DEMI tanggungjawab kepada negara, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sanggup menyambut Hari Raya Aidilfitri di tengah lautan luas ketika umat Islam yang lain bergembira bersama anak isteri dan keluarga tersayang.
Ini kerana mereka faham, tugas mengawal keselamatan perairan negara dari ancaman musuh perlu diutamakan dari nikmat menyambut hari raya.
Sebagai anggota TLDM, mereka bersedia berkorban perasaan dan nyawa demi negara pada bila-bila masa sahaja apabila dikehendaki.
Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa, sudah tentu terdetik perasaan sayu di sanubari mereka apabila terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh dari keluarga tersayang di kampung halaman namun mereka tidak pernah berkecil hati.
Sebuah kapal TDLM yang terlibat dalam aktiviti rondaan perairan Selat Melaka pada Hari Raya Aidilfitri ialah Kapal Diraja (KD) Kelantan yang mempunyai kekuatan 68 anak kapal.
Dalam setiap tugasan, biasanya KD Kelantan keluar meronda selama dua hari untuk mengawal sekitar perairan Pulau Pangkor hingga ke Georgetown, Pulau Pinang.
Pegawai Pemerintah KD Kelantan, Komander Zahari Samsuri berkata, beliau tetap merasa bangga walaupun terpaksa belayar di tengah laut pada Hari Raya Aidilfitri demi tugas menjaga keamanan negara.
"Anggota TLDM dikehendaki membiasakan diri dengan keadaan ini kerana keamanan negara adalah keutamaan kami.
"Kami sanggup melakukan pelayaran pada Hari Raya Aidilfitri kerana ini merupakan tanggungjawab kami sebagai warga TLDM," katanya.
Menurut Zahari yang sudah lebih lima kali berhari raya di atas kapal, walaupun sambutan hari raya di atas kapal disambut sederhana, ia tetap meriah.
"Apa jua hidangan yang ada di luar seperti sate, ketupat, rendang dan lemang juga dihidangkan di dalam kapal.
"Jika di luar kita ziarah dari rumah ke rumah, di sini, kita ziarah dari mes ke mes," ujarnya.
Laskar Kanan Bdi Mohd. Sarkam Saari, 34, yang bertugas sebagai chef di KD Kelantan pula sudah biasa menyambut Hari Raya Aidilfitri di atas kapal.
Dia yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan tidak merasa sedih walaupun terpaksa berpisah dengan isteri dan tiga anaknya pada hari raya.
"Dulu, semasa pertama kali menyambut hari raya atas kapal, saya menangis kerana rindukan keluarga tetapi sudah biasa sekarang kerana sudah empat kali beraya di atas kapal.
"Saya faham perasaan rakan-rakan yang baru pertama kali merasai pengalaman beraya di atas kapal. Oleh itu, saya cuba menyediakan hidangan hari raya yang terbaik untuk mereka supaya mereka tidak terasa sangat berjauhan dengan keluarga," katanya.
Bagi Leftenan Raja Abd Ghani Raja Abdullah, 27, pula, dia tidak menyambut hari raya di kampungnya di Palong Tujuh, Gemas, Negeri Sembilan sejak menyertai TLDM tiga tahun lepas.
Kata Raja Abd. Ghani, ini merupakan kali pertama dia beraya di atas kapal selepas dua tahun beraya di markas.
"Sudah tentu saya rasa agak terharu dan sedih kerana tidak dapat beraya bersama keluarga. Mungkin, hari raya ketiga atau keempat baru saya pulang beraya di kampung," katanya.
Juruteknik enjin di KD Kelantan, Bintara Muda Fazli Ismail, 28, menyatakan, perasaannya bercampur baur kerana terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri di atas kapal.
"Paling sedih, saya tidak dapat meminta maaf dengan ibu bapa pada hari raya tetapi perasaan itu sedikit terubat kerana ramai kawan-kawan yang senasib dengan saya di atas KD Kelantan ini," katanya yang kali pertama menyambut beraya di atas kapal ialah di KD Mahawangsa pada 2008.
Bintara Kanan TMM Mohd. Rizal Maidin, 31, yang berasal dari Changlun, Kedah pula berkata, tahun ini merupakan tahun kedua dia menyambut Hari Raya Aidilfitri di atas kapal selepas menamatkan zaman bujangnya pada 2006 ketika bertugas di Kota Kinabalu, Sabah.
"Walaupun agak sedih, isteri saya faham kerana saya sudah beritahu dia saya mungkin tidak dapat menyambut hari raya bersama kerana perlu bertugas," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia Online
CyberCoxswain: Begitulah kehidupan sebagai seorang Anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia. Satu pengorbanan yang besar demi memastikan keamanan terjaga dan terhindar daripada pencerobohan di sepanjang perairan negara.
Pekerjaan yang jarang-jarang mendapat liputan dari media jadi tak hairanlah jika orang awam masih tertanya-tanya mengenai kerjaya ini. Apa pun pengorbanan ini sentiasa dilihat Ilahi dan mudah-mudahan mendapat tempat disisiNya kelak. InsyaAllah.
Sedia Berkorban.
No comments:
Post a Comment