Friday, April 29, 2011

Transformasi 77 tahun lonjak TLDM armada laut disegani

Pelbagai perancangan strategik disusun tingkat keberkesanan peranan ketumbukan hadapi cabaran tiga dimensi

KEJAYAAN Pasukan Khas Laut (PASKAL) membebaskan kapal tangki negara, MT Bunga Laurel bersama 23 anak kapal tidak sampai dua jam ditawan lanun di Teluk Aden, Somalia kira-kira jam 11.40 malam (waktu tempatan), 20 Januari lalu jelas membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap peranan dimainkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Walaupun hampir empat bulan berlalu, pencapaian itu barangkali boleh dianggap sebagai ‘hadiah’ paling bermakna untuk Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, setiap pegawai dan anggotanya sempena sambutan Hari TLDM Ke-77 hari ini.

Ia jelas membuktikan komitmen tinggi setiap warga kerja ketumbuhan itu melaksanakan tanggungjawab mereka memelihara kedaulatan perairan negara walaupun dalam keadaan aman dan tidak menghadapi sebarang krisis keselamatan, termasuk melindungi pelbagai aset serta kepentingan kerajaan di seluruh dunia.
Ini sekali gus menolak pandangan skeptikal pihak tertentu, yang sering menuduh pegawai dan anggota TLDM lebih banyak ‘goyang kaki’ daripada memainkan peranan sepatutnya, tidak setimpal dengan perbelanjaan besar kerajaan bagi perolehan pelbagai aset baru untuk ketumbukan itu.

Sepanjang 77 tahun penubuhannya juga, TLDM mengalami pelbagai transformasi dari segi pemodenan asetnya, terutama perolehan dua kapal selam – Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak sejak setahun lalu yang kini ditempatkan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

Biarpun dilempar pelbagai kritikan, termasuk isu gangguan teknikal dialaminya yang dijadikan ‘modal’ pembangkang ‘membelasah’ kerajaan, kedua-dua kapal selam itu kini belayar megah di barisan depan armada TLDM.

“KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak kini berada pada tahap operasi terbaik, malah kedua-duanya berjaya melaksanakan misi yang dipertanggungjawabkan. TLDM cukup bertuah kerana mempunyai aset terbaru ini bagi memperlengkapkan armadanya,” kata Abdul Aziz ketika memperjelaskan status kapal selam terbabit.

Bagaimanapun, pemilikan dua kapal selam jenis Scorpene buatan Perancis itu tidak bermakna usaha memodenkan aset pertahanan laut negara akan terhenti, sebaliknya perolehan peralatan terbaru diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan sejajar dengan kewujudan pelbagai ancaman baru.
Antara dirancangkan, pembelian kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship atau LCS), kapal sokongan pelbagai fungsi (Multi Role Support Ship atau MRSS) dan proses menaik taraf kapal peronda pesisir (patrol vessel) sedia ada dalam perkhidmatan, selain perolehan helikopter tempur, khusus bagi menjalankan operasi antikapal selam (Anti Submarine Warfare – ASW), selain boleh digunakan pelbagai misi sulit PASKAL.

Sumber: Berita Harian Online

Sumber Gambar: PO Mins PSSTLDM KDSP

CyberCoxswain: Selamat Hari TLDM yg ke 77 tahun untuk semua. Sedia Berkorban.

2 comments:

rama-ramaMinS said...

wah gambaq tu...anggota
sedia berkorban tu...

hijau said...

ssh sgt nk dgr psl intake psstldm. camne nk join? kne tgu ad intake ke kne g ofis die mntk borg? hu... musykil...musykil...