SEBAIK helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat di atas kapal KD Sri Inderapura kepunyaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hati penulis dan rakan-rakan terasa lega.
Bukan apa, ia adalah kali pertama penulis dan rakan media menaiki helikopter buatan Amerika Syarikat (AS) itu, apatah lagi ia perlu mendarat di atas sebuah kapal perang yang sedang membelah Laut China Selatan.
Misinya, melihat sendiri pergerakan Eksesais Angsa Siri 3/2008 yang sedang dilaksanakan bermula 4 hingga 22 Ogos lalu antara TUDM dan TLDM.
Turun saja dari pesawat tersebut, kumpulan media yang dibawa khas itu disambut mesra oleh anak kapal KD Sri Inderapura yang diperoleh daripada Tentera Laut AS pada tahun 1995 itu. Lawatan sehari bersama pihak media itu diketuai Panglima Operasi TUDM yang juga Pengarah Eksesais Angsa Siri 3/2008, Leftenan Jeneral Datuk Rodzali Daud, manakala TLDM diwakili Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Turut hadir ialah Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman. Pihak media diberi penerangan oleh Pegawai Pelaksana KD Sri Inderapura, Komander Anuar Alias mengenai Eksesais Angsa yang pada siri kali ini menggunakan konsep latihan lapangan (FTX).
Ia adalah kesinambungan dari eksesais siri kedua tahun lalu yang menggunakan konsep latihan arahan (CPX).
Latihan pada hari itu merangkumi aspek pertahanan ruang udara, serangan udara ke atas kapal-kapal, latihan anti-keganasan dan juga Combat SAR (mencari dan menyelamat dalam situasi tempur).
Selain dari itu, aspek kawalan dan pemerintahan (command and control) semua unit-unit juga dinilai oleh pihak penilai.
Eksesais itu meliputi kawasan dari Pangkalan Udara Kuantan dan Markas Wilayah 2 TLDM, Tanjung Gelang yang melibatkan perairan Laut China Selatan dan ruang udara sekitar 120 batu persegi.
Sebanyak 12 kapal TLDM terlibat dalam eksesais kali ini iaitu KD Sri Inderapura, KD Lekir, KD Lekiu, KD Tan Pusmah, KD Gempita, KD Ganyang, KD Ledang, KD Jerai, KD Hang Nadim, BTD Sotong dan dua bot CB 90 serta helikopter jenis Super Lynx dan Fennec.
Aset TUDM pula terdiri dari pesawat pejuang F18, MIG 29, Hawk, pesawat pengangkut CN 235, C130 Hercules, helikopter Nuri dan pesawat Beechcraft B200 selain elemen dari Tentera Darat iaitu pasukan 10 Briged Para, Rejimen Gerak Khas (GGK) dan Artileri.
Selain itu, Pasukan Khas TLDM (Paskal) dan Pasukan Khas TUDM (Paskau) turut terlibat dalam siri latihan itu.
Eksesais Angsa sebenarnya adalah gabungan dua eksesais iaitu Keris Mas yang diadakan oleh TLDM dan Angkasa Raya yang dilaksanakan oleh TUDM bermula tahun 2006.
Rodzali ketika sidang media yang diadakan di atas KD Sri Inderapura selepas tamatnya eksesais pada hari itu berkata, selain menilai kesiapsiagaan kedua-dua pasukan, Eksesais Angsa juga diadakan bagi meningkatkan aspek keserasian cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam semua aspek pertahanan maritim itu.
Katanya, ia akan diteruskan pada masa akan datang bagi menilai keupayaan bersama dalam operasi maritim dan udara.
Beliau berkata, latihan bersama itu juga merupakan satu langkah penjimatan kos tanpa mengetepikan keupayaan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan aspek latihan angkatan. “Kalau dulu kita buat dua latihan berbeza tetapi sekarang kita sepadukan menjadi satu latihan yang besar dan lebih berkesan serta menjimatkan malah banyak pengajaran diperoleh,” katanya.
Rodzali berkata, pengurangan kos tersebut juga membolehkan peruntukan yang ada dijuruskan kepada bentuk latihan lain yang turut menjadi kepentingan kepada kesiapsiagaan angkatan.
“Ini juga satu langkah yang membolehkan kita mencari jalan untuk menambah nilai aspek kecekapan melalui latihan terutama antara perkhidmatan,” katanya.
Katanya, kelancaran eksesais itu setiap kali ia diadakan membuktikan kedua-dua angkatan itu amat serasi dan mampu bekerjasama untuk mempertahankan ruang udara dan maritim negara.
SUMBER: Utusan Online
CYBERCOXSWAIN: Tak ada masalah bagi TLDM untuk bekerjasama dengan mana-mana cabang perkhidmatan ATM samada TUDM mahupun TDM dan dengan eksesais diatas telah menunjukkan buktinya. Tujuan kerjasama adalah untuk melihat sejauh mana kesepakatan dalam ATM dan juga semata-mata untuk negara bagi melicinkan urusan perihal keselamatan.
Selain itu masalah hanya timbul apabila tiba untuk kawad kaki. Kawad kaki bagi TLDM ini special sikit dan berlainan dengan TUDM dan juga TDM. Selalunya apabila kontinjen 3 perkhidmatan bergabung untuk berkawad navy akan mengubah stailnya mengikut darat kerana kawad airforce adalah sama dengan army so terpaksalah navy mengalah... tapi no problem bagi navy... tetap macho dan boleh mengikut rentak geng-geng lain.
No comments:
Post a Comment