Friday, February 5, 2010

Kedutaan asing didakwa beli rahsia negara

Kor Risik pantau kebocoran maklumat: Zahid

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat kedutaan asing di negara ini memperalatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mendapatkan maklumat rahsia negara, sekali gus boleh mengancam keselamatan negara.

Katanya, anggota terbabit dipercayai diupah kedutaan asing menyalurkan maklumat diklasifikasi sebagai rahsia besar, rahsia, dan sulit yang tertakluk mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku kerana tindakan membocorkan rahsia negara dan usaha mendapatkannya oleh sebuah kedutaan asing adalah jenayah berat.

"Setiap masa Kor Risik ATM memantau perkara ini (kemungkinan berlaku kebocoran maklumat) dan apabila maklumat ini (kebocoran maklumat ATM) diperoleh, kita bekerjasama dengan polis untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak berkompromi dalam isu barang hilang, maklumat bocor dan sebarang kepincangan. Bukan setakat amaran, kita akan mengambil tindakan undang-undang," katanya selepas Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau melancarkan kempen derma darah Mindef 2010 dan Talian Bebas Tol Mindef yang boleh dihubungi menerusi 1 800 222 700 bagi membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap sebarang perkara berkaitan kementerian itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menganggap pihak terbabit memainkan peranan sebagai pengintip kerana tugas itu biasanya dilakukan orang luar, tetapi dalam kes ini ia mungkin menggunakan orang dalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, berpuluh-puluh individu dikenakan tindakan oleh ATM kerana mendedahkan maklumat kepada pihak tertentu dalam kes kehilangan enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sumber: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Menjaga amanah amat berat tanggungjawabnya. Selain sifat jujur dan ikhlas berkhidmat demi negara, hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh memikulnya.

Kes-kes sebegini mungkin berlaku secara sengaja / tidak sengaja kepada musuh negara hanya mereka sendiri yang boleh tentukan. Ingatlah masih di dunia lagikan dinilai apatah lagi akhirat kelak yang tak mungkin terlepas (kepada yang muslim).

1 comment:

Iskandar Mohammad said...

Kejujuran datang dari hati kita sendiri, jujur dalam menjalankan tugas, jgn ada perasaan benci sesama sendiri