Thursday, September 25, 2008

Anak Kapal TLDM Sambut Raya

Pertandingan 'menitis air mata' atas kapal TLDM

KUANTAN 24 Sept. - Setiap kali menjelang 1 Syawal, satu pertandingan 'menitis air mata' diadakan di kalangan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di perairan negara pada Hari Raya Aidilfitri.

Meskipun pertandingan itu hanya untuk 'suka-suka' namun menurut anak-anak kapal TLDM, ia sebagai dorongan kepada setiap anggota supaya lebih tabah menghadapi suasana beraya di laut tanpa insan tersayang.

Menurut mereka, pertandingan itu sebenarnya sebagai medium untuk menyakat anggota baru yang kebiasaannya menjadi orang pertama menitiskan air mata di atas kapal.

Bintara Muda Md. Shah Ashari, 37, berkata, pertandingan 'menitis air mata' merupakan aktiviti yang diamalkan anggota TLDM sejak sekian lama dan ia amat dinanti-nanti oleh anak-anak kapal yang terpaksa bertugas pada Hari Raya Aidilfitri pertama.

"Pertandingan ini menetapkan mana- mana anggota yang didapati terlebih dahulu menitiskan air mata ketika di atas kapal dianggap sebagai tewas, namun tiada denda atau hadiah disediakan kerana ia sekadar suka-suka.

"Ia mungkin aktiviti remeh tetapi pertandingan ini secara tidak langsung membantu kami menahan diri daripada perasaan sebak dan pilu ekoran berjauhan dengan keluarga semasa ketibaan 1 Syawal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Md. Shah yang sudah berkhidmat selama 18 tahun memberitahu, dia hanya berpeluang menyambut Aidilfitri yang pertama bersama keluarga sebanyak tiga kali sepanjang menjadi anggota TLDM.

Namun, katanya, menyambut hari raya di laut menjadi lumrah kepada diri dan keluarganya sejak sekian lama.

"Saya bersyukur kerana isteri dan dua anak perempuan berusia tiga dan satu tahun memahami bahawa suami dan ayah mereka tiada di rumah kerana berjuang untuk negara," katanya.

Sementara itu, Bintara Muda Fairuz Abd. Wahab, 32, berkata, walaupun terpaksa berhari raya di atas kapal pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, namun perkara itu sudah menjadi kebiasaan kepadanya selama bertugas sebagai anggota TLDM.

Jelasnya, walaupun sedih berjauhan dengan keluarga pada hari raya, namun kehadiran rakan-rakan sekerja mengubati kesedihan tersebut.

"Selain pertandingan 'menitis air mata', kami juga akan mengadakan beberapa aktiviti lain seperti menganyam ketupat bagi mengubati rindu kepada keluarga.

"Bagaimanapun, tumpuan kami kepada aspek keselamatan dan kedaulatan negara tidak pernah terabai kerana itu tujuan kami berada di laut ketika Hari Raya Aidilfitri," ujarnya.

Pegawai Waran 2, Mohd. Arif Hama, 34, pula memberitahu, beliau yang diarah bertugas pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini tetap komited menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga.

Menurutnya, walaupun menyedari akan merindui isteri dan anak-anak pada Hari Raya Aidilfitri kelak, namun demi tugas segalanya ditempuhi dengan cekal.

"Perasaan rindu itu sedikit terubat apabila anak-anak kapal yang lain mengeluarkan juadah hari raya yang dibawa oleh mereka selain mengenakan pakaian baju Melayu buat seketika bagi merasai suasana hari raya di atas kapal," katanya.


CyberCoxswain: Itulah bukan senang nak jadi navy ni... banyak yang perlu berkorban, orang lain sibuk dengan raya kita sibuk di laut lepas menjaga sempadan negara, tapi siapa yang tahu.... "Sedia Berkorban"

No comments: