Friday, August 28, 2009

Bakal Panglima Angkatan Tentera Malaysia

Tan Sri Azizan Ariffin dilantik PAT

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Azizan Ariffin, akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) menggantikan penyandang Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang akan bersara 1 September ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebentar tadi.

Berikut adalah biodata beliau.


Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM telah memegang jawatan Panglima Tentera Udara mulai 30 November 2006.

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM dilahirkan di Yan, Kedah pada 25 Oktober 1952. Anak kelahiran negeri Jelapang Padi Malaysia ini mula menyertai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) pada 15 Okt 1970. Beliau menamatkan latihan Pegawai Kadet di Maktab Tentera DiRaja dan ditauliahkan sebagai Pilot Officer pada 16 Apr 1971,kemudian diserapkan ke Cawangan Kawalan Trafik Udara.

Beliau telah menjalani kursus asas dan lanjutan Kawalan Trafik Udara di Australia pada tahun 1971 dan 1973. Tugas pertama yang beliau sandang adalah sebagai Pegawai Kawalan Lalulintas Udara di Pangkalan Udara Kuala Lumpur. Seterusnya beliau telah menyandang berbagai jawatan sebagai Pegawai Trafik Udara di JATCC Paya Lebar Airport Singapore dan Pangkalan Udara Kuantan.

Pada 15 April 1976, beliau telah mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Australia dan telah dianugerahkan Sayap Penerbangan pada 8 Julai 1977. Semenjak dari itu, kerjaya beliau berkembang sebagai seorang juruterbang TUDM. Beliau telah menerbangkan berbagai jenis pesawat TUDM dan antaranya adalah CT 4s, Aermacchi MB 326H, Bulldog B 100, Cessna 402B, BAe 125, Fokker 28, Pilatus PC 7, Falcon 900 dan juga C130.

Beliau juga pernah menyandang tugas sebagai Ketua Skuadron VIP, pemeriksa (examiner), ketua dan jurulatih penerbangan di Pusat Latihan Penerbangan TUDM. Di samping itu, beliau juga merupakan salah seorang ahli dalam Tim Penerbangan Akrobatik TUDM iaitu Tim Taming Sari.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menyandang berbagai tugas penting di peringkat staf, pemerintahan dan juga dalam tiga perkhidmatan ATM. Antara jawatan penting tersebut adalah sebagai Penasihat Pertahanan di Islamabab (Pakistan), Pengarah Latih di Markas Tentera Udara dan Ketua Staf No 2 Divisyen Udara. Beliau juga pernah menjawat jawatan Panglima 2 Divisyen Udara, Komandan Kolej Tentera Udara dan Komandan Akademi Tentera Malaysia (ATMA). Sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Udara, beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Operasi Udara dan Timbalan Panglima Tentera Udara. Selain dari itu, beliau telah menghadiri berbagai kursus kepakaran dan juga kerjaya di luar dan dalam negara. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan TUDM merupakan graduan ‘Air Command and Staff College (USA)’ dan juga ‘National Defence College (India)’.

Atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM telah dikurniakan dengan darjah kebesaran persekutuan, negeri dan juga ATM. Antara darjah kebesaran tersebut adalah Darjah Kebesaran Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Darjah Kebesaran Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kurniaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Darjah Kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kurniaan KDYMM Sultan Pahang, darjah Kebesaran Sri Panglima Taming Sari (SPTS) kurniaan KDYMM Sultan Perak membawa gelaran Dato' Seri, Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Muazam Shah (DHMS), Darjah Kebesaran Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) kurniaan KDYMM Sultan Kedah, Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) kurniaan KDYMM Sultan Pahang yang membawa gelaran Dato’ Sri dan yang terkini ialah Darjah Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Lain-lain darjah kebesaran beliau ialah Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Johan Mangku Negara (JMN), Johan Setia DiRaja (JSD) dan Kesatria Angkatan Tentera (KAT).

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM telah mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia bersama Puan Sri Datin Sri Noorainee bte Abd Rahim serta dikurniakan lima orang cahayamata. Beliau merupakan seorang yang aktif bersukan terutamanya sukan golf.

Sumber: Laman Web Rasmi TUDM

CyberCoxswain: Satu penambahbaikan yang baik. Tahniah dan selamat bertugas. Welcome aboard!

Wednesday, August 19, 2009

Pelayaran Pulang KD Tunku Abdul Rahman

KD Tunku Abdul Rahman singgah di Cochin

COCHIN: Kapal selam pertama negara yang dalam pelayaran sulungnya ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar Sabah, singgah di pelabuhan pangkalan tentera India semalam.

Kapal selam jenis Scorpene yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman itu memulakan pelayaran 9 Julai lalu dan singgah di Jeddah serta Djibouit sebelum memasuki perairan Cochin di Kerala.

Pada 2002 kerajaan Malaysia membeli dua kapal selam yang dibina bersama oleh syarikat Perancis DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam Sepanyol, Navantia, di Cherbourg, Perancis.

Pada Januari lalu, kapal selam itu diserah secara rasmi kepada TLDM di pangkalan tentera laut di Toulon, Perancis.

"KD Tuanku Abdul Rahman singgah di pangkalan kami semalam kerana mereka melalui perairan ini. Tiada operasi kerjasama dirancang. Kapal peninjau tentera laut India menyambut kapal selam itu.

"Untuk program itu hanya perlawanan bolasepak di atur dengan kadet tentera laut India. Pegawai tentera laut India akan menyambut ketibaan krew kapal," kata pegawai tinggi dari Pemerintah Selatan Tentera Laut India kepada Bernama.

Selepas tiga hari di Cochin, kapal selam berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot itu akan meneruskan pelayaran ke pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah di Pulau Indah, Klang dan ke pangkalan TLDM Lumut sebelum berlabuh di destinasi terakhir di Sepanggar pada September.

Ia dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain dari TLDM bersama 35 krew.

Kapal ini yang dinamakan sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, adalah kapal selam jenis tempur konvensional dan mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter. - Bernama

sebelum itu...

Kapal selam pertama tiba 17 September

TELUK SEPANGGAR: Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, dijadualkan tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Wilayah Laut II di sini, pada 17 September ini.

Ia disusuli sebuah lagi kapal selam, KD Tun Abdul Razak, yang dijangka tiba di pangkalan sama pada Mac atau April tahun depan.

Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali, berkata pangkalan kapal selam itu siap sepenuhnya dan sudah diserahkan Kementerian Kerjaraya kepada Kementerian Pertahanan baru-baru ini bagi membolehkan operasi kapal berkenaan.

"KD Tunku Abdul Rahman akan ditempatkan di kawasan strategik yang dirahsiakan dan berfungsi mengawal keselamatan perairan di seluruh negara," katanya pada sidang media di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar di sini, semalam.

Terdahulu, Mohammed Noordin menyaksikan majlis penyerahan tugas Panglima Wilayah Laut II TLDM daripada Laksamana Pertama Datuk Pahlawan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman kepada penggantinya, Laksamana Pertama Anuwi Hassan.

Syed Zahiruddin Putra akan mengikuti kursus di Jakarta selama 15 bulan.

KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dijana menggunakan tenaga diesel-elektrik, dikendalikan sepenuhnya pegawai dan anggota TLDM di perairan Perancis.

Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam di rantau Asia Tenggara, selepas Indonesia dan Singapura.

Dalam pada itu, Mohammed Noordin berkata, kapal selam berkenaan mampu memelihara kedaulatan perairan negara daripada sebarang ancaman musuh.

CyberCoxswain: Kepada mereka yang tertunggu-tunggu berita baik ini... tak lama dah nak sampai... sabar sikit je lagi.

Wednesday, August 12, 2009

Latihan Berterusan di Taman Negara, Pahang

[Keterangan gambar: Anggota PSSTLDM bergambar kenangan bersama dengan Guide dihadapan TRV Motel sebelum pulang... nampak dak kat mana guide kami tu? kami pun tak nampak...]

Latihan Berterusan di Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang Darul Makmur pada 23 - 26 Julai 2009.

[Keterangan gambar: Taklimat ringkas semasa di base sebelum perjalanan dan persinggahan untuk minum pagi di KM49 sebelum ke Kuala Tahan]

Day 1, Khamis – Persediaan dan perjalanan dari KD Sri Pinang ke Kuala Tahan, Pahang.

2200H Master dan taklimat akhir dari Lt Kdr Jee Jeet Yuan sebagai Pegawai Pengelola mengenai aktiviti dan perjalanan dan juga pesanan ringkas Dato’ CO melalui XO Lt Kdr Amir ialah “... jangan kacau orang asli....” (petikan ayat yang cukup menangkap malam tu).

2235H bertolak dengan bas persiaran. Semua anggota berpakaian biru 2Bravo / 2 Delta (Pegawai)

Singgah di R&R Juru beli Panadol untuk kotak First Aid yang dibawa. Kemudian di Caltex Hentian Bukit Gantang (beli lagi... macam-macam) dan di R&R Tapah ketika jam menunjukkan pada 0206H... turun dan beli serta supper untuk malam tu.

0300H – Bas mengikut Susur Keluar Tanjung Malim
0440H – Genting Sempah
0550H – Hentian Lanchang
0740H – Gelangi
0820H – Minum pagi di Felda Padang Piol iaitu 49 kilometer ke Kuala Tahan
0850H – sampai di Kuala Tahan

[Keterangan gambar: Pemandangan Kuala Tahan yang menarik... Selamat Datang ke Taman Negara]

Day 2, Jumaat - 0930H, Taklimat Pengurusan dan aktiviti oleh koordinator Encik Laily (dia ni lelaki, dan berjantina lelaki lagi tough orangnya cuma nama saja macam tu… hehehe bikin gempak!)


[Keterangan gambar: Kuala Tahan dah membangun... dan gambar bawah (tengah) itulah dia En. Laily yang dimaksudkan... amacam?.. ]

Beliau ada menyebut tentang “Community Base Tourism” yang dipelopori oleh syarikatnya dan sumbangan 1% kepada Institut Jantung Negara untuk kebajikan. Bagus juga idea macam tu, tapi dalam kepala anggota-anggota psstldm ni dok pikir kat lain sebab dah exited sangat nak buat aktiviti.


[Keterangan gambar: Taklimat oleh 'Kaloi' sebelum memulakan aktiviti Jelajah Gua dan gambar bawah adalah Pokok Tualang yang memang besar-sebesar-besarnya]

Aktiviti bermula sebelah petang selepas Sembahyang Jumaat jadi bolehlah berehat kejap dan cari makan tengahari. Sebelum tu penempatan penginapan dan bilik-bilik diagihkan kepada anggota-anggota terlibat. Taklimat selesai, so apa lagi... landing time...

1200H – Makan Tengahari (tidak disediakan) kenalah ke kedai berhampiran cari makan dengan harga makanan yang cukup munasabah.

1440H – Aktiviti Jelajah Gua.
Gua yang bakal diredah adalah 'Gua Telinga' dan di pandu arah oleh En. Roslan atau lebih glamour dengan nama Kaloi dengan member-membernya yang lain iaitu En. Abdullah dan En. Zul ‘Batman’


[Keterangan gambar: Gua Telinga, here we come!]

Pendek dan kecik jer gua ni tapi banyak kelawar siot! Bau najisnya tu sampai keluar boleh rasa. Puas meronot jugaklah nak lepas, anyway my body size tak berapa risau sangat… averagelah katakan. Guide dah buat screening masa mula nak masuk gua, dia cakap semua boleh lepas. Tak taulah nak jaga hati ke apa kan…

Jumpa katak gua yang memang besar dan pelik sikit sifatnya juga ada ular kat dalam gua tu yang favorite dishesnya ialah kelawar. Ada jugak member jumpa yang bukan-bukan… (mistiklah sikit… susah nak tulis baik takyah tulis hehehe…)


[Keterangan gambar: Sempat posing lagi dalam gua yang berbau wangi tu... gambar katak, muka depan gua dan kelawar yang sedang berehat]

Ops, lupa nak cerita on the way to cave tu nampaklah Pokok Tualang yang besar-sebesar-besarnya. Pokok ini tempat pilihan lebah madu membuat sarang dan menyimpan madunya. Cantik juga pokok ni... ini kali pertama saya melihat pokok secantik dan sebesar ini, saya rasa inilah pokok yang paling besar mengalahkan pokok balak seperti meranti yang kami jumpa semasa di taman negara selama 3 hari di sana.

1900H – Balik Motel untuk Makan Malam (merupakan hidangan pertama yang disediakan)
Menu malam tu ialah Ikan Patin Masak Lemak Tempoyak, Ayam Masak Kicap, Sayur Taugeh + Lobak Merah Goreng, Ulam Timun dan Sambal dan Air Sirap Merah. Tambahan Buah Rambutan Gading dan Manggis sebesen (besoknya pulak ada Durian Pahang yang memang best...). Tapi, Kopi 'Janda Susu Banyak' tidak tersenarai lah pulak, kalau nak boleh order. Jangan salah tafsir... ini kopi betul-betul tau, bukan nak menggoda cuma nak berniaga... hehehe...

2000H – Night Jungle Walk
Lepas makan anggota di bawa ke Kuala Tahan semula dengan Ford Ranger dalam 3 trip perjalanan. Kedudukannya dalam 400m berbukit dari tempat penginapan.

Tengok “kongkiak” dan semut besar untuk ekosistem hutan… ada pulak orang dapat nama “Mail Kongkiak”

Motif Night Jungle Walk ni sebenarnya nak tengok serangga malam dan kalau bernasib baik dapatlah tengok binatang-binatang yang aktif di waktu malam yang keluar. Tapi jumlah orang yang datang ke Taman Negara ni lebih dari binatang yang ada. Binatang takut kat orang dan orang takut kat binatang, masing-masing tak berjumpa satu sama lain. Tapi saya jumpa harimau belang kat area Mutiara Taman Negara Resort… baguih punya dok tidoq… do not disturb! Bahaya! (gambarnya ada kat bawah sekali)
[Keterangan gambar: Yess! special one... papan tanda pilihan Taman Negara di hadapan resort]
Sebelum tu kena ambik lesen kamera dulu bernilai RM5 satu yang sah laku selama sebulan dari tarikh dikeluarkan daripada Jabatan Perhilitan dan Taman Negara

Lepas tu berjalanlah kami dalam malam gelap gelita mengikut kumpulan melalui Mutiara Taman Negara Resort (hotel bertaraf 4 bintang) dengan berbekalkan lampu suluh mengikut trek / ‘walkway’ yang telah ditetapkan.

Kepada sesiapa yang tinggal di bandar aktiviti ini merupakan satu pengalaman baru yang susah didapati tapi bagi yang tinggal di kampung-kampung macam kat Baling ka (GI jangan marah no...) memang sudah lali dengan serangga-serangga (insects) ini.

Antaranya ‘Stick Insects’ iaitu serangga seperti batang kayu yang ada dicelah celah daun dan ranting kayu, Cengkerik, Kala Jengking, Lipan Gua, Ular Pokok, Hunting Spider dan lain-lain.

Bumbun Hide antara menara peninjau untuk melihat haiwan menjilat garam di kolam garam buatan manusia. Ada padang ragut yang dahulunya terdapat kapal terbang kecil mendarat semasa zaman british mentadbir dahulu untuk pengangkutan keluar masuk.

Aktiviti selesai jam 2200H, balik dan beradu di TRV Motel (nama panjangnya Tembeling River View Motel... pelik! tak nampak river pun kat situ?)

Day 3, Sabtu - 0730H, Sarapan Pagi (memang agak lewat bagi rutin seorang Navy… tapi nak buat macam mana sebab time table tak bagi untuk arrange makan cuma ikut rutin biasa diaorang kat situ so, follow jelah)

0830H – Jungle Walk dan Mendaki Bukit Terisik


[Keterangan gambar: Taklimat sebelum Jungle Walk dan Mendaki Bukit Terisik, Perahu panjang semasa menyeberangi sungai dan puncak pendakian bersama pelancong-pelancong Holand]

Lihat pokok tepus tanah yang berbunga merah… cantik terletak di tanah. Sebagai bahan ramuan untuk julap kepada manusia, gambar sengaja tak diletakkan dan kalau nak tengok kena pergi Taman Negara Kuala Tahan.

Pokok Langkap – satu spesis dengan pokok kelapa untuk gajah makan umbutnya

Pokok Meranti – sejenis balak yang mahal dan terkenal di Malaysia. getah / damar digunakan oleh orang asli untuk sumpitan dan apabila dibakar menghasilkan bau seperti kemeyan (orang cina panggil keme’en - bunyi yang agak ganjil bila menyebutnya). Ranting / dahan digunakan untuk menghasilkan api apabila digesek dengan rotan (boleh tengok demo ini di perkampungan orang asli)

Pendakian Bukit Temesik setinggi 344M dari paras laut. Group 1 telah berjaya sampai dahulu berbanding dengan kumpulan-kumpulan yang lain pada jam 1000 pagi, Syabas! walaupun ada OKU dalam kumpulan tu.

Jumpa pulak Pokok Kayu Rempah Hutan yang tumbang dan berbau seperti sarsi apabila dicium... sapa ambik cebisan kayu tu angkat tangan?...

Turun dari bukit dan terus menghala ke Canopy Walk. Nak naik canopy walk ni kena tunggu punyalah lama sampai ada sahabat-sahabat kita yang terlena… sempat bermimpi lagi.


[Keterangan gambar: Lena dibuai mimpi... nak naik Canopy Walk lambat lagi... mabuk buah machang hutan kot? ]

Ada pulak kat tepi tu pokok machang hutan yang berbuah lebat… sempat juga bantai buah ni tapi masam bukan main.

Dekat sejam lebih tunggu turn nak naik… fuyoo! Tingginya… macam manalah depa buat kerja pasang bendalah ni masa mula-mula dulu… best giler! Dalam pada tu ada pulak member yang gayat, sampai muka naik pucat, jalan terkulat-kulat sampai member naik meluat…. hehehe ada ker?...


[Keterangan gambar: Akhirnya penantian berbaloi bila melalui Canopy Walk yang memang best]

On the way back terserempak pulak dengan babi hutan liar 13 ekor semuanya tengah melintas jalan bewarna dark grey to brownish. Sekeluarga kot… baru balik dari mandi di sungai. Anak punya ramai babi ni… terkejut dengan kehadiran kami habis tak ketahuan lari lintang pukang. Tapi tak pa Chief Yap ada kat depan kalau apa pun kena dia dulu. Kami pun terkejut punya pasal sampai kamera takdan nak tekan… so, tak daklah bukti sahih nak tunjuk kat korang semua melainkan cerita dari memori yang dikeluarkan… tapi cerita ni tak tipu punya…

Balik motel makan tengahari dan keluar pulak untuk aktiviti Rapid Shooting. Main airlah tu cuma kaedah saja berlainan. Orang nak hayati keindahan alam melalui sungai habis disimbah air sampai lencun pulak tu… ish ish ish… macam budak-budak.

So tak adalah gambar-gambar masa aktiviti tu sebab takut kamera mahal basah.

Seterusnya sampai ke perkampungan orang asli dari suku kaum Batek.

Mengikut cerita guide Kaloi ni, orang asli di Malaysia ni berasal dari Afrika yang berpindah randah ke Australia dan seterusnya Malaysia sebab tu lah rupa dan keadaan fizikal mereka lebih kurang je.

Di sana dibuat demonstrasi menghidupkan api dan menyumpit… ramai orang ambik turn nak menyumpit tapi saya rasa malas nak try sebab takut H1N1 dan Hepatitis B yang tengah menular sekarang ni. Itulah susah bila ada ilmu sikit-sikit ni… was-was lebih tapi tak ada apa pun.

Yang pastinya masa lawatan tu sorang pun anak dara orang asli tak jumpa! Hairan! mengikut sumber yang boleh dipercayai mereka telah lari masuk hutan awal-awal lagi sebelum kami sampai… lagi pun bukan boleh percaya sangat orang yang tak asli ni… hehehe…

Yang bestnya rambut mereka kerinting rapat macam negro afrika tu tapi bila ditarik panjang rupanya rambut diorang ni… ada benarnya jugak pesan Dato’ CO masa mula-mula nak mai dulu… siapa yang tarik rambut budak tu?... hahaha… hanya orang tertentu saja yang mengetahuinya…. dengan kebenaran tau bukan main tarik ikut suka jer

Kunjungan ke perkampungan orang asli ni macam pergi ke muzium hidup / life museum dan menginsafi diri betapa ringkas dan mudahnya hidup ini bagi mereka. Tak perlu memikirkan jam / dateline / hutang dan masa depan. Hidup dan makan atas apa yang ada…

