Friday, December 19, 2008

Ditawan Lanun Lagi!

KUALA LUMPUR: Semua 11 anak kapal Masindra 7, kapal tunda milik syarikat Malaysia yang ditawan lanun di perairan Yemen pada Selasa lalu, dilapor berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Wisma Putra juga sudah memberitahu perkara itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di sini, memandangkan semua anak kapal itu terdiri daripada warga negara Indonesia.

“Perampas kapal tunda itu dalam komunikasinya dengan pemilik kapal, Masindra Shipping (M) Sdn Bhd, melalui telefon satelit telah memaklumkan kapal itu akan dibawa ke perairan Somalia serta urusan pembayaran wang tebusan akan dibincangkan kemudian,” katanya di sini hari ini.

Rais berkata bahawa daripada taklimat yang diberi oleh wakil Syarikat Masindra Shipping Sdn Bhd, kapal itu mempunyai bekalan makanan yang boleh menampung selama 30 hari.

Katanya syarikat itu turut mengharapkan kerjasama kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan krisis itu tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Kejadian berlaku jam 12.15 pagi waktu Malaysia apabila kapal tunda yang didaftarkan di Pelabuhan Klang bersama sebuah tongkang sedang berada 45 batu nautika dari pesisir pantai Yemen.

Rampasan kapal tunda tersebut turut dimaklumkan kepada pejabat perwakilan Malaysia di Sana’a oleh sebuah syarikat Malaysia, Muhibbah Engineering cawangan Sana’a, yang menyewa kapal tunda dan tongkang berkenaan.

Rais juga berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti, yang kini berada di Teluk Aden, sedia memberi bantuan yang sewajarnya kepada semua kapal dagang Malaysia yang menggunakan laluan di perairan itu. - Bernama

CyberCoxswain: Apa nak kata... tunggu jelah maklumat lanjut dari kementerian luar mengenainya

No comments: