Wednesday, November 26, 2008

Pembinaan kumpulan ke-2 kapal ronda TLDM diteruskan

LUMUT 24 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembinaan kumpulan kedua projek kapal ronda milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diteruskan selepas enam kapal ronda dalam kumpulan pertama diserahkan kepada kerajaan pada awal tahun 2010.

[Keterangan Gambar: Sultan Ismail Petra bersama Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Tengku Muhammad Faris Petra (dua dari kiri) melihat model kapal 'Kelantan' di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam. ]

Menurut Perdana Menteri, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan keupayaan tempur TLDM dan kerajaan komited untuk melaksanakannya.

''Projek kapal ronda ini bukan sahaja untuk meronda dan menjaga kedaulatan perairan negara, malahan bagi penugasan khas di perairan strategik di serata dunia.

''TLDM perlu memperkasakan angkatannya dengan perolehan lebih banyak kapal tempur bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan termasuk ekoran ancaman keselamatan di laluan perdagangan antarabangsa," katanya pada majlis penamaan kapal ronda PV5 TLDM dengan nama 'Kelantan' di Boustead Naval Shipyard, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Pelancaran kapal Kelantan itu dilakukan oleh Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid yang turut disaksikan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

Kapal sepanjang 91.10 meter dan seberat 1,850 tan itu boleh membawa 68 anak kapal.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menyedari bahawa langkah yang paling wajar untuk memelihara kepentingan dan keselamatan negara adalah melalui usaha ke arah keupayaan berdikari yang merupakan teras dasar pertahanan negara.

Abdullah berkata, 'Kelantan' mempunyai keistimewaan kerana ia dibina oleh sebuah syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Katanya, kejayaan membina kapal perang canggih itu melambangkan kejayaan dan kemampuan anak tempatan serta menjadikan impian Malaysia membina kapal perang tercanggih menjadi kenyataan.

Katanya, kerajaan juga berharap syarikat tempatan dapat meningkatkan taraf dan memperluaskan bidang pasaran mereka ke luar negara melalui kerjasama strategik pintar dengan syarikat antarabangsa.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, kapal peronda ke-6 milik TLDM akan dilancarkan pada Mac tahun depan.

Beliau berkata, Kapal Kelantan yang dilancarkan hari ini dijangka dapat beroperasi pada tahun depan.

Sumber : Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain : Tahniah dan Selamat Datang kepada unit baru dalam Armada TLDM.

Tuesday, November 25, 2008

Latihan Renang PSSTLDM

15hb November 2008 - Sabtu, Latihan Renang untuk anggota PSSTLDM KD Sri Pinang di Kompleks Kolam Renang Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Latihan bermula jam 1500 dan berakhir jam 1700 iaitu 2 jam latihan.

Kehadiran agak ramai iaitu hampir 30 anggota, walaupun perajurit muda yang sepatutnya mengikuti latihan ini telah dipanggil untuk mengikuti latihan di kapal dua hari sudah di Sandakan.

Selebihnya dimeriahkan dengan anggota senior rate, 3 orang pegawai dan anggota LLP memenuhi kolam renang.

Ada beberapa orang anggota LLP yang masih belum boleh berenang dan mengambil ujian renang. Jadi untuk petang itu mereka dilatih oleh PTI Madon untuk membolehkan pergerakkan asas dalam teknik renangan jenis kuak dada (standard renang untuk navy-lah tu).

Berikut adalah petikan artikel teknik asas pelajaran renang jenis kuak dada dalam 'english'... sory-lah kawan-kawan tak dan nak convert to malay coz bz sikitlah lately ni... tapi takpa kalau tak paham boleh tanya... no problem.


Basic Breaststroke (Asas Kuak Dada)
Breaststroke is a traditional stroke popular with people who like to swim for fitness.

It is the slowest stroke, but that does not mean it cannot be swum powerfully and at speed.

Step One
The most important thing about breaststroke is to keep your body level at the surface.

Your shoulders need to be in line and your hips also need to be flat in the water.

Now move your feet and legs together like a frog - this is usually the most troublesome area of breaststroke.

It is the only stroke which uses these movements and can be difficult to get both legs to do the same thing at the same time.

Here are a few tips to help synchronise your legs:

  • Bend your knees and lift your feet up to your bottom
  • Turn your feet out so that you can push back with the bottom of your foot
  • Move your feet out and in again to meet each other
  • Straighten your legs with your knees touching
  • You can try this sitting on the side of the pool with your legs dangling in the water

Alternatively, you can do it in the water holding on to the rail with your legs stretched behind you.


Step Two
Take long stretches between each stroke with your arms.

A really good tip is to make sure you can always see your hands. This will help to get the arm action right.

Start by stretching your arms out in front of you, just under the surface of the water.

Then press both hands out and round to draw a full circle, making sure your hands stay in front of your shoulders.

Your hands should finish by stretching forwards again.

Your arms and legs should stay in the water all of the time, making no splash at all.

Step Three
Breathe in as you finish the circle, lifting your face out of the water.

Put your face back into the water as you stretch your arms forward to begin the circle again.

