Wednesday, November 19, 2008

Tentera AS 'terperanjat' jangkauan operasi lanun

WASHINGTON: Pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat 'terperanjat' lanun Somalia kini beroperasi lebih jauh dari perairan negara Afrika itu untuk merampas kapal tangki minyak Arab Saudi, kelmarin.

[Keterangan Gambar: Kapal tangki milik Arab Saudi, Sirius Star yang dirampas lanun Somalia, Sabtu lalu. ]


Pengerusi Ketua Staf Bersama Angkatan Tentera Amerika, Laksamana Michael Mullen, berkata kejadian itu menekankan bahawa perlunya masalah lanun di perairan berkenaan ditangani segera.

Namun, beliau berkata, tentera laut daripada beberapa negara yang mengawal perairan berkenaan terbatas dari segi tindakan yang boleh diambil kerana negara yang menjadi mangsa memilih untuk membayar wang tebusan kepada lanun.

"Saya lebih terperanjat dengan jarak operasi lanun itu berbanding saiz tangki yang dirampas," kata Mullen ketika diminta mengulas mengenai rampasan kapal tangki Sirius Star milik Arab Saudi Sabtu lalu.

Kapal gergasi yang sarat dengan minyak bernilai AS$100 juta (RM350 juta) itu ialah tiga kali ganda saiz kapal angkut pesawat tentera laut Amerika. Kapal itu yang mempunyai 25 anak kapal dirampas 720 kilometer ke timur Kenya.

"Ia adalah kejadian rampasan terjauh ke lautan yang dilaporkan dilakukan oleh lanun Somalia," kata Mullen. Lanun berkenaan, kata beliau: "Sangat cekap dalam melaksanakan jenayah itu. Mereka memiliki senjata lengkap dan dari segi taktik, operasi mereka sangat baik.

"Apabila mereka berjaya menaiki kapal, agak sukar untuk mengusir mereka kerana jelas sekarang mereka menawan tebusan.

"Persoalan sekarang apakah risiko boleh diambil berhubung keselamatan tebusan itu. Inilah yang membuat kejadian menjadi buntu."

Katanya, persoalan itu perlu dijawab oleh negara pemilik kapal terbabit dan setakat ini, kebanyakan negara memilih untuk membayar wang tebusan.

Mullen berkata, jumlah serangan lanun yang berjaya merosot, tetapi jumlah serangan keseluruhannya meningkat banyak. – AFP

CyberCoxswain: Biasalah bila dah selalu dapat terasa pulak hebat! Walaubagaimanapun duit haram tidak kemana perginya... Rasanya lanun-lanun dah meluaskan jaringan sebab kawasan teluk tu dah ramai sangat tentera laut luar yang berkawal dan memantau segala operasi di laut, dah tak boleh cari makan maka kenalah cari lagi jauh di laut lepas.

No comments: