SEBUAH kapal pengangkut yang dipercayai membawa barangan elektronik terlarang dikesan melalui perairan Laut China Selatan, kira-kira 44 kilometer dari Kuantan, Pahang.
Melalui imbasan yang dibuat oleh radar daripada kapal-kapal angkatan tentera Malaysia, Singapura, United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand, barangan elektronik dalam kapal berkenaan dikhuatiri bertujuan dijadikan komponen penting dalam pembuatan senjata pemusnah besar-besaran (Weapons of Mass Destruction-WMD) seperti bom atom, kimia dan radiologi.
[Keterangan gambar: PARA pemerintah tertinggi angkatan tentera dan pegawai kementerian pertahanan negara-negara FPDA bergambar simbolik setiakawan kelima-lima negara berkenaan.]
Jika komponen itu berjaya dibekalkan kepada pengganas atau lanun yang berpusat di Asia Tenggara, sudah pasti keselamatan dan kedaulatan negara-negara sekitar termasuk Malaysia terancam.
Lebih buruk, ancaman tersebut turut boleh menular ke negara-negara di rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia.
‘‘Kapal pengangkut tersebut sedang bergerak pada kelajuan kira-kira 19 knot. HMS Kent (UK) diminta menghantar pesawat (helikopter) bagi melakukan serbuan.
‘‘Kapal-kapal lain beserta aset tempur masing-masing diarahkan untuk memberi perlindungan dan bersedia melakukan tindakan balas menghadapi sebarang kemungkinan,” tegas seorang pegawai kapal frigat Australia HMAS melalui rangkaian radio wayarles.
Sejurus kemudian, sebuah helikopter Super Lynx dari kapal frigat HMS Kent tersebut bergerak pantas ke arah kapal pengangkut tersebut melakukan rondaan di udara.
Beberapa saat kemudian, sebilangan anggota pasukan khas armada UK berkenaan dilihat turut melakukan serbuan menggunakan teknik fast roping dari helikopter itu.
Ia kemudian disusuli dengan dua buah bot dari HMS Kent dan HMNZS Te Kaha (New Zealand) beserta anggota pasukan khas masing-masing menghampiri kapal pengangkut barangan elektronik itu bagi melakukan serbuan melalui laut pula.
Bagi memantapkan serbuan, helikopter tempur S-70-B Seahawk milik HMAS Anzac turut menghampiri kapal yang diserbu itu dari jarak kira-kira 460 meter dalam masa kurang daripada 30 saat dan bersedia menyerang sekiranya kapal berkenaan bertindak balas.
Turut muncul, beberapa jet pejuang Hawk Mk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pesawat F-111 Aadvark Tentera udara Diraja Australia.
Senario serbuan, penggeledahan dan rampasan kapal serta peralatan elektronik di perairan itu disifatkan sebagai berjaya apabila koordinasi kesemua kapal serta pesawat tempur lima negara itu berjalan dengan lancar.
Ia turut disertai oleh kapal frigat KD Lekir dan KD Sri Indera Sakti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), RSS Intrepid Republik Singapura dan kapal pengangkut minyak Australia, HMAS Sirius.
Lebih membanggakan, Malaysia yang menjadi tuan rumah Eksesais Bersama Lima Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) kali ini dari 8 Oktober lalu sehingga Jumaat depan diakui berjaya menganjurkannya dengan berkesan setakat ini.
Sebagai rekod, buat pertama kalinya penganjuran eksesais di Malaysia kali ini dihoskan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mana sebelum ini ia dikelolakan oleh TLDM dan TUDM.
Pengarah eksesais tersebut, Brigedier Jeneral Abu Musa A. Rahman berkata, tahap persefahaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Singapura, UK, New Zealand dan Australia dilihat semakin baik dan berupaya menjamin keselamatan serta kedaulatan negara-negara itu.
Beliau yang juga Panglima Tujuh Briged memberitahu, eksesais kali ini menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan kerana walaupun fasa operasi latihan di laut itu hanya dirancang dan dimulakan hari ini, kesemuanya berjalan lancar.
‘‘Ini menunjukkan eksesais bersama FPDA yang dimulakan sejak tahun 1971 masih relevan dan membawa banyak manfaat terutama dari segi keselamatan di lautan.
‘‘Persefahaman sebegini mampu mengelakkan negara-negara FPDA daripada sebarang ancaman bukan konvensional seperti serangan lanun di perairan Somalia baru-baru ini dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di atas kapal frigat Australia, HMAS ANZAC, Khamis lalu.
Hadir sama, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohamed Noor (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Shahron Ibrahim (TUDM) dan Panglima Tentera Udara Singapura, Mejar Jeneral Ng Chee Kern.
Menurut Chee Kern, doktrin pertahanan yang diamalkan oleh kelima-lima negara adalah sangat efektif serta membuahkan hasil memberangsangkan.
‘‘Ini menunjukkan tahap setiakawan kelima-lima negara Komanwel ini sangat baik seterusnya menjamin keselamatan di masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Memerintah HMAS ANZAC, Kapten Stuart Mayer mengakui Malaysia telah menjalankan tugas yang baik dalam mengelolakan eksesais kali ini.
‘‘Seperti yang anda saksikan, senario operasi serbuan, penggeledahan serta rampasan ke atas kapal tadi dijalankan dengan berkesan dan saya berharap kerjasama ini dapat dimantapkan dari semasa ke semasa,” jelas.
Sumber: Utusan Malaysia Online
1 comment:
ada... cuma tak keluar dipasaran lagi
Post a Comment