Thursday, September 3, 2009

Kapal selam pertama negara selamat tiba

TERKINI

PELABUHAN KLANG: Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman selamat tiba di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah jam 9.20 pagi ini.

Ketibaannya disambut Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu istiadat penuh bersejarah di Jeti KD Sultan Abdul Aziz Shah.

Turut menyambut, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

KD Tunku Abdul Rahman merapat ke jeti jam 9.20 pagi dalam keadaan timbul.

Ia memulakan pelayaran dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu dan mengambil masa 54 hari dengan melalui pelabuhan Jeddah, Djibouti dan Cochin sebelum tiba di Pelabuhan Klang.

Pelayaran KD Tunku Abdul Rahman diketuai Pegawai Memerintah Komander Zulhelmy Ithnain, ia dikendalikan sepenuhnya oleh 32 pegawai dan anggota Tentara laut Diraja Malaysia (TLDM).


Perolehan Kapal Selam Jamin Kedaulatan Perairan Malaysia

PELABUHAN KLANG, 3 Sept (Bernama) -- Perolehan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah komitmen terbesar kerajaan bagi meningkatkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha menentukan kedaulatan perairan negara terjamin daripada sebarang ancaman, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

[Keterangan gambar: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kiri) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) keluar dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman selepas selesai sesi lawatan di Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah, hari ini. (Gambar bawah); Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (empat kanan) ketika bergambar diatas kapal selam KD Tunku Abdul Rahman turut diiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (lima kanan), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah (paling kiri), Datuk Seri Najib Razak (enam kanan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (tujuh kanan) - Foto Effendy Rashid (BH)]

"Perolehan tersebut membolehkan TLDM khususnya dan ATM amnya mewujudkan satu angkatan laut dan tentera yang lebih kredibel dan berwibawa di rantau ini," titah baginda pada upacara sambutan ketibaan kapal selam pertama negara 'KD Tunku Abdul Rahman' (KD TAR) di jeti KD Sultan Abdul Aziz di sini , Khamis.

Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan semangat serta kecekalan yang dipamerkan oleh krew KD TAR sehingga berjaya menamatkan latihan selama setahun.

Baginda bertitah ia juga membuktikan krew TLDM mampu bersaing dan setanding dengan angkatan laut yang bertaraf antarabangsa.

"Beta menyedari kapal selam memerlukan warga yang memiliki kemahiran tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya," titah baginda.

"Beta percaya saudara-saudara adalah insan terpilih dan bertuah kerana menjadi krew pertama kapal selam yang menjadi kebanggaan negara dan ia akan menyuntik semangat seluruh rakyat Malaysia untuk menempa kegemilangan dalam mengharumkan nama negara," titah baginda.

KD TAR diketuai oleh pegawai pemerintah Komander Zulhelmy Ithnain dan dikendalikan sepenuhnya oleh 32 pegawai dan anggota TLDM.

Seri Paduka juga bertitah agar aset yang berteknologi tinggi itu dapat dijaga dan digunakan sepenuhnya bagi memastikan kredibiliti TLDM sebagai sebuah angkatan laut yang mampu menjaga negara.

Pelayaran krew kapal selam merentasi 6,000 batu nautika serta persinggahan di tiga pelabuhan negara asing merupakan detik bersejarah bagi TLDM dan negara, titah baginda.

Baginda turut berkenan melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama sempena kapal selam pertama negara sebelum melawat galeri kapal selam itu.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

KD TAR memulakan pelayarannya dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lepas dan singgah di Jeddah, Djibouti dan Cochin sebelum tiba di Pelabuhan Klang.

KD TAR antara dua kapal selam jenis Scorpene yang ditempah kerajaan untuk memperkukuhkan TLDM.

3 comments:

Unknown said...

alhamdulillah...semoga pertahanan negara lebih gagah di nusantara...

nuryushua said...
This comment has been removed by a blog administrator.
duit lebih said...
This comment has been removed by a blog administrator.