Friday, September 9, 2011

Semangat satria anak kapal KD Pahang

DR. Abdul Latiff Ahmad (baju merah) bersama Mohammad Rosland Omar (kanan) mencedokkan lauk kepada anggota TLDM yang bersahur semasa belayar dari Labuan ke Pangkalan TLDM di Sepanggar, Sabah baru-baru ini.

LAZIMNYA bagi yang berpuasa, pada sebelah petang mereka akan ke bazar Ramadan bersama keluarga untuk memilih dan membeli juadah berbuka. Sementara pada hujung minggu pula, akan ke pusat beli-belah untuk membeli kelengkapan sambutan Aidilfitri.

Suasana itu amat indah. Lebih-lebih lagi apabila pusat beli-belah turut menghiburkan pengunjung dengan memasang alunan merdu lagu-lagu raya. Ia penuh kenangan manis dan nostalgia, walaupun lagu-lagu malar segar itu diulang berkali-kali, langsung tidak terbit perasaan jemu atau muak.

Sebaliknya, perasaan keterujaan menunggu kehadiran 1 Syawal semakin membuak-buak. Sedari atau tidak, tatkala kita semua bergembira, terdapat sekumpulan manusia mulia, lagi istimewa yang sanggup mengorbankan kesemuanya itu.

Malah mereka dengan penuh komited, jujur dan ikhlas sedia mempertaruhkan nyawa masing-masing demi menjaga keselamatan negara dan rakyatnya daripada sebarang ancaman musuh.

Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di atas kapal ronda generasi baru (NGPV) Kapal Diraja (KD) Pahang, tanggungjawab mereka amat besar yang melangkaui jarak samudera sehingga 200 batu nautika meliputi perairan Sabah dan Sarawak.

Mereka bukan sahaja menjaga keselamatan tetapi turut diamanahkan untuk melindungi aset negara, khususnya kawasan simpanan minyak dan gas yang nilainya mencecah trilion ringgit di perairan negara di Laut China Selatan.

Baru-baru ini, media diberikan peluang menaiki KD Pahang bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad untuk sama-sama berlayar dari Labuan ke Pangkalan TLDM di Sepanggar.

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Datuk Mohammad Rosland Omar dan Komander KD Pahang, R. Chandra Sehgaran, pihak media turut berkesempatan bersahur dengan warga kapal peronda itu.

Walaupun terpaksa bersengkang mata menjaga perairan negara, para hulubalang negara itu langsung tidak menunjukkan sebarang riak keletihan. Sebaliknya mereka begitu bersemangat lebih-lebih lagi apabila tetamu kenamaan sudi bersahur dengan mereka sambil bertanya khabar.

Chandra berkata, disiplin tinggi tetap ditunjukkan oleh anak-anak kapalnya menjalankan tugas walaupun mereka sedang menjalankan ibadah puasa.

"Saya amat bangga dengan komitmen mereka. Hubungan kami semua juga amat rapat seolah-olah berada dalam sebuah keluarga besar.

"Mereka yang beragama Islam dibenar dan digalakkan mengadakan solat tarawih, bersahur dan berbuka puasa secara berjemaah," katanya.

KD Pahang merupakan kapal perang sepanjang 91.1 meter, berkeluasan 12.85 meter dan dapat mencapai kelajuan maksimum 21 knot sera ketahanan beroperasi selama 21 hari tanpa henti.

Kapal itu juga menjalankan tugas dalam dua keadaan. Semasa aman ia mengawasi kawasan perairan negara, mencari dan menyelamat, latihan menghadapi konflik serta latihan bersama tentera laut negara luar.

Ketika keadaan konflik pula, kapal berkenaan meliputi tugas membuat peninjauan dan pengawasan, pertahanan pangkalan, bantuan terhadap operasi darat dan sebagai kapal pengiring.

KD Pahang juga merupakan kapal bestari yang meliputi keanggotaan minimum dan dilengkapkan dengan sistem berkomputer.

Dalam pada itu, selain memastikan fizikal anak kapal KD Pahang sentiasa mantap bagi menghadapi sebarang kemungkinan, mereka juga tidak melupakan kepentingan kekuatan rohani.

Menurut 'Imam' KD Pahang, Leftenan Komander Mohd. Syukri Hassim, 29, setiap kali belayar anak-anak kapal akan solat tarawih berjemaah di hangar kapal peronda itu, selain turut mengadakan majlis tahlil sekurang-kurangnya sebulan sekali semasa berlayar.

"Kami bertuah kerana mempunyai komander yang amat prihatin. Tuan Chandra selalu mengingatkan anak-anak kapal supaya memantapkan amalan agama masing-masing termasuk solat tarawih dan lima waktu berjemaah bagi yang beragama Islam.

"Malah kadang-kadang apabila ada bilal baru melaungkan azan yang mungkin pitchingnya lari sedikit, beliau akan merujuk saya kerana dikhuatiri berlaku kesilapan," katanya yang baru melangsungkan perkahwinan tetapi tidak dapat beraya bersama isteri kerana tuntutan tugas yang lebih besar.

Sementara itu, salah seorang daripada dua kuntum bunga di atas kapal itu, Leftenan Hazirah Samsuddin, 22, tidak menafikan perasaannya agak sedih apabila berjauhan daripada keluarga dan ia semakin ketara pada Ramadan dan Syawal.

"Tipulah jika tidak sedih tetapi apabila mengenangkan tanggungjawab besar terhadap negara yang dipikul, perasaan itu hilang dengan sendirinya.

"Sebaliknya saya amat berbangga kerana dapat menyumbang bakti dan jasa kepada negara, ia bukan perkara main-main kerana bukan semua rakyat negara ini berpeluang melakukannya," kata anak gadis dari Chemor, Perak itu dengan penuh semangat.


CyberCoxswain : Sedia Berkorban!

No comments: