Monday, August 25, 2008

TLDM sedia gempur kapal tangki

Paskal yakin tawan semula Bunga Melati Dua daripada tangan lanun

KUCHING: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersedia menggerakkan anggotanya termasuk menghantar Pasukan Khas Laut (Paskal) ke pesisir pantai Somalia bagi merampas kembali kapal tangki MISC Bhd (MISC), MT Bunga Melati Dua yang ditawan lanun, Selasa lalu.

Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata pihaknya yakin dengan kelengkapan dan kemahiran Paskal kapal tangki serta 39 krewnya mampu dirampas semula.

“Bukan mahu berbangga, namun dengan keupayaan komando Paskal, kita yakin mampu menyelamatkan krew dan kapal itu, namun semua bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada mahu kami terbabit.

“Saya juga memberi jaminan jika perkara sebegini berlaku di perairan Malaysia, TLDM sebagai nadi utama pertahanan maritim akan bertindak dengan sewajarnya bagi melindungi kedaulatan negara,” katanya selepas melawat Pejabat Wakil TLDM Sarawak di sini, semalam.

Turut hadir Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Syed Osman dan Pegawai Wakil Tentera Laut Sarawak, Komander Roslan Othman

Dalam kejadian berkenaan, MT Bunga Melati Dua, milik MISC yang dalam pelayaran menuju Rotterdam dari Dumai, Sumatera bersama 39 krew termasuk 29 rakyat Malaysia ditawan lanun di Teluk Aden jam 10.09 malam waktu tempatan.

Kumpulan lanun yang sama turut merampas dua kapal dari Jerman dan masing-masing satu dari Jepun dan Iran dengan MISC ketika ini dikatakan berunding bersama kumpulan lanun berkenaan bagi tujuan pembayaran wang tebusan.

Difahamkan, pihak berkuasa Jepun, Jerman dan Iran akan turut menghantar komando mereka jika rundingan antara pemilik kapal dengan lanun gagal berikutan ugutan membunuh anak kapal yang dikemukakan sebelum ini.

Sementara itu, kapal selam kedua Malaysia KD Tun Razak dijangka akan dilancar dan dinamakan dengan rasminya pada 8 Oktober ini oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di pelabuhan Cartegana, Sepanyol, sebelum ia dijangka tiba di perairan negara pada awal 2010.

Kamarulzaman berkata, pihaknya dijangka berangkat ke Sepanyol selepas Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyaksikan majlis berkenaan.

“Selepas KD Tunku Abdul Rahman yang sudah memasuki peringkat akhir pembinaanya di Perancis, pembinaan KD Tun Razak di Sepanyol dimulakan Oktober ini selepas pelancaran rasminya dilakukan Tuanku Nur Zahirah.

“Pembinaanya dijangka mengambil masa kira-kira setahun lebih sebelum kapal selam berkenaan akan dibawa pulang pada awal 2010 bagi ditempatkan di Sabah bersama KD Tuanku Abdul Rahman yang dijangka tiba hujung tahun depan,” katanya.


CyberCoxswain: Sokong! jangan dibiarkan kemungkaran berleluasa lebih-lebih lagi kegiatan lanun di perairan seluruh dunia. Tak perlu nak berunding dengan "LANUN!"... mereka tu siapa?

1 comment:

j4l4k said...

Dimana kerajaan Malaysia semasa Rakyat Malaysia memerlukan pertolongan mereka???

Nanti dan nanti....