Saturday, January 30, 2010

Perbarisan Pegawai Memerintah

Perbarisan Pegawai Memerintah atau lebih dikenali dengan CO Division atau singkatan CO Div memang perkara lumrah dilakukan oleh setiap unit dalam TLDM mahupun PSSTLDM.

Pegawai Perbarisan Lt Kdr Jee Jeet Yuan sedang melapor.

Pada 23hb Januari 2010, Sabtu jam 0700H telah dengan jayanya semua anggota KD Sri Pinang melakukan perbarisan ini di Padang Kawad (sementara) KDSP.

Tahun ini ramailah pulak anggota yang hadir (memang sepatutnya begini pun) hingga penuh padang kawad yang kecil molek tu dan terpaksa dilakukan secara 'statik' sahaja yang mana anggotanya terdiri daripada staf tetap, anggota PSS dan Palapes. Mungkin tengah excited sebab tahun baru.

Tengok, ramai tak?... semangat tengah berkobar-kobar ni... (tapi sebelum mendengar khabar yang 'potong, potong dan potong' tu lah)

Dan tidak seperti selalunya, tahun ini Dato' CO berucap panjang mengenai "setiakawan dalam pasukan" dan kelebihan KDSP dengan projek pembangunan infrastruktur baru yang telah diluluskan sebelum keadaan 'potong, potong dan potong' yang melanda sekarang - budget tak ade beb!... makan tak suply dan sampai nak kena sewa dan bayar sendiri duit dobi... ish ish ish...

Apa pun... PERBARISAN SELESAI, KEBENARAN MENJALANKAN TUGAS DATO'

Pakaian No. 1 bagi anggota LLP dari Laskar Kanan ke bawah. Menarik!

Antara orang kuat perbarisan hari tersebut, PW1 PPP (GI) Rahim.
Juga dengan pakaian No. 1 bagi Bintara Muda ke atas (kira senior rate lah tu)

Friday, January 29, 2010

Peranan wanita dalam TLDM

BIASANYA pasukan keselamatan sesebuah negara akan didominasi oleh kaum lelaki. Namun fungsi anggota wanita tidak dinafikan kerana mereka sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi sesuatu perkhidmatan ketenteraan dan itulah yang berlaku dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam TLDM sendiri, peranan anggota wanita dianggap sama penting dengan anggota lelaki dan turut memegang jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan.

ABDUL Aziz Jaafar serta pemimpin-pemimpin tertinggi TLDM ketika menyertai Kem wanita 2010 di lumut.

Pada masa ini, terdapat tujuh pegawai wanita berpangkat Komander di TLDM dan kebanyakan mereka menduduki jawatan-jawatan tertinggi di pusat latihan dan pentadbiran.

Antaranya ialah Pegawai Laksamana Pusat Kepimpinan TLDM dan Pengarah Pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Selain itu, terdapat empat pegawai wanita bertugas di kapal iaitu masing-masing dua orang di kapal KD Pahang dan KD Perak.

Ketika ini terdapat 1,104 anggota wanita di TLDM dengan sebanyak 90 peratus daripadanya bertugas di pangkalan-pangkalan TLDM seluruh negara.

Melihat pada trend pertambahan anggota wanita dalam perkhidmatan tersebut, TLDM telah menubuhkan Sel Wanita pada 1 Mei 2009 bagi menguruskan kerjaya serta kebajikan anggota wanita.

Walaupun Sel Wanita dalam TLDM masih baru berbanding formasi lain dalam ATM, Sel Wanita TLDM begitu aktif dan sudah mencapai banyak kejayaan dengan membuat pelbagai pembaharuan dalam tempoh singkat.

Menurut Pegawai Staf 1 Hal Ehwal Ehwal Wanita TLDM, Komander Noraida Zulkifli yang mengetuai Sel Wanita TLDM, antara kejayaan yang telah dicapai ialah meningkatkan kuota pengambilan anggota wanita dari empat peratus kepada lapan peratus mulai tahun ini.

"Kita sudah cuba mendapatkan kelulusan pihak atasan supaya peratus kuota pengambilan anggota wanita dalam TLDM ditingkatkan sejak tahun lalu lagi dan Alhamdulillah, pada tahun ini ia sudah dinaikkan sekali ganda," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, kata Noraida, Sel Wanita TLDM juga berjaya mendapatkan kelulusan pemimpin tertinggi supaya uniform mengandung, tudung serta kasut kawad anggota wanita diubahsuai.

Katanya, uniform mengandung dan tudung sudah digunakan sekarang manakala kasut kawad yang sesuai serta berkualiti akan digunakan tidak lama lagi.

"Bahkan perjawatan wanita di atas kapal sudah diperluaskan walaupun terdapat kekangan daripada segi budaya dan agama.

"Sebagai contoh, tirai plastik bilik air dalam bilik di kapal KD Pahang sudah diubah suai menjadi pintu untuk kemudahan anggota wanita dan ini dapat mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Noraida berkata, anggota wanita TDLM mampu melakukan apa yang lelaki boleh lakukan tetapi ia harus berlandaskan agama serta budaya.

"Pada tahun ini, kita mahu lebih ramai anggota wanita ditempatkan di dalam kapal terutamanya dalam bidang komunikasi serta bekalan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih besar di barisan hadapan sama seperti anggota lelaki," ujar beliau.

Bagi memastikan anggota wanita tahu hala tuju TLDM serta peranan mereka, Sel Wanita TLDM turut mengadakan pelbagai kursus dan aktiviti termasuk Kem Wanita buat julung kalinya yang dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada 15 Januari lalu.

Kem tersebut yang berlangsung dari 15 Januari hingga 17 Januari lalu, menghimpunkan seramai 320 anggota serta pegawai wanita pelbagai pangkat daripada semua formasi TLDM dari seluruh negara.

Kem itu juga adalah yang pertama menghimpunkan pegawai serta anggota lain lain pangkat (LLP) dalam satu program dengan tujuan untuk merapatkan hubungan antara mereka.

"Seperti yang kita tahu, dalam perkhidmatan beruniform, terdapat jurang antara pegawai dan anggota kerana protokol yang perlu dipatuhi.

"Dengan adanya kem ini, mereka dapat menjalinkan hubungan serta mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat," kata Noraida.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti daripada ceramah gangguan seksual, undang-undang, pembangunan kerjaya serta senamrobik dan sukan dimuatkan pada program itu supaya anggota wanita mengetahui mereka turut memainkan peranan besar dalam TLDM.

"Kita tidak mahu kekangan agama dijadikan alasan dan kita mahu mereka tahu bahawa mereka turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada perkhidmatan berkualiti dalam TLDM,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Rasanya artikel ini patut lebih diberi publisiti (sebab itu saya copy kat sini) untuk menarik minat golongan wanita menyertai TLDM mahupun PSSTLDM supaya mereka tahu ada tempat untuk golongan ini dan kebajikan mereka sebenarnya dijaga, jasa mereka sangat diperlukan negara dan sumbang bakti mereka sangat-sangat dihargai pasukan.
Hidup wanita!

KD Seri Inderapura dilucut tauliah

MAJLIS Istiadat Pelucutan Tauliah Kapal Diraja (KD) Seri Inderapura pada 21 Januari 2010 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak merupakan hari yang tidak boleh dilupakan oleh semua warga pasukan keselamatan itu.

Pada hari tersebut, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menitiskan air mata kerana amat terasa dengan 'kehilangan' kapal yang berfungsi sebagai kapal pemerintah dan logistik itu.

ABDUL Aziz Jaafar (tengah) bersama Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri) dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Datuk Mohd Som Ibrahim memberi tabik hormat kali terakhir kepada KD Sri Inderapura yang dilucutkan pertauliahan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lumut.

Masakan tidak, KD Seri Inderapura merupakan kapal kebanggaan TLDM kerana ia kapal terbesar pernah dimiliki pasukan tersebut dan telah banyak mengharumkan nama TLDM dan negara selama 14 tahun 11 bulan dan 21 hari tempoh perkhidmatannya.

Apatah lagi, mengenangkan saat-saat KD Seri Inderapura masih mempertahankan 'kemegahannya' ketika terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut pada 8 Oktober 2009.

"Di sebalik insiden kebakaran terdapat satu peristiwa menarik perhatian kerana gada-gada tauliah serta gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM pada KD Sri Inderapura tidak terbakar dan boleh dilihat jelas melalui celahan kepulan asap dan api yang marak menjulang.

"Apa yang berlaku itu menggambarkan seolah-olah kapal itu mahu menunjukkan 'kebanggaannya' sebagai sebuah KD dan peristiwa ini amat pelik kerana gada-gada itu tidak terjatuh semasa kapal terbakar," kata Abdul Aziz selepas istiadat pelucutan tauliah KD Seri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, kapal tersebut diberikan penghormatan terakhir selepas mengakhiri perkhidmatannya dengan TLDM.

Majlis tersebut diadakan dengan penuh adat istiadat dengan kehadiran hampir semua bekas pegawai memerintah KD Seri Inderapura yang merasa bangga kerana pernah bertugas di kapal tersebut.

Menurut Abdul Aziz, 'kehilangan' KD Seri Inderapura sangat dirasai oleh semua warga TLDM kerana kapal itu adalah kebanggaan TLDM selama ini dan tanpanya, operasi armada laut negara terjejas.

Sejak ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 31 Januari 1995, KD Seri Inderapura telah terlibat dalam pelbagai operasi dalam dan luar negara dengan jarak perjalanan menjangkau 1,332,945.4 batu nautika.

Kapal tersebut pernah membawa kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam Ekspedisi Kembara Merdeka ke Cape Town, Afrika Selatan serta pelayaran bantuan logistik KLD Tunas Samudera mengelilingi dunia.

Kapal itu juga terlibat dalam menghantar bantuan kemanusiaan di Aceh dan Timor Leste. Paling diingati, kapal tersebut menyertai operasi menyelamat tebusan dan mengiringi kapal milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) di Teluk Aden pada 2008.

Sebelum dibeli oleh kerajaan Malaysia pada harga RM48 juta, KD Seri Inderapura yang dibina di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) pada 1970 berkhidmat dengan Tentera Laut AS dan dikenali sebagai USS Spartanburg County, bermula 1 September 1971 hingga Disember 1994.

Dalam tempoh 26 tahun itu, banyak tugasan telah dilaksanakan oleh kapal tersebut termasuk misi kemanusiaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Operasi Doria Salute IV 1974 serta ekspedisi kemanusiaan tentera AS ke Lubnan dan Kuwait.

KD Seri Inderapura pernah terbakar semasa berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut pada 16 Disember 2002 tetapi kembali beroperasi selepas dibaik pulih tetapi tragedi menyayat hati pada 8 Oktober lepas memusnahkan kapal tersebut.

Sebagai sebuah kapal yang disanjung ramai warga TLDM, ramai mencadangkan supaya bangkai kapal tersebut 'disemadikan' dan dijadikan tukun di lokasi kapal itu tersadai sekarang.

Namun, cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana besi-besi keluli pada kapal itu boleh menjejaskan ekologi hidupan di laut dan jalan terbaik ialah dengan melupuskan bangkai kapal tersebut.

Bagaimanapun, beberapa barang pada KD Seri Inderapura seperti gada-gada tauliah, gada-gada piala agong dan panji-panji TLDM yang terselamat dalam kebakaran itu akan disimpan sebagai bahan sejarah.

Walaupun KD Seri Inderapura kini hanya tinggal nama, segala jasa dan sumbangan KD Seri Inderapura akan terus dikenang dalam lipatan sejarah sebagai sebuah kapal yang banyak mengharumkan pasukan tentera negara.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Sayonara. Jasamu dikenang.

Friday, January 22, 2010

Pegawai memerintah KD Inderapura didakwa

LUMUT - Bekas pegawai memerintah Kapal Diraja (KD) Sri Inderapura akan dihadapkan ke Mahkamah Tentera di sini Isnin ini berhubung kejadian kebakaran melibatkan kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 8 Oktober lalu.

KD Sri Inderapura yang musnah dalam kebakaran telah dilucutkan pertauliahan di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (gambar kecil) berkata, pegawai tersebut akan menghadapi dua pertuduhan dan perlu bertanggungjawab terutama dalam menentukan aset hak milik negara selamat.

Ujarnya, TLDM boleh menerima hakikat kebakaran tersebut tetapi bukan 'kehilangan' kapal itu.

"Sebagai contoh, kemalangan jalan raya boleh berlaku tetapi kita tidak boleh terima apabila melibatkan kehilangan nyawa kerana ia menunjukkan banyak kelemahan.

"Begitu juga dengan kejadian ini kerana ia menunjukkan kurang latihan, sistem tidak beroperasi dengan baik atau anggota tidak menunjukkan semangat yang tinggi," katanya.

SUMBER: Kosmo! Online

CyberCoxswain: Perkara yang ditunggu-tunggu dah tiba... jawab jangan tak jawab... banyak benda kena jelaskan. Problem is masalah.

Monday, November 30, 2009

Strategi baru atasi ancaman lanun

Ahmad Zahid meninjau persiapan di Kaunter Airbus menjelang Pameran Antarabangsa Lima '09 di Dewan MIEC di Langkawi, semalam.

Negara jiran diminta berkongsi kekuatan maritim kawal keselamatan perairan

LANGKAWI: Semangat kejiranan antara negara perlu diberikan fokus utama dalam mengadakan kerjasama memantau dan mengawal perairan berbanding kecenderungan memperlihatkan tuntutan bagi sesebuah kawasan untuk negara masing-masing dalam usaha membanteras kegiatan perlanunan daripada terus berleluasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama seperti itu dilihat lebih penting bagi memastikan aktiviti di sepanjang perairan selamat dan tidak terdedah kepada ancaman seumpama itu, sekali gus memberi keyakinan pengguna laluan itu mengenai tahap keselamatannya.

"Kerjasama antara negara dilihat lebih penting daripada soal mengenai pertindihan tuntutan antara negara, ini kerana jika tiada kawalan maka mereka (lanun) ini akan berasakan bahawa tiada siapa yang boleh menguatkuasakan undang-undang di kawasan itu," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di sini, semalam.

Persidangan antarabangsa itu membabitkan penyertaan 150 peserta daripada 24 negara terdiri daripada pegawai berkedudukan tinggi dalam tentera laut negara masing-masing.

ANTARA pesawat yang mengambil bahagian dalam pertunjukan udara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Hadir sama, Penglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Pengerusi Eksekutif HW Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

Mengenai Persidangan Antarabangsa Maritim sempena Lima 2009 itu semalam, Ahmad Zahid berharap peserta dan pembentang kertas kerjanya dapat mencari penyelesaian mengenai isu membabitkan perairan yang mempunyai masalah ancaman lanun.

Ahmad Zahid berkata, tiga tempat yang perlu diberikan tumpuan untuk aktiviti mengawal dan menyelia perairan ialah kawasan Teluk Aden, Selat Melaka dan Laut China Selatan.

"Saya melakukan provokasi tadi (dalam persidangan berkenaan) terhadap beberapa isu terutama mengenai keadaan di Teluk Aden dan Selat Melaka, tetapi satu perkara yang harus dilihat ialah aktiviti perlanunan bukan konvensional iaitu menggunakan peralatan canggih di Laut China Selatan kerana mereka (lanun) sudah bertukar arah sekarang ini.

PETUGAS sibuk menyiapkan gerai pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Padang Matsirat, semalam.

"Ada lima negara yang berjiran menuntut kawasan yang sama (kepulauan Spratly di Laut China Selatan) dan lanun berasakan tidak ada negara yang boleh menguatkuasakan rondaan dan perundangan di kawasan itu kerana permasalahan tuntutan bertindih ini.

"Oleh sebab itu, saya lontarkan cabaran kepada mereka (peserta persidangan) apakah cara yang harus digunakan supaya kawasan itu boleh dimanfaatkan, dijaga, dan keberhasilan kelautan digunakan bersama serta tidak dijadikan tempat untuk bertelingkah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, meskipun hanya dua kes kegiatan kecurian berlaku di Laut China Selatan setakat tahun ini, namun Ahmad Zahid menegaskan usaha untuk memantau perkara itu akan diberi perhatian menerusi kerjasama antara agensi berkaitan.

Menjawab soalan berhubung usaha negara untuk membanteras kegiatan perlanunan, Ahmad Zahid berkata, dua perkara diberi tumpuan utama ialah mengadakan latihan bersama dengan negara jiran serta menaiktaraf dan melakukan penambahan aset untuk tentera laut.

SUMBER : Berita Harian Online

CyberCoxswain : Sebenarnya bukan strategi baru lagi... idea ini dah lama diutarakan dan perlu diperkemas bidang kuasa / latihan bersama / pertukaran maklumat risikan berkenaan keselamatan perairan dari ancaman lanun dengan semua Navy negara berjiran masing-masing supaya tidak ada lagi lanun-lanun membolosi perairan untuk melakukan pekerjaan mungkar ini demi keselamatan semua pihak.

Masa untuk bersatu dan bersefahaman untuk membanteras kegiatan lanun tanpa kompromi!

Friday, November 20, 2009

Bunga Mas 5 TLDM-MISC harumkan Malaysia

Abdul Aziz Jaafar (kanan) sambil diperhatikan S. Rajalingam (dua dari kanan) bersama para pegawai MISC pada majlis Pemakaian Pangkat para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kerjasama strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan MISC Bhd. dalam operasi kapal bantuan pelbagai guna, Bunga Mas 5 mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh komuniti maritim dunia.

Buktinya, tiga negara kuasa besar tentera iaitu Jerman, Jepun dan Korea Selatan kini mengkaji kaedah perkongsian pintar di antara TLDM dan MISC dalam mengoperasikan Bunga Mas 5, seterusnya berjaya menjaga keselamatan laluan kapal dagang di perairan Somalia.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menjelaskan perkongsian strategik bagi mengawal keselamatan laluan dagang di perairan Teluk Aden, Somalia itu jelas menunjukkan keistimewaan dan pengorbanan kedua-dua pihak.

''Selain Jepun, semasa saya di Korea awal bulan ini, Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Lautnya juga kagum dengan keupayaan Malaysia mengoperasikan kapal bantuan, sementara Jerman menghantar surat menyatakan minat sama," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan upacara Pemakaian Pangkat para pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari MISC di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Perkhidmatan Pengurusan Armada MISC, Kapten S. Rajalingam.

Dalam perkongsian itu, MISC menyerahkan sebuah kapalnya dengan sewa RM1 setahun yang kemudiannya akan menjadi milik kerajaan Malaysia.

Abdul Aziz menambah, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) akan mengiktiraf keupayaan TLDM dengan Anugerah Keberanian Luar Biasa pada Isnin ini atas kejayaannya mengawal keselamatan kapal dagang Malaysia serta negara lain di laluan Teluk Aden.

Jelasnya, anugerah itu tentunya membanggakan TLDM dan negara kerana pengiktirafan sebegitu tidak mudah untuk diperolehi.

Sementara itu, Rajalingam memberitahu, tiada negara di dunia selain Malaysia yang berjaya menjalin kerjasama seperti MISC dan TLDM dalam mengoperasikan kapal sebegitu.

''Semasa saya di London bagi Persidangan Kapal Tangki Antarabangsa minggu lepas, Pengarah Angkatan Tentera Laut Eropah telah meminta kesemua 140 peserta delegasi memberikan tepukan kepada MISC dan ia amat membanggakan,'' katanya.

Katanya, kerjasama operasi Bunga Mas 5 yang bermula Julai lalu berikutan insiden rampasan dua kapal tangki MISC tahun lepas memperlihatkan sokongan kuat kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM dalam menjaga kepentingan negara.

''Selain Teluk Aden, Bunga Mas 5 juga akan melebarkan operasi kawalan keselamatan ke atas kapal-kapal berkepentingan negara di Lautan Hindi tidak lama lagi,'' jelasnya.

Kapal bantuan Bunga Mas 5 yang diubah suai daripada sebuah kapal kontena merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia dilengkapi hangar menempatkan pesawat Super Lynx dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun menyerang jika diperlukan.

Seramai 21 krew tetap MISC yang diserap serta dilatih sebagai PSSTLDM bertugas pada satu-satu masa sambil dibantu 38 anggota TLDM dan ATM daripada pelbagai kepakaran.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA ONLINE

CyberCoxswain: Salah satu sumbangan Pasukan PSSTLDM kepada negara tercinta yang patut dibanggakan semua rakyat Malaysia. PSSTLDM berkhidmat untuk negara dengan moto yang sama "SEDIA BERKORBAN". Hidup PSSTLDM!

Wednesday, November 18, 2009

Lanun pindah ke Lautan Hindi

Kawalan keselamatan ketat di Teluk Aden punca ubah lokasi operasi

NEW YORK: Tindakan masyarakat antarabangsa memperhebat langkah menangani rampasan kapal di perairan Somalia memaksa lanun beralih ke Lautan Hindi hampir dengan kepulauan Seychelles, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dalam satu laporan yang diedarkan, semalam.

Beliau berkata, kehadiran kapal tentera laut beberapa negara bagi memperketat kawalan menjadi faktor penting dalam menstabilkan keadaan di perairan Somalia.

Dalam laporan kepada Majlis Keselamatan PBB, beliau berkata, penempatan kapal tentera laut dan pesawat tentera selain usaha yang ditingkatkan oleh pemilik kapal sendiri mengurangkan kes rampasan oleh lanun termasuk rompakan bersenjata terutama di Teluk Aden.

Pada 2008, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) melaporkan 307 insiden lanun dan rompakan bersenjata di seluruh dunia, 136 daripadanya di Afrika Timur.

Antara Januari hingga 30 September tahun ini, 300 insiden dilaporkan termasuk 160 di kawasan Afrika Timur. Sehingga 27 Oktober lalu, lapan kapal dan 178 pelaut ditahan, kata laporan terbabit.

Ketika lanun tidak mengubah cara operasi mereka antara pertengahan Mac dan akhir Oktober, laporan itu berkata aktiviti terbabit sudah beralih dari Teluk Aden ke sebelah barat Lautan Hindi dan baru-baru ini semakin menjadi-jadi dekat kepulauan Seychelles, menunjukkan lokasi kejayaan terbesar lanun.

"Ada juga maklumat yang didapati bahawa kapal lebih kecil seperti kapal nelayan dan kapal percutian menjadi sasaran tetapi belum ada data mencukupi mengenai analisis lengkap," kata Ban.

Leftenan Nate Christensen dari Armada ke-5 tentera laut Amerika Syarikat berpusat di Bahrain berkata, 25 kapal dari 14 negara meronda di Teluk Aden dan Lautan Hindi, minggu lalu.

Ban berkata, Bahamas, Liberia, pulau Marshall dan Panama menjadi negara paling awal menandatangani perisytiharan New York yang menggariskan mengenai amalan pengurusan terbaik antarabangsa untuk melindungi kapal dari lanun pada 29 Mei lalu.

Sejak itu lima lagi negara menandatanganinya iaitu Cyprus, Jepun, Singapura, Britain dan Amerika Syarikat. – AP

SUMBER: Berita Harian Online

CyberCoxswain: Mereka dah semakin dekat dengan Malaysia tak jauh lagi dah Laut Hindi dengan Selat Melaka... hati-hati dan berwaspada. Mungkin mereka akan berhenti seketika sempena LIMA Langkawi 2 minggu lagi... sebab banyak kapal-kapal Navy akan berada di sekitar situ sebelum sampai ke perairan kita.

Monday, November 16, 2009

Excocet MM38 buktikan keupayaan armada TLDM

DEMONSTRASI tembakan misil TLDM berjaya memusnahkan sasaran.

Misil ditembak dari jarak 20 kilometer kena sasaran

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuktikan keupayaan armadanya apabila penembakan misil jenis Exocet MM38 dilancar KD Gempita, tepat mengenai sasaran dalam ujian di perairan utara Selat Melaka, berdekatan Perak, kelmarin.

Misil ditembak dari kapal Kelas Penyerang Laju (FAC-M) buatan Sweden di bawah pemerintahan Leftenan Komander Md Zaman Hassan itu, memusnahkan sasaran terapung iaitu tongkang berukuran 40 meter yang memuatkan enam kontena bersaiz 12 meter di lokasi ujian jam 10.30 pagi.
Impak letupan misil seberat 735 kilogram (kg) serta 5.21 meter panjang dan berdiameter 35 sentimeter (sm) yang mempunyai bahan peledak seberat 165 kg itu menyebabkan empat kontena musnah dan tercampak ke laut.

Menurut kenyataan TLDM semalam, tembakan itu adalah aktiviti kemuncak Eksesais Latihan Pengoperasian Laut (OSTEX) iaitu latihan di laut bagi beberapa kapal TLDM.

"Jarak maksimum bagi misil ini melebihi 40 kilometer (km). Bagaimanapun, penembakan kali ini dibuat pada jarak melebihi 20 km bagi mengurangkan risiko keselamatan pada bot nelayan di perairan berkenaan.
"Walaupun TLDM terpaksa mengoperasikan kapal dan misil yang telah menjangkau hayat melebihi 30 tahun, kejayaan penembakan ini memperkukuh dan membuktikan bahawa Armada TLDM yang terbabit dalam perancangan dan pelaksanaan penembakan, sentiasa dalam keadaan siaga dan terlatih," kata kenyataan itu.

Exocet MM38 diperoleh TLDM pada 1978 adalah jenis peluru berpandu permukaan ke permukaan yang mampu memusnahkan pelbagai jenis sasaran permukaan termasuk kapal bersaiz besar.

Misil itu digeruni apabila kapal Argentina yang menggunakan sistem persenjataan ini berjaya menenggelamkan dua kapal Tentera Laut British dalam Peperangan Falklands pada 1982.

Kini TLDM memiliki beberapa jenis misil termasuk MM40 di kapal frigat TLDM dan terkini SM39 yang dilengkapi di kedua-dua kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak yang boleh dilancarkan dari bawah laut ke permukaan.
Kenyataan TLDM turut menyebut, pasukan itu buat pertama kali menggabungkan tiga aktiviti serentak iaitu dua siri latihan OSTEX berserta aktiviti penembakan dilakukan dalam tempoh latihan yang menjimatkan 60 peratus kos operasi.

"Kejayaan ini juga dapat melatih warga TLDM dalam pengendalian misil merangkumi aspek perancangan latihan, penyediaan dan penyelenggaraan, melaksanakan penembakan sehingga ke proses menganalisis data apabila selesai penembakan," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

CyberCoxswain: Bravo! Bravo!! Bravo!!!

Friday, November 13, 2009

KD Tun Razak mantapkan pertahanan negara


Delegasi Malaysia dan tetamu kehormat bergambar di atas KD Tun Razak selepas ditauliahkan

Kapal selam kedua dijangka tiba Mei, ditempatkan di pangkalan TLDM di Sepanggar, Sabah

PENERIMAAN kapal selam kedua negara, Kapal Diraja (KD) Tun Razak di Cartagena, Sepanyol pada 4 November lalu serta pentauliahannya sehari kemudian, melengkapkan proses pembelian dua aset dengan nilai kontrak perolehan Euro 1.084 bilion (RM6 bilion) itu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketibaan kapal selam jenis Scorpene dilengkapi teknologi terkini dunia yang dibina berdasarkan reka bentuk Kapal Selam Penyerang Nuklear (SSN) Tentera Laut Perancis itu pastinya dinantikan negara khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam memantapkan lagi benteng pertahanan negara bersama kapal selam pertama, KD Tunku Abdul Rahman yang tiba di negara ini pada 3 September lalu.

Pentauliahan KD Tun Razak disempurnakan dengan penuh istiadat tentera laut oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar di Pangkalan Tentera Laut Sepanyol, Cartagena.

Majlis itu menandakan bermulalah `kerjaya’ aset canggih itu secara rasmi dalam perkhidmatan TLDM yang kini berusia 75 tahun.

KD Tun Razak di Cartagena, Sepanyol

Majlis bersejarah berkenaan disaksikan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Datuk Naimun Ashakli Mohammad; Admiral Strategic Oceanic Force of French Navy, Laksamana Jean Francois Baud; Pengerusi Navantia, Aurelio Martinez Esteves dan Naib Pengerusi DCNS, Bernard Planchais.

Sehari sebelum majlis itu, Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Datuk Nadzri Siron yang mengetuai Tim Penerimaan Kapal Selam, menerima aset itu pada satu majlis menandatangani sijil penerimaan dan penyerahannya yang diadakan di dalam kapal selam itu sendiri.

Bagaimanapun, KD Tun Razak hanya dijangka tiba di negara ini Mei tahun depan. Sekembalinya ke negara ini, kapal selam itu akan turut berpangkalan di Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, Sabah dan akan menjalani ujian ketahanan serta keupayaan di perairan tropika.

Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, nama Tun Razak dipilih sejajar sumbangan besar diberikan Perdana Menteri kedua itu yang juga digelar ‘Bapa Pemodenan’ Malaysia, selain keputusan meletakkan kapal selam itu dalam Kelas Perdana Menteri.
“Pentauliahan KD Tun Razak membolehkan peningkatan keupayaan TLDM melakukan pencegahan konvensional dan ini mampu menjadikan pasukan ini sebagai satu kuasa maritim serantau berwibawa sejajar wawasan kita menjadikannya sebagai tentera laut bertaraf dunia,” katanya.

Kata Abdul Aziz, kapal selam itu bersama KD Tunku Abdul Rahman serta kapal lain akan meningkatkan kemampuan TLDM bertindak secara berkesan terhadap sebarang usaha menggugat kedaulatan perairan negara serta kepentingan lain Malaysia secara keseluruhan.

“Sebagai aset strategik, pentauliahan ini akan memacu TLDM ke era teknologi tinggi serta menjadi pemangkin kepada hasrat TLDM untuk menjadi angkatan laut yang seimbang dan berwibawa,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pentauliahan KD Tun Razak turut membuka laluan kepada TLDM untuk memainkan peranan positif kepada keselamatan rantau ini, termasuk melalui kerjasama dengan pasukan keselamatan negara lain.

Katanya, pemilikan kapal selam turut menandakan perubahan ketara penggunaan teknologi pertahanan negara yang lebih canggih serta peningkatan industri pertahanan negara.

Abdul Aziz merakamkan ucapan tahniah kepada kru kapal selam berkenaan kerana melepasi pelbagai ujian hingga melayakkan mereka diberi kepercayaan memikul amanah dan tanggungjawab besar mengendalikan aset penting itu.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan projek perolehan kapal selam, program latihan kru dan penubuhan pasukan kapal selam TLDM.

INFO KD TUN RAZAK:
•Kapal selam diesel-elektrik

•Berfungsi dan berperanan untuk melaksanakan pelbagai tugas dan misi seperti pengawasan perairan, pengumpulan data perisikan, menyekat jalur perhubungan laut, melancar serangan torpedo dan misil serta memasang dan mengaktifkan periuk api.

•Juga akan digunakan untuk latihan dalaman dan latihan bersama tentera laut asing bertujuan mempertingkatkan lagi keupayaan bawah air dan keupayaan permukaan TLDM.

SUMBER: Berita Harian Online

CyberCoxswain : Welcome a board!

Friday, October 9, 2009

Inderapura - terbakar lagi

IPOH 9 Okt. - Kapal pengangkut KD Sri Inderapura yang terbakar dan berjaya dipadamkan pada pukul 1.45 tengah hari semalam, dilaporkan terbakar sekali lagi pagi ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan kejadian itu berkata, kebakaran bagi kali kedua dalam tempoh 24 jam itu disebabkan bara api akibat kebakaran yang masih tertinggal semalam.


Kapal terbabit kini dipindahkan dari pangkalan untuk kerja-kerja pemadaman. - Utusan

CyberCoxswain: macam api dalam sekam... sama tapi tak serupa. Dengarnya lebih teruk dari yang semalam? BOI ?? sudah pasti...

Thursday, October 8, 2009

Kapal KD Inderapura terbakar

IPOH 8 Okt. - KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut.

Kejadian dilaporkan kira-kira 6 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata laporan awal menyatakan kebakaran membabitkan bahagian pejabat dan bahagian muatan barang.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"Polis juga belum menerima laporan daripada TLDM Lumut," katanya ketika dihubungi.

- BERNAMA

CyberCoxswain: Kejadian sebegini biasa berlaku kepada mana-mana kapal di laut mahupun di pangkalan. Disebabkan siasatan masih dilakukan kita jangan buat spekulasi sendiri sebab versi kita akan terbit dalam macam-macam cerita... menghangatkan lagi benda yang dah sedia panas. Lagipun anggota TLDM kita dah di latih untuk mengatasi kejadian-kejadian sebegini (malah lebih hebat dari itu pun ada) sebab itu kita tidak pernah dengar kapal kita terbakar sampai hangus... dan yang pasti ini bukan kerja geng "buluh runcing".

p/s: pernah sesat masa mula-mula naik kapal ni dulu-dulu...

Wednesday, October 7, 2009

Bot tempur TLDM meluncur pantas dan senyap

MEREDAH lautan samudera. Kata-kata inilah yang sering bermain di bibir apabila memperkatakan tugasan serta tanggungjawab pasukan berkenaan.

Kehidupan harian mereka ini sering kali dikaitkan dengan lautan luas dan mereka juga dianggap 'wira samudera' atau 'wira maritim'.

[Keterangan gambar: KREW-krew bot tempur CB90 mendengar taklimat serta tugasan yang diberi sebelum memulakan tugasan.]

Bertugas di lautan luas yang mengelilingi perairan Malaysia, pasti inilah cabaran tegar yang perlu mereka tempuhi.

Sebagai sebuah pasukan beruniform Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mereka bukan sahaja menjaga kedaulatan maritim negara, malah menjalankan tugas-tugas sampingan.

Ini termasuk menangani pencerobohan musuh, jenayah lanun, mencari dan menyelamat, membantu bot-bot nelayan dan banyak lagi.

Dengan kata lain, pasukan ini menjadi benteng hadapan maritim pertahanan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, pasukan ini tidak boleh sesekali leka atau lalai terhadap tugasan yang diberi termasuk ketika negara aman.

Kesiapsiagaan TLDM serta unit-unit di bawahnya memerlukan komitmen penuh dari setiap anggota selain kemahiran serta pengetahuan berterusan yang dimiliki.

Begitu juga penugasan krew bot tempur CB90. Memang sebelum ini ramai yang kurang mengetahui mengenai kebolehan, peranan serta tanggungjawab krew bot tempur berkenaan.

Sebut sahaja krew bot tempur CB90, kalangan anggota tentera pasti mengetahui bahawa mereka ini memiliki kemahiran serta kepakaran tertentu.

Apa tidaknya, bot CB90 itu sendiri merupakan antara aset terpenting milik TLDM yang mampu digerakkan dalam masa terpantas.

Untuk itu, bot CB90 sering digerakkan dalam sesuatu operasi kerana kemampuannya untuk tiba ke lokasi sasar dalam masa terpantas.

Bot tempur CB90 juga mempunyai pelbagai keistimewaan termasuk boleh beroperasi di kawasan air cetek sama ada lautan mahupun sungai atau tasik.

Malah, laluan sungai sempit juga boleh dilalui oleh CB90.

Di samping itu, jika sebelum ini kita sering mendengar bot-bot menggunakan enjin berkipas, amat berbeza sekali dengan CB90.

CB90 menggunakan sistem 'water jet' yang mampu bergerak dengan pantas dan senyap.

Keadaan ini meletakkan CB90 antara aset terpenting TLDM terutama dalam menjalankan tugasan penyusupan dan risikan.

Untuk itu, pemilihan TLDM menggunakan CB90 dianggap tepat kerana kemampuannya membawa anggota-anggota tentera dalam menjalankan operasi di mana-mana sahaja kawasan di negara ini.

Bot tempur ini juga mempunyai keistimewaan lain seperti boleh didaratkan sebahagian badannya sehingga ke kawasan atas pantai.

Ia juga boleh dihentikan secara mengejut walaupun ketika sedang bergerak laju serta mampu membuat lencongan kira-kira 110 darjah.

Memandangkan kemampuan bot ini, ia turut diguna oleh TLDM di kawasan-kawasan sensitif termasuk di Sabah bagi menangani sebarang pencerobohan musuh.

Komander Bot Tempur, Leftenan Madya Mohd. Nor Iswandi Ariffin ketika diwawancara Utusan Malaysia memberitahu, untuk mengendalikan CB90, seseorang krew itu perlu terlebih dahului menjalani latihan dan kursus tertentu.

Latihan yang dimaksudkan termasuk cara-cara mengemudi atau mengendalikan bot serta penyelenggaraan bot.

''Walaupun melepasi latihan asas, setiap krew perlu menjalani latihan atau ujian secara berterusan dari semasa ke semasa.

''Latihan berterusan ini bagi memastikan setiap krew CB90 sentiasa diletakkan dalam keadaan siap sedia,'' katanya.

Mengenali tugasan krew CB90, sekurang-kurangnya tujuh anggota dan pegawai ditugaskan bagi pengendalian bot ini melibatkan krew bahagian senjata, enjin, radar dan sebagainya.

Jumlah krew ini tidak termasuk anggota-anggota tentera yang ditugaskan dalam sesuatu operasi.

Bagi Juragan Bot CB90, Sabri Hsin, antara tugasan beliau ialah memastikan keselamatan bot berkenaan termasuk ketika merapat ke jeti dan sebagainya.

Menurutnya lagi, CB90 yang berkemampuan bergerak pada kelajuan 45 knot boleh mendarat ke atas pantai untuk membolehkan anggota tentera bergerak ke darat.

''CB90 juga boleh berundur ke belakang selepas sebahagian badannya mendarat ke atas pantai,'' katanya.

Sementara itu, Jurutera Bot CB90, Zulkifli Mohd. Noor berkata, antara tugasan beliau ialah memastikan bot serta enjin berada dalam keadaan baik sepanjang masa.

''Kita tidak tahu bila sesuatu operasi itu hendak dijalankan atau bila ada keperluan mengejut serta membantu agensi lain dalam operasi mencari dan menyelamat.

''Oleh itu, CB90 perlu dipastikan dalam keadaan siap sedia dan sentiasa diselenggara.

''Dalam hal ini, bahagian-bahagian bot seperti sistem elektriknya hendaklah dipastikan berkeadaan baik.

''Penyelenggaraan sentiasa dibuat dari semasa ke semasa termasuk diuji kesiapsiagaan bot,'' katanya.

Rosly Md. Azizan pula yang merupakan anggota Yeoman atau Serang pula berkata, tugasan beliau antara lain memastikan keperluan senjata sebelum sesuatu operasi dijalankan.

''Walaupun itu merupakan tanggungjawab saya, namun saya juga perlu menjalani kursus tertentu melibatkan pengendalian bot.

''Setiap krew yang ditugaskan dalam CB90 perlu memiliki kemahiran yang pelbagai terutama dalam pengendalian bot,'' katanya.

Bagi krew-krew CB90, mereka amat berbangga dapat berkhidmat sebagai anggota bot tempur.

Ini kerana tidak semua anggota dalam TLDM berpeluang mengendalikan CB90 yang bukan sahaja digunakan dalam operasi, malah memiliki sistem canggih termasuk radar dan sebagainya.

Berikutan pentingnya tugasan CB90 ini, antara tugasan diberikan ialah mengiringi mana-mana kapal miliki TLDM dalam situasi tertentu.

Begitu juga ketika kapal selam Malaysia yang pertama memasuki kawasan pelabuhan TLDM baru-baru ini, CB90 turut ditugaskan mengiringi kapal selam berkenaan untuk memastikan tiada kapal lain berada di sekitarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

CyberCoxswain: Sebenarnya banyak kepakaran, maklumat dan ilmu dalam TLDM ini tinggal lagi kena usaha sikit mencari dan belajar segala kepakaran yang ada dan tempuhi pengalaman yang memang sukar dibeli ini.

Thursday, October 1, 2009

Pemimpin tentera laut seluruh dunia bincang usaha perangi lanun

WASHINGTON 1 Okt — Para pemimpin tentera laut dari seluruh dunia akan berkumpul di Newport, Rhode Island, minggu depan bagi membincangkan cabaran dan peluang maritim bersama untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam kawalan maritim termasuk memerangi kegiatan lanun, kata Panglima Operasi Tentera Laut Amerika Syarikat Laksamana Gary Roughead di sini semalam.

Roughead berkata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, yang menerima jemputan bagi menghadiri satu daripada perhimpunan terbesar dan bersejarah para pemimpin maritim, telah dijemput mengetuai panel perbincangan pada simposium tiga hari mulai 7 Oktober ini.

Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand telah berjaya dalam kerjasama memerangi kegiatan lanun di Selat Melaka dan di rantau itu dengan berkongsi maklumat dan kerjasama tentera laut dalam memerangi lanun sehingga membawa kepada penurunan yang dramatik dalam insiden-insiden berkaitan, katanya.

Perisikan tentera laut Amerika dan Biro maritim antarabangsa di Kuala Lumpur, yang menjejaki kegiatan lanun di seluruh dunia, melaporkan penurunan dalam rompakan di laut berikutan tentera laut dan pengawal pantai mengambil tindakan mematahkan serangan.

Malaysia telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam usaha memerangi kegiatan lanun di perairan Somalia dan pengalaman dan pengajaran dan kejayaan dalam usaha kerjasama di Afrika akan dikongsi dalam mesyuarat yang akan datang itu, kata Roughead.

Malaysia adalah sebahagian daripada kontinjen kawalan antarabangsa dengan dua dozen kapal perang daripada negara-negara termasuk Amerika, Rusia dan negara anggota Kesatuan Eropah dalam usaha anti-lanun di Teluk Aden.

Simposium dwitahunan Kuasa Laut kali ke-19 tahun ini akan menyambut ulang tahun ke-40 perhimpunan itu. Setakat ini 106 negara telah mengesahkan penyertaan dalam acara itu.

Buat pertama kali, Rusia dan Vietnam akan menghantar para pegawai kanan masing-masing sebagai anggota delegasi berbanding sebelum ini di mana mereka hanya menghantar atase tentera laut.

Ketara sekali ialah ketidakhadiran China. “Tidak, China tidak akan hadir,” kata Roughead.

— BERNAMA

CyberCoxswain: Baguslah cam tu... daripada dok bayar tebusan berjuta2 ringgit lebih baik mencapai kata sepakat dan bekerjasama penuh untuk memerangi lanun ini. Lagi sekali Malaysia menjadi contoh dalam membanteras kegiatan lanun di perairan negara... Syabas pada Malaysia dan Navy khususnya.