Friday, December 19, 2008

'Kapal ditawan tidak ikut arahan'

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kegagalan memaklumkan tentang laluan dan pergerakannya kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi punca kapal tunda dan tongkang milik dua syarikat swasta tempatan ditawan oleh lanun Somalia di perairan Yemen kelmarin.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, KD Inderasakti yang berada di Teluk Aden bagi mengiringi kapal dagang Malaysia melalui perairan tersebut, tidak menerima maklumat tentang pergerakan kapal daripada syarikat terbabit.

Beliau percaya kejadian itu boleh dielakkan jika syarikat terbabit bekerjasama menyalurkan maklumat seperti sebuah kapal China yang diselamatkan oleh TLDM daripada serangan lanun, semalam.

''Kita tidak dimaklumkan, jadi kita tidak tahu pergerakan laluan kapal tersebut. Mungkin kapal itu melalui kawasan berasingan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Kepimpinan Berwawasan (Pegawai) ATM di sini hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya kapal-kapal Malaysia yang ingin melalui perairan di situ memaklumkan kepada kapal TLDM yang membuat rondaan maklumat mengenai laluan mereka bagi memudahkan koordinasi dilakukan.

''Perairan tersebut merupakan satu laluan yang luas. Kita tidak boleh mengawal setiap pergerakan kapal yang lalu di situ.

''Sebab itu koordinasi diperlukan dengan pihak syarikat memberi maklumat tentang laluan mereka agar pergerakan mereka boleh diatur dengan rapi bagi mengelakkan diserang lanun," katanya.

Ditanya sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berkerjasama dengan pihak berkuasa Somalia untuk bertindak sebagai pasukan pengaman di sana, beliau berkata:

''Perkara itu melibatkan negara asing dan tidak mudah menghantar tentera ke sana.''

Dalam kejadian semalam, lanun di perairan Somalia sekali lagi menawan sebuah kapal Malaysia iaitu yang ketiga dalam tahun ini.

Menurut laporan, kapal tunda Malaysia yang mempunyai 11 anak kapal warga Indonesia itu sedang dalam perjalanan ke Malaysia dari Asia Barat dan ditawan kira-kira pukul 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia) sebelum dibawa masuk ke Somalia.

Dalam hal ini, Abdul Aziz berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat memainkan peranan berkesan menangani kegiatan lanun di perairan terbabit.

"Tidak ada guna jika PBB mengumumkan pelbagai langkah tetapi tidak bertindak segera menghantar pasukan tentera pengaman bagi membanteras kegiatan lanun yang berleluasa di perairan tersebut," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Kalau dah tak ikut arahan itulah padahnya yang patut diterima...

No comments: