Friday, January 30, 2009

Kapal Tangki Jerman Tawanan Lanun Somalia

Lagi kes lanun...

Awal pagi semalam di Tanjung Afrika, sebuah kapal tangki milik Jerman MV Longchamp yang dipenuhi dengan gas cecair petroleum bersama 13 anak kapalnya telah ditawan lanun Somalia.

Kapal tangki yang didaftarkan di Bahamas itu dikendalikan syarikat Jerman - Bernhard Schulte Shipmanagement dan anak-anak kapal terdiri dari 12 orang rakyat Filipina serta seorang rakyat Indonesia dalam keadaan selamat.

Kumpulan lanun berkenaan dianggotai sekurang-kurangnya tujuh orang yang bersenjata dapat menceroboh dan menawan kapal tersebut setelah berlaku tembak menembak.

Jurucakap syarikat, Andre Delau berkata, kapten kapal dibenar menghubungi pihaknya dan sehingga kini, pihak perampas belum lagi memgemukan sebarang tuntutan.

Menurut sumber tentera Batalion ke-5 AS di Bahraih, Lt Nathan Christensen, berkata, kapal itu dirampas di perairan selatan Yaman, kira-kira 95 kilometer dari bandar al-Mukalla, ibu negeri Hadramaut.

Thursday, January 29, 2009

EKSPO KERJAYA ATM 2009

EKSPO KERJAYA ATM 2009

Tempat: Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Tarikh : 30, 31 Jan & 1hb Feb 2009
Jam : 10 pagi - 10 malam
Dirasmikan oleh : Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan

Ekspo akan disertai pelbagai cabang ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Udara, Tentera Laut, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Bidang pendidikan pula, ia disertai Maktab Tentera Diraja dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Demonstrasi ketenteraan juga diadakan seperti pertunjukan anjing perang, kawad senyap dan pancaragam.

Ekspo ini turut mempamerkan pelbagai aset milik ATM, termasuk teknologi terbaru dan lain-lain lagi. Jadi ajaklah kawan-kawan, ibu bapa dan sanak saudara datang beramai-ramai ke ekspo ini bersama-sama. Kepada yang masih mencari pekerjaan dan berminat dalam bidang ketenteraan mungkin rezeki anda ada disini.

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

'SEDIA BERKORBAN'

Wednesday, January 28, 2009

TLDM GAGALKAN LANUN

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Dua minggu selepas menyelamatkan kapal dagang China daripada dirampas lanun di Teluk Aden dekat Somalia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini berjaya menggagalkan pula cubaan lanun merampas sebuah kapal tangki India di perairan sama.

Kehadiran helikopter Fennec dari kapal perang TLDM, KD Sri Inderasakti yang dilengkapi mesingan pelbagai guna (GPMG) 12.7mm berjaya membuatkan lanun-lanun dari dua bot yang sedang menembak kapal MT Abul Kalam Azad, melarikan diri.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu (11.30 pagi waktu Malaysia), kapal KD Sri Inderasakti yang menerima panggilan kecemasan (SOS) dari kapal tangki itu segera mengarahkan helikopter Fennec untuk membantu.

Kapal perang itu berada kira-kira 28 kilometer dari lokasi MT Abul Kalam Azad yang sedang diserang oleh dua bot lanun. Helikopter TLDM tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian dan menyertai helikopter Dauphine dari kapal Tentera Laut Arab Saudi (HMS Al-Dammam) untuk menghalang rampasan kapal tangki tersebut.

Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memberitahu Utusan Malaysia malam ini, menyedari kehadiran helikopter Fennec yang dilengkapi GPMG, kedua-dua bot lanun itu yang berasa terancam telah beredar melarikan diri.

Menurutnya, lanun-lanun tersebut sebelum itu cuba merampas kapal tangki itu dengan menembaknya berkali-kali tetapi mereka gagal menaikinya. “Tiada tembakan dilepaskan oleh helikopter Fennec tetapi kekuatan persenjataannya berjaya menakutkan lanun-lanun sehingga melarikan diri.

“Kejayaan ini dicapai hasil pemilikan aset berprestasi TLDM yang ditempatkan di perairan Teluk Aden selain latihan berterusan dan kesiapsiagaan anggota dan aset yang dimiliki,” katanya. Dalam operasi menyelamat itu, helikopter Fennec TLDM turut disertai beberapa anggota penembak tepat dari Pasukan Khas Laut (Paskal).

Selepas itu, kapten kapal tangki MT Abul Kalam Azad yang dikenali sebagai Kapten Shy bersama anak-anak kapalnya disahkan terselamat. Kapal tangki tersebut kemudian menyertai konvoi beberapa kapal dagang MISC Berhad yang sebelum itu sedang diiringi oleh KD Sri Inderasakti.

Pada 17 Disember lalu, kehadiran pesawat Fennec dari KD Sri Inderasakti berjaya menyelamatkan kapal kargo dari China, Zhenhua 4 beserta 30 krew dari diserang lanun di perairan sama.

KD Sri Inderasakti dengan 204 krew di bawah pimpinan pegawai memerintahnya, Kepten Mohamad Adib Abdul Samad kini mengambil alih tugas KD Mahawangsa dalam Operasi Fajar bagi melindungi kapal-kapal dagang negara di perairan Teluk Aden sehingga Februari ini.

Operasi Fajar dilaksanakan apabila kapal MT Bunga Melati 2 milik MISC Berhad dengan 39 anak kapal dirampas lanun di Teluk Aden berdekatan Somalia dan Yemen ketika dalam perjalanan dari Dumai ke Rotterdam pada 19 Ogos lalu. Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC Berhad, MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal turut dirampas di perairan sama.

Pada 16 Disember lalu, sebuah kapal tunda Masindra 7, milik syarikat Masindra Shipping Sdn. Bhd. swasta negara ini bersama 11 anak kapal warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia ditawan sekumpulan lanun Somalia di perairan Yemen.

Perairan Teluk Aden dan sekitar Somalia diklasifikasikan sebagai tidak selamat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan jumlah kes rampasan lanun yang semakin membimbangkan.

Sementara itu, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar yang dihubungi memberitahu, kejayaan terbaru di Teluk Aden itu pastinya menggembirakan beliau dan keseluruhan TLDM. “Ini permulaan tahun baru yang cemerlang buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan TLDM mengawal keselamatan laluan di antara Yemen dan Somalia makin diperakui komuniti maritim antarabangsa.

CyberCoxswain: Sekadar untuk hebahan dan rekod mengenai tugas/berita - berlaku pada hujung bulan 12 lepas sebagai menghargai jasa anggota TLDM walaupun dah lepas. Sedia Berkorban.

Friday, January 23, 2009

Lumut - 'Bandar Tentera Laut'

LUMUT - Kerajaan negeri Perak bercadang menjadikan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut bagi menghargai peranan dan tugas pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini sejak 20 tahun lalu.

[Keterangan Gambar: ABDUL RAHMAN (kanan) dan Ahmad Kamarulzaman menandatangani dokumen penyerahan kapal Ex Rahmat milik TLDM kepada Kerajaan Negeri Perak di Lumut semalam.]

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim berkata, pengisytiharan itu dijangka dilakukan sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Perak, April ini.

"Lumut cukup terkenal dengan jolokan The home of the Royal Malaysian Navy sejak lebih kurang 20 tahun lalu. Bagi menghargai peranan dan tugas TLDM selama ini, kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytiharkan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kapal peronda Ex Rahmat milik TLDM kepada kerajaan negeri Perak di Pangkalan TLDM Lumut, di sini semalam.

Pada majlis berkenaan kapal Kelas Friget pelbagai guna yang digunakan lebih 32 tahun dengan TLDM secara rasminya diserahkan kepada kerajaan negeri Perak.

Kapal sepanjang 93.9 meter dan lebar 10.4 meter yang telah dilucut tauliah pada 19 Disember 2003 itu bakal dijadikan monumen sejarah dan rekreasi oleh syarikat swasta, Plus Asiajaya (Lumut) Sdn. Bhd.

Sumber: Kosmo Online

Cyber Coxswain: Wah!... Tahniah! Bravo! best jugak idea tu, walaupun selama ini secara tak rasmi memang orang ramai dah gelarkan Lumut tu bandar Navy. Tapi kalau dah rasmi, lagi menarik. Royal Malaysian Navy have their own town! apa kata korang?

Thursday, January 15, 2009

Kursus Pegawai Kadet PALAPES Laut

Kursus Pegawai Kadet PALAPES Laut Tahun 1 Fasa 1 bagi Pegawai Kadet Palapes Laut Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di jalankan di KD Sri Pinang pada 1 - 13 Disember 2008 yang lepas.

Lama tu... 2 minggu berkursus di KDSP semasa cuti semester. Member lain sedap-sedap bercuti balik kampung tapi diaorang ni kena belasah kursus, apa nak buat. Pengalaman yang sukar dibeli di pasar raya mahu pun di hyper market. Walau pun cerita ini dah lepas tapi tak sempat publish lagi, kali ni baru berkesempatan.

Tujuan atau objektif kursus ini dijalankan adalah untuk memberi latihan asas PALAPES Laut kepada semua pegawai dalam latihan. Memberi pendedahan tentang sikap, disiplin, budaya dan kerjaya TLDM. Membina semangat setiakawan dan kepimpinan anggota di samping membentuk disiplin yang tinggi sepanjang latihan.

Pegawai Koordinasi Kursus kali ini ialah Lt. Masayu Jatun PSSTLDM yang bertugas mengendalikan dan mengawasi perjalanan kursus. Apa-apa masalah bolehlah dimajukan kepada beliau.

Bilangan pelatih kursus kali ini lebih 60 orang melapor diri dengan anggota teramai dari USM mengatasi UUM dan juga peserta perempuan mengatasi lelaki dari segi jumlah. Bila dah ramai macam ni, keperluan jurulatih juga mestilah ramai untuk mengajar dan mengawal perjalanan kursus agar lancar hingga ke penghujungnya.

Boleh dikatakan semua jurulatih yang ada (yang dah biasa mengajar kursus dan juga termasuk yang dalam simpanan dipanggil) terlibat dalam menjayakan kursus kali ni. Lebih-lebih lagi semasa latihan praktikal menembak di lapang sasar dan latihan rakit penyelamat di laut. Kerjasama mereka memang membanggakan! syabas!

Subjek-subjek yang diajar kepada pelatih kursus kali ialah seperti Mindef Organization, RMN Organization, Naval Terms, Divisional Organization, Armed Forces Act 1972, Naval Dress and Rank Equivalent, Naval Social Life and Service Etiguette, Military Courtesy and Ceremonies dan Organization on a Ship.

Selain itu subjek Basic Drill, Piping, Communication Organization, Nautical Names and Terms, Ceremonials, Ship Husbandary, Fire Fighting and Personal Protection, Safety At Sea, Morse Code, Pennants and Flags, Inroduction and General, Chart, Boatwork juga temasuk didalam silibus pembelajaran.

Peserta kursus kali ini kurang bernasib baik kerana Cuti Hari Raya Aidiladha jatuh di pertengahan minggu kursus, so... terpaksalah diaorang beraya di base saje tahun ini. Ish ish ish kesian sungguh tengok mereka ni yang tangkap syahdu rindu kat kampung.

Pelatih diberikan cuti sehari untuk sambutan perayaan ini. Ada yang pergi ke Masjid Gelugur yang terletak berhampiran KDSP untuk sembahyang raya di awal pagi. Jadilah walaupun tak dapat balik kampung. Dan kursus akan bersambung keesokan harinya seperti biasa.

Kelas bersambung untuk subjek Small Arm untuk senjata Colt M-16 dan Pistol dan seterusnya subjek Chartwork. Kelas ini penting kerana 2 hari lagi pelatih-pelatih akan melakukan praktikal menembak di Lapang Sasar Sungai Dua, Pulau Pinang.

Berdasarkan pemerhatian jurulatih, subjek inilah yang mereka paling berminat... tak taulah sama ada takut dengan senjata api atau pun memang betul-betul berminat. Sebab sebelum ini dalam kelas semasa subjek lain lebih-lebih lagi subjek Akta ATM kebanyakan pelatih tidak setekun kelas ini.

Tapi apabila sampai hari sebenar untuk menembak, ramai pelatih masih menggigil ketakutan, gemuruh dan macam-macam lagi kerenah yang melucukan ada di lapang sasar, kebanyakannya pelatih perempuanlah. Hai... apa nak buat... tapi tak semua, ada juga yang terer menembak dan boleh skor. Syabas!

Seterusnya tidak terkecuali, latihan praktikal untuk memahirkan pelatih seperti Alat Pemadam Api Kecil (APAK), Alat Pemadam Api Utama (APAU), Latihan Evolusi dan Rakit Penyelamat di laut.

Untuk latihan APAK dan APAU pelatih melalui pengalaman bagaimana menggunakan alat pemadam api dan berdepan dengan api yang membara walaupun api besar tiada di depan mata. Penggunaan hose dan hydrant bomba serta pam mudah alih yang meningkatkan tekanan air ketika melawan api tetapi dukacita sebab gagal mencapai standard yang ditetapkan iaitu 2 minit. Apa-apa pun diaorang ni enjoy habis main air free...

Untuk latihan Rakit Penyelamat, pelatih dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Batu Uban untuk direjam ke laut. Andai kata kapal tenggelam dan semua anak-anak kapal diminta meninggalkan kapal, rakit penyelamat inilah tempat nyawa bergantung sementara sebelum diselamatkan /survive.

Tapi tak boleh main redah jer... sebab tiap-tiap rakit ni ada nama anggota yang telah ditetapkan. Untuk latihan kali ini semua pelatih dikehendaki naik rakit yang satu ini lah saja sebab ianya bukan dalam keadaan sebenar. Belasah jer...

Latihan rakit penyelamat ini memerlukan ramai jurulatih terlibat kerana boleh dikatakan semua pelatih tidak tahu berenang dan "water confident" kurengg skit. Nak terjun laut... takut! walau pun dah dipakaikan jaket keselamatan yang sure timbul punyalah masih tak berani jugak. Dah terjun ke laut nak berenang... takut! siap ada yang menjerit-jerit dan nangis dalam laut... hai nasib kaulah...

Nasib baik ada jurulatih yang selalu berpengalaman dan aktif dalam bab-bab keselamatan dalam air ini iaitu antaranya PO Zamri, Chief Azman dan lain-lain lagi ada mengawal keadaan dan menunjuk ajar bagaimana cara nak letakkan kaki untuk memanjat rakit tersebut...

Semua latihan praktikal berjaya tanpa sebarang kemalangan dan kecederaan, (lenguh, silap urat, krem sikit-sikit tu biasalah) dan pelatih pulang ke asrama dengan perasaan puas begitu juga dengan jurulatih yang terlibat.

Sebelum menamatkan kursus pelatih dimestikan menduduki dan lulus ujian bertulis di malam akhir. Jika gagal dikehendaki mengambil semula ujian yang berkenaan sehingga lulus. Dan sukacitanya... semua telah lulus ada yang cukup makan dan ada yang cemerlang.

Walaupun 2 minggu merupakan tempoh yang panjang tetapi dengan jadual yang padat membuatkan masa berlalu tanpa disedari. Akhirnya pelatih kursus bersurai pada Sabtu, 13 Disember.

Nota: Gambar-gambar diambil semasa latihan praktikal Rakit Penyelamat di Jeti Jabatan Laut, Wilayah Utara, Batu Uban, Pulau Pinang.

Ps : Mana gambar masa tangkap beramai-ramai atas padang kawad tempohari untuk jurulatih...

Wednesday, January 14, 2009

Tolak Bot Whaler

Belengaih.... kata orang Penang.

Mau tak nyer... dah lah berat nak mampus! tapi.... "bila bekerjasama, semua jadi mudah!... yeah Wonder Pets!" pinjaman kata-kata dari budak-budak juniour rate. Depa ni selalu kot tengok gambar kartun ni dalam tv.

Kerja ni bukan sorang dua punya kerja, lebih 30 orang diperlukan untuk memerah keringat supaya bot whaler biru yang baru sampai dari Lumut ini dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai. Semua anggota / anak-anak kapal terlibat dalam operasi ini meliputi pegawai, pegawai waren, bintara dan juga juniour rate.

Bukan calang-calang punya kerja ni. Keadaan ini berlaku disebabkan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini supaya tidak kena hujan dan panas yang boleh mereputkan lagi bot yang sedia reput ini dan juga untuk re-struktur lokasi dalam base.

Yang mencabarnya, nak alihkan bot tak sampai pun 50 meter memerlukan masa hampir 2 jam kerana keberatan melampau dan keadaan bot yang luar biasa serta kurang kelengkapan. Nasib baik ada batang-batang kayu saiz "Uji Rashid"... boleh juga buat roda sementara. Macam zaman Mesir purba nak bawa batu dulu-dulu tu.

Ha, ini lah bot yang bakal dijadikan modul latihan di KDSP apabila semua dalam keadaan sedia kelak. Sebab Chief Man (BK KMR Azman - pakar repair whaler, sebab dulu punya whaler pun dia repair jugak sampai tak boleh naik dah... hehehehe) kata mesti kena repair sikit sebab tak berapa elok... kena touch-up sini sikit, sana sikit baru ok.

Dan untuk pengetahuan juga, bot ini jugaklah bakal dihayun untuk pelatih-pelatih yang bakal bermandikan laut Selat Wallesly nanti.

Apa pun jadi kerja mesti selesai, well done!

Tuesday, January 13, 2009

5hb Mula Sekolah dan Mula Latihan

Training / Latihan Mingguan bermula pada 5hb Januari tahun ini di KDSP. Kalau nak diikutkan tahun 2008 ni langsung tidak ada cuti / base stand down pada bulan Desember.

