Tuesday, March 24, 2009

Kayak Di Pantai Merdeka

20-22hb Mac 2009, Pantai Merdeka, Kedah Darul Aman menyaksikan skuad kayak KDSP melakukan catatan masa untuk sesi pemilihan kelayakan bagi menganggotai kontinjen ini ke LATIBA 2009 di Terengganu.

Latihan berterusan ini diadakan khas untuk sesi pemilihan di samping sebagai latihan untuk anggota yang belum pernah berkayak khususnya perajurit muda yang baru.

Aktiviti berkayak bermula awal pagi Sabtu dengan sesi senaman / regangan ringkas oleh anggota PSSTLDM dan disusuli dengan taklimat ringkas mengenai kayak oleh Pengurus merangkap Jurulatih dari Rapid Fire.

Seterusnya sesi regangan kedua menggunakan dayung kayak yang disediakan untuk otot-otot tangan dan pinggang oleh jurulatih kedua juga dari Rapid Fire sebelum anggota di lepaskan ke laut untuk “BA Test” (ujian jaket keselamatan didalam air katanya boleh tahan 48 jam dalam air sebelum Qolluinna…).

Yang sebenarnya ujian ini dilakukan untuk memastikan pemakaian jaket keselamatan yang kemas dan ketat supaya tidak terangkat hingga ke leher jika longgar bagi mengelakkan kesukaran ketika mendayung dan keselesaan serta keselamatan orang yang memakainya.

Terlupa pulak ada jugak anggota yang belum lulus renang terkial-kial sebab tak ada “water confident” sebab ramai kumpulan ini terdiri dari perajurit muda. Tapi kena belasah jugak sebab dah pakai life jacket.

Selepas itu barulah aktiviti berkayak bermula.

Tanpa membuang masa acara single 800 meter (anggaran sahaja berdasarkan luas pantai yang terhad) terus dimulakan dengan 3 kayak jenis yang berbeza. Dan masa yang diperolehi juga berbeza walaupun lari dalam 1-3 minit sahaja.

Seterusnya disusuli dengan kayak jenis double. Dan begitulah seterusnya berselang- seli.

Walaupun kayak yang digunakan adalah jenis “sea kayaks” tapi bolehlah… untuk acara sebenar nanti dengar-dengar kayak jenis “touring kayaks” akan digunakan.

Sebenarnya perbezaan antara 2 kayak ini tidaklah terlalu ketara tetapi perlu diingat walaupun sama tapi tak serupa.

Juga kali ini JPA3 / Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda membantu kami dari segi menyediakan kru dan bot rescue jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Syabas dan terima kasih banyak-banyak. Itulah semangat yang patut dicontohi diantara kumpulan jabatan kerajaan yang saling bantu membantu diantara satu sama lain mengikut bidang masing-masing. Lagi sekali terima kasih diucapkan.

Akhirnya masa terpantas untuk kayak single jenis kayak rekreasi adalah …. minit manakala double pula adalah …. minit (semua maklumat masa yang dicatat adalah rahsia kontinjen…. jangan marah ha….) nanti kita beat di sana hehehe…

Aktiviti berkayak selesai jam 1700 sebelum semua anggota melakukan satu projek Jiwa Murni dengan membersihkan persekitaran Pantai Merdeka yang indah lagi mashyur itu. Murni sungguh jiwa geng-geng navy nih…. hehehe

Selepas ini kalau ada siapa-siapa ke sana lagi atau kemana saja contohilah anggota PSSTLDM ini dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran supaya yang bersih kekal bersih dan yang indah terpelihara. Seperti gambar-gambar amatur yang diterbitkan dalam posting kali ini. Bravo!

Cantikkan gambar-gambar pemandangan matahari terbenam dan ketika fajar di Pantai Merdeka berlatarbelakangkan Gunung Jerai. Siapa nak buat wallpaper kat skrin pc boleh cedok kat sini.

Selesai saja projek jiwa murni habislah agenda untuk hari itu sebelum anggota berehat dan makan malam sebelum berangkat pulang keesokkan hari. Sebab lusa (hari Isnin) ni semua anggota PSSTLDM akan kembali bekerja seperti biasa walaupun penat tak habis lagi… al maklumlah Sukarela…

Sedia Berkorban.