Lepas tu sempat lagi mandi sungai kat kawasan depan rumah orang asli tu. Siap nak penaya kawan dengan angkat dan humban member dalam sungai. Ada ka patut?! Apa pun memang best mandi sungai tu sebab ramai nak melepaskan ‘hajat’ dalam sungai tu… biasalah bila berendam…

Mat salih ni pun satu depa pun ramai gak petang tu kat situ dengan bikini bagai… lebih asli dari orang asli… dahlah aku and the geng ni memang tak boleh tak tengok! Hehehehe… apa nak buat orang dah tunjuk …

On the way back dengan bot kena simbah lagi…

Sampai jam 1800H kat kuala tahan sempat shoping souvenir kat bot house terapung tu. Agak berpatutan dan mengasyikkan. Sebab besok dah nak balik dah...


Selamat tinggal Taman Negara... apa pun beratur dulu (standardlah) sebelum naik bas dan balik pada Day 4, Ahad. Bertolak balik jam 0900H dari Kuala Tahan dan sampai di KD Sri Pinang, di Pulau Pinang jam 1930H dan esok kena kerja.... sempat ke rehat? apa pun 'Sedia Berkorban'.


Ha, inilah Harimau Belang yang dimaksudkan.... jangan marah ahh... hehehehe...

Thursday, August 6, 2009

Perang siber dalam Angsa 4

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Perang siber menjadi elemen terbaru yang diperkenalkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam siri latihan bersama Angkasa Samudera atau Angsa 4 bagi sesi 2009.

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali berkata, pelaksanaan elemen yang melibatkan aspek keselamatan data maklumat dan pertahanan sistem komputer tersebut adalah reaksi awal kedua-dua cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap kepentingan perang siber.

[Keterangan Gambar:Mohammed Noordin Ali (tengah) bersama Bashir Abu Bakar (kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran Eksesais Bersama TLDM, TUDM Angsa 4/2009 di Kuala Lumpur, semalam.]

Katanya, penekanan elemen perang siber dalam latihan kali ini juga bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan para anggota berhadapan dengan sebarang ancaman pada bila-bila masa.

"Bagaimanapun, aplikasi fizikal elemen perang siber dalam operasi bersama ini bergantung kepada senario semasa sepanjang latihan dijalankan.

"Jika mana-mana pihak diancam serangan tersebut, barulah mereka (peserta) semasa operasi bersama tersebut akan menggunakan segala inventori dan kelengkapan untuk memberikan reaksi balas," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Eksesais Bersama TLDM, TUDM Angsa 4/2009 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Bashir Abu Bakar.

Seramai 220 anggota termasuk daripada Tentera Darat sebagai pasukan sokongan terlibat dalam operasi tersebut.

Operasi bersama yang bermula pada 2 Ogos lalu dan berakhir 15 Ogos ini dilaksanakan sepenuhnya di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi.

Menurut Mohammed, operasi bersama yang menggunakan konsep Pos Pemerintah (Postah) itu antara lain bertujuan meningkatkan keserasian dalam operasi ketenteraan serta tahap kerjasama profesional para anggota.

"Kerjasama ini diharap menjadi landasan terbaik kepada ATM mengukur tahap keberkesanan melancarkan sebarang operasi maritim dan udara dalam keadaan sebenar.

"Latihan ini juga penting bagi menilai kesiapsiagaan dan menguji tahap keberkesanan sistem P4 iaitu Pemerintahan, Pengawalan, Perhubungan dan Pengkomputeran dalam ATM," katanya.

Mohammed menambah, terdapat beberapa elemen lain yang ditekankan sepanjang operasi bersama seperti latihan serangan dan pertahanan menerusi ruang udara dan maritim, latihan antikeganasan dan operasi mencari serta menyelamat dalam situasi tempur.

Latihan bersama Angsa 4 adalah gabungan dua operasi awal TLDM dan TUDM iaitu Keris Mas dan Angkasa Raya.

SUMBER: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Semoga Sukses dalam latihan bagi menempuh keadaan sebenar diluar yang serba mencabar sekarang ini.