Ini disebabkan audit pengurusan KDSP dan latihan masih berterusan sehinggakan Latiba Fasa 2 juga diadakan pada bulan ini di Tanjung Pengelih. Itulah betapa sibuknya geng-geng PSSTLDM dan TLDM ini dalam merencakan latihan tahunan untuk anggota. Itu belum kira lagi budak-budak yang ikut kapal 3 bulan di Sandakan sana nun.

Kalau tak pergi Latiba nanti tak dapat bounty pulak! Itulah pasal... Lagi hebat tahun ini siapa tak attend audit pengurusan kena buat surat tunjuk sebab, dan kehadiran tersebut akan diambilkira sebagai kelayakan bounty tahunan. So... kepada yang culas untuk hadir / standby inspection kali ini, dapat habuanlah.

Kehadiran anggota agak memberangsangkan, mungkin disebabkan awal tahun kot. Walaubagaimana pun diharap ianya berkekalan hingga ke hujung tahun. Sebab tahun ini ada Pameran LIMA Langkawi bulan 12 nanti.

Untuk kontinjen boria yang bakal ke Kementah untuk show, harap bersabar dan bertenang kerana agenda itu telah ditukar ke satu tarikh lain yang akan diberitahu kelak. Boleh praktis lagi lepas ini bagi lebih mantap lagi.

Ada untung dan ada rugi jugak perubahan tarikh tu...

Untungnya: Sibuk dengan urusan anak sekolah, lebih-lebih lagi anak yang baru nak belajar ke sekolah seperti Tabika, Pra-sekolah dan Darjah Satu dan ramai anggota kita yang terlibat dalam rutin awal tahun ini. So... bolehlah uruskan anak

Ruginya: Cuti dah lulus, latihan dah buat, semua dah diatur, pakaian tunggu nak bayar duit booking je lagi... alih-alih tak jadi pulak... apa nak buat? yang pastinya claim tetap claim! Dengar khabar akan ditunda ke bulan April? masalah jugak tu...

Lagi satu yang paling penting sekali, bermula awal tahun ini semua kursus-kursus yang selalunya bertempat di KD Sri Pinang akan dibuat di KD Sri Kelang kerana base kami ini bakal dibangunkan dengan infrastruktur baru (macam lirik lagu boria) sebagai Pusat Latihan untuk PSSTLDM. Mungkin setahun dua, buat sementara atau pun terus buat di sana kita tunggu dan lihat perkembangan dari masa ke masa.

So kepada mereka yang termimpi-mimpi nak mai Penang untuk transit, latihan dan berkursus diharap tangguhkan dulu mimpi anda dalam setahun dua ni.

Monday, January 12, 2009

Boria KDSP

Tahun baru menjengah.... rutin hidup seperti biasa.... bangun pagi gosok gigi! betol tak? anyway minggu ni baru masuk kerja lepas cuti panjang.... sebab tu lambat updated. Selamat Tahun Baru! to be Quality Navy for Navy People, mudah-mudahan...

Berdasarkan permintaan ramai, di sini saya letakkan lirik lagu Boria KDSP yang dipersembahkan semasa audit pengurusan lepas untuk anda sekelian. Selamat berBORIA!

Selamat Datang pembuka kata
Kepada panglima serta yang ada
Terimalah ini persembahan boria
Dari kami di pulau mutiara
Terimalah ini persembahan boria
Dari kami di pulau mutiara

Lagu boria kd sri pinang
Iramanya mudah dikenang
Hayunkan kaki gelekkan pinggang
Sambil menyanyi kita lenggang
Hayunkan kaki gelekkan pinggang
Sambil menyanyi kita lenggang

Sudah periksa sana dan sini
Harap semua baik lagi terkini
Oh bukit bendera hai tanahnya tinggi
Samalah dengan markah kami
Oh bukit bendera hai tanahnya tinggi
Samalah dengan markah kami

Lagu boria kd sri pinang
Iramanya mudah dikenang
Hayunkan kaki gelekkan pinggang
Sambil menyanyi kita lenggang
Hayunkan kaki gelekkan pinggang
Sambil menyanyi kita lenggang

Base baru masih dalam prancangan
Infrastruktur moden bakal ditangan
Hai satu malaysia satu pusat latihan
Untuk PSS tambah kekuatan
Hai satu malaysia satu pusat latihan
Untuk PSS tambah kekuatan

Lagu boria tutup bicara
Harap maaf tersilap kata
Bukan senang jumpa ketua
Gugup habis tak tau nak kata
Bukan senang jumpa ketua
Harap dapat balik bersua

Tahniah dan syabas di atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan boria kita. Ada lagi tugasan yang menunggu lepas ini. Sedia Berkorban.