LONDON - Dua lanun Somalia mati ditembak selepas sebuah kapal tentera Britain, HMS Cumberland memintas sebuah bot nelayan yang dipercayai berasal dari Yemen cuba merampas kapal kargo MV Powerful di Teluk Aden, lapor sebuah akhbar semalam.
[Keterangan Gambar: Dua buah bot dari kapal perang Britain, HMS Cumberland memintas sebuah bot Yemen di Teluk Aden kelmarin]
Menurut seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Britain, sebanyak dua buah lagi bot yang bergerak bersama HMS Cumberland memintas kapal lanun tersebut dan berlaku insiden tembak-menembak kelmarin.
Tindakan pantas anggota-anggota tentera laut itu berjaya menghalang sekumpulan lanun daripada merampas kapal MV Powerful dari Denmark.
"Dua warga asing dipercayai rakyat Somalia ditembak dan terbunuh ketika mempertahankan diri.
"Seorang warga Yemen juga ditemui cedera tetapi dia mati sejurus selepas insiden berkenaan walaupun mendapat rawatan daripada doktor kapal," kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Britain.
Operasi itu turut membabitkan sebuah helikopter Lynx yang dihantar dari kapal perang Rusia, Neustrashimy yang turut berada di kawasan itu.
Jurucakap tentera laut Rusia, Igor Dygalo dalam kenyataan kepada saluran televisyen Vesti-24 berkata, kumpulan lanun tersebut melepaskan tembakan dengan menggunakan senjata automatik ketika cuba merampas kapal itu tetapi usaha mereka gagal hasil tindakan pantas kapal perang Rusia dan Britain.
Perairan Teluk Aden kini dipenuhi kapal tentera laut antarabangsa termasuk dari Denmark, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis, Belanda, Britain, Pakistan dan Kanada yang mengawal keselamatan kapal dagang dari negara masing-masing.
Sumber: Kosmo! Online
CyberCoxswain: Itulah sepandai-pandai tupai melompat... akhirnya ke tanah jua tempatnya. Rasanya dah ramai orang berdoa agar aktiviti melanun di Teluk Aden ni lumpuh sepenuhnya... ye tak?
No comments:
Post a Comment