Step Four
The last step is to put the stroke together, so:

  • Pull with your arms and breathe in.
  • Kick your legs.
  • Stretch out with your body level in the water.
  • Start again.

Itulah langkah-langkah untuk melakukan renangan jenis kuak dada. Kepada anggota yang belum mahir berenang sila membuat latihan sendiri di kolam renang swasta mahupun di laut atau dimana sahaja ketika berkelah bersama famili atau bersantai bersama kawan-kawan.

Sebab kalau gagal ujian renang tak kemana kita... takkan 12 tahun servis masih di pangkat yang sama...

Monday, November 24, 2008

TLDM buat persediaan rapi sambut ketibaan kapal selam pertama

KOTA KINABALU 21 Nov. - Persediaan komprehensif sedang giat dijalankan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar bagi menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, pada pertengahan tahun depan.

Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, persediaan tersebut merangkumi segenap aspek dan bukan hanya melibatkan penyediaan infrastruktur.

Katanya, persediaan itu antara lain termasuk dari segi keanggotaan, kualiti hidup anggota, latihan, keselesaan dan kesejahteraan warga TLDM.

"Pangkalan ini akan menjadi pangkalan utama kapal selam. Jadi keutamaan pangkalan ini adalah untuk menampung operasi kapal selam. Apa yang dikehendaki ialah segala-gala yang kita ada di sini mampu mendukung operasi kapal selam.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya bagi menentukan keperluan ini bagi memastikan kita bersedia sepenuhnya. Pada masa ini, kita sedang berusaha keras membuat persediaan lengkap dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan cek pampasan dan khairat kematian berjumlah RM33,000 kepada keluarga seorang bekas anggota TLDM, mendiang Paulinus Sansih yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Cek tersebut diterima oleh isteri mendiang, Jalina Basini, 23, yang menetap di Kampung Uloi Makakagas, Tenom.

Menurut Syed Zahiruddin, dalam usaha meningkatkan keselesaan semua warga TLDM, pihaknya juga sedang mengkaji untuk mengurangkan jumlah anggota terutama di kalangan warga bujang, bagi mengimbangi kemudahan tempat tinggal yang ada.

Katanya, sebilangan anggota yang ada di Pangkalan TLDM Sepanggar mungkin terpaksa dipindahkan ke pangkalan lain yang memerlukan.

Beliau berkata, pada masa ini daripada kira-kira 1,370 warga TLDM dengan hanya kira-kira 50 orang sahaja tidak mendiami kuarters di dalam pangkalan.

Kajian pengurangan itu, katanya, perlu dibuat bagi menampung kehadiran tambahan kira-kira 200 warga kapal selam serta keluarga yang dijangka akan tinggal di kuarters.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Beruntung sungguh anak-anak kapal selam scorpene ni, balik je semua dah tersedia termasuk kemudahan kuarters untuk famili. Tapi itulah 'harga' yang patut dibayar oleh kerajaan untuk anggota-anggota kapal selam yang banyak berkorban demi kepentingan negara tercinta, itu tak termasuk lagi risiko bekerja dalam kapal selam lagi lepas ni... gaji dan elaun serta elaun khas untuk anggota ini mestilah setimpal dengan khidmat yang diberikan demi kebajikan anggota yang bertugas, betul tak?

Friday, November 21, 2008

Kuatkuasa Resolusi PBB bagi banteras segera lanun: Rais Yatim

LIMA: Malaysia menyeru Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) agar semua negara menguatkuasakan dengan segera Resolusi 1816 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membanteras aktiviti lanun di perairan antarabangsa bagi membolehkan perdagangan global lebih selamat.

“Adalah penting dan sudah tiba masanya bagi semua anggota ekonomi Apec mempertimbangkan langkah-langkah untuk menangani isu aktiviti lanun di perairan antarabangsa dengan cara lebih berkesan,” kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau melahirkan kebimbangan Malaysia mengenai insiden serangan lanun terutamanya di Teluk Aden dan di luar pantai Somalia pada Mesyuarat Peringkat Menteri Apec, di sini.

Dengan lebih 60 insiden serangan pada tahun ini sahaja, katanya Malaysia bersedia bekerjasama dengan negara lain yang berkongsi sama dengan masalah sukar ini di rantau berkenaan. “Kita boleh gunakan Resolusi 1816 PBB sebagai asas untuk bekerjasama bagi memastikan keselamatan manusia dan menyelamatkan perdagangan,” katanya.

Beliau juga berkata negara yang mempunyai kemampuan tinggi dalam tentera laut seperti Rusia, Perancis, Amerika Syarikat, India dan China hendaklah memainkan peranan penting dalam membanteras lanun.

Beliau juga memuji tentera laut India yang memusnahkan sebuah kapal lanun di Teluk Aden. Kapal tentera laut India merupakan salah sebuah daripada banyak kapal perang dari pelbagai negara yang mengawal laluan laut di kawasan berkenaan.

Rais berkata: “aktiviti lanun ini bukan hanya mengganggu aliran perdagangan bebas tetapi juga membahayakan nyawa anak-anak kapal.”

“Kesengsaraan akibat keganasan dan lanun di perairan antarabangsa telah menyebabkan banyak negara menjadi mangsa termasuk Malaysia walaupun jauh beribu-ribu batu dari perairan kita,” katanya.

Kejayaan Malaysia dalam memastikan keselamtan Selat Melaka bersama Indonesia, Thailand dan Singapura menunjukkan bahawa “kita mampu mengatasi insiden lanun,” katanya.

Pengalaman seperti itu boleh digunakan untuk mengelakkan bahaya akibat lanun di Teluk Aden dan perairan Somalia. - Bernama

CyberCoxswain: Itulah kerja membanteras lanun ni kena sepakat, tak boleh dibuat sorang-sorang... kena ada kerjasama semua negara yang mempunyai pesisir laut dan dibantu oleh negara-negara yang mempunyai kekuatan tentera laut yang besar, barulah lanun-lanun ni tak berani nak bermaharajalela.

Thursday, November 20, 2008

Siapa Musuh Malaysia?

Persoalan seperti siapa musuh Malaysia dan tuduhan rasuah apabila sistem pertahanan negara dibangunkan kadangkala menjadi stereotaip yang menjelekkan. Sedangkan rakyat negara jiran cukup berbangga dengan kemajuan pertahanan mereka.

SEJAK kebelakangan ini setiap perolehan aset pertahanan negara dipandang negatif seperti apa yang berlaku dalam perolehan Eurocopter EC-725 dan kapal selam Scorpene.

[Keterangan Gambar: CADANGAN pembelian Eurocopter EC-725 dan kapal selam Scorpene, menimbulkan pelbagai isu termasuklah dakwaan rasuah.]

Orang ramai dan ahli politik ada yang bertanya untuk apa pembelian senjata ini dan siapakah musuh luar sebenar Malaysia.

Pendapat sebegini mungkin muncul kerana tanggapan bahawa Malaysia kini tidak menghadapi ancaman luar dan juga kerana dakwaan pelbagai pihak bahawa berlaku penyelewengan dalam pemerolehan ketenteraan.

Mungkin ramai sudah lupa akan konfrontasi yang berlaku lebih 40 tahun lalu, selepas negara merdeka pada 1957, apabila sebuah negara jiran mengancam negara ini sebagai membantah gagasan Malaysia.

Setiap pembelian peralatan pertahanan sebenarnya berpandu kepada Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang memungkinkan negara ini mengambil pendekatan pertahanan bersifat defensif (bertahan) atau ofensif (menyerang) dalam mempertahan kedaulatannya.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin berkata berasaskan dasar ini, pihak berwajib mewujudkan Operational Concept (OC).

"OC ini adalah mustahak iaitu bagaimana angkatan tentera akan mendukung DPN dalam mempertahan kedaulatan kita dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ)," katanya kepada penulis selepas satu majlis di Port Dickson baru-baru ini.

Perancang pertahanan pula akan melihat jika ada kelemahan yang perlu diatasi dalam pertahanan negara misalnya adakah negara ini mempunyai peralatan maritim yang mencukupi untuk mempertahan EEZ, katanya.

"Di sinilah perancang-perancang di Markas Angkatan Tentera akan menentukan apakah yang kita perlu ada untuk mengatasi kepincangan ini, adakah kita perlu ada kapal perang, kapal terbang, lebih ramai infantri atau sebagainya.

Keutamaan untuk semua cabang ATM

"Semasa darurat dahulu, tentera darat pernah mendapat keutamaan kerana kita memerlukan peralatan yang terbaik untuk menewaskan komunis," katanya.

Hari ini, sesuai dengan cabaran yang dihadapi negara, keutamaan diberikan kepada tentera laut dan udara. Oleh itu tidak timbul tuduhan bahawa tentera darat telah diketepikan, katanya.

Pada pendapat Muhammad Ismail, ruang pertahanan yang masih belum ditutup pada hari ini ialah ketiadaan kelebihan pesawat Radar Amaran Awal (Awacs) yang membolehkan pasukan keselamatan memantau ruang udara dengan lebih ketat.

Malaysia mempunyai radar permukaan tetapi tidak mencukupi untuk memberi liputan yang mantap supaya pesawat negara boleh divektorkan terhadap kapal terbang penceroboh, katanya.

"Kita perlu menggubal satu sistem yang fleksibel kerana kerajaan tidak mampu membangunkan satu projek dalam jangka singkat, kemungkinan besar perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak ada peranan besar dalam Dasar Pertahanan Negara terpaksa ditangguhkan pembelian asetnya," kata beliau.

Sikap rakyat Malaysia menyedihkan

Beliau kesal dengan sikap sesetengah rakyat Malaysia dan ahli politik hari ini kerana tidak tahu kepentingan pembangunan pertahanan kepada negara.

"Setiap kali sesuatu sistem dibeli, ia akan dikaitkan dengan rasuah. Ramai juga yang daif dengan bertanya, untuk apa jet pejuang ini dibeli...siapa musuh kita, bukankah lebih baik wang yang ada dilabur untuk pembangunan infrastruktur dan sebagainya," katanya.

Tinjauan Bernama pada laman-laman sembang di Internet mendapati sikap negatif ini sukar untuk dilihat dalam kalangan rakyat Indonesia atau pun Singapura.

Rakyat Indonesia misalnya lebih melahirkan rasa kesal kerana pemerintah tidak membangunkan angkatan lautnya dengan efektif dan rakyat Singapura pula amat bangga dengan pembangunan angkatan tentera republik itu boleh dilihat pada sgforums.com pada ruang pendapat 'Militarynuts'.

Tidak ada pula saranan daripada kalangan mereka supaya pemerintah negara pulau itu memperlahankan pembangunan angkatan tenteranya atau bertanya, "Siapa musuh?". - Bernama

CyberCoxswain: Artikel dipetik dari Bernama, betulkah rakyat kita macam tu?... berikan komen anda

Wednesday, November 19, 2008

Tentera AS 'terperanjat' jangkauan operasi lanun

WASHINGTON: Pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat 'terperanjat' lanun Somalia kini beroperasi lebih jauh dari perairan negara Afrika itu untuk merampas kapal tangki minyak Arab Saudi, kelmarin.

[Keterangan Gambar: Kapal tangki milik Arab Saudi, Sirius Star yang dirampas lanun Somalia, Sabtu lalu. ]


Pengerusi Ketua Staf Bersama Angkatan Tentera Amerika, Laksamana Michael Mullen, berkata kejadian itu menekankan bahawa perlunya masalah lanun di perairan berkenaan ditangani segera.

Namun, beliau berkata, tentera laut daripada beberapa negara yang mengawal perairan berkenaan terbatas dari segi tindakan yang boleh diambil kerana negara yang menjadi mangsa memilih untuk membayar wang tebusan kepada lanun.

"Saya lebih terperanjat dengan jarak operasi lanun itu berbanding saiz tangki yang dirampas," kata Mullen ketika diminta mengulas mengenai rampasan kapal tangki Sirius Star milik Arab Saudi Sabtu lalu.

Kapal gergasi yang sarat dengan minyak bernilai AS$100 juta (RM350 juta) itu ialah tiga kali ganda saiz kapal angkut pesawat tentera laut Amerika. Kapal itu yang mempunyai 25 anak kapal dirampas 720 kilometer ke timur Kenya.

"Ia adalah kejadian rampasan terjauh ke lautan yang dilaporkan dilakukan oleh lanun Somalia," kata Mullen. Lanun berkenaan, kata beliau: "Sangat cekap dalam melaksanakan jenayah itu. Mereka memiliki senjata lengkap dan dari segi taktik, operasi mereka sangat baik.

"Apabila mereka berjaya menaiki kapal, agak sukar untuk mengusir mereka kerana jelas sekarang mereka menawan tebusan.

"Persoalan sekarang apakah risiko boleh diambil berhubung keselamatan tebusan itu. Inilah yang membuat kejadian menjadi buntu."

Katanya, persoalan itu perlu dijawab oleh negara pemilik kapal terbabit dan setakat ini, kebanyakan negara memilih untuk membayar wang tebusan.

Mullen berkata, jumlah serangan lanun yang berjaya merosot, tetapi jumlah serangan keseluruhannya meningkat banyak. – AFP

CyberCoxswain: Biasalah bila dah selalu dapat terasa pulak hebat! Walaubagaimanapun duit haram tidak kemana perginya... Rasanya lanun-lanun dah meluaskan jaringan sebab kawasan teluk tu dah ramai sangat tentera laut luar yang berkawal dan memantau segala operasi di laut, dah tak boleh cari makan maka kenalah cari lagi jauh di laut lepas.

Monday, November 17, 2008

Latihan Menembak PSSTLDM

15hb November, Sabtu - Latihan menembak dijalankan untuk anggota PSSTLDM KD Sri Pinang (KDSP) di Lapang Sasar Sungai Dua, Pulau Pinang. Tiada jemputan khas atau tetamu VIP dari majikan kali ini walaupun ada yang bertanya bila nak panggil lagi... cukuplah tu bukan boleh selalu.

Latihan menembak kali ini menggunakan senjata Steyr-AUG, General Purpose Machine Gun / GPMG dan Pistol jenis Browning (rujuk gambar di sebelah) & Glock. Kepada sesiapa yang belum berpeluang menembak menggunakan GPMG dan pistol inilah masanya untuk merasa dan mencuba menggunakannya sebab kalau Steyr tu selalu dah. Tapi yang ini kalau tak try rugi...

Penerangan mengenai senjata yang terlibat, cara-cara penggunaan dan langkah-langkah keselamatan diberikan oleh PWII PPP (GI) Abd Rahim untuk anggota yang belum pernah menembak. Bagi mereka yang pernah menembak pun mendengar jugak manalah tau kot-kot lupa ker...

Lebih 50 anggota pelbagai pangkat terlibat dalam latihan kali ini termasuk Perajurit Muda yang baru masuk. Dato' CO juga sudi melapangkan masa menyertai latihan menembak untuk semua jenis senjata yang digunakan. Boleh tahan juga CO kami ini... sanggup berlari bersama anggota semasa latihan tu...

Latihan bermula jam 0800 pagi sehingga jam 1600 petang. Walaupun peluru yang diberikan adalah terhad kerana hari Selasa ini ada pertandingan menembak 4 penjuru melibatkan staf tapi puas jugaklah menembak walaupun ini kali kedua menembak dalam tahun ini (kalau selalu pun best gak, ye tak?)

Tapi yang tak best-nya bila time makan tengahari... nasi mentahlah pulak!... nasib baik lauk ok... dengan ikan masak masam manis, kari daging dengan kacang panjang, sayur kobis goreng dengan telur dan buah... walaupun air minuman tak cukup untuk semua anggota yang terlibat. Siapalah inchage masak ni... ramai jugak yang merungut. Tapi time balik base lepas menembak tengok-tengok cook dah balik dah... nak lari ler tu... ade ke patut. Ada ura-ura nak tukar cook lepas ni sebab prestasi tidak memuaskan kata diaoranglah.

Walaubagaimanapun latihan menembak kali ini berjaya dengan semua anggota melibatkan diri dan boleh merasai pengalaman dalam latihan menembak semua senjata yang terlibat (walaupun ada anggota yang tembak langsung tidak kena sasaran) dan yang paling penting tiada sebarang kemalangan dan perkara yang tidak diingini berlaku.

Friday, November 14, 2008

Hasil Undian 'Siapakah Anda' dan Undi Terbaru

Undian terdahulu untuk "Siapakah Pembaca Blog ini?" telah tamat dengan undian sebanyak 167 undi (Alhamdulillah banyak jugak tu... Terima Kasih kepada anda semua kerana bukan senang nak dapat kerjasama semua pihak dalam hal ini).

Sebanyak 40% (68 undi) merupakan undian tertinggi yang menunjukkan Orang Awam telah mengakses laman weblog ini mengatasi Anggota PSSTLDM iaitu seramai 35% (59 undi). Anggota TLDM di tempat ketiga dengan 8% (14 undi), Pesara Tentera 5% (10 undi), Anggota Wataniah 4% (8 undi), Anggota Tentera Darat 2% (4 undi), Anggota TUDM 1% (3 undi), Polis / Polis Sukarela 1 undi dan tiada undi untuk Anggota PSSTUDM.

Dari statistik undian di atas menunjukkan ramai orang awam yang mencari-cari maklumat mengenai TLDM / PSSTLDM di internet dan mungkin maklumat yang dibekalkan selama ini dilaman web rasmi atau tidak rasmi yang ada sebelum ini masih tidak mencukupi dan jelas serta masih tidak memuaskan semua pihak. Kalau betul atau untuk sebarang komen sila tinggalkan komen anda di dalam ruangan ulasan di bawah setiap posting.

Tapi apa yang jelas, dalam tiga cabang perkhidmatan ketenteraan yang ada, Anggota PSSTLDM dan TLDM merupakan anggota yang paling 'celik komputer dan internet' (berdasarkan statistik tersebutlah). Dan yang tidak jelas pula, masih adakah Anggota PSSTUDM di sini? atau wujud lagikah Pasukan PSSTUDM ini dalam negara kita sekarang?... sebab langsung tiada pengunjung atau undi dari anggota-anggota ini. Atau laman weblog ini masih belum dikenali ramai? masih menjadi tanda tanya...

Baiklah, kita tutup peti undi di atas dan bukak 2 peti undi terbaru (terletak disebelah kanan anda) untuk lebih mengenali anda sebagai pengunjung dan untuk memperkemaskan lagi weblog ini, iaitu:

1. Antara 3 Cabang Perkhidmatan ATM, Yang Manakah Pilihan Utama Anda? dan

2. Jika Anda Anggota PSSTLDM, Unit Manakah Anda Berkhidmat Sekarang?

Walaupun peti undi tersebut telah menerima undian awal sebelum dihebahkan di sini, saya masih memerlukan kerjasama anda sebagai pengunjung laman weblog ini untuk turut serta mengundi agar lebih meriah dan kita lebih mengenali kehendak serta maklumat yang ingin disampaikan / diterbitkan untuk semua pihak. Tapi untuk maklumat-maklumat awam sajalah, kalau yang sulit mulit saya sendiri pun tak tau...

Untuk pengetahuan semua, sehingga artikel ini ditulis pengunjung laman weblog ini telah menjangkau hampir 5 ribu akses (sila rujuk trafik di bawah sekali laman ini). Ada pengunjung yang pertama kali memasuki dan ada yang berulang. Ada yang dalam negara kita Malaysia dan ada yang dari luar negara seperti Jepun, Amerika, Taiwan, Kanada dan lain-lain lagi (sila rujuk 'Live Traffic Feed' di sebelah kanan anda dibahagian Tetamu Saya). Alhamdulillah ramai juga yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut perihal dan life navy ni. Terima kasih dan datanglah lagi...

Oleh itu > Undi jangan tak undi... Marilah mari... kita mengundi...

Thursday, November 13, 2008

Dua lanun Somalia mati ditembak

LONDON - Dua lanun Somalia mati ditembak selepas sebuah kapal tentera Britain, HMS Cumberland memintas sebuah bot nelayan yang dipercayai berasal dari Yemen cuba merampas kapal kargo MV Powerful di Teluk Aden, lapor sebuah akhbar semalam.

[Keterangan Gambar: Dua buah bot dari kapal perang Britain, HMS Cumberland memintas sebuah bot Yemen di Teluk Aden kelmarin]

Menurut seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Britain, sebanyak dua buah lagi bot yang bergerak bersama HMS Cumberland memintas kapal lanun tersebut dan berlaku insiden tembak-menembak kelmarin.

Tindakan pantas anggota-anggota tentera laut itu berjaya menghalang sekumpulan lanun daripada merampas kapal MV Powerful dari Denmark.

"Dua warga asing dipercayai rakyat Somalia ditembak dan terbunuh ketika mempertahankan diri.

"Seorang warga Yemen juga ditemui cedera tetapi dia mati sejurus selepas insiden berkenaan walaupun mendapat rawatan daripada doktor kapal," kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Britain.

Operasi itu turut membabitkan sebuah helikopter Lynx yang dihantar dari kapal perang Rusia, Neustrashimy yang turut berada di kawasan itu.

Jurucakap tentera laut Rusia, Igor Dygalo dalam kenyataan kepada saluran televisyen Vesti-24 berkata, kumpulan lanun tersebut melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata automatik ketika cuba merampas kapal itu tetapi usaha mereka gagal hasil tindakan pantas kapal perang Rusia dan Britain.

Perairan Teluk Aden kini dipenuhi kapal tentera laut antarabangsa termasuk dari Denmark, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis, Belanda, Britain, Pakistan dan Kanada yang mengawal keselamatan kapal dagang dari negara masing-masing.

Sumber: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Itulah sepandai-pandai tupai melompat... akhirnya ke tanah jua tempatnya. Rasanya dah ramai orang berdoa agar aktiviti melanun di Teluk Aden ni lumpuh sepenuhnya... ye tak?

Wednesday, November 12, 2008

ATM Mengharungi 75 Tahun

PERBARISAN Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-75 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Khamis lalu nyata meriah sekalipun ketumbukan itu baru-baru ini menerima berita yang agak ‘merunsingkan’.

Lebih tepat, berita yang dimaksudkan adalah mengenai penangguhan pembelian 12 unit helikopter Eurocopter EC725 yang dijangka hanya mula diperoleh pada tahun 2011, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan dalam keadaan negara mengalami krisis ekonomi global, memberi ruang peruntukan itu disalurkan kepada sesetengah segmen masyarakat yang lebih memerlukan.

Dengan tenang, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal pada sidang akhbar selepas perbarisan itu memberitahu, pesawat-pesawat Nuri yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berkeadaan baik dan boleh digunakan sehingga 2015.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang turut hadir lantas mempersetujui kenyataan Abdul Aziz tadi malahan mereka berdua sependapat tempoh tersebut masih boleh dipanjangkan sekiranya ATM, khususnya TUDM meneruskan kerja-kerja penambahkbaikan ke atas Nuri dari semasa ke semasa.

“Penangguhan ini (Eurocopter) tidak menjejaskan ‘state of readiness ATM.’

Mencipta sejarah

“Selama ini kita telah menjalankan tugas dengan baik menggunakan Nuri dan ia juga digunakan sewaktu kita menghadapi ancaman Komunis, apatah lagi hari ini keadaan negara aman,'' kata Abdul Aziz yakin.

Sementara itu, dua lagi ketua perkhidmatan iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar turut mempamerkan keyakinan di wajah masing-masing sepanjang sidang akhbar berlangsung.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Aziz memberitahu, ATM mencipta sejarah apabila muncul sebagai satu-satunya angkatan tentera di dunia yang berjaya mengakhiri ancaman pemberontakan bersenjata.

Beliau menambah, sejak ATM menyertai misi pengaman ke Congo, Afrika pada tahun 1960 menerusi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), pasukan itu telah terlibat dalam tujuh misi pengaman serta 23 misi pemerhati serta staf tentera membabitkan kira-kira 20,1000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Beliau yakin kesemua pembabitan ini menandakan pengiktirafan dunia yang berpanjangan terhadap angkatan tentera negara, khususnya daripada PBB.

Nyata, perolehan lain-lain aset strategik ATM seperti pesawat pejuang Sukhoi, kapal peronda generasi baru, kapal selam Scorpene, kereta kebal Pendekar (PT-91M) dan sistem pelancar roket berganda, Astros mampu mewujudkan elemen cegah rintang yang menggerunkan terhadap negara.

Sementara itu dalam perutusannya sempena sambutan Jubli Intan ATM baru-baru ini, Muhammad Ismail mengakui suasana dunia dalam abad ke-21 ini akan terus bergolak dengan ancaman dari dalam dan luar negara yang sukar untuk ditafsirkan.

“Sesungguhnya, Tentera Darat sentiasa mengikuti perkembangan strategik ini dan secara proaktif telah merangka satu rancangan komprehensif untuk membangunkan sebuah angkatan darat yang boleh dibanggakan.

“Kita sedang bergerak berlandaskan satu visi untuk menjadikan Tentera Darat sebuah angkatan yang mempunyai kebolehan serta keupayaan untuk menangani pelbagai misi dalam sesuatu masa,'' ujarnya.

Abdul Aziz pula dalam perutusannya tidak ragu-ragu apabila menyatakan kehadiran kapal selam pertama negara, (Kapal Diraja) KD Tunku Abdul Rahman yang dijangka pada awal tahun depan bukan sahaja mampu mempengaruhi keadaan keselamatan maritim serantau, malah menjadi cegah rintang kepada musuh yang cuba mengancam kepentingan negara.

“Dengan perolehan kapal selam ini (dan kapal selam kedua KD Tun Abdul Razak yang dilancarkan Oktober lalu), ditambah dengan aset-aset strategik sedia ada seperti helikopter Super Lynx dan Fennec sebagai force-multiplier', ia pasti meningkatkan keupayaan peperangan TLDM dengan signifikan'' tegasnya.

Lebih bermakna, TLDM baru-baru ini dengan kerjasama Tentera Darat dan TUDM berjaya membebaskan anak-anak kapal dua kapal pengangkut negara yang menjadi tawanan dua kumpulan lanun berasingan di Teluk Aden, Somalia.

Malah sehingga artikel ini ditulis, terdapat dua lagi kapal milik TLDM yang sedang belayar di laluan berkenaan untuk mengiringi dan menjamin keselamatan kapal-kapal dagang negara daripada sebarang ancaman.

Azizan dalam amanatnya pula berbangga sebagai pemerintah tertinggi TUDM kerana beliau bukan hanya merayakan sambutan Jubli Emas TUDM tahun ini, malahan juga sambutan Jubli Intan ATM.

“TUDM baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke 50 pada tahun ini. Walaupun usianya masih muda jika dibandingkan dengan penubuhan ATM, namun TUDM telah mula menunjukkan kematangannya.

“Sungguhpun demikian, kewibawaan TUDM dalam melaksanakan tanggung jawab menjamin keselamatan negara sudahpun terserlah semenjak mula-mula ia ditubuhkan lagi.

“Sewaktu menentang pengganas komunis semasa darurat, kuasa udara yang dijunjung oleh TUDM telah dilaksanakan dengan jayanya melalui misi-misi udara dan juga misi-misi bantuan kepada pasukan sahabat seperti Tentera Darat, TLDM dan juga polis,'' katanya.

Nyata keempat-empat panglima itu yakin dengan keupayaan masing-masing dan berita penangguhan pembelian helikopter tersebut langsung tidak merencatkan fokus mereka.

Berbalik kepada perbarisan tadi, selain menerima tabik hormat daripada anggota yang terlibat, Abdul Aziz serta warga ATM lain turut memberikan tabik hormat kepada panji-panji yang diarak.

Beliau turut menyempurnakan upacara simbolik pengisian kapsul masa yang mengandungi harapan, amanat dan cadangannya untuk dibuka oleh panglima angkatan tentera pada 16 September 2033 nanti, sempena 100 tahun penubuhan ATM.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Jangan tak tahu TLDM juga akan menyambut Perayaan Jubli Intan penubuhannya pada 27 April 2009 tahun depan.

Tuesday, November 11, 2008

Jamuan Sempena Kenaikan Pangkat Bintara Kanan, Bintara Muda & Laskar Kanan

5hb November, Rabu - Satu Jamuan Kesyukuran dan meraikan kenaikan pangkat anggota yang telah dinaikkan pangkat ke Pemangku Bintara Kanan (P/BK), Pemangku Bintara Muda (P/BM) dan Pemangku Laskar Kanan (P/LK) telah diadakan dengan jayanya.

Jamuan diadakan untuk seluruh anggota yang berada di pangkalan / base KD Sri Pinang. Malangnya CO dan XO tak dapat menghadirkan diri pada majlis tersebut malam tu kerana berada diluar stesen. Tapi tak apa majlis tetap diteruskan dengan meriahnya. Lebih 60 anggota telah menghadirkan diri beramai-ramai ke majlis ini. Jamuan ini ditaja seluruhnya oleh 13 anggota yang telah menerima kanaikan pangkat baru-baru ini. Mereka ialah:

1. P/BK PPP Halim
2. P/BK PPP Arshad
3. P/BK KMR Azman
4. P/BK KMR Azhar
5. P/BM TMK Mohd Zuki
6. P/BM TMK Mohd Fauzi
7. P/BM TMK Mohd Zainudin
8. P/BM PPP Shah Murad
9. P/BM KMT Rosham
10. P/BM TMK Zul Faqer
11. P/BM TMK Zulkefli
12. P/BM KMT Zamri
13. P/LK KMR Habidi

Jamuan telah diadakan di galley KDSP dengan makanan yang sungguh menyelerakan. Nak tahu apa dia?.... Set Nasi Tomato dengan Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam, Acar Rampai Timun dengan Carrot, Buah Tembikai, Puding Jagung, Bihun Goreng, Koktel Puding Buah-buahan serta minuman oren. Memang sedap dan mengenyangkan. Menu dan masakan disediakan oleh caterer yang tidak asing lagi di KDSP iaitu Coxn Daud.

Acara dimulakan dengan sedikit ucapan oleh P/BM Zamri wakil kepada anggota yang diraikan dan seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh P/LK Habidi dan seterusnya anggota menjamu selera sehingga ke titisan kuah yang terakhir. Wah bestnya! kalaulah selalu hari-hari training macam ni....

Monday, November 10, 2008

Pengambilan Perajurit Muda TLDM di Sabah dan Sarawak

Perhatian!

18hb Nov, Selasa - KD Sri Tawau, Sabah
20hb Nov, Khamis - Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, K.Kinabalu
22hb Nov, Sabtu - 20 RAMD Kem Sri Miri, Miri, Sarawak
24hb Nov, Isnin - 3 RRD Kem Oya, Sibu, Sarawak
26hb Nov, Rabu - RNO Kuching, Sarawak

Sila hadirkan diri pada jam 8.30 pagi di tempat yang disebutkan di atas dengan berpakaian sukan lengkap untuk sesi pemilihan.

Lain-lain kelayakan adalah sama seperti yang disebutkan sebelum ini.

Marilah menyertai TLDM untuk berbakti pada negara.

'Sedia Berkorban'

Wednesday, November 5, 2008

Kursus Perajurit Muda Siri 2/2008

Kursus dijalankan seperti biasa di Pusat Latihan PSSTLDM, KD Sri Pinang, Pulau Pinang.

Kursus bermula dari 27hb hingga 31hb Oktober 2008.

Seramai 18 orang pelatih turut serta dalam kursus ini iaitu 10 anggota dari PSTL Kuching manakala 8 anggota lagi dari unit KDSP sendiri.

Mereka diajar asas dalam ilmu kelautan, 'Colours' dan 'Sunsets Ceremony' (rujuk gambar sebelah), Akta ATM 1972, Ilmu Pentadbiran dan Organisasi, 'Nuclear Biology Chemical Defence' / NBCD dan 'Damage Control Fire Fighting' / DCFF dalam bidang teknikal serta praktikal cara-cara melawan kebakaran menggunakan Alat Pemadam Api Kecil / APAK dan Pemadam Api Utama / APAU.

Selain itu mata pelajaran wajib ketika kursus adalah Kawad Kaki. Ada 2 orang jurulatih kawad mengendalikan kelas ini. Macam-macam style dan gaya ada atas padang kawad ketika diorang berkawad. Lawak pun ada lucu pun ada, maklumlah belum diasuh dan masih baru seminggu dalam perkhidmatan.

Kali ini jurulatih baru iaitu P/BM Rosham dan P/BM Zamri serta P/BM Shah Murad mengajar kelas Ilmu Kelautan serta 'Colours and Sunsets Ceremony'. Boleh bagi kat diorang dah lain kali untuk kelas-kelas macam ini. Pelatih-pelatih kursus pun jelas apa yang diajar pada mereka dari dalam kelas hingga ke luar untuk praktikal. Tahniah dan Syabas! Boleh confirm cepat ni rasanya...

Untuk kursus NBCD dan DCFF macam biasa dikendalikan oleh Jurulatih PWI TMK Azizan dan dibantu oleh 2 orang pembantu setia untuk tiap-tiap kursus dari dulu hingga sekarang iaitu P/BM Mohd. Zainudin dan P/BM Zul Faqer. Mereka ini memang boleh diharap untuk mengendalikan kursus-kursus sebegini sampai diimport untuk mengajar Pegawai dan Kadet PALAPES tahun lepas.

Rasanya kredit patut diberikan pada incharge diaorang iaitu PWI TMK Azizan. Permohonan untuk menyambung beliau ni rasanya boleh lulus tanpa masalah dengan semua sumbangan dan jasa beliau pada KDSP selama ni.

Selepas mengikuti kelas dan sesi pembelajaran, pelatih-pelatih akan mengikuti peperiksaan dan jawapan adalah dalam bentuk aneka pilihan untuk setiap pelajaran yang diajar kerana mereka ini adalah masih di peringkat permulaan lagi. Keputusan dari kertas ujian ini akan menunjukkan samada pelatih-pelatih telah mengikuti kursus dengan jayanya atau sekadar menghadirkan diri sahaja. Untuk yang gagal dikehendaki mengambil sekali lagi dan yang berjaya boleh datang semula untuk kursus di peringkat yang lebih tinggi. Semoga berjaya!

Selain itu, yang bestnya untuk kursus kali ini mereka mendapat peluang menjalani subjek ikhtiar hidup di laut dengan menggunakan rakit penyelamat yang dibekalkan di kapal-kapal navy sebagai modul latihan. Seronoklah dapat keluar mandi laut dekat Jeti Jabatan Laut Pulau Pinang. Mungkin dah rezeki diaorang sebab sebelum ini tak ada peruntukan untuk rakit penyelamat.

Untuk cerita bab rakit penyelamat ini kena tunggu post barulah.... banyak benda nak kena cerita ni kalau tidak korang tak paham, tunggu.....