Pemilihan pada jam 0830 pagi berpakaian sukan, baju T berkolar, seluar panjang sukan, berkasut sukan dan stokin.

Bawa bersama sijil dan dokumen ASAL seperti berikut:

a. K/P (Mykad)
b. Sijil Kerakyatan Malaysia (jika ada)
c. Sijil Lahir/ Surat Beranak
d. Slip atau Sijil SPM/SPMV
e. Sijil Berhenti Sekolah
f. Sekeping gambar berukuran pasport
g. Sampul surat berukuran 20cmx28cm bersetem Rm1 dan beralamat sendiri.

ZON UTARA
Perak
14 Okt 08 - Stesen Komunikasi TLDM Parit, Bdr Sri Iskandar, Bota.

Kedah
16 Okt 08 - Kolej Tentera Udara, Kepala Batas, Alor Star.

ZON TIMUR
Kelantan
18 Okt 08 - Markas Staf Stesen, Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu.

Pahang
20 Okt 08 - MAWILLA 1, Pang. TLDM, Tg Gelang, Kuantan.

ZON SELATAN
Johor
22 Okt 08 - KD Sultan Ismail, Tg Pengelih, Pengerang.

ZON TENGAH
Negeri Sembilan
24 Okt 08 - Markas 1 Briged Kem Rasah, Negeri Sembilan (Dewan Pertiwi)


Untuk maklumat lanjut hubungi:

Markas Tentera Laut,
Cawangan Pengurusan,
Perkhidmatan Sumber Manusia-Bantuan,
Kementerian Pertahanan,Kuala Lumpur 50634.
(u/p: Sel Pengambilan Perajurit Muda TLDM)

http://www.navy.mil.my/ atau hubungi 03-20712214/20713177/ 20712830

"Berkhidmatlah Untuk Negara"

Semoga berjaya.

Friday, October 3, 2008

Masih Dalam Mood Raya Lagi

Pulau terbuka ganti rumah terbuka

KEBIRUAN Laut China Selatan yang terbentang luas menjadi sajian mata anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang, Sabah saban hari.

[Keterangan Gambar: Beberapa petugas di Stesen Lima melakukan rondaan di sepanjang landasan kapal terbang di Pulau Layang-Layang baru-baru ini.]

Selain kebiruan laut, pandangan warga ATM terutama petugas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antaranya hanya berkisar ke arah dua buah blok kediaman, dua buah hangar, menara pemerhati serta landasan kapal terbang sepanjang 1,367 meter.

Di situ tiada kedai runcit untuk membeli barangan harian, tiada gerai ‘mamak’ untuk mereka berkumpul sambil minum-minum menikmati teh tarik, tiada pusat-pusat hiburan untuk menceriakan hati dan jauh sekali dari pusat beli-belah bagi membolehkan mereka mempersiapkan diri dan keluarga menjelang Aidilfitri.

Aktiviti riadah yang menyeronokkan pula seperti mandi laut dan memancing di situ terpaksa dikurangkan kerana cuaca di pulau yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu itu tidak menentu, terutama mulai bulan Ogos sehingga Februari setiap tahun.

Ini kerana ombak laut pada bulan- bulan ini lebih dikenali sebagai ‘kuda putih’ oleh warga Stesen Lima kerana warna buih, ketinggiannya serta kederasannya bergerak menghempas pantai.

Ia dipengaruhi oleh kelajuan angin pada masa-masa sebegini yang mencecah sehingga 30 Knot sehingga 40 Knot.

Selain itu, penggunaan air dan elektrik juga kadang-kala perlu dicatu bagi memastikan ia hanya digunakan untuk tujuan yang benar-benar perlu serta tidak kehabisan.

Tiada apa yang salah dengan persekitaran sebegini, namun persoalannya mampukah orang awam ‘bertahan’ dengan aktiviti yang terbatas serta pemandangan yang terhad ini selama lebih kurang setahun?

Bagi penulis, ia tidak mustahil tetapi kehidupan rutin dengan pemandangan terbatas buat sekian lama adalah ‘kekurangan’ yang pasti menyiksa jiwa dan membosankan.

Di sebalik segala ‘kekurangan’ itu, warga TLDM dan ATM amnya tetap gah, gagah dan bersedia berkawal kepentingan negara dalam menghadapi segala kemungkinan.