Friday, March 20, 2009

China ubah suai kapal perang lama pantau Spratly

BEIJING: China mungkin menggunakan kapal tentera laut tidak dipakai lagi yang diubah suai sebagai kapal peronda perikanan untuk meronda perairan kepulauan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian beberapa negara.

Kira-kira dua minggu lalu bot China berdepan dengan kapal pemantau tentera laut Amerika Syarikat yang dikatakan oleh Beijing melakukan pemantauan haram di kawasan perairannya.


GAMBAR fail kemudahan China di kepulauan Spratly.

Penggunaan kapal peronda perikanan, dan bukan kapal tentera, boleh membantunya memasuki perairan itu dan mengelakkan konfrontasi dengan AS atau negara lain yang turut menuntut kawasan berkenaan yang mempunyai kekayaan sumber dan secara strategiknya penting.

Negara Asia selalunya menggunakan kapal pengawal pantai dan bukan tentera laut bagi mempertahankan tuntutan kepada sempadan maritim mereka, bagi mengelakkan konfrontasi lebih besar, katanya.

"China akan menggunakan dengan sebaik mungkin kapal tentera laut yang sudah tidak dipakai dan mungkin membina kapal pemantau perikanan, bergantung pada keperluan," kata Wu Zhuang, pengarah Penyeliaan Pentadbiran Perikanan dan Pelabuhan Ikan Laut China Selatan. Beliau tidak menyatakan sama ada bot berkenaan akan dilengkapi senjata.

Peningkatan kelengkapan tentera Beijing menyebabkan rasa kurang senang beberapa negara di Asia, terutama Taiwan, sebuah pulau pemerintahan sendiri yang dituntut oleh China sebagai haknya dan berikrar akan membawanya kepada pengawalan tanah besar, dengan paksaan, jika perlu.

Perairan Laut China Selatan dan laluannya ke Selat Melaka adalah penting bagi China sekiranya berlaku peperangan dengan Taiwan.

Awal minggu ini China menghantar kapal perikanan terbesar, Yuzheng 311, ke kawasan perairan di Spratly, sekumpulan pulau kecil di utara Pulau Borneo, yang kaya dengan sumber perikanan, minyak dan gas.

Kepulauan Spratly dituntut oleh China dan turut menjadi tuntutan sepenuhnya atau sebahagianya oleh Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei.

"Kami sudah beberapa kali menyatakan pendirian China berkaitan Laut China Selatan ini," kata jurucakap Kementerian Luar, Qin Gang. - Reuters

Sumber : Berita Harian Online

CyberCoxswain: Rahsia Negara China yang telah bocor. Itu adalah strategi negara masing-masing dalam menjaga kedaulatan sempadan yang masih dalam pertikaian.

Sudah semestinya negara-negara lain juga mempunyai strategi masing-masing untuk tujuan yang sama termasuk Malaysia. Tetapi jagalah rahsia negara ibarat nyawa sendiri agar tidak melepasi sempadan.

Sedia Berkorban

Tuesday, March 17, 2009

SYARAT KEANGGOTAAN PSSTLDM

Ramai masih dok tertanya-tanya syarat-syarat kelayakan untuk menyertai PSSTLDM. Ha, di sini tertulis apa yang menjadi persoalan anda supaya semua beroleh manfaat.

KEANGGOTAAN

PSSTLDM dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada daripada sektor kerajaan atau swasta, golongan profesional, pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Politeknik. Disamping bertugas sebagai guru, usahawan, pengurus bank, jurutera, pekerja kilang dan sebagainya, mereka memilih untuk menjalani hidup yang penuh cabaran iaitu sebagai sukarelawan di dalam PSSTLDM pada masa lapang. Anda boleh memilih mana-mana pasukan/unit yang sesuai untuk berkhidmat di dalam PSSTLDM.


KELAYAKAN

Individu yang ingin berkhidmat dalam PSSTLDM sama ada sebagai anggota biasa(LLP) atau pegawai mesti memenuhi syarat asas seperti berikut;
- Warganegara Malaysia
- Berumur diantara 18 hingga 40 tahun
- Sihat Tubuh Badan
- BMI antara 20 hingga 26.9
- Lulus persekolahan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia.
Penerima masuk tertakluk pada keputusan tapisan keselamatan (tiada kes jenayah) dan lulus temuduga yang dikendalikan oleh Markas Tentera Laut.

Dapatkan borang pendaftaran tersebut dengan menghubungi unit-unit PSSTLDM terdekat/berhampiran anda seperti unit KD Sri Pinang di talian 04-6583012 (pengambilan baru sedang dilakukan sekarang sehingga 28hb March ini) atau email saya di cybercoxswain@yahoo.com dengan menyatakan butir-butir diri seperti nama, alamat, tarikh lahir, no telefon, kelulusan tertinggi dan pekerjaan sekarang dan lain-lain sebelum borang tersebut dihantar terus ke email anda. Bertindak cepat, kerana 28hb ini adalah tarikh untuk pemilihan dilakukan.

Monday, March 16, 2009

Jalan Lasak - Lata Tebing Tinggi

20-22 Feb 2009, Latihan Berterusan (CT) untuk anggota-anggota PSSTLDM KD Sri Pinang. Kali ini aktiviti yang dilakukan ialah Jalan Lasak di Lata Tebing Tinggi, Rantau Panjang, Selama, Perak.

Cabaran lebih kurang 10 kilometer perjalanan dari simpang tiga dekat pekan Rantau Panjang ke Lata Tebing Tinggi.

Mengikut sumber-sumber orang kampung di situ tak ada orang pernah jalan kaki macam kami buat tempohari... ha hebatkan PSSTLDM ni.


Hari pertama, 20hb Jumaat.

Persiapan barang-barang perkhemahan, rangsum tempur (kali ini dapat menu A & D) untuk dibawa yang diambil dari stor unit dan di muatkan ke dalam 3 tan.

Kumpulan advance party seramai 20 orang bergerak jam 1500 ptg selepas sembahyang Jumaat dari KDSP.

Kena hujan lebat di sepanjang perjalanan ke Selama. Lokoih (basah) habih dengan orang yang eskot naik motor pun sama...

Singgah sebentar di pekan Selama untuk minum petang sebelum meneruskan perjalanan terus ke tempat perkhemahan.

Khemah besar dan individu didirikan dengan seberapa segera sementara hujan berhenti sebelum mentari melabuh tirainya.

Air sungai / lata keroh bagai teh susu akibat hujan lebat yang mencurah. Apa nak buat mandi tetap kena mandi jugak. Tapi tunggu malam sikitlah biar kerohnya tu reda sikit.


Hari kedua, 21hb Sabtu.

Kumpulan advance party bergerak keluar dari tempat perkhemahan untuk memulakan aktiviti Jalan Lasak seperti direncanakan jam 0700 pagi.

Sampai di simpang tiga berhampiran pekan Rantau Panjang untuk menunggu kumpulan kedua yang baru datang dari base untuk memulakan aktiviti.

Mula bergerak jam 0830 pagi dalam dua kumpulan dan kumpulan pertama sampai pada jam 1030 pagi. Dalam 2 ke 3 jam sahaja yang diambil untuk perjalanan sejauh itu tanpa berhenti rehat di sepanjang jalan. Hebatlah korang ni…

Sampai je ke tapak perkhemahan, bukaklah pack-rations dan masak sendiri kepada sesapa yang nak makan tengahari untuk survival di hutan.

Lepas makan, time untuk aktiviti merentas sungai dengan 2 utas tali yang diikat pada dua batang pokok. Juga dilakukan mengikut kumpulan semasa jalan lasak tadi.

Aktiviti ini pun telah dimenangi oleh kumpulan pertama jugak, apa nak buat…

Lepas tu akibat tidak berpuas hati pihak lawan diadakan pula bola tampar sungai dan kali ini kumpulan Alfa telah tewas dengan bermaruah kepada kumpulan yang Bravo yang selalu kecundang itu.

Acara diteruskan dengan mandi air terjun beramai-ramai. Air yang sejuk lagi jernih tak macam kemarin yang keroh gila.

Malam, duty macam biasa walau pun letih dan kulit kaki dah mengelembong tugas tetap dlaksanakan.


