Friday, November 21, 2008

Kuatkuasa Resolusi PBB bagi banteras segera lanun: Rais Yatim

LIMA: Malaysia menyeru Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) agar semua negara menguatkuasakan dengan segera Resolusi 1816 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membanteras aktiviti lanun di perairan antarabangsa bagi membolehkan perdagangan global lebih selamat.

“Adalah penting dan sudah tiba masanya bagi semua anggota ekonomi Apec mempertimbangkan langkah-langkah untuk menangani isu aktiviti lanun di perairan antarabangsa dengan cara lebih berkesan,” kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau melahirkan kebimbangan Malaysia mengenai insiden serangan lanun terutamanya di Teluk Aden dan di luar pantai Somalia pada Mesyuarat Peringkat Menteri Apec, di sini.

Dengan lebih 60 insiden serangan pada tahun ini sahaja, katanya Malaysia bersedia bekerjasama dengan negara lain yang berkongsi sama dengan masalah sukar ini di rantau berkenaan. “Kita boleh gunakan Resolusi 1816 PBB sebagai asas untuk bekerjasama bagi memastikan keselamatan manusia dan menyelamatkan perdagangan,” katanya.

Beliau juga berkata negara yang mempunyai kemampuan tinggi dalam tentera laut seperti Rusia, Perancis, Amerika Syarikat, India dan China hendaklah memainkan peranan penting dalam membanteras lanun.

Beliau juga memuji tentera laut India yang memusnahkan sebuah kapal lanun di Teluk Aden. Kapal tentera laut India merupakan salah sebuah daripada banyak kapal perang dari pelbagai negara yang mengawal laluan laut di kawasan berkenaan.

Rais berkata: “aktiviti lanun ini bukan hanya mengganggu aliran perdagangan bebas tetapi juga membahayakan nyawa anak-anak kapal.”

“Kesengsaraan akibat keganasan dan lanun di perairan antarabangsa telah menyebabkan banyak negara menjadi mangsa termasuk Malaysia walaupun jauh beribu-ribu batu dari perairan kita,” katanya.

Kejayaan Malaysia dalam memastikan keselamtan Selat Melaka bersama Indonesia, Thailand dan Singapura menunjukkan bahawa “kita mampu mengatasi insiden lanun,” katanya.

Pengalaman seperti itu boleh digunakan untuk mengelakkan bahaya akibat lanun di Teluk Aden dan perairan Somalia. - Bernama

CyberCoxswain: Itulah kerja membanteras lanun ni kena sepakat, tak boleh dibuat sorang-sorang... kena ada kerjasama semua negara yang mempunyai pesisir laut dan dibantu oleh negara-negara yang mempunyai kekuatan tentera laut yang besar, barulah lanun-lanun ni tak berani nak bermaharajalela.

No comments: