NEW YORK 17 Dis. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam buat kali pertama memberi kuasa kepada negara-negara yang memerangi kegiatan lanun dekat pantai Somalia untuk melancarkan serangan darat dan udara ke atas kubu lanun di negara itu.
Kegiatan lanun yang menjadi-jadi di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu telah menyebabkan kos insurans melonjak dan memaksa tentera laut negara asing menempatkan kapal perang di perairan berkenaan bagi melindungi kapal dagang.
Penganalisis bagaimanapun berkata, tindakan antarabangsa itu tidak memadai untuk mencegah serangan lanun, sebahagiannya kerana tentera laut yang memburu mereka tidak mempunyai kuasa untuk meneruskan operasi ke atas kubu lanun di darat.
Draf resolusi tajaan Amerika Syarikat (AS) semalam, yang diluluskan dengan sebulat suara oleh 15 anggota Majlis Keselamatan, meluaskan kuasa tersebut kepada negara-negara yang bekerjasama dengan kerajaan sementara Somalia untuk memerangi kegiatan lanun.
“Negara-negara berkenaan boleh mengambil segala langkah perlu di Somalia, termasuk di ruang udaranya, untuk tujuan menghalang pihak yang menggunakan wilayah Somalia untuk merancang, membantu atau melakukan kegiatan lanun dan rompakan bersenjata di laut,” menurut draf tersebut.
Sidang Majlis Keselamatan itu dihadiri oleh Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan Menteri Luar Britain, David Miliband.
Walaupun peranan kerajaan Somalia berkali-kali ditekankan dalam resolusi itu, kerajaan sementara itu lemah dan mengalami perpecahan.
Negara itu dalam keadaan huru-hara sejak keruntuhan pemerintahan diktator 17 tahun lalu.
Puak berhaluan Islam menguasai sebahagian besar selatan Somalia manakala militia-militia kabilah yang bertelagah berkuasa di bahagian lain.
Pada sidang semalam, AS juga buat kali pertama menyatakan, PBB perlu menghantar pasukan pengaman ke Somalia dan Washington akan mengusahakan resolusi di Majlis Keselamatan menjelang akhir tahun ini untuk tujuan tersebut.
– Reuters
CyberCoxswain: Satu tindakan yang sepatutnya dah lama diambil bagi membantu Somalia dalam mentadbir dan membangunkan negara yang begitu miskin dan tercicir dari arus kemodenan dunia. Apabila negara dalam keadaan kucar-kacir dan miskin hingga kebuluran, mereka mencari jalan pintas untuk mencari sedikit kesenangan dengan cara yang salah atau juga mempunyai agenda tertentu. Tetapi apabila melibatkan keselamatan rantau dan nyawa manusia yang menggunakan selat berhampiran untuk perdagangan tindakan menyeluruh patut diambil. Gempur Wira!
No comments:
Post a Comment