Wednesday, August 13, 2008

Stesen TLDM di Ambalat pengaruhi keputusan ICJ

TERUMBU LAYANG-LAYANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, kehadiran anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Ambalat yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Indonesia, penting bagi menyokong tuntutan pemilikan negara terhadap kawasan itu jika ia dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan faktor kehadiran rakyat Malaysia di situ tidak dianggap remeh kerana ia bakal mempengaruhi pertimbangan hakim ICJ.

[Keterangan Gambar: PERJELAS SESUATU: Najib berbual dengan wakil media sambil diperhatikan Musa Aman (kanan) ketika melawat Stesen Lima TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah, semalam.]

Hakikat itu, tegasnya, adalah berdasarkan pengalaman Malaysia kehilangan hak dalam tuntutan kedaulatan terhadap Batu Puteh, beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermakna Malaysia tidak akan berbincang dengan Indonesia berhubung tuntutan berkenaan kerana setiap pertindihan tuntutan wilayah harus diselesaikan menerusi rundingan demi keamanan serantau.

"Jika sesuatu tuntutan dirujuk kepada ICJ, satu daripada faktor utama pertimbangan ialah penguasaan sesuatu pulau membabitkan pemilikan atau penempatan rakyat kita untuk menyokong tuntutan itu," katanya pada sidang media selepas melawat Stesen Lima TLDM di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Kelmarin, Najib yang juga Menteri Pertahanan, meninjau operasi Pandanan/Sipadan (Ops Pasir) di Semporna yang dilaksanakan Angkatan Tugas Bersama (ATB) bagi meningkatkan kemampuan ATM, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Terumbu Layang-Layang adalah antara barisan hadapan TLDM dalam memelihara perairan negara.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan bercadang memanjangkan landasan kapal terbang dan terusan di terumbu itu, masing-masing sepanjang 1,367 meter dan 42 meter bagi membolehkan pendaratan pesawat lebih besar selain membenarkan kapal peronda TLDM hampir lebih dekat.

Sementara itu, Najib berkata, kapal selam pertama Malaysia, KD Tun Razak akan dilancarkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Sepanyol pada 8 Oktober ini.


Terumbu Layang-layang merupakan satu tempat yang menarik untuk scuba diving dan rekreasi laut. Cantik, menarik ...

No comments: