Friday, April 10, 2009

TAHNIAH! daripada tentera ke jawatan menteri

KUALA LUMPUR: Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom memang tidak asing bagi mereka yang sering mengikuti program ceramah agama di kaca televisyen terutamanya rancangan Forum Perdana Ehwal Islam menerusi RTM1 setiap Khamis malam.

Ketokohan serta kepetahannya membicarakan perkara bersangkutan hukum agama Islam berjaya menarik perhatian penonton hingga menjadikan bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ini cukup dikenali ramai.

Selain kerjayanya dalam tentera, Jamil yang fasih berbahasa Arab adalah aktivis Islam yang aktif dan adalah anggota dalam Jawatankuasa Penasihat bagi Program Agama RTM.

Berkelulusan Sarjana (Masters) dalam Pengajian Islam (Pengurusan Ekonomi Islam) pada tahun 2000 daripada Graduate School of Islamic and Social Sciences, Virginia, Amerika Syarikat.

Beliau kini sedang menyiapkan tugasan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jamil juga adalah lulusan Sarjana Muda Syariah, Akademi Islam Universiti Malaya (UM) pada tahun 1986.

Justeru tidak hairanlah sekiranya anak kelahiran Yan, Kedah ini mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membarisi barisan kabinet barunya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Pelantikan Jamil dalam kabinet meneruskan kesinambungan Brigedier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin yang juga juga Pengarah KAGAT sebelum dilantik memegang portfolio yang sama dalam Jabatan Perdana Menteri pada 7 Januari 2004.

Jamil, 48 tahun yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 23 tahun lalu memulakan kerjayanya dalam Kor Agama ATM dengan ditauliahkan sebagai Kapten (Tugas Iktisas) pada tahun 1986.

Beliau diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan di Jabatan Arah KAGAT daripada Pegawai Staf 3 Hinggalah Pegawai Staf 1 Perkhidmatan.

Jamil kemudian dinaikkan pangkat sebagai Kolonel pada 1 April 2002 dengan jawatan yang sama sebelum memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan KAGAT pada tahun 2004.

Pada Okt 2005, Jamil memegang jawatan Pengarah Kor Agama ATM dengan pangkat Brigedier Jeneral dan seterusnya beliau dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral pada 16 Januari tahun lalu yang mencatat sejarah apabila muncul sebagai Pangarah KAGAT pertama yang dilantik sebagai Jeneral dua bintang.

Jamil berkahwin dengan Datin Fatmawati Saidin dan mempunyai enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, Jamil berkata, elemen kekuatan dan disiplin ketenteraan yang disemai selama berkhidmat dalam ATM akan menjadi pendorong untuk beliau melaksanakan tugas.

Ketika dihubungi, beliau berkata, pelantikan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal keagamaan pada dasarnya mempunyai persamaan dengan KAGAT yang diterajui selama ini.

"Ini ialah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya dan bersama sokongan semua pihak, saya yakin amanat ini dapat dilaksanakan, untuk menerajui aspek hal ehwal keagamaan dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau yang berterima kasih kepada Perdana Menteri, berkata pelantikan secara langsung adalah pengiktirafan dan penghormatan kepada warga ATM.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi KAGAT, Kolonel Kamaruddin Mamat, berkata pelantikan Jamil adalah satu penghormatan kepada KAGAT sebagai institusi keagamaan dan sepanjang menerajuinya terserlah daya kepimpinan dan karisma beliau yang cemerlang. - Bernama

CyberCoxswain: Kami tumpang berbangga! Tahniah!

2 comments:

cik fiza said...

salam.. lama x singgah... ;)

Cyber Coxswain said...

itulah pasal... singgah lah selalu