Friday, November 20, 2009

Bunga Mas 5 TLDM-MISC harumkan Malaysia

Abdul Aziz Jaafar (kanan) sambil diperhatikan S. Rajalingam (dua dari kanan) bersama para pegawai MISC pada majlis Pemakaian Pangkat para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kerjasama strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan MISC Bhd. dalam operasi kapal bantuan pelbagai guna, Bunga Mas 5 mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh komuniti maritim dunia.

Buktinya, tiga negara kuasa besar tentera iaitu Jerman, Jepun dan Korea Selatan kini mengkaji kaedah perkongsian pintar di antara TLDM dan MISC dalam mengoperasikan Bunga Mas 5, seterusnya berjaya menjaga keselamatan laluan kapal dagang di perairan Somalia.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menjelaskan perkongsian strategik bagi mengawal keselamatan laluan dagang di perairan Teluk Aden, Somalia itu jelas menunjukkan keistimewaan dan pengorbanan kedua-dua pihak.

''Selain Jepun, semasa saya di Korea awal bulan ini, Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Lautnya juga kagum dengan keupayaan Malaysia mengoperasikan kapal bantuan, sementara Jerman menghantar surat menyatakan minat sama," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara Pemakaian Pangkat para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari MISC di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Perkhidmatan Pengurusan Armada MISC, Kapten S. Rajalingam.

Dalam perkongsian itu, MISC menyerahkan sebuah kapalnya dengan sewa RM1 setahun yang kemudiannya akan menjadi milik kerajaan Malaysia.

Abdul Aziz menambah, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) akan mengiktiraf keupayaan TLDM dengan Anugerah Keberanian Luar Biasa pada Isnin ini atas kejayaannya mengawal keselamatan kapal dagang Malaysia serta negara lain di laluan Teluk Aden.

Jelasnya, anugerah itu tentunya membanggakan TLDM dan negara kerana pengiktirafan sebegitu tidak mudah untuk diperolehi.

Sementara itu, Rajalingam memberitahu, tiada negara di dunia selain Malaysia yang berjaya menjalin kerjasama seperti MISC dan TLDM dalam mengoperasikan kapal sebegitu.

''Semasa saya di London bagi Persidangan Kapal Tangki Antarabangsa minggu lepas, Pengarah Angkatan Tentera Laut Eropah telah meminta kesemua 140 peserta delegasi memberikan tepukan kepada MISC dan ia amat membanggakan,'' katanya.

Katanya, kerjasama operasi Bunga Mas 5 yang bermula Julai lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC tahun lepas memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.

''Selain Teluk Aden, Bunga Mas 5 juga akan melebarkan operasi kawalan keselamatan ke atas kapal-kapal berkepentingan negara di Lautan Hindi tidak lama lagi,'' jelasnya.

Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.

Seramai 21 krew tetap MISC yang diserap serta dilatih sebagai PSSTLDM bertugas pada satu-satu masa sambil dibantu 38 anggota TLDM dan ATM daripada pelbagai kepakaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

CyberCoxswain: Salah satu sumbangan Pasukan PSSTLDM kepada negara tercinta yang patut dibanggakan semua rakyat Malaysia. PSSTLDM berkhidmat untuk negara dengan moto yang sama "SEDIA BERKORBAN". Hidup PSSTLDM!

1 comment:

KS Sri Klang said...

Bravo !!