CARTAGENA (Sepanyol) 8 Okt. — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tiba di sini awal Rabu untuk melancar dan menamakan kapal selam kedua Malaysia jenis Scorpene.
[Keterangan Gambar: Kapal selam Scorpene kedua Malaysia sedang disiapkan untuk majlis pelancaran oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada hari ini. Kapal tersebut akan dinamakan KD Tun Razak, sempena Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.]
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abu Seman Yusop, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar.
Turut hadir ialah para pegawai dari Sepanyol dan wakil Navantia, syarikat pembuat kapal yang dipertanggungjawabkan membina Scorpene 2, milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan rakan kongsinya dari Sepanyol, Navantia.
Majlis melancar dan menamakan kapal selam itu akan berlangsung pada Rabu di limbungan Navantia di bandar raya pelabuhan ini, yang terletak 450km dari ibu negara Sepanyol, Madrid.
Kapal selam pertama Malaysia jenis Scorpene dilancarkan di Cherbourg, Perancis, pada Oktober 2007.
— BERNAMA
CyberCoxswain: Selamat Datang kepada ahli baru dalam TLDM. Dapatlah merasa naik submarine lepas ini.
Dengar-dengar nak letak kat Teluk Sepanggar sekali dengan sekolah latihan kapal selam yang bakal diwujudkan. Wah tentu meriah Kota Kinabalu lepas ini.
No comments:
Post a Comment