Friday, June 17, 2011

Persaraan Panglima ATM


KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua anggota tentera dan orang awam yang bertugas di Kementerian Pertahanan diingatkan supaya memelihara serta menyimpan rahsia pertahanan negara agar ia tidak dimanipulasi oleh musuh.

[Keterangan gambar: AZIZAN Ariffin melambai kepada para pegawai ATM sempena persaraannya selepas majlis serah terima tugas Panglima Angkatan Tentera di Kementerian Pertahanan, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN]

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, ini kerana pendedahan tentang rahsia negara hanya akan membawa padah pada masa depan.

"Ingatlah, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terus mengintai peluang untuk mengambil kesempatan atas kelalaian atau kelemahan kita dan di luar sana, elemen asing termasuk warga Malaysia terus cuba memperoleh maklumat mengenai aset strategik kita".

"Oleh itu, saudara dan saudari hendaklah memastikan segala maklumat berdarjah disimpan dengan seketat-ketatnya dan tidak menguar-uarkan sebarang maklumat kepada mana-mana pihak yang tidak berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat terakhir sebagai Panglima Angkatan Tentera sebelum menyerahkan tugas kepada Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin melalui simbolik penyerahan tongkat kuasa di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Azizan mencipta sejarah tersendiri dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila muncul sebagai Panglima Tentera Udara pertama yang dilantik memimpin ketiga-tiga cabang perkhidmatan tentera negara bermula 1 September 2009 sehingga ke hari ini.

Beliau mengakui tarikh 1 September 2009 dan 15 Jun 2011 merupakan dua tarikh teristimewa dalam hidupnya serta selama 41 tahun berkhidmat dalam ATM.

Pada acara hari ini, Azizan turut melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh sepasukan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja buat kali terakhir sebelum diarak di atas sebuah kenderaan tentera dengan penuh simbolik.

Penggiliran PAT kembali ke Tentera Darat

Sistem penggiliran Panglima Angkatan Tentera kembali ke tampuk pemerintahan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkuat kuasa hari ini, selepas diketuai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama dua tahun.

Ia bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang menamatkan perkhidmatannya hari ini selepas 41 tahun menabur bakti dalam TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penggiliran ketua perkhidmatan cabang dalam ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera dimulakan pada April 2005 apabila Laksamana Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Noor daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilantik ke jawatan tertinggi ATM tersebut.

Ia memecahkan tradisi ATM apabila kesemua jawatan tertinggi ketumbukan tersebut sebelum itu diketuai oleh Panglima Tentera Darat.

Melalui trend sekarang serta sumber Utusan Malaysia, penggiliran jawatan itu akan dibuat mengikut turutan: TDM-TLDM-TDM-TUDM.

Sumber: Utusan Online

CyberCoxswain: Selamat Bersara dan Selamat Bertugas kepada Panglima Baru ATM... Welcome Aboard.

2 comments:

ben sungib said...

Itulah sebaik-baik amanat terakhir daripada seorang Panglima ATM kepada anak-anak buahnya (tentera dan awam).Sebagai pegawai dan anggota serta penjawat awam di dalam ATM, setiap seorang daripada mereka adalah terikat kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).Akta ini mengekang mereka daripada mendedahkans ebarang bentuk maklumat kepada pihak yang tidak berhak mendapatkannya. Tetapi masalah dengan sebahagian daripada kita ialah adanya sifat mahu menunjuk-nunjuk dan aku tahu banyak perkara. Dengan adanya sifat sedemikian, mereka secara sedar atau tidak sedar mendedahkan banyak rahsia. Ada juga pihak, demi kepentingan sendiri, contohnya pulangan dalam bentuk wang ringgit atau material yang lain, melakukan perkara yang sama.

Saya tidak pasti mengenai sistem penggiliran yang dipetik daripada sumber Utusan Malaysia itu benar atau pun tidak. Setahu saya, pemilihan PAT dibincang di dalam Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan.Nama yang dipilih kemudian dirujuk kepada Perdana Menteri dan perlantikan hanya disahkan selepas mendapat perkenan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong.

Cyber Coxswain said...

Setuju! Sebenarnya istilah penggiliran dlm kes pelantikan PAT mungkin digunakan oleh media/awam berdasarkan pemerhatian mereka berikutan keadaan yg berlaku. Apa yang pasti, hanya mereka yang memenuhi kriteria sahaja yg dipilih.