Kekuatan mental dan fizikal mereka membolehkan perkara yang sukar menjadi mudah, termasuk jika terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa insan tersayang di sisi.

Bagi Pegawai Laksana Stesen Lima, Leftenan Madya Abu Safrizal Abu Hassan, 25, sungguhpun tidak beraya di Pulau Layang-Layang pada Aidilfitri kali ini, beliau tetap tidak dapat menyambutnya bersama keluarga tersayang di Gerik, Perak.

‘‘Pada 1 Syawal yang dijangka Rabu ini, saya akan bertugas di Kem TLDM Kota Kinabalu bagi bersedia ke Pulau Layang-Layang pada bila-bila masa jika keadaan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Jumaat lalu.

Beliau yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik memberitahu, kekuatan anggota di Pulau Layang-Layang pada satu-satu masa biasanya seramai 50-60 orang, bergantung kepada keperluan dan bentuk ancaman yang ditafsir.

‘‘Sudah tentu beraya di kem amat berbeza daripada beraya di kampung halaman namun saya perlu redha kerana tanggungjawab kepada tanah air,” jelasnya pasrah.

Pulau Layang-Layang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly, kawasan tuntutan bertindih beberapa buah negara antaranya China, Vietnam dan Filipina.

Justeru, negara-negara tersebut termasuk Malaysia telah mendirikan binaan serta kem di pulau-pulau kecil yang ditafsir berada dalam perairan masing-masing sebagai tanda hak dan kedaulatan.

Selain Pulau Layang-Layang, TLDM dan ATM amnya turut mendirikan kem di empat lagi pulau iaitu Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau.

Dalam pada itu, Lans Koperal Mohd. Shukor Md. Saad, 26, dari Kor Kesihatan Diraja Tentera Darat pula akan beraya di Kem Lok Kawi milik perkhidmatan itu pada Aidilfitri ini.

Bagaimanapun sebelum pulang ke Kem Lok Kawi baru-baru ini, beliau yang satu-satunya anggota dari Tentera Darat yang berkhidmat di Pulau Layang-Layang pada Ogos lalu sempat bertugas serta berpuasa di sana lebih daripada dua minggu.

‘‘Sambutan Ramadan di pulau tetap meriah dengan amalan solat sunat Tarawih serta pembayaran zakat kepada amil dari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang didatangkan khas sempena bulan puasa.

‘‘Selain itu, kerana ketiadaan pasar juadah seperti kebiasaan di tanah besar, kami membuat kuih sendiri untuk berbuka seperti kuih Buah Melaka, bubur pisang dan kuih Penyek Hidung,” jelasnya riang.

Namun apabila ditanya mengenai sambutan hari raya di tempat asalnya Rompin, Pahang, suara beliau sedikit berubah.

‘‘Tidak apa, beraya dengan kawan-kawan di kem pun seronok juga,” ujarnya seakan menyedapkan hati sendiri.

Seorang lagi anggota TLDM, Laskar Kelas 1, Mohd. Husaini Sapie, 28, memberitahu, tahun ini merupakan kali kedua beliau beraya di Pulau Layang-Layang.

Katanya yang juga salah seorang bilal di Stesen Lima, air mata kerinduan dan keinsafan tidak dapat tertahan di kala bertakbir serta mengerjakan solat sunat Aidilfitri.

‘‘Sebagai bilal, saya turut mengetuai dendangan takbir pada 1 Syawal dan pada saat itu tahun lepas, air mata mengalir teringatkan isteri, Nor Aini Mamat, 28, serta kaum keluarga yang berada di Terengganu.

‘‘Walaupun tidak dapat merasai masakan nasi dagang istimewa isteri saya pada satu hari raya nanti, kehangatan Aidilfitri tetap terasa dengan amalan ‘pulau terbuka’ kami ke Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau,” ujarnya.

SUMBER: Utusan Online

CyberCoxswain: Itulah tuntutan tanggungjawab sebagai seorang askar samada Laut atau pun Darat. Di pulau yang terpencil di tengah-tengah laut lepas menuntut pengorbanan yang tinggi dari anggota keselamatan dikala orang lain sedang bersuka ria menyambut raya dengan ibu bapa dan sanak saudara. "Sedia Berkorban"