Hari ketiga, 22hb Ahad

Aktiviti Jalan Lasak selesai. Persiapan untuk meninggalkan tempat perkhemahan dengan meruntuhkan semua khemah yang telah didirikan serta kelengkapan-kelengkapan lain yang telah dipasang.

[Keterangan Gambar: Bergambar bersama-sama dengan x-navy (yang pegang galah panjang tu) selepas bedal buah limau madu dia... nama dia tak ingatlah pulak yang ingat beliau merupakan bekas Pilot/KMT navy. Semoga maju jaya dalam pertanian]

Aktiviti Jiwa Murni dilakukan sebagai penutup dengan membersihkan sampah-sampah dan mengembalikan keceriaan lata untuk kunjungan orang ramai.

Jam 1000 pagi berangkat balik. Sempat singgah lagi kat ladang Limau Madu yang diusahakan oleh x-navy di kawasan berhampiran. Murah gila limau kat situ baru RM2.50 sekilo untuk buah yang siap petik, kalau petik sendiri RM2.00 je sekilo.

Semua pakat borong habis, penuh 3 tan dengan buah limau pulak... bawak balik buat modal kata depalah. Buah limau manis untuk simanis di rumah.

[Keterangan Gambar: Ha, inilah buah limau madu yang telah dipetik awal untuk habuan kami. Tengok tu... Tuan Jeet ngan PO Zain tersenyum girang macam ladang sendiri saja... hehehe jangan marah ha...]

Thursday, March 12, 2009

Pameran ATM & Pengambilan PSSTLDM di Queensbay Mall

PENGUMUMAN

Pameran ATM dan Pengambilan anggota baru Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSSTLDM) unit KD Sri Pinang akan dilakukan pada 15hb March 2009, Ahad ini bertempat di Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Kepada yang berminat dan dok tertunggu-tunggu pengambilan ini, silalah datang beramai-ramai untuk mengambil borang permohonan bagi menyertai PSSTLDM (Wataniah pun ada kot kat sana nanti... rasanyalah).

Dan pastikan borang dikembalikan selewat-lewatnya pada 28hb March ini untuk pemilihan dan urusan temuduga dan pemeriksaan perubatan kepada yang berjaya di peringkat awal.

Kembalikan borang bersama-sama gambar berukuran pasport - 4 keping, salinan kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil akademik dan sijil berhenti sekolah - 4 salinan setiap satu beserta surat pengesahan majikan (kepada yang masih bekerja) kepada KD Sri Pinang, Jalan Akuarium, Gelugor, Pulau Pinang.

Dalam PSSTLDM ini ada 2 skim perkhidmatan iaitu Pegawai dan Lain-lain Pangkat (LLP - iaitu dari Perajurit Muda hingga Pegawai Waren 1).

Anda boleh menyertai mana-mana skim ini tertakluk pada kelulusan tertinggi yang anda perolehi. Untuk Pegawai kelulusan yang diperlukan adalah minima Diploma dan untuk LLP pula SPM.

Syarat kelayakan umur adalah 18 tahun sehingga 30 tahun. Untuk syarat-syarat lain adalah sama seperti anggota tetap seperti sihat tubuh badan, tidak cacat anggota dll.

Kalau ada sebarang pertanyaan anda boleh berhubung dengan KDSP di talian 04-6583012 atau juga bertanya secara langsung di pameran yang akan diadakan di Queensbay kelak sebab ada anggota berpengalaman yang bertugas disana untuk menjawab sebarang pertanyaan anda.

Anda juga boleh dapatkan borang tersebut dengan menghubungi email saya di cybercoxswain@yahoo.com dengan menyatakan butir-butir diri seperti nama, alamat, tarikh lahir, no telefon, kelulusan tertinggi dan pekerjaan sekarang dan lain-lain sebelum borang tersebut dihantar terus ke email anda. Bertindak cepat, kerana 28hb ini adalah tarikh untuk pemilihan dilakukan.

Selain itu ada pameran dari tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia disediakan untuk pengunjung. Jadi jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Berkhidmatlah Untuk Negara dalam aktiviti sukarela.

Sedia Berkorban.