Tuesday, July 22, 2008

2 NGPV SIAP AKHIR TAHUN 2008

LUMUT 21 Julai - Dua buah lagi Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan siap sebelum akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

(rujuk gambar: NAJIB Tun Razak diiringi Panglima Angkatan Tentera Jeneral Aziz Zainal (kanan) dan Ahmad Ramli Mohd Nor (tengah) di Boustead Naval Dockyard, Lumut, Perak, semalam.)

Beliau memberitahu, Kapal Diraja (KD) Kelantan akan siap Oktober ini dan KD Selangor akan siap sebelum akhir tahun. Katanya, pada masa kini sebanyak empat kapal peronda (PV) yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard telah siap dan diserah kepada TLDM. ''Program pembinaan PV sedang berjalan lancar dan kita pastikan program ini disiapkan kerana ia adalah satu program nasional," katanya.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Industri Pertahanan Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di sini hari ini. Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Zainal. Projek pembinaan NGPV perlu disiapkan selewat-lewatnya penghujung tahun lalu dengan sasaran penghantaran kapal pertama pada September 2004.

Kerajaan kemudian mengambil alih pembinaan enam buah kapal peronda itu melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan ia dikendalikan oleh anak syarikat LTAT, Boustead Holdings Bhd. (Boustead). NGPV sepanjang 91 meter yang dibina menggunakan konsep modular itu boleh ditukar peranan daripada kapal ronda kepada kapal tempur yang dilengkapi sistem persenjataan terkini termasuk peluru berpandu. Najib berkata, di bawah program pembinaan kapal PV ia telah mewujudkan sebanyak 969 syarikat vendor dengan perniagaan bernilai hampir RM1 bilion.

SUMBER : Utusan Malaysia Online

Selamat datang kepada bakal ahli keluarga baru dalam Tentera Laut DiRaja Malaysia hujung tahun ini.

No comments: