19hb dan 29 Ogos 2008 adalah sejarah hitam untuk MISC Berhad. Kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 telah ditawan lanun di perairan Teluk Aden berhampiran Somalia dan Yaman. Perairan ini juga berhampiran dengan Arab Saudi, sebuah negara kaya.
Somalia terkenal dengan kebuluran, kemunduran dan merupakan sebuah negara yang masih bergolak dan seperti tidak bertuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tiada pihak berkuasa yang betul-betul berkuasa dalam menjamin keselamatan rakyatnya, khususnya keselamatan di laut. Dari keadaan ini ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan dengan 'meLANUN'.
Dahulu Somalia mempunyai sebuah angkatan laut yang dibantu oleh Rusia dalam melatih tentera dan pemberian dana. Tetapi selepas 1991 semuanya berkubur. Yang tinggal hanyalah sebuah tanah afrika yang masih bertelagah hingga kini. Tidak dinafikan ada kemajuan di situ tetapi ianya tidak menyeluruh kerana tidak mempunyai sebuah kerajaan pusat yang cekap dalam mentadbir seluruh wilayahnya.
Yaman pula sebuah negara yang agak berada jika dibandingkan dengan Somalia. Mempunyai kelengkapan ketenteraan unit Darat, Laut dan Udara yang lengkap. Nama Teluk Aden juga diambil dari nama sebuah tempat di Yaman.
Memang kita tidak boleh mengharapkan Yaman sepenuhnya dalam kes ini kerana ianya berlaku di laut antarabangsa. Tapi itu semua tugas siapa?... dalam menjamin keselamatan lautan untuk perdagangan... dan di mana badan dunia?... yang hebat dalam menangkis serangan lanun / menceroboh negara yang berdaulat...
Malaysia boleh menghantar kapal TLDM untuk mengiringi kapal-kapal MISC semasa melalui perairan yang 'panas' diluar sana, tetapi itu semua tugas TLDM-kah? Bagaimana pula dengan perairan kita...
Pasukan Khas ATM telah dibentuk untuk menyelesaikan masalah ini dengan menghantar 2 biji kapal perang TLDM dan anggota Paskal pada Sabtu lalu atas arahan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Abdul Aziz Zainal ke sana dalam memantau perkembangannya disamping pihak MISC berunding dengan lanun untuk membebaskan kapal dan anak-anak kapal berkaitan.
Terkini
Hari ini (4hb September) Timbalan Perdana Menteri (juga Menteri Pertahanan), Datuk Seri Najib Razak menyatakan akan menghantar sebuah lagi kapal jenis OPV, KD Pahang dan bakal berlayar pada bila-bila masa bagi membantu KD Lekiu dan KD Inderapura dalam operasi ini. Kini kapal-kapal terbabit berada di perairan Maldives dan dijangka tiba di Teluk Aden dalam 3 hingga 4 hari lagi.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang baru merayakan sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-51 tahun dengan meriah patut bersyukur dengan kemakmuran, kestabilan dan keamanan dalam negara. Marilah kita berdoa agar mereka semua yang ditawan lanun selamat kembali ke tanahair dan lanun keparat dihapuskan. Amin.
No comments:
Post a Comment