Friday, August 28, 2009

Bakal Panglima Angkatan Tentera Malaysia

Tan Sri Azizan Ariffin dilantik PAT

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Azizan Ariffin, akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) menggantikan penyandang Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang akan bersara 1 September ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebentar tadi.

Berikut adalah biodata beliau.


Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM telah memegang jawatan Panglima Tentera Udara mulai 30 November 2006.

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM dilahirkan di Yan, Kedah pada 25 Oktober 1952. Anak kelahiran negeri Jelapang Padi Malaysia ini mula menyertai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) pada 15 Okt 1970. Beliau menamatkan latihan Pegawai Kadet di Maktab Tentera DiRaja dan ditauliahkan sebagai Pilot Officer pada 16 Apr 1971,kemudian diserapkan ke Cawangan Kawalan Trafik Udara.

Beliau telah menjalani kursus asas dan lanjutan Kawalan Trafik Udara di Australia pada tahun 1971 dan 1973. Tugas pertama yang beliau sandang adalah sebagai Pegawai Kawalan Lalulintas Udara di Pangkalan Udara Kuala Lumpur. Seterusnya beliau telah menyandang berbagai jawatan sebagai Pegawai Trafik Udara di JATCC Paya Lebar Airport Singapore dan Pangkalan Udara Kuantan.

Pada 15 April 1976, beliau telah mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Australia dan telah dianugerahkan Sayap Penerbangan pada 8 Julai 1977. Semenjak dari itu, kerjaya beliau berkembang sebagai seorang juruterbang TUDM. Beliau telah menerbangkan berbagai jenis pesawat TUDM dan antaranya adalah CT 4s, Aermacchi MB 326H, Bulldog B 100, Cessna 402B, BAe 125, Fokker 28, Pilatus PC 7, Falcon 900 dan juga C130.

Beliau juga pernah menyandang tugas sebagai Ketua Skuadron VIP, pemeriksa (examiner), ketua dan jurulatih penerbangan di Pusat Latihan Penerbangan TUDM. Di samping itu, beliau juga merupakan salah seorang ahli dalam Tim Penerbangan Akrobatik TUDM iaitu Tim Taming Sari.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menyandang berbagai tugas penting di peringkat staf, pemerintahan dan juga dalam tiga perkhidmatan ATM. Antara jawatan penting tersebut adalah sebagai Penasihat Pertahanan di Islamabab (Pakistan), Pengarah Latih di Markas Tentera Udara dan Ketua Staf No 2 Divisyen Udara. Beliau juga pernah menjawat jawatan Panglima 2 Divisyen Udara, Komandan Kolej Tentera Udara dan Komandan Akademi Tentera Malaysia (ATMA). Sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Udara, beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Operasi Udara dan Timbalan Panglima Tentera Udara. Selain dari itu, beliau telah menghadiri berbagai kursus kepakaran dan juga kerjaya di luar dan dalam negara. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan TUDM merupakan graduan ‘Air Command and Staff College (USA)’ dan juga ‘National Defence College (India)’.

Atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM telah dikurniakan dengan darjah kebesaran persekutuan, negeri dan juga ATM. Antara darjah kebesaran tersebut adalah Darjah Kebesaran Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Darjah Kebesaran Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kurniaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Darjah Kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) kurniaan KDYMM Sultan Pahang, darjah Kebesaran Sri Panglima Taming Sari (SPTS) kurniaan KDYMM Sultan Perak membawa gelaran Dato' Seri, Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Muazam Shah (DHMS), Darjah Kebesaran Darjah Setia DiRaja Kedah (DSDK) kurniaan KDYMM Sultan Kedah, Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) kurniaan KDYMM Sultan Pahang yang membawa gelaran Dato’ Sri dan yang terkini ialah Darjah Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Lain-lain darjah kebesaran beliau ialah Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Johan Mangku Negara (JMN), Johan Setia DiRaja (JSD) dan Kesatria Angkatan Tentera (KAT).

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM telah mendirikan rumah tangga dan hidup bahagia bersama Puan Sri Datin Sri Noorainee bte Abd Rahim serta dikurniakan lima orang cahayamata. Beliau merupakan seorang yang aktif bersukan terutamanya sukan golf.

Sumber: Laman Web Rasmi TUDM

CyberCoxswain: Satu penambahbaikan yang baik. Tahniah dan selamat bertugas. Welcome aboard!

1 comment:

alor star airman said...

kena pada masanya . asyik baju hijau lepas tu baju putih sekarang giliran baju biru pilak la.