Friday, August 8, 2008

SEAEX THAMAL - tingkatkan kawalan perairan sempadan

KUANTAN 1 Ogos - Latihan bersama antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin Malaysia dengan Thailand (Seaex Thamal) berjaya mencapai matlamat dalam meningkatkan kecekapan dan keupayaan pengawalan perairan di sempadan kedua-dua negara.

Panglima Wilayah Laut 1 TLDM, Laksamana Pertama Abdul Aziz Mohd. Dom berkata, antara aspek penting yang diberi penekanan dalam latihan bersama kali ini ialah komunikasi antara kedua-dua pihak.

Menurut beliau, latihan selama tiga hari yang bermula Selasa lalu itu juga bertujuan melahirkan persefahaman bersama terutama dalam bidang perhubungan ketenteraan (komunikasi), persenjataan, masalah pendatang tanpa izin, penyeludupan dan kes-kes berkaitan dadah. ''Latihan ini penting untuk kedua-dua pihak kerana ia membantu meningkatkan persefahaman dan kerjasama dalam menangani pelbagai masalah melibatkan sempadan perairan negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Seaex Thamal 46/2008 di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang dekat sini hari ini. Hadir sama, Panglima Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Madya Kumpanaat Poochareonyos dan Komander Polis Marin Malaysia, Senior Komisioner II, Isa Munir.

Seramai 215 pegawai dan anggota menyertai latihan kali ini dengan melibatkan tujuh buah kapal dari TLDM, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Thailand. Latihan bersama itu bermula dari Songkhla, Thailand dan berakhir di Kuantan sejauh 350 batu nautika.

Abdul Aziz berkata, latihan bersama yang diadakan sejak 1970-an itu adalah penting memandangkan kedua-dua negara sedang berhadapan dengan masalah global terutama isu-isu keganasan. ''Kita tidak dapat menolak kemungkinan berlaku ancaman keganasan yang datang dari perairan kedua-dua negara pada masa akan datang. ''Kita berharap melalui siri latihan yang diadakan dua kali setahun ini dapat meningkatkan kerjasama bagi membantu negara masing-masing menangani masalah di sempadan," katanya.

Beliau menambah, kedua-dua negara memperoleh pelbagai manfaat menerusi latihan bersama itu kerana ia membolehkan anggota yang mengambil bahagian saling mempelajari kaedah baru dan bertukar-tukar maklumat.

No comments: