Thursday, October 7, 2010

Tentera diminta jaga rahsia, imej

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2010/10/07

Bocor maklumat ancam keselamatan negara

KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjaga rahsia pertahanan negara dan keselamatan termasuk yang berkaitan keupayaan aset strategiknya dan kemampuan pertahanan negara.

[Keterangan gambar: PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada anggota tentera pada perbarisan Hari Ulang Tahun ATM ke-77, di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Sungai Besi, hari ini. - Foto Effendy Rashid, Oct 6, 2010 1:57 pm]

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin, berkata jika maklumat mengenai pertahanan negara dibocorkan atau dibincangkan dengan umum, ia akan mendatangkan masalah dan ancaman kepada pasukan keselamatan serta negara.
Katanya, demi menjaga imej dan kredibiliti organisasi itu, setiap warga ATM perlu lebih bertanggungjawab dan prihatin akan hal kerahsiaan pasukan dan asetnya.

Azizan berkata, kebocoran maklumat dan rahsia hanya akan memperlihatkan kelemahan ATM sedangkan pasukan itu sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan dan bertugas 24 jam setiap hari, tujuh hari seminggu dengan memperoleh aset serta latihan terbaik dalam menghadapi apa jua ancaman.

“Apa saja maklumat berkenaan kesiapsiagaan pertahanan adalah rahsia negara yang sepatutnya disimpan dan tidak dibincangkan, lebih-lebih lagi dibocorkan kepada pihak luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-77 ATM di Kem Perdana Sungai Besi di sini, semalam.

“Bukan semua aset yang kita miliki boleh didedahkan atau dibincangkan secara terbuka walaupun kepada media massa demi menjaga nama baik pasukan, keselamatan rakyat dan negara.

“Maklumat lain berhubung ATM mungkin boleh dibincangkan tetapi maklumat berkaitan ketenteraan tidak boleh diperbincangkan secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, setiap perkara yang diperbincangkan juga perlu melalui saluran yang betul dan tidak menyalahi etika kerana sebagai sebuah pasukan keselamatan negara ia boleh menggugat mutu pasukan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kadar pelanggaran disiplin dalam kategori jenayah dan penyalahgunaan dadah di kalangan warga ATM menurun.

Bagaimanapun, katanya, berlaku peningkatan dalam kes tatatertib am selain pengekalan peratusan bagi anggota yang tidak hadir bertugas tanpa memohon cuti.

“ATM tidak akan sesekali berkompromi dalam kes pelanggaran disiplin, malah tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang disabitkan dengan kesalahan sebagai langkah memelihara disiplin, integriti dan etika warga tentera,” katanya.

Upacara perbarisan yang sepatutnya diadakan pada 16 September lalu, dilewatkan bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia yang disambut pada tarikh sama.

Seramai 26 pegawai dan 774 anggota ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai perbarisan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad; Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifli Mohd Zain; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima TUDM, Jen Tan Sri Rodzali Daud.


CyberCoxswain: Patuhilah pesanan Panglima ATM dalam percakapan/penulisan tak kira dalam blog atau pun pengucapan umum agar kerahsiaan ini kekal sebagai rahsia. Kebocoran maklumat secara tidak sengaja selalunya melalui kelalaian anggota sendiri dan kalau sengaja pula... sendiri mau ingatlah!

Kepada penerima pingat pula, Tahniah! diucapkan.

No comments: