Monday, December 20, 2010

BM5 jimat RM3j sebulan

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pelaksanaan Operasi Fajar sejak menggunakan kapal kontena Bunga Mas Lima (BM5) milik MISC Berhad yang diubah suai menjadi kapal auxiliary (bantuan dan tugas-tugas khas) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM3 juta sebulan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, ini kerana kapal milik TLDM yang digunakan untuk operasi itu sebelum ini tidak mampu bertahan lama serta perlu membeli minyak pada kadar yang lebih tinggi ketika berada di perairan.

Kapal-kapal TDLM sebelum ini juga katanya, perlu membuat persinggahan yang kerap untuk melakukan ulang bekal dan proses itu memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi.

"Pelaksanaan Operasi Fajar menggunakan BM5 adalah satu langkah inovasi yang menjimatkan bukan sahaja wang TLDM tetapi wang rakyat dan telah pun dicontohi negara-negara maju lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

BM5 ialah sebuah kapal kontena bersaiz 699 TEU dan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal auxiliary TLDM.

Kerja-kerja pengubahsuaian telah dijalankan oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), anak syarikat MISC di limbungan kapal MMHE, Pasir Gudang, Johor.

Kapal yang diubah suai dengan kerjasama MISC Berhad, TLDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu selaras dengan kerumitan dan ancaman lanun yang sering berlaku selain bertujuan mengiringi dan melindungi kapal-kapal MISC yang melalui perairan Teluk Aden.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, BM5 yang mula ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1 Jun tahun lalu itu telah berjaya melaksanakan lima operasi dengan cemerlang sejak berada di perairan Teluk Aden bermula 2 Julai tahun lalu.

"Sejak mula beroperasi di Teluk Aden, BM5 sehingga kini telah berjaya melakukan tugasnya dengan cemerlang dan dijadikan contoh beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea dan Jerman.

"Sejak perkhidmatan BM5 di perairan Teluk Aden, Alhamdulillah tidak ada kapal milik MISC yang ditawan oleh lanun dan ini secara langsung telah menaikkan nama Malaysia dan MISC serta menjadikan MISC antara syarikat pengusaha kapal terpilih dunia," katanya.

Dari segi keanggotaan pula katanya, BM5 terdiri daripada 21 orang Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) yang merupakan pekerja MISC yang dilatih dan 40 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


CyberCosxswain: Tahniah dan syabas kepada anggota-anggota PSSTLDM yang berkhidmat di kapal ini. Satu contoh amalan murni untuk diikuti oleh warganegara Malaysia yang lain.

No comments: