KUALA LUMPUR 5 Dis. – Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) yang sedang dalam pembinaan bakal menjadi pusat rujukan dan penyelidikan pertahanan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop (gambar) berkata, penubuhannya bukan hanya sebagai sebuah pusat pengajian dalam bidang strategi dan pertahanan bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
‘‘Penubuhan Puspahanas adalah sebagai persediaan awal kerajaan mempertingkatkan daya saing ilmu ketenteraan dan tahap profesionalisme pegawai tentera khususnya bagi menangani pelbagai bentuk ancaman kepada negara pada masa hadapan,’’ katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian Diploma Kursus Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia (MTAT) Ke-37 di Auditorium Kementerian Pertahanan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.
Beliau seterusnya berharap Puspahanas dapat disiapkan mengikut jadual dan juga menjadi sebuah pusat latihan bertaraf antarabangsa bagi ATM.
‘‘Dengan kemudahan yang lengkap serta lokasi Puspahanas yang ideal, saya percaya bahawa peserta kursus nanti akan dapat belajar dan menjalankan penyelidikan dalam persekitaran yang selesa dan memuaskan,’’ katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online
CyberCoxswain: Satu lagi pusat kecemerlangan ilmu pertahanan bakal ada dalam negara kita yang tercinta ini dan jangan lupa kita juga akan ada satu Pusat Latihan PSSTLDM di Pulau Pinang yang bakal dibangunkan dengan segala kemudahan dan infrastruktur moden untuk melatih sukarelawan dan sukarelawati bagi berkhidmat untuk negara.
No comments:
Post a Comment