TUANKU Mizan Zainal Abidin mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tun Ibrahim di kediamannya di Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail, 88, yang digelar Pahlawan Melayu atas jasa bakti dan pengorbanannya kepada negara, meninggal dunia kerana komplikasi sakit tua di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, awal pagi semalam.
Allahyarham yang dirawat di hospital berkenaan lebih sebulan lalu, meninggal dunia di sisi isteri, Toh Puan Zakiah Ahmad, dan empat anaknya kira-kira jam 4.40 pagi.
Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman di sini, sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk penghormatan terakhir serta disembahyangkan dan dikebumikan selepas solat Asar di Makam Pahlawan dengan penuh istiadat ketenteraan.
Allahyarham yang menabur bakti dalam tentera selama 36 tahun sejak 1941, turut meninggalkan 14 cucu dan empat cicit.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat menziarah jenazah Allahyarham di kediamannya kira-kira jam 12 tengah hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut memberi penghormatan menghadiri pengebumian Allahyarham bersama beberapa kenamaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin.
Sementara itu, Zakiah berkata, suaminya meninggal dunia dalam keadaan tenang di sisi semua ahli keluarga dan sempat berjumpa dengan semua rakan lama dan kepemimpinan ATM sekarang ketika dirawat di hospital.
Allahyarham ketika sakit pernah berkata bila tiba masanya saya akan pergi juga, jangan sedih-sedih... beliau selalu berpesan dalam hidup ini kalau kita rasa susah, sebenarnya ada orang lain yang lebih susah, katanya.
Sumber: Berita Harian Online
CyberCoxswain: Takziah kepada keluarga Toh Puan dan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat. Al Fatihah...
No comments:
Post